December 31, 2007

PESURAT: Visi dan misi

Dengan dihadiri oleh seramai 15 orang peminat bidang penulisan, termasuk dari kalangan tenaga akademik, professional dan aktivis, maka secara rasmi pada 7 Zulhijjah 1426 bersamaan 7 Januari 2006 bertempat di Bandar Baru Bangi...

Pendahuluan

.. tertubuh sebuah badan persuratan yang dipersetujui diberi nama `PESURAT`` dan usaha melegalisekan badan ini diserahkan kepada jawatankuasa yang diamanahkan yang termasuk di dalamnya dari kalangan peguam.

PESURAT dari segi literari bermaksud ialah orang yang menyurat, orang yang menulis surat, penulis atau pengarang. PESURAT bagi badan yang ditubuhkan ini adalah akronim dari `Persatuan Persuratan Adab dan Tamadun`, iaitu badan persuratan yang bertaraf NGO yang bertujuan memupuk dan menyuburkan kegiatan yang menghasilkan persuratan di dalam bidang-bidang Adab dan Tamadun bagi kepentingan ummah dan manusia sejagat.

Istilah Persuratan

Istilah ini mempunyai akar dan tradisi yang kukuh dari segi intelektual dan peradaban. Istilah Persuratan di dalam bahasa Melayu adalah diambil dari istilah Islam. `Surat` adalah berasal dari al-Qur`an yang terdapat di dalamnya sebanyak 114 surah, di samping 10 tempat lagi disebut di dalam ayat-ayat al-Qur`an. Apabila Islam berkembang di Alam Melayu sejak abad ke 12 timbul keperluan kepada penulisan di dalam menyampaikan pengajarn Islam. Lantaran itu dipinjam huruf-huruf al-Qur`an yang kemudiannya dikenali sebagai huruf jawi bagi tulisan jawi. Ini terbukti sebagaimana terakam pada Batu Bersurat Terengganu bertarikh 1312M. itu. Ulama-ulama mengarang kitab-kitab dengan tulisan jawi. Untuk mengarang ini ulama menggunakan istilah `menyurat` bagi kitab-kitab mereka. Hasil penulisan atau karya-karya mereka adalah dikenali sebagai hasil persuratan. Surat yang berasal dari surah ini berhubung rapat dengan aktiviti membaca yang ditekan di dalam Islam dan suruhan membaca ini merupakan ayat al-Qur`an yang pertama (Iqra`) diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. dan berkait dengan aktiviti penulisan (`allama bil qalam). Daripada aktiviti membaca dari ayat-ayat baik bersifat tersurat dan tersirat menghasilkan keilmuan baik di dalam bidang Adab dan Tamadun yang dirakamkan di dalam persuratan yang mencirikan masyarakat berperadaban dan bersifat Madani. Penggunaan Istilah persuratan ini adalah lebih tepat dari istilah `sastera` yang lebih suka digunakan oleh para orientalis bila menulis dan memperkatakan hasil-hasil karya di dalam bahasa Melayu. Istilah sastera terdapat di dalam karya-karya yang berunsur Hindu seperti Mahabharata dan Ramayana yang selalu digandingkan dengan `ahlunujum`, iaitu `ahlunujum dan sasterawan` yang mencerminkan makna sastera pada peringkat awal ialah sesuatu yang bersifat khurafat, rekaan dan telahan. Sedangkan `Persuratan` sesuatu yang bersifat tersurat, ilmiah, terakam di dalam tulisan dan boleh ditelaah dan dipelajari. Pihak orientalis tidak gemar menggunakan istilah persuratan yang bersifat intelektual dan mempunyai akar tradisi yang kukuh dari perbendaharaan Islam. Mereka menggalakkan penggunaan istilah sastera (termasuklah di Indonesia). Sebab itu berlaku kekeliruan penggunaannya termasuklah pada pengajian tinggi. Misalnya terdapat fakulti yang dinamakan `Fakulti Sastera` yang kandungan pengajian lebih dari sastera contohnya ekonomi dan geografi, lantaran itu berlaku perubahan fakulti sastera kepada fakulti Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan atau dikenali dengan Fakulti Sains Sosial. Sastera lebih dikenali bagi bidang kesusasteraan dan kreatif. Oleh kerana persuratan mempunyai tradisi yang kukuh yang bersumberkan Islam dan mencerminkan tradisi ilmu dan intelektual, maka istilah persuratan dipilih bagi badan persuratan ini.

