Pilihanraya kecil di Pengkalan Pasir, Pasir Mas, Kelantan bukan saja menarik perhatian, tetapi mendebarkan. Baik bagi Parti PAS maupun UMNO.
Masing-masing mau membuktikan kekuatan parti masing-masing di dalam keadaan PAS mempunyai majoriti tipis di DUN Kelantan.
Kemenangan bagi PAS yang mencalonkan Haji Hanifa Ahmad (59) mengisyaratkan bahawa PAS tetap utuh di Kelantan dan memberi keyakinan PAS akan menambahkan kekuatan dan melebarkan sayapnya pada pilihanraya yang akan datang. Sebaliknya jika kemenangan berpihak kepada UMNO yang mengekalkan calonnya yang lepas En. Hanapi Mamat (51) menyukarkan PAS di Kelantan menghadapi gugatan-gugatan pada masa hadapan. Kemasukan Datuk Paduka Ibrahim Ali (55) menjadi calon bebas tambah merancakkan keadaan. Sebenarnya sejak kekosongan kerusi DUN Pengkalan Pasir dengan kematian ADUN PAS Wan Abdul Aziz Wan Jaafar (55) pada akhir Oktober lepas, masing-masing telah menggerakkan jentera parti bagi mempertingkatkan sokongan rakyat. Di dalam menghadapi serangan dari luar dan dalam, PAS dilihat berkedudukan sebagai wira mempertahankan tapak kekuatannya yang telah dibina selama ini, manakala UMNO yang lebih banyak datang dengan kekuatan dari luar dianggap sebagai pendatang yang cuba mau merampas hak yang selama ini diamanahkan kepada PAS. Kewiraan PAS dapat dilihat bahawa ianya lebih ketara dipertahankan oleh pahlawan-pahlawan tempatan disamping bantuan pendukung-pendukung dan sahabat. Tetapi UMNO bukan saja datang dengan sebuah parti, tetapi bersama gabungannya 14 buah parti dari 14 buah negeri bagi menyerang PAS. Mereka terdiri dari veteran, wanita, pemuda, puteri dan remaja. Bayangkan jumlah mereka berpuluh ribu datang lengkap dengan peralatan, termasuk menggunakan alat-alat kerajaan. Rakyat Kelantan, bukan saja dari PAS, tetapi keseluruhan patut bersimpati dengan PAS dan bangkit menyanggah kehadiran mereka dan memihak kepada yang diancam secara tidak seimbang dengan mempamerkan perutusan yang jelas, iaitu memberi kemenangan yang selesa kepada calon PAS di Pengkalan Pasir pada hari pengundian 6 Disember nanti.Ini bagi mempertahankan jati diri dan identiti Kelantan yang pasti akan berubah dan luntur jika dibancuh dengan warna UMNO-BN.
2. Pendekatan, Tektik dan Tanggapan
Bagi membuktikan kewibawaan dan mendapat sokongan, berbagai pendekatan, tektik, retorik, tanggapan, cabaran, hujah dan balasan hujah digunakan kedua belah pihak. Lebih banyak genderang dan perang lisan dilancarkan. Namun serangan-serangan UMNO yang bergerombolan dari berbagai penjuru mengenai berbagai isu mampu disanggah dan dipatahkan oleh PAS. Sebaliknya UMNO-BN merasa lebih tergugat dengan isu-isu yang seboleh-bolehnya tidak mau diperkatakan di hadapan khalayak pengundi di Pengkalan Pasir. Disebalik dari perkara-perkara yang disembunyikan, mereka mau menayangkan umpan-umpan pembangunan, merendah-rendahkan penduduk tempatan seperti antarnya mengemukakan contoh statistik lapuk, bahawa Kelantan kononnya paling tinggi dengan pengangguran sebagaimana diucapkan oleh Datuk Abdul Rahman Bakar Timbalan Menteri Sumber Manusia, pada hal orang Kelantan terkenal dengan kuat bekerja dan berniaga, mau membela wanita di Kelantan sebagaimana dikatakan oleh Datuk Shahrizat Abdul Jalil Menteri Pembangunan Wanita, pada hal wanita Kelantan lebih maju dari wanita-wanita negeri lain dan berbagai-bagai persepsi tentang orang Kelantan yang kononnya mau diselamatkan. Sebenarnya lebih wajar Timbalan Menteri dan Menteri diperkatakan mengkaji tentang produktiviti, prolifik dan kreatifnya rakyat Kelantan, bukannya menghina mereka, untuk dijadikan contoh dan ukuran bagi rakyat di negeri-negeri yang lain.
