December 18, 2007

Perkukuhkan Dinamika Melayu-Islam

Kekosongan kerusi DUN Pengkalan Pasir, Pasir Mas, Kelantan berikut dengan kematian ADUN PAS Wan Abdul Aziz Wan Jaafar (55) pada 27 Ramadhan 1426 = 31 Oktober 2005 lepas adalah ujian bagi PAS. UMNO melihatnya sebagai peluang baginya mengurangkan majoriti PAS yang kini tinggal 23 lawan 21.

Seandainya kerusi tersebut terlepas kepada UMNO, maka PAS akan berada di dalam keadaan kritikal yang dengan majoriti satu kerusi berbagai kemungkinan akan berlaku, termasuk gugatan dari UMNO berterusan menuntut agar DUN Kelantan dibubarkan. Lantaran itu keghairahan UMNO yang selama ini menanti-nanti peluang sedemikian perlu disekat atas sebab-sebab bakal dibicarakan. Kerusi DUN Pengkalan Pasir perlu dipertahankan oleh PAS dengan pertolongan Allah dan ikhtiar berterusan. PAS tidak perlu gentar dengan tekanan, kerana tekanan selamanya dialami, PAS negeri Kelantan di bawah kepimpinan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz bin Nik Mat selama ini sememangnya terus bekerja dengan dibantu oleh satu pasukan yang mantap dan produktif seperti antaranya Exco-Exco YB Hj. Husam Musa Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat, Ustaz Mohd Amar Haji Nik Abdullah Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pendidikan, Sains dan Teknologi, Haji Takiyuddin Hassan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Haji Zulkifli Mamat Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian dan Sumber Manusia, Ustaz Hassan Mohamood Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam dan Dakwah, Haji Anuar Tan Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan dan Hubungan Kaum dan saf kepimpinan yang lain sehingga Kerajaan Kelantan berada di dalam keadaan stabil, maju.dan beridentiti tersendiri, berbeza dari negeri-negeri yang diperintah UMNO-BN. Kehadiran BN yang diketuai UMNO di Kelantan berkempen kini ibarat tamu sementara dan berkepentingan yang hati budi mereka sudah lama diketahui. Mereka akan berarak dan bersorak bagi `Hidup Melayunya` pada hari penamaan calon 27 November dan sejak kekosongan kerusi di Pengkalan Pasir hingga ke hari mengundi (6 Disember), puluhribuan dari mereka menyesakkan ruang sebok keluar masuk kampung-kampung dan rumah-rumah di Pengkalan Pasir menabur janji dan tawaran (pemberian ?). Pada masa inilah terjadi kelainan di mana pemimpin tertinggi UMNO-BN yang tidak pernah menjenguk keadaan rakyat tempatan turun memperlihatkan wajah dan melahirkan keprehatinan, Wanita UMNO akan memujuk para ibu dan suri rumah untuk mendapat sokongan, Puteri UMNO pula bermanis muka dengan kesantunan penuh kepura-puraan dan Pemuda juga mempamirkan kewiraan yang kononnya sebagai jaguh berkeris pembela Melayu. Kita kira pengundi-pengundi di Pengkalan Pasir sudah lama memahami gelagat peraih-peraih undi berkenaan yang pada hakikatnya kerana pilihanraya mereka pergi dengan longgakan janji. Rakyat Kelantan, khususnya pengundi-pengundi di Pengkalan Pasir jangan rasa rendah diri berhadapan peraih-peraih undi UMNO-BN yang berbangga dengan keangkuhan material, pendabikan kuasa dan kelicikan tipudaya mereka.

