December 31, 2007

Setelah 30 tahun dihuni, BBB kehilangan visi?

Pendahuluan

Melangkah ke tahun 2007, genap tiga puluh tahun Bandar Baru Bangi (BBB) dihuni. Wujudnya BBB mempunyai pertalian yang rapat dengan pemilihan tapak tetap Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Penubuhan UKM pada 18 Mei 1970 bermula dengan meminjam tapak sementara, iaitu di Maktab Perguruan di Lembah Pantai, tidak jauh dari kampus Universiti Malaya (UM).

Sejak penubuhan UKM pihak Pentadbir Universiti yang puncaknya diketuai Canselor Pertamanya Tun Haji Abdul Razak bin Hussein yang juga sebagai Perdana Menteri Malaysia Kedua dan pegawai-pegawainya di bawah pimpinan Naib Canselor Pertama Tan Sri Profesor Dr Rashdan Baba dan Pendaftar Pertamanya Tan Sri Abdullah Salleh dan rakyat mencari dan menerima cadangan tapak yang sesuai bagi UKM.

Shah Alam yang baru dibuka sebagai ganti Kuala Lumpur bagi Ibu Negeri Selangor, Kuala Kubu Baru, Kem Trendak Melaka, Kuantan dan beberapa kerajaan negeri lain antara yang menawarkan tapak-tapak cadangan, tetapi akhirnya, dipersetujui pemilihan seharusnya satu lokasi yang mesti berada di dalam radius 20 batu dari Kuala Lumpur agar UKM tidak terganggu dari kemudahan tenaga pengajar, komunikasi, pendedahan kepada dunia luar dan prasarana.

Lokasi dikenalpasti (2001) dan dipersetujui adalah kawasan baru 18 batu dari Kuala Lumpur – bertempat pertengahan di antara Bangi (8km.) dan Kajang (8km.) sebagai kampus tetap UKM dan kemudian kampus cawangan perubatan di Cheras. Oleh kerana tapak ini kawasan hutan dara (seluas 2,709.2 ekar) dan jauh dari kawasan kediaman yang sesuai, maka difikirkan perlu diwujudkan satu Bandar Baru yang menjadi pemangkin kepada kemajuan UKM.

Lokasi yang dikenalpasti (2003) ialah kawasan ladang kelapa sawit dan getah West Country terletak berhadapan dengan UKM bersempadankan Sungai Langat. Berikutan dengan pembinaan kampus UKM (2003), pembinaan Bandar Baru ini berlaku pada (1975).

Agensi yang dipertanggungjawab bagi membina Bandar Baru ini ialah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang membuka pejabat khas dan beroperasi dari Taman Mesra, Kajang. Pilihan nama BBB sudah tentulah sempena nama Bangi (Lama), iaitu sebuah pekan kecil terkeselatan Selangor – juga tidak jauh dari Pekan Semenyih (8km.).

Bagi kemudahan perhubungan, lebuhraya Kuala Lumpur – Seremban (kemudian ditingkatkan kepada Utara – Selatan – PLUS) yang baru dalam pembinaan dan pada mulanya, laluannya agak jauh dari kawasan UKM-Bangi diubahsuai dan sengaja dilencongkan sehingga lebuhraya ini melalui sedikit di atas tanah UKM.

Lebuh raya ini dikehendaki siap, walaupun tidak sampai ke Seremban sekurang-kurangnya sampai kepada lencongan ke UKM sebaik Kampus UKM dibuka dan BBB dihuni. (Wawancara dengan Sdr. Omar Jaafar – Bekas Pegawai Tadbir UKM, 17.2.2007).

Perpindahan

Berdasarkan catatan diari penulis sebagai antara pelajar sulung UKM (198 orang) dan bila berpindah ke BBB sudah merupakan tenaga pengajar di UKM, perpindahan UKM dari Kampus Jalan Pantai, Kuala Lumpur ke Kampus Bangi berlaku secara berperingkat mulai dari awal Oktober 1977.

Menurut Sdr. Omar Jaafar, ia merupakan perpindahan besar-besaran yang menggunakan fleet trailer-trailer. Setiap trailer yang bertolak diiringi kenderaan pengawal-pengawal kerana bimbang berlaku `hijack` atau penyelewengan terhadap barang-barang dipindahkan yang mahal dan berharga.

Semasa perpindahan UKM, BBB yang pembinaannya bermula dari 1975 hampir siap dihuni. Pada peringkat permulaan pembinaan BBB hanya sebahagian dari satu fasa (Seksyen Satu) yang luasnya sekitar 10 hektar yang terbina di atasnya 40 buah rumah berkembar di pinggir Bukit Bangi, menuruni pinggir bukit ini ke selatan dua baris rumah teres dua tingkat (28 buah) dan dikawasan rata sebanyak 50 buah rumah teres setingkat. Di sini terdapat empat unit kedai setingkat.