3. Kepimpinan Ulama
Kekukuhan PAS, khususnya di Kelantan adalah berasaskan pemerintahan kepimpinan ulama. Ini dilambangkan oleh perwatakan kukuh Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Tuan Guru merupakan tiang seri dan benteng utama yang menghalang pengaruh UMNO di Kelantan. Imej kepimpinan ulama ini dijadikan motto bagi pilihanraya di Pengkalan Pasir iaitu, `Kekal Pengkalan Pasir, Kekal Kepimpinan Ulama`. UMNO menyedari kemantapan pemerintahan PAS di Kelantan adalah antaranya dengan wibawa kepimpinan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. UMNO sedar bagi melemahkan PAS di Kelantan kepimpinan ulama perlu digugat. Lantaran itu Datuk Md Alwi Che Ahmad, Ketua Penerangan UMNO Kelantan berusaha melaga-lagakan kewibawaan kepimpinan PAS, beliau mendakwa kononnya kepimpinan ulama diketepikan di dalam Muktamar PAS ke 51 yang lepas dengan memberi contoh kenaikan Ustaz Nasharudin Mat Isa ke jawatan Timbalan Presiden dari tokoh muda (The Star, 16 Nov. 2005: 16). Perkara ini dijawab Sdr. Husam Musa bahawa konsep ulama, intelektual dan kepimpinan adalah kesatuan yang melengkapkan di dalam PAS. Ustaz Nasharudin sendiri merupakan seorang ulama yang terdidik di dalam perundangan Islam secara mendalam, di samping sebagai pemimpin dan intelektual muda yang berwibawa selain dari wujudnya gabungan individu yang melengkapkan kepimpinan ulama dan intelektual. Lantaran itu di dalam PAS tak kurang kalangan ulama dan intelektual yang mampu diketengahkan. Ini termasuk pemimpin-pemimpin PAS di Kelantan.
4. Memperalatkan Media
Perkara yang jelas dan tak dinafikan berlaku ketidakadilan dan berat sebelah di dalam kempen pilihanraya di Pengkalan Pasir ialah UMNO memperalatkan media. Semua saluran tv dan radio sepenuhnya digunakan bagi melaporkan apa yang diungkap oleh menteri-menteri yang merupakan kempen terhadap pilihanraya di Pengkalan Pasir, walau dari mana mereka bercakap sama ada di Kelantan dan di luar dari Kelantan, bahkan dari luar negara. Kalau ada berita tentang PAS lebih bersifat negatif dan serangan. Akhbar-akhbar Melayu lebih jelas bias berkempen secara memihak kepada UMNO, manakala akhbar-akhbar Inggeris lebih berwibawa dan membawa ulasan dan pendekatan lebih sedikit bersifat intelektual, tetapi tidak terlepas dari memihak kepada parti pemerintah. Laporan hari penamaan calon jelas tidak seimbang. Wujudnya slot berita ringkas di tv 1 mengenai pilihanraya di Pengkalan Pasir jelas bertujuan untuk kempen bagi UMNO. Pada keseluruhannya media adalah tidak terbuka dan tidak telus. Sememangnya tiada kebebasan media di Malaysia. Ini terbukti pihak Global Press Freedom - Ranking of Freedom House meletakkan Malaysia bagi tahun 2004 pada ranking ke 122 daripada 167 negara, iaitu kedudukan yang lebih tercorak dari tahun sebelumnya (117). Sebab itu jangan mimpi untuk parti-parti pembangkang mendapat peluang untuk berdebat di tv berhubung dengan dasar kerajaan dan polisi parti. Jangan diharap parti pembangkang diberi kebenaran mengeluarkan akhbar-akhbar harian seperti di Britain dan Jepun. Sebaliknya kerajaan Malaysia menguasai hampir keseluruhan media.