Pertahankan Identiti Kelanatan Terbina Bersama PAS

Sama ada rakyat di Kelantan sedar atau tidak, sebenarnya PAS dan rakyat di Kelantan selama ini telah sama memperkukuhkan identiti PAS dan rakyat Negeri Kelantan. Kekukuhan PAS dengan identiti sebagai sebuah parti tertua di Malaysia sejak 1951 (Ingat UMNO pernah diharamkan 1980an) banyak didukung oleh rakyat Kelantan, tanpa menafikan peranan pendokong-pendokong rakyat di negeri-negeri lain. Rakyat Kelantan telah memberi mandat kepada PAS memerintah negeri Kelantan sejak merdeka melebihi dari mandat yang diperintah oleh UMNO-BN. Kegemilangan PAS di Malaysia, bahkan di dunia lebih terpancar dari Kelantan dan berkat dari kepimpinan-kepimpinan PAS di Kelantan, maka Kelantan dilihat sebagai pembawa obor keislaman di Malaysia sehingga negeri Kelantan dikenali sebagai `Serambi Mekah`. Istilah `Serambi Mekah` banyak dapat diertikan. Antaranya Kelantan diperintah oleh Parti Islam, PAS menanamkan nilai-nilai Islam di tengah masyarakat Kelantan dan mempertahankan nilai `Budaya Melayu Islam`, Kelantan mementingkan pendidikan dan pengajaran Islam, Kota Bharu sebagai Bandar Islam, bahkan Negeri Kelantan sebagai Negeri Islam dan politik pemerintahan di Kelantan berjalan secara jujur kerana berpandukan ajaran Islam. Sesungguhnya rakyat dan Negeri Kelantan telah mencapai status yang paling murni dan bersih yang diassosiasikan dengan Islam di dalam berbagai aspek. Alangkah unggulnya Kelantan. Bagi penduduk Negeri Kelantan, khususnya pengundi di Pengkalan Pasir relakah anda merosakkan nilai-nilai murni Kelantan yang telah dicapai ini dengan menjualnya kepada `Tukang Canang Kemajuan` yang sehingga kini masih gagal mencapai objektif memajukan orang Melayu ? Pengundi-pengundi di Pengkalan Pasir, bahkan rakyat negeri Kelantan perlu mempertahankan maruah Kelantan dan sepatutnya lebih memperkukuhkan identiti Kelantan bersama dengan mereka yang memperjuangkan Islam di Kelantan.

PAS dan Kelantan selamanya mendukung dan mempertahankan Islam yang sebenar yang diwarisinya dari Rasulullah s.a.w. Mempertahankan kesucian Islam ini dan memperkembangkannya adalah tugas murni yang perlu disokong oleh mana-mana pihak termasuk oleh pengundi-pengundi di Pengkalan Pasir. Ianya merupakan sebagai satu jihad. Memang benar sebagaimana pernah diucapkan oleh Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz, bahawa sesiapa yang menyokong pihak yang mempertahan dan memperjuangkankan Islam insya Allah mendapat ganjaran pahala di sisi Allah. UMNO dari awal lagi telah menunjukkan tembelangnya bahawa mereka datang dengan pendekatan jenama baharu terhadap Islam (Islam Hadhari) sebagaimana ditegaskan oleh Tan Sri Muhammad Muhd Taib Ketua Penerangan UMNO dengan katanya: ``Kita akan berkempen secara bersih, berdasarkan konsep Islam Hadhari dengan menjelaskan kepada pengundi dasar dan perjuangan kerajaan yang akan memberi manfaat kepada mereka.`` (Berita Minggu, 6 November 2005: 2).

Penjenamaan baru terhadap Islam merupakan satu bid`ah yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah, sahabat dan ulama. Kalangan UMNO sendiri berbelah bagi dan kebanyakannya tidak menerima penjenamaan baru ini. Kerana di dalam Islam semuanya lengkap termasuk dari segi kemajuan. Benarkah mereka datang secara bersih dan berkempen secara bersih ? Semua orang tahu bahawa UMNO bergelumang denga rasuah. Apakah jaminan perjalanan kempen UMNO bersih dari rasuah, sedangkan ianya merupakan budaya tradisi UMNO. Bagaimanakah dengan sejuta Ringgit Malaysia diperuntukkan UMNO bagi setiap peti undi di Pengkalan Pasir sebagaimana diperkatakan ?