Jika digalurkan penggunaan istilah persuratan setelah digunakan oleh ulama-ulama di dalam kitab-kitab jawi mereka, istilah ini memang terus digunakan oleh beberapa penulis persuratan Melayu seperti Za`ba di dalam tulisan-tulisan beliau dan juga oleh Edrus terutama bagi bukunya yang berjudul `Persuratan Melayu` sebanyak dua jilid. Polimik dalam ASAS 50 yang memperjuangkan `Seni Untuk Masyarakat` juga berlaku yang menyebabkan satu kumpulan di Ketuai Hamzah keluar dari ASAS 50 dan menubuhkan `Persatuan Angkatan Persuratan Melayu Baru` pada 17.41954. Namun adalah diakui istilah `Persuratan` ini makin digerhanakan oleh penggunaan istilah sastera. Penulis pernah mengusaha bagi memperkenal dan memulih kembali istilah ini dengan membentang kertaskerja berjudul `Apakah Persuratan Islam`di dalam mesyuarat Agung GAPIM (Gabungan Penulis Islam Malaysia) pada akhir 1970an dan kertas ini diterbitkan di dalam Majalah Dakwah Mac 1980 seterusnya kertaskerja ini menjadi sebahagian daripada himpunan makalah yang diterbitkan di dalam sebuah buku berjudul `Pemikiran Islam Kini` yang diterbitkan oleh Yayasan Dakwah Islamiah (1983). Dengan idea yang sama penulis telah diamanahkan membentangkan kertaskerja Jabatan Persuratan Melayu UKM: `Imbasan Silam, Realiti Kini dan Masa Depan` bagi memperkukuhkan Jabatan Persuratan Melayu di dalam Seminar Fakulti Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan yang berlangsung dari 8 – 9 Oktober 1990 di UKM. Kertas ini bersama-sama kertas-kertas jabatan yang lain telah dikeluarkan di dalam bentuk buku yang berjudul `Seminar Meninjau Kembali Pencapaian FSKK`.

Istilah Persatuan, Adab dan Tamadun

Pada dasarnya `Persatuan` adalah penyatuan individu-individu yang meminati bidang persuratan di dalam satu badan yang dinamakan persuratan, tetapi tujuannya lebih luas dari itu. Ianya bermaksud melalui persatuan ini merupakan wadah bagi mendekatkan khalayak peminat persuratan mempelajari, memahami dan menghasilkan melalui disiplin dan kaedah keilmuan secara teratur bersifat halus dan seni serta intelektual. Mereka juga digabungkan bagi mengangkatkan martabat persuratan dan bahasa Melayu di persada tanahair dan antarabangsa serta menentang usaha-usaha melemahkannya.

Perlu ditekankan bahawa badan Persuratan ini bukanlah badan atau persatuan sastera yang semata-mata menumpukan kepada penulisan bersifat kreatif seperti menulis novel, cerpen, sajak dan drama dan kegiatan-kegiatan yang berhubung dengannya seperti mengadakan kursus penulisan, peraduan dan sebagainya sahaja, tetapi skop persuratan adalah lebih luas. Ini tercermin dari penjelasan bagi persuratan yang menekankan bidang Adab dan Tamadun.

Istilah Adab adalah berasal dari bahasa Arab yang bermaksud kelakuan, nilai, tatasusila, aturan, akhlak, etika, sopan santun, budi pekerti dan budi bahasa, tetapi dari segi pengertian khusus yang di dalam bahasa Arab disebut `al-Adabiyy`, ianya merujuk kepada keilmuan yang berhubung dengan kehalusan rasa dan jiwa (hati dan jiwa) yang termasuk di bawahnya bidang sastera, kesenian dan kemanusiaan Lebih dari itu adab adalah merujuk kepada istilah yang berhubung dengan peradaban, iaitu merujuk kepada pencapaian dan kemajuan kelompok, bangsa, umat atau manusia kepada tahap yang mencirikan mereka sebagai `berperadaban`. Misalnya mencapai kremajuan dari segi keilmuan, keagamaan, pendidikan, kesusasteraan, politik, perundangan, kesenian, kepustakaan, kesukanan, kemanusiaan dan keinsanan yang mencerminkan ketinggian hatibudi dan nurani kelompok, bangsa, umat atau manusia sejagat. Mereka adalah `Berperadaban`.