5. Menggunakan Kemudahan Dan Memperalatkan Institusi Kerajaan
Selain tidak adanya kebebasan media pihak UMNO dan parti pemerintah bebas menggunakan kemudahan dan institusi kerajaan. Dalam masa kempen pilihanraya di Pengkalan Pasir ini misalnya pihak UMNO menggunakan sekolah di Pasir Mas dengan kehadiran Menteri Pelajaran Datuk Hishamuddin sebagai cara berkempen (Sunday Star, 20 Nov. 05: 10). Beliau kemudiannya begitu mudah mengubah dasar dan polisi, Dr. Mahathir menyekat bantuan sekolah agama dan ubah penggunaan bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris bagi matematik dan Sains, kini Hishamuddin kembali membuka peluang sekolah-sekolah agama menjadi sekolah bantuan kerajaan demi kepentingan politik. UMNO menggunakan kakitangan Hospital Kerajaan bagi kepentingan politik UMNO (The Star, 20 Nov. 05: 21). UMNO menggunakan pesara-pesara anggota perajurit memancing undi dengan bantuan yang diberikan kepada mereka. UMNO menggunakan berbagai agensi kerajaan sebagai kempen dalam persediaan menghadapi banjir. Dokumentari mengenai Terengganu diulang-ulang sebagai slot berita di tv 1 bagi mempengaruhi pengundi Pengkalan Pasir dan menutup kelemahan UMNO-BN memerintah Terengganu. Kita persoalkan adakah menteri-menteri yang berkempen di Kelantan, datang dengan menggunakan peruntukan Kerajaan, parti atau persendirian ?
6. Isu Bahasa
Baik PAS maupun UMNO sama-sama mengharapkan sokongan daripada pengundi-pengundi Cina di DUN Pengkalan Pasir yang merupakan 5% daripada jumlah pengundi keseluruhan iaitu 18,411 orang. Dalam keadaan kedua parti hampir seimbang mendapat sokongan pengundi (2004), maka faktor pengundi Cina amat penting. Usaha komuniti Cina mendirikan markaz di Pengkalan Pasir bagi pengundi-pengundi Cina menyokong PAS dan berarak membawa sepanduk berbahasa Cina menyokong PAS pada hari penamaan calon sesuatu yang mengejutkan UMNO. Satu isu yang menggugat UMNO dalam pilihanraya DUN Pengkalan Pasir ialah persoalan penggunaan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Matematik dan Sains. Orang-orang Cina tidak menyokong penggunaan bahasa Inggeris bagi mata-mata pelajaran tersebut. Ini disuarakan penentangannya oleh Timbalan Presiden Gerakan Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon Ketua Menteri Pulau Pinang serta bekas ahli akademik di USM. Persatuan Pentadbir dan Guru-Guru Sekolah Cina yang dikenali sebagai Dong Jiao Zong sejak awal menolak penggunaan bahasa Inggeris dalam pelajaran Sains dan Matematik, tetapi pihak Kerajaan secara tegas mau meneruskannya. Datuk Hishamuddin selaku Menteri Pelajaran Malaysia yang juga selaku Ketua Pemuda UMNO mempertahankan penggunaan bahasa Inggeris. Beliau menekankan kemampuan pelajar menguasainya dapat dilihat pada keputusan UPSR. Menurutnya kejayaan akan lebih dapat dinilai apabila keputusan PMR dikeluarkan bulan akhir Disember. Beliau meminta agar dihentikan kritik terhadap penggunaan bahasa Inggeris bagi mata pelajaran Matematik dan Sains (NST, Nov. 20, 2005: 13). Persoalan yang dibangkitkan oleh kebanyakan orang Cina dan juga orang Melayu bukan soal pelajar mampu mempelajari dan lulus, kerana melalui apa bahasa pun jika dipelajari dengan betul pelajar mampu lulus termasuk dengan cemerlang. Apa yang dirisaukan bagi sekolah Cina apabila mata pelajaran matematik dan Sains dipelajari di dalam bahasa Inggeris, maka peluang bahasa Cina dan anak-anak orang Cina mempelajarinya di dalam bahasa Cina terhad. Ini mengurangkan pelajar belajar dalam bahasa Cina dan mengurangkan