Pendekatan `Reverse Psikologi`

Pihak UMNO-BN yang berkempen bagi merebut kerusi di Pengkalan Pasir secara sedar atau tidak dari segi psikologi dan lisanul hal `memandang rendah` terhadap pengundi di Pengkalan Pasir dan Kerajaan Kelantan dengan menganggap mereka perlu diselamatkan dengan pembangunan. Contoh sebagaimana dikatakan oleh Annuar Musa berhubung dengan keterlibatan UMNO dalam pilihanraya di Pengkalan Pasir ``… untuk mengubah nasib mereka dan memastikan Kelantan tidak terus ketinggalan dalam arus pembangunan perdana.`` (Utusan Malaysia, 5 November 2005: 7). Setakat manakah mereka mengubah nasib Melayu Kelantan pada masa-masa mereka diberi peluang memerintah dahulu ? Pandangan rendah dan menganggap rakyat Kelantan bersalah membuat pilihan disuarakan oleh Datuk Sri Najib Razak, Timbalan Perdana Menteri dan meminta rakyat menghukum Kerajaan Kelantan dalam pilihanraya di Pengkalan Pasir dengan ungkapan secara kasar `Deliver verdict on PAS rule`, (NST, November 11, 2005: 12). Ini adalah antara contoh-contoh pemimpin-pemimpin UMNO-BN berdepan dengan rakyat Kelantan, khususnya Pengkalan Pasir secara psikologinya memandang rendah dan tidak menghormati pilihan dan pendirian rakyat Kelantan selama ini.

Di dalam menghadapi keangkuhan dan kekasaran mereka, pihak PAS, khususnya di Kelantan jangan hanya bersifat bertahan, apa lagi mengalah, tetapi perlu mengambil sikap `reverse psikologi`, iaitu dengan cara berdepan, menentang dan bersifat agresif, tetapi bukan bersifat membuta tuli, sebaliknya berasaskan fakta dan realiti.

Jati Diri dan Dinamika Rakyat Kelantan

Kemantapan, kecekalan dan kemajuan sesuatu bangsa atau kelompok selalunya berhubung dengan jati diri yang menjiwai sesuatu bangsa atau kelompok tertentu dan menjadi dinamika kejayaan. Orang German meyakini mereka bangsa istimewa dan pilihan. Dengan keyakinan ini mereka terjemahkan ke dalam tindakan dan dinamika kerja mereka yang bermutu dan tinggi kualiti. Contoh mutu perusahaan automatif mereka. Bangsa Jepun terkenal sebagai bangsa yang cekal dan sanggup berkorban, lantaran itu mereka hasilkan sesuatu dengan penuh semangat dan cekal, mereka terkenal sebagai bangsa yang maju setanding dengan barat. Di dalam rumpun Melayu ada jati diri yang dinamik yang menggerakkan kemajuan mereka. Orang Bugis-Makassar mempunyai jati diri yang dikenali dengan `Sirri` yang yakin dengan kemampuan mereka. Ianya menjadi dinamika menggerak orang Bugis (ingatkan Daeng lima beradik) keluar ke alam Melayu menguasai banyak bahagian dari kepulauan Melayu, termasuk Riau dan Sebahagian dari Semenanjung, manakala kelompok Makassar menjadi kelompok pelayar dan peniaga terkenal di Alam Melayu. Orang Minang di Sumatera mempunyai konsep `Merantau` yang perlu dilalui oleh setiap anak muda. Sebaik merantau ke negeri-negeri nan jauh, mereka berpantang pulang sebelum berjaya dan membawa balik keuntungan. Lantaran itu mereka terkenal sebagai perantau dan peniaga yang berjaya.

Jati Diri Dan Dinamika Rakyat Kelantan (Ore Kelate)