Manakala `Tamadun` adalah merujuk lebih kepada kemajuan tampak yang dihasilkan oleh kemajuan manusia yang hidup di dalam negera kota - `Madani`. Kemajuan yang dicapai termasuklah di dalam bidang-bidang sains, teknologi, ekonomi, komunikasi, architecture, landscaping, perindustrian, perubatan, pertanian, angkasa lepas dan sebagainya. Pendeknya ruanglingkup PESURAT adalah begitu luas, ianya merangkumi semua bidang peradaban dan tamadun yang meningkatkan kedudukan manusia. Namun di dalam kegiatannya, PESURAT memilih bidang-bidang yang releven yang sesuai dengan keadaan semasa dan kepentingan umat dan bangsa. Misalnya bagi bidang Adab diberi penekanan terhadap Islam sebagai nilai yang menyeluruh, pendidikan, bahasa dan kesusasteraan, politik, perundangan dan kesenian, manakala bagi bidang Tamadun akan menekankan dari segi sains, ekonomi dan komunikasi. Walau bagaimana bidang-bidang yang lain diberi perhatian bila diperlukan.

Mengapa PESURAT ditubuhkan

PESURAT sebagai pertubuhan NGO berhasrat mau sama mengambil bahagian yang aktif di dalam membina peradaban dan tamadun bangsa dan umat melalui bidang-bidang yang diceburinya dan dalam masa yang sama turut serta membuat cadangan memperbaiki kelemahan, mengkritik kesalahan-kesalahan dan memberi cadangan-cadangan. Banyak perkara yang mendorong kepada penubuhan PESURAT sesuai dengan banyaknya bidang yang dirangkuminya.

a) PESURAT kecewa terhadap kecelaruan di dalam bidang pendidikan. Dasar bahasa diubah sewenang-wenang, teguran dari berbagai pihak dikesampingkan. Pada peringkat pengajian tinggi pula dasar dan perancangan dipersoalkan. Sebuah universiti boleh saja diluluskan laksana `mee segera` atas kehendak dan kepentingan politik., bukan atas keperluan, perancangan dan kajian yang teliti. Campurtangan politik pemerintah amat ketara ke atas universiti, kakitangan akademik dan pelajar. Mereka amat terkongkong, lantaran itu mutu universiti-universiti merudum. PESURAT berharap dan berusaha sama agar maruah bahasa dan mutu pendidikan Negara mendapat pembelaan dan peningkatan.

b) Oleh kerana perlaksanaan dasar bahasa yang tidak jelas dan tegas, banyak institusi-institusi yang berhubung dengan bahasa dan sastera menjadi lumpuh dan tak bermaya. Dewan Bahasa dan Pustaka yang menjadi ubur dan tonggak perjuangan bahasa dan sastera kehilangan wibawa. Tidak berani menyuarakan tentangan terhadap pencabulan dasar bahasa. Insentif terhadap pengkarya-pengkarya melalui berbagai peraduan dan penilaian sudah tidak ada. DBP kelihatan seperti badan yang menurut perintah mengeluarkan buku-buku teks. Walaupun ada usaha terbaru kononnya mau memulihkan DBP, kita ragu dengan kepimpinan yang dikenali selama ini amat bias terhadap kerajaan itu mampu menjuarai perubahan. Kekecewaan terhadap dasar bahasa, kelumpuhan DBP dan tiadanya insentif kepada mereka yang bergiat di dalam bidang penulisan menyebabkan semua badan-badan penulis seperti GAPENA, PENA dan persatuan-persatuan penulis negeri lumpuh. PESURAT berpendapat usaha menyemarakkan kegiatan bahasa dan sastera hendaklah kembali dilakukan secara sungguh-sungguh dengan kerjasama berbagai pihak yang prehatin terhadap bahasa dan sastera..Maruah bahasa dan sastera Melayu perlu diperkukuh dan berwibawa.