peluang bahasa tersebut berkembang di dalam kedua mata pelajaran tersebut. Setelah dipaksa mereka sanggup mempelajari Matematik dan Sains di dalam bahasa Inggeris dan pada sesi yang lain dalam bahasa Cina. Mereka menyediakan buku teks bagi kedua-dua mata pelajaran berkenaan di dalam bahasa Cina (The Sun, Nov. 16, 2005: 2). Pada peringkat nasional mempelajari Matematik dan Sains di dalam bahasa Melayu ialah bagi mempertahankan polisi Dasar Pelajaran Negara bahawa bahasa Melayu adalah bahasa pengantar dan rasmi. Apabila bahasa Inggeris digunakan bagi kedua-dua mata pelajaran sebahagian besar pembelajaran dari peringkat rendah ke peringkat tertinggi di dalam bahasa Inggeris. Ini melemahkan bahasa Melayu di dalam bidang sains dan tak mampu berdiri setandang sebagai bahasa ilmu dengan bahasa-bahasa terkenal di dunia. Pada satu peringkat kelak semua pembelajaran yang dianggap ilmiah adalah melalui bahasa Inggeris termasuk sastera dan keagamaan. Maka dalam jangka panjang bahasa Melayu akan pupus. Penggunaan bahasa Inggeris sebagai pengantar matapelajaran matemetik dan Sains diarah oleh Dr. Mahathir menggunakannya mulai awal 2003 secara `bulldozed` tanpa pilot projek dan tanpa perbincangan. Rasional penukaran dari bahasa Kebangsaan dan bahasa ibunda di sekolah randah Cina dan Tamil tak pernah dinyatakan (The Sun, Nov 19-20, 2005: 9). Menurut UNESCO berdasarkan penyelidikan secara komprehensif yang dilakukan untuk Bank Dunia 1997 bahawa pembelajaran terbaik pada peringkat rendah ialah melalui bahasa ibunda yang rumusannya mencatat: ``… when learning is the goal, including that of learning a second language, the child`s first language (I,e. his or her mother tongue) should be used as the medium of instruction in the early years of schooling.`(The Sun Nov.19-20,05: 9). Kajian Ilmiah dilakukan oleh Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Hashimah Jalaluddin dari Jabatan Linguistik Universiti Kebangsaan Malaysia, mendapati akibat dari penggunaan bahasa Inggeris bagi pelajaran Matematik dan Sains puluhribuan pelajar, khususnya dari luar Bandar terencat pencapaian mereka di dalam kedua bidang berkenaan. Isunya bukan saja pelajar terencat, tetapi kerana ianya mengancam kedaulatan bangsa dan bahasa serta jati diri Melayu. Ini antara inti desakan Kongres Pendidikan Melayu Kedua (MM 27 Mac 2005: 11). tanpa mengabaikan bahasa Inggeris yang kepentingannya tidak dinafikan pada peringkat global.
7. Perpecahan Pimpinan UMNO
Satu isu yang bukan menjadi rahsia ialah UMNO Kelantan mewarisi sindrom perpecahan. Tengku Razaleigh diakui pemimpin UMNO yang berpengaruh, tetapi disisihkan oleh kerana peranannya mencabar kerajaan dengan penubuhan parti Semangat 46 pada tahun 1980an dahulu. Pendukungnya Saudara Ibrahim Ali dipecat dari UMNO lantaran bertanding di Parlimen Pasir Mas (2004) sebagai calon bebas. Di dalam menghadapi pilihanraya di Pengkalan Pasir kini, kedua-dua pemimpin berpengaruh ini dilihat membawa masalah dan boleh mengancam UMNO dalam pilihanraya. Apa lagi Sdr Ibrahim Ali bertanding sebagai calon Bebas di Pengkalan Pasir, maka untuk cuba mengimbanginya UMNO terpaksa menarik Tengku Razaleigh dan menonjolkannya serta membuat kenyataan bahawa, beliau (Tengku Razaleigh Hamzah) tidak akan menyokong sebarang calon bebas di Pengkalan Pasir, ini termasuklah Sdr. Ibrahim Ali (NST, Nov. 18, 2005: 11). Walau bagaimana kegelisahan UMNO tidak dapat dibendung, khususnya apabila Sdr. Ibrahim Ali benar-benar bertanding sebagai calon bebas.