Di Malaysia, Kelantan adalah satu-satunya negeri dan rakyat yang mempunyai jati diri dan dinamika tersendiri sebagai `Ore Kelate` yang tidak kedapatan pada negeri-negeri dan rakyat yang lain. Jati diri Melayu Kelantan ini bertalian dari budaya tradisi Langkasuka + Campa dan kemudian diperkukuhkan oleh Islam. Manifestasi Jati diri ini terlihat pada kesedaran kelompokan, pembelaan dan penyatuan kelompok yang tinggi, lebih-lebih lagi di perantauan, Mereka gigih berusaha dan bertolong-tolongan di dalam perusahaan dan perniagaan. Kalangan wanitanya mampu menjadi pengusaha dan peniaga yang berjaya (pasar-pasar di Kelantan dikuasai peniaga-peniaga wanita). Mereka pencinta ilmu dan kelompok yang kreatif dan inovatif. Mereka disatukan oleh dielek bahasa khusus yang dikenali dengan loghat Kelantan. Perawatakan mereka umumnya sopan santun yang perempuannya manis semanis mereka bercakap, manakala yang lelakinya tampan bagai pahlawan. Inilah jati diri Kelantan yang menjadi dinamika memajukan mereka dan lebih terkehadapan dari keturunan Melayu di negeri-negeri Melayu yang lain. Contoh-contoh yang dapat dilihat orang Kelantan maju dengan perniagaan, mereka mendirikan perusahaan-perusahaan seperti kain, tenunan, pembinaan bangunan, perahu dan kapal, hasil-hasil kraf yang tinggi mutunya. Dari kalangan mereka lahir ulama dan tokoh-tokoh intelektual dan sebagainya. Manakala kreativiti mereka terlihat dalam bidang pembuatan, seni, pakaian, gerakseni dan seni suara.

Dinamika di atas tidak terhad di dalam negeri Kelantan sahaja, tetapi diexport keluar dari Kelantan. Ramai dari peniaga-peniaga yang maju di Malaysia adalah berasal dari Kelantan. Kelantan mampu menghantar tenaga-tenaga dari buruh kasar hingga kepada tenaga-tenaga professional berkhidmat di luar dari Kelantan. Kalangan intelektual mereka menonjol diluar Kelantan sebagai tenaga pengajar di universiti, pentadbir, eksekutif, usahawan, banker dan sebagainya. Ini ialah kerana kesedaran akan kepentingan pelajaran tinggi di kalangan rakyat Kelantan. Imej budaya dan seni banyak tertonjol dan menjadi imej budaya dan seni Negara. Dari Kelantan lahir budayawan, seniman dan sasterawan. Kelantan pada hakikatnya terkehadapan dari negeri-negeri Melayu yang lain. Negeri dan rakyatnya kuat dengan Islam mampu berdikari, meskipun sumber minyak dan gas yang banyak diketemui di dasar laut Kelantan berkat keislaman yang sepatutnya dinikmati rakyat Kelantan, tapi atas dasar pertimbangan politik sempit sumber ini tidak disalirkan melalui Kelantan.

Depani Mereka Secara Dinamik dan Agresif

Kelantan dan rakyatnya mempunyai keunggulan berteraskan Islam. Negerinya maju dan rakyatnya dinamik. Jangan biarkan peraih-peraih undi datang mengajar itik berenang. Kelantan negeri unggul. Berdepanlah mereka dengan jiwa besar dan berkeyakinan bahawa orang Kelantan lebih maju dan lebih tinggi daya kerja, nilai budaya, kreativiti dan teguh berpegang pada Islam. Dari kajian dibuat rakyat Kelantan di perantauan mempunyai sentiment yang tinggi dan menyokong Kerajaan Islam Kelantan. Anggaplah mereka dari kalangan UMNO-BN sebagai tukang canang peraih undi yang mau meruntuhkan kerajaan yang ada dan merosakkan imej unggul Melayu Islam yang terbina di Kelantan.

Sesungguhnya dengan jati diri dan infrastruktur dinamika kemajuan yang diungguli dengan niali-nilai Islam. Kelantan sedang bergerak maju dengan acuannya tersendiri, iaitu dengan jati diri, dinamika yang diungguli Islam. Lantaran itu Kelantan kini lebih maju dari setengah negeri yang diperintah oleh UMNO-BN. Sepatutnya Kelantan mampu lebih maju dengan mendapat peruntukan Pusat berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan sebarang hak dan bantuan merupakan peruntukan Negara dan bukannya hak atau harta UMNO-BN. Sebarang sekatan yang dilakukan adalah bercanggah dengan peruntukan perlembagaan dan etika.