c) PESURAT bersama badan-badan prehatin dan NGO-NGO sama berusaha memulihkan demokrasi di Negara ini baik dari segi kebebasan bersuara, kebebasan mengeluarkan pendapat, ketelusan pilihanraya dan belenggu berbagai-bagai akta yang membantutkan perjalanan demokrasi.dan meletakkan Negara pada ranking yang tidak menyenangkan. Kempen kesedaran demokrasi hendaklah dilakukan secara berterusan agar demokrasi benar-benar diamalkan.

d) PESURAT berharap dan sama berusaha agar Negara bersih dari gejala rasuah baik di kalangan institusi politik dan ahli-ahli, pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan, di kalangan swasta dan masyarakat awam.

e) PESURAT berharap agar dapat dipastikan tiada berlakunya penyalahgunaan kuasa, penggunaan dan monopoli media dan kemudahan kerajaan bagi kepentingan politik, badan-badan tertentu dan orang-orang perseorangan.

f) PESURAT prehatin dan berusaha mempertahankan kesucian Islam dan kewibawaan undang-undangnya dari diexploitasi dan dipertikai oleh pihak yang tidak jujur dan tidak menyenanginya serta berkepentingan.

g) PESURAT risau dan turut sama prehatin di atas gejala moral dan keruntuhan akhlak yang berlaku, khususnya di kalangan muda mudi dan tindakan memperbaiki dan memulihnya perlu dilakukan.

h) PESURAT turut sama bimbang di atas usaha-usaha pihak luar mengaitkan Islam dengan gejala militen dengan tujuan merosakkan Islam. Pengaruh dan pandangan serong terhadap apa yang berhubung dengan Islam terbawa-bawa sama di dalam Negara. Pandangan serong ini hendaklah dibersih dan dihapuskan. Imej Islam hendaklah dipertahankan.

i) PESURAT adalah prehatin dan sama membela kepentingan awam agar tidak berlaku sewenang-wenang pencemaran alam, penggondolan muka bumi tanpa perancangan rapi hingga menggugat harmoninya kehidupan.

j) PESURAT akan bersama-sama dengan mana-mana pihak mempertahankan dan membela kepentingan agama, bahasa, bangsa, tanahair dan umat dari anasir-anasir dan gejala-gejala yang mau merosakkannya.

Merealisasikan Visi & Misi

Bagi menangani dan merealisasikan hasrat yang terkandung di dalam bidang Adab dan Tamadun serta memperbaiki kelemahan-kelemahan sistem demokrasi, pemerintahan, pentadbiran, institusi-institusi kerajaan, swasta dan awam yang bercanggah dengan Peradaban dan Ketamadunan, maka usaha-usaha berikut dilakukan.

a) Menghimpun intelektual setempat di dalam PESURAT dan kepakaran mereka dimanfaatkan bagi memberi kefahaman dan jurucakap di dalam bidang masing-masing bagi memartabatkan Negara dan Umat di dalam bidang-bidang PESURAT.

b) Mendukung perjuangan mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi Negara dan bahasa ilmiah yang setaraf dengan bahasa-bahasa terkenal di dunia.

c) Menganjurkan kegiatan-kegiatan ilmiah seperti mengadakan wacana keilmuan seperti kursus, seminar, bengkel, kolokium, diskusi buku dan kuliah dalam bidang-bidang Adab dan Tamadun kepada ahli dan peminat-peminat.

d) Melahirkan kelompok ilmuan, pemikir, pujangga, sasterawan dan penulis yang membawa identiti PESURAT.

e) Mengadakan kursus-kursus dan bengkel-bengkel penulisan, teori persuratan, teori sastera Islam, kursus bahasa, IT dan komunikasi.

f) Berjuang menegakkan nilai keislaman, demokrasi, keadilan, keinsanan dan kemanusiaan sejagat melalui keilmuan dan persuratan.

g) Menerbitkan buku, antologi, majalah, risalah yang dihasilkan oleh ahli-ahli dan hasil-hasil dari kegiatan-kegiatan yang diadakan oleh PESURAT.

h) Mengadakan pertandingan, sayembara dan penilaian terhadap karya-karya dengan diberi penghargaan dan hadiah.

i) Bekerjasama dengan badan-badan persuratan dan NGO dalam dan luar Negara selama tidak bercanggah dengan perlembagaan dan kepentingan PESURAT.

j) Menjadikan PESURAT badan yang berwibawa dan dihormati dan memartabatkan PESURAT di arena antarabangsa dan global.