8. Senjata Makan Tuan dan Retorika Terindah
Bagi menggugat Kerajaan PAS di Kelantan yang mempunyai majoriti tipis itu Annuar Musa Pengerusi UMNO Kelantan menuduh kononnya Kerajaan PAS di Kelantan kehilangan sokongan rakyat dan dengan tujuan memerangkap PAS beliau mencabar PAS membubarkan DUN Kelantan dan mengadakan pilihanraya semula bagi membuktikan parti mana yang mendapat sokongan rakyat. Ini turut ditegaskan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Sri Najib Razak (BH, 14 Nov. 2005: 1). Cabaran Annuar ini dipatahkan oleh Sdr. Husam Musa dengan mencabar UMNO terlebih dahulu membubarkan 21 kawasan DUNnya setempal dengan tuntutannya terhadap PAS. Cabaran ini tidak dijawab segera Annuar, tetapi setelah berbincang dan bersifat anti klimeks Annuar kembali mencabar agar ADUN-ADUN PAS 23 orang turut sama meletakkan jawatan. Cabaran ini juga disetujui oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Tetapi retorika yang dicetuskan oleh Annuar ini menjadi hambar, lantaran ditempelak oleh pihak SPR sendiri yang membayangkan ketidakarifannya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar Timbalan Pengerusi SPR menjelaskan bahawa menurut perkara 48(6) Perlembagaan Persekutuan, sesiapa yang meletakkan keahlian akan menghadapi risiko kehilangan kelayakan bertanding selama lima tahun. Isu yang lebih menunjukkan keangkuhan UMNO ini, khususnya Annuar Musa menjatuhkan egonya yang sekaligus memberi kemenangan moral kepada pihak PAS. Huraian Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Badawi selepas itu agar memberhentikan cabar mencabar berhubung dengan perletakan jawatan ini dapat ditafsir sebagai sekadar untuk melindungi maruah UMNO, khususnya Annuar yang memulakan cabaran. Pihak Pimpinan PAS yang dari awal menegaskan bahawa Kerajaan PAS Kelantan tidak akan dibubarkan selagi majoriti kerusi di DUN Kelantan berada di dalam tangan PAS. Isu ini dapat dimatikan dan dikunci dengan penegasan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz secara menarik dan estetik bahawa, ``PAS tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri Kelantan, selagi PAS mempunyai majoriti, walaupun dengan setengah kerusi !``.(UM, 24 Nov. 05: 8).
Sebelumnya dalam usaha memerangkap PAS juga Annuar Musa selaku Ketua Perhubungan UMNO Kelantan mencabar Tuan Guru Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS agar PAS dan UMNO secara serentak di dalam satu majlis mengumumkan calon masing-masing yang bertanding di Pengkalan Pasir. Motif penganjuran ini UMNO mau memperlihatkan kepada masyarakat bahawa UMNO memimpin dan bersifat terbuka. Walaubagaimana cadangan ini ditolak oleh Presiden PAS Tuan Guru Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang dan juga ditegaskan oleh Murshidul Am Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang sekaligus mematikan isu tersebut.