Rakyat Kelantan jangan terpedaya dengan janji-janji pilihanraya UMNO-BN. Contoh selepas Terengganu dikuasai UMNO-BN (2004) tidak ada lempahan bantuan yang dijanjikan. Terengganu tenat dari segi kewangan. Cukai pintu yang dihapus oleh Kerajaan PAS sebelumnya dipungut balik secara tonggakan, tanah-tanah yang diberi kepada rakyat semasa Kerajaan PAS sebelumnya dirampas kembali. Janji mau mewujudkan universiti sebenarnya menaikkan taraf institusi yang ada yang sememangnya diusahakan oleh kerajaan PAS sebelumnya, tetapi disekat oleh pihak yang berkuasa.

Harapan Rakyat Tak Kesampaian

Rakyat di Kelantan, khususnya di Pengkalan Pasir perlu ingat, mandat yang didapati oleh kerajaan UMNO-BN pada Mac 2004, selain dari banyak kaedah pilihanraya yang dipertikaikan, ianya juga manifestasi harapan rakyat yang begitu tinggi terhadap pemimpin baru (Datuk Seri Abdullah Badawi) setelah begitu tertekan di bawah pimpinan Dr. Mahathir. Abnormal ini juga berlaku di Pengkalan Pasir yang selama ini sememangnya setia kepada PAS. Di Pengkalan Pasir pada tahun 1990 PAS menang dengan majoriti 2,835 undi, 1995 PAS menang dengan majority 1,036 undi, 1999 PAS menang dengan majoriti 2,862 undi dan kerana kejutan dan harapan baru seperti di tempat-tempat lain undi PAS menurun 2004, tetapi masih tetap mengekalkan majoriti sebanyak 55 undi. Namun selepas dua tahun memerintah harapan terhadap pimpinan baru meleset. Beban hutang Negara ditinggalkan oleh pimpinan sebelumnya hampir separuh dari pendapatan Negara. Tiada pembangunan fizikal ketara dapat dilakukan. Yang diulang ialah retorika pembangunan yang berfokus awal tentang pelajaran dan industri tani yang masih dipersoalkan dari segi pencapaian. Apa yang benar-benar dialami dan dideritai rakyat ialah kenaikan drastik kos hidup selepas kenaikan harga minyak secara bertalu-talu. Sepuluh kali naik selepas 2000 dan sudah tiga kali naik bagi tahun 2005. Rakyat amat tertekan dengan kenaikan harga barang-barang. Amat menggerunkan, kerana kenaikan mungkin akan berlaku pada harga petrol, tariff letrik, tol dan berbagai lagi selepas 2005. Rakyat Kelantan, khususnya Pengkalan Pasir tidak akan dapat menikmati janji pembangunan dari keadaan ekonomi Negara yang tenat dan harga barang-barang naik berkali lipat. Kita percaya selepas menyedari harapan baru yang diberi pada tahun 2004 sebenarnya tidak terjadi, rakyat, khususnya di Pengkalan Pasir akan kembali menggandakan sokongan terhadap PAS sebagaimana terbukti selama ini. Adalah dijangka selepas harapan membumbung tinggi, tetapi meleset, dari segi saikalnya sokongan terhadap UMNO-BN pada pilihanraya 2007 atau 2008 akan menurun, maka kita harap rakyat di Pengkalan Pasir merupakan kelompok rakyat yang mula-mula mengisyaratkan penurunan sokongan terhadap UMNO-BN ini. Kita mengharapkan pengundi-pengundi di Pengkalan Pasir akan memantapkan Kerajaan Pas di Kelantan dengan menggandakan majoriti undi yang tinggi kepada PAS di hari pengundian di Pengkalan Pasir nanti.

Kekalkan Keharmonian

Sejak pemerintahan PAS di Kelantan bagi sesi kini yang telah berkesinambungan selama 15 tahun memperlihatkan keharmonian dari segi kepimpinan dan pemerintahan. Tidak berlaku kekecohan dari segi kepimpinan seperti tiada usaha jatuh menjatuhkan antara satu sama lain. Keadaan ini amat berlainan dari politik UMNO di Kelantan. Perbalahan dari segi kepimpinan ketara dari zaman Tan Sri Mohamad Ya`kob yang menjadi Menteri Besar Kelantan. Kini perbalahan dalaman ini tidak kurang berlaku. Elemen yang diistilah sebagai `peteh keting` satu yang lumrah berlaku dan menjadi budaya UMNO Kelantan. Mengapa Datuk Mustapa Mohamad seorang yang berkebolehan diturunkan dari pimpinan UMNO di Kelantan dan dilantik Annuar Musa seorang yang tidak kurang dengan masalah dan kontroversi. Mengapa Saudara Ibrahim Ali dipecat dari UMNO yang memasalahkan UMNO dalam pilihanraya di Pengkalan Pasir dan berbagai-bagai lagi. Jika kekuasaan diberi kepada UMNO maka rakyat dan negeri Kelantan akan menerima dan mengalami masalah. Sebab itu amat wajar dikekal dan diperkukuhkan kepimpinan harmoni berasaskan Islam.