Cabaran PESURAT

Begitu jauh dan tingginya visi dan misi PESURAT, hasrat yang begitu besar tentulah tidak mudah untuk dilaksana dan dijayakan. Banyak tuntutan dan pengorbanan yang diperlukan dan tentu pula banyak halangan dan ujian yang terpaksa dilalui dan ditempuhi.

Prasyarat yang paling penting PESURAT memerlukan satu kumpulan pimpinan yang berwibawa dan berkemampuan dari segi intelektual dan kepimpinan bagi mengendalikan PESURAT yang sarat dengan visi dan misi. Di atas keyakinan bahawa PESURAT adalah satu badan yang mendukung cita-cita murni dan ianya lahir di tengah-tengah wilayah ilmu yang dikelilingi oleh universiti-universiti dan berbagai-bagai institusi pendidikan dan latihan yang begitu ramai dengan ilmuan dan pakar yang masih berkhidmat dan setengah dari mereka telah bersara, maka PESURAT berharap dapat menarik kalangan ilmuan dan cendikiawan tempatan ini menyertai PESURAT memimpin dan membinanya sehingga menjadi badan yang berwibawa. Jika pun mereka tidak mau melibatkan diri menjadi ahli yang aktif, PESURAT berharap mereka tidak berkeberatan untuk bekerjasama menyampaikan idea, buah fikiran dan mengambil bahagian di dalam kegiatan-kegiatan yang dianjur oleh PESURAT seperti seminar, bengkel dan berbagai-bagai wacana ilmiah yang lain.

Keperluan yang lain PESURAT perlu menonjolkan kewibawaannya di dalam membicarakan persoalan-persoalan yang berhubungan dengan bidang-bidang Adab, Tamadun dan persoalan-persoalan semasa. Kiranya ini dapat dilakukan dan dapat menarik perhatian masyarakat dan kekal mempertahankan mutunya, maka PESURAT akan mendapat kepercayaan masyarakat dan dokongan mereka. Dari segi kepercayaan masyarakat ini PESURAT juga perlu menonjolkan karya-karya ilmiah dan bidang kreatif yang bermutu, sama ada melalui pertandingan dan sayembara dan hasil-hasil dari kegiatan PESURAT sendiri. Kiranya ini dapat dilakukan ianya bukan saja diyakini di kalangan pendukung dan penyokong di tanahair, tetapi juga pada peringkat internasional dan global.

Halangan yang biasa dihadapi oleh badan-badan yang bertaraf NGO, ialah kewangan. PESURAT tidak akan dapat bergerak secara cergas dan lebih jauh, jika sekiranya bergantung pada yuran dari ahli sahaja. Pimpinan bagi PESURAT perlu memikirkan secara kreatif untuk mendapat sumber kewangan seperti menjual hasil-hasil penerbitan yang bermutu, mendapat tajaan dari institusi-institusi yang menyokong PESURAT, mendapat sponsorship dari pihak-pihak tertentu terhadap pertandingan dan sayembara yang diadakan oleh PESURAT. Lebih dari itu PESURAT perlu memikirkan kemungkinan mewujudkan yayasan bagi PESURAT itu sendiri. Walau apa pun ini semua banyak bergantung kepada kebijaksanaan dan kewibawaan kepimpinan PESURAT.

Penutup

PESURAT lahir dari kesedaran betapa dasar dan arah pendidikan Negara perlu diperbetulkan, demokrasi semakin terhakis, nilai dan hak asasi manusia makin tergugat dan tiada ketelusan dan keterbukaan di dalam amalan dan perjalanan politik tanahair. Hasrat PESURAT dan keterlibatannya di dalam berbagai-bagai bidang di bawah Adab dan Tamadun, tidak lain dari ingin melihat semua kepincangan diperbetulkan. Biarlah Negara kita dikenali dan dihormati sebagai Negara yang telus di dalam perjalanan demokrasi, tidak diganggui berbagai-bagai akta yang mengikat kebebasan, menghormati hak asasi manusia, rakyat bebas mengungkap pandangan dan menghasilkan penulisan di dalam Negara yang seharusnya bertambah maju dan rakyat semakin makmur.

Sekian.

Bangi,
20 Zulhijah 1426
20 Januari 2006.

No comments:

Post a Comment