9. Isu-Isu Yang Didiamkan oleh UMNO
Kehadiran UMNO dan penyokong-penyokong lebih banyak menampilkan masalah yang cuba digula-gula dan ditutup dengan tawaran pembangunan kepada pengundi-pengundi di Pengkalan Pasir. Walau bagaimana rakyat tidak lupa dengan isu-isu rasuah politik wang yang menggoncangkan kredebiliti UMNO yang amat sukar untuk dipulihkan, masalah AP dan kroni yang merosakkan imej Rafidah Aziz, Kehilangan Wang di Bank Islam yang sehingga kini masih tidak diberi penjelasan yang memuaskan dan apakah tindakan diambil terhadap penyangak yang menyebabkan berlakunya kehilangan wang RM700 juta dari Bank Islam itu. Bagaimanakah duit Tabung Haji mau diniagakan di Bursa Saham, pada hal tidak disetujui oleh majoriti Ahli Parlimen. Kerugian MAS berterusan, apakah tindakan komprehensif dan berkesan bagi mengembalikan Syarikat Penerbangan Negara kembali di atas landasan yang betul dan menguntungkan. Mengapa Proton merudum dan tidak berdaya maju, apakah plan tindakan yang boleh menyelamatkan Proton agar tidak ditutup. Sejauhmanakah keselamatan negara terkawal dengan kemasukan pendatang asing yang kini 50,000 daripada mereka menghilangkan diri. Penderitaan rakyat akibat dari kenaikan harga barang dan tambang berterusan. Islam Hadhari yang memecahbelahkan umat Islam. Di dalam konteks pilihanraya di Pengkalan Pasir isu ini disedari tidak laku di Kelantan, tetapi tersalah dijaja oleh pemimpin UMNO dari luar Kelantan. Bagaimana dengan pengangguran siswazah yang melebihi 100,000 orang. Latahnya Menteri Pengajian Tinggi membuat kenyataan tidak akan dibina lagi universiti, tetapi kerana kepentingan pilihanraya, Timbalan Perdana Menteri mengubah kenyataan, dengan membuat rasuah janji jika pengundi menyokong BN pada pilihanraya akan datang universiti akan didirikan di Kelantan. Begitulah polisi yang tidak berasaskan rangka pelan menyeluruh dan komprehensif boleh ditambah dan diubah secara serta merta. Masalah mutu universiti-universiti awam di Malaysia yang prestasi keseluruhannya makin menurun. Apakah dengan pengongkongan melampau dikenakan terhadap tenaga pengajar dan mahasiswa menjadi salah satu punca menurunnya prestasi universiti-universiti awam tersebut.
10. Kesimpulan
Bagi pilihan raya kecil, tetapi besar ertinya di Pengkalan Pasir yang akan berlangsung pada 6 Disember ini secara tiga penjuru memperlihatkan PAS cukup bersedia dan mantap di dalam menghadapi pilihanraya tersebut. PAS mampu menampilkan calon cukup berwibawa dan berpengalaman Haji Hanifa Ahmad, iaitu Bekas Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Iktisad negeri Kelantan sejak 2001 dan beliau Bekas ADUN PAS Kelantan dan EXCO (1978-1982). Beliau mampu berdepan dengan En. Hanafi Mamat seorang Cosultant Tanah dan Ukur yang pernah bertanding dua kali, pilihanraya pertama pada peringkat Parlimen di Pasir Mas (1990) tapi kalah kepada Datuk Paduka Ibrahim Ali dari Semangat 46 dan bertanding DUN Pengkalan Pasir (2004) dan masih kalah. Seorang lagi calon ialah Datuk Paduka Ibrahim Ali yang bertanding atas tiket Bebas. PAS mampu berdepan dengan cabaran-cabaran dan hujah yang dilemparkan kepada PAS dan dapat mematahkan hujah-hujah dengan baik terutama oleh Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz dan Saudara Husam Musa. Ungkapan PAS akan mempertahankan DUN Kelantan walaupun dengan setengah kerusi ! adalah ungkapan terbaik dan berestetik dalam kempen yang berlangsung. Tempelakan dari Timbalan Pengerusi SPR bahawa sesiapa yang meletakkan keahlian tanpa sebab tidak melayakkannya bertanding lima tahun berikutnya menjatuhkan moral UMNO, terutama Annuar Musa. Apa yang perlu diberi perhatian oleh PAS ialah mengawasi tipudaya pilihanraya BN dalam masa berlangsung pengundian. UMNO di dalam keadaan desparate mungkin bertindak bagi mencapai kemenangan sama ada `by hook or by crook !``.Di dalam hal ini saranan Sdr. Husam Musa bahawa pilihanraya ini perlu disertai pemerhati luar, NGO dan badan-badan bebas amatlah bertepatan. Kita berharap SPR, pakar-pakar strategi dan pekerja-pekerja pilihanraya PAS yang berpengalaman mampu mengawasi dan mengatasi sebarang salah laku yang mungkin berlaku dalam pilihanraya di Pengkalan Pasir. Sekian. Selamat mengundi. Terima kasih
No comments:
Post a Comment