Kreatif Dan Peniruan

Dalam masa pemerintahan PAS di Kelantan banyak pendekatan yang bersifat kreatif dilakukan antaranya menjadikan hari Jumaat dan Sabtu sebagai cuti mingguan yang bukan semata-mata untuk rehat, tetapi hari Jumaat bagi rakyat menimba ilmu pengetahuan bagi memperbaiki diri. Dan kefahaman. Ini dipraktikkan oleh Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz sendiri mengajar di setiap pagi Jumaat di tengah-tengah Bandar Islam, Kota Bharu dan dibanjiri puluh ribuan manusia yang mengikuti kuliah pengajarannya, setengahnya datang dari luar Kelantan. Pengajaran juga berlaku di pusat-pusat pengajaran lain, termasuk di pondok-pondok di Kelantan. Manakala pada hari Sabtu memberi peluang kepada rakyat menguruskan kepentingan keluarga. Kerajaan Pusat secara malu-malu turut mengikuti apa yang dilakukan oleh Kerajaan PAS Kelantan, mula pada zaman Dr Mahathir tutup pejabat pada hari sabtu dan Ahad dua kali sebulan (minggu pertama dan ketiga) manaka dua minggu yang lain tutup hanya pada hari Ahad, tetapi pada masa Datuk Seri Abdullah Badawi, tutup dua hari seminggu sepenuhnya mengekori apa yang dilakukan PAS di Kelantan.

Peniruan juga berlaku pada konsep memajukan insan dari berbagai segi yang secara tidak langsung dilakukan di Kelantan seperti disebut di atas, khususnya dari segi kerohanian di samping kepentingan fizikal. Kita lihat kini kerajaan mengambil pendekatan baru yang sebenarnya tidak baru, iaitu apa yang diistilahkan sebagai `modal Insan`. Selain dari apa yang dilakukan oleh PAS, pendekatan ini juga pernah dilakukan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri dengan istilah `Bina Insan`. Kita menunggu apakah pengolahan kreatif yang akan dilakukan terhadap `Modal Insan` yang bersifat perubahan istilah secara kosmetik itu bagi menunjukkan kelainan..

Kesimpulan

Kelantan mempunyai jati diri dan dinamika tersendiri yang diperkukuhkan oleh Islam. Kelantan maju dengan acuan keislaman dan ianya berjaya menarik kehadiran pelancung-pelancung keilmuan dan mereka yang sengaja datang untuk melihat keistimewaan dan keunikan Kelantan Imej ini akan kabur dan rosak jika ianya dicelupi dengan warna dan budaya UMNO. Imej positif rakyat dan negeri Kelantan akan tenggelam dengan `Agenda Melayu` yang tidak mempunyai falsafah kerohanian dan dirosakkan oleh budaya rasuah yang bermaharajalela di dalam UMNO itu sendiri. Jangan biarkan Kelantan berada di dalam kelompok UMNO-BN yang akan meneggelamkan identitinya bersama-sama parti komponen yang lain. Tidak ada sebab untuk Kelantan diberi keistimewaan dan melebihi dari negeri-negeri di bawah BN yang lain. Sebab itu perkukuhkan jati diri dan dinamika Kelantan bertonggakkan Islam. Pengundi-pengundi di Pangkalan Pasir mampu membuktikannya dengan memenang dan memperkukuhkan PAS di Kelantan.

Sekian

Bandar Baru Bangi

12 Syawal 1426

14 November 2005

No comments:

Post a Comment