Walau bagaimanapun pada peringkat permulaan rumah di BBB yang ditawarkan kepada kakitangan dan pekerja-pekerja UKM, tidak ramai yang berminat untuk membeli rumah di sini, walaupun harga yang ditawarkan adalah murah. Rumah berkembar yang setiap unit dari dua buah mempunyai keluasan tanah antaranya suku ekar hanya RM70,000 ! Rumah teres dua tingkat RM37,000, rumah teres setingkat RM24,000 (3 bilik) dan RM13,000 (dua bilik).

Alasan bagi mereka yang tak mau membelinya kerana jauh di tempat `Jin Bertendang`, tak ada kemudahan dan berbagai alasan lagi. Bagi mereka lebih selesa berulang alik dari PJ atau Damansara atau membeli rumah di sekitar Kajang.

Setelah kampus berpindah ke Bangi dan dalam masa lebih kurang sebulan berulang alik dari Kuala Lumpur, bagi segelintir yang membeli rumah di BBB mereka sudah datang menjenguk dan membersih kawasan rumah masing-masing pada petang hari bekerja atau datang pada hari minggu.

Perpindahan sebenarnya berdasarkan diari penulis hanya dapat dilakukan setelah pihak PKNS menyerahkan kunci rumah kepada pembeli-pembeli pada Rabu 30 November 1977. Setelah membersih dan melengkapkan peralatan perlu penulis sendiri berpindah sekeluarga di rumah teres dua tingkat pada Sabtu 3 Disember 1977. Jumlah mereka yang berpindah pada peringkat permulaan ini tidak sampai 10 orang.

Memang pada peringkat permulaan tidak ada kemudahan. Bahkan rumah belum ada elektrik, hanya ada air. Beberapa malam sebelum elektrik disambung terpaksa menggunakan lilin. Semua keperluan barang terpaksa dibeli di Kajang – belum ada kedai di buka, dan untuk ke Kajang belum ada jalan terus ke UKM seperti sekarang ini, kerana jambatan masih dalam pembinaan. Untuk keluar ke Kajang dan juga ke UKM terpaksa melalui jalan tanah merah estate kelapa sawit-getah melalui jambatan kayu yang uzur di perkampungan pekerja estate (West Country) dan keluar ke jalan raya ke Kajang atau ke UKM. Anak-anak terpaksa dihantar bersekolah di Kajang.

Visi BBB

Bersama dengan pengumuman yang dibuat oleh Tun Razak terhadap UKM, Tun Razak juga berharap bahawa BBB bukan setakat menjadi pemangkin bagi perkembangan UKM, tetapi akan menjadi Bandar Akademik (Ilmu), Bandar Pentadbiran ulung yang menjadi gerbang anjung selatan Selangor dan berkedudukan kedua penting selepas Shah Alam.

Sememangnya selepas penerokaan penghuni-penghuni sulung BBB, dari segi fizikalnya Bandar ini berkembang secara agak perlahan, sehingga 1980 pertambahan perumahan hanya terhad kepada seksyen satu sahaja, selepas itu barulah dibuka seksyen dua termasuklah pembukaan sebuah sekolah rendah diikuti kemudiannya sebuah sekolah menengah.

Buat beberapa lama penghuni BBB menumpang sembahyang Jumaat diruang masuk bangunan Pentadbiran UKM, berpindah ke ruang legar FSKK dan kemudian di tepi Perpustakaan Tun Sri Lanang, sebelum Masjid UKM didirikan yang juga menjadi masjid tumpangan penduduk BBB. Bagi penduduk untuk bersembahyang berjamaah diwujudkan sebuah surau yang menggunakan satu unit rumah berkembar PKNS yang dikenali sebagai Surau Al-Umm (Induk).

Dekad 1980an hingga dekad 1990an adalah dekad-dekad berkembang pesatnya dari segi fizikal BBB dengan fasa-fasa dua, tiga, empat, lima (West Country – sedia ada), enam dan enam belas dibuka dengan penghuninya makin bertambah.

Sebuah pejabat Daerah bagi Hulu Langat dibina di BBB, Pejabat polis yang asalnya beroperasi dari sebuah kedai di Seksyen satu mempunyai bangunannya sendiri bersebelahan dengan bangunan Bomba BBB, kilang-kilang perusahaan, kedai dan pasar dibina. Turut didirikan berpuluh pusat latihan, antaranya seperti Institut Perguruan Islam, PORIM, Latihan Bank-bank, pos, Ilim, Petronas, TNB yang juga mendirikan universiti di sini yang dikenali dengan UNITEN. Hingga akhir dekad 1990an terdapat lebih kurang 50,000 orang penduduk.

Kerancakan perkembangan BBB berterusan, lebih-lebih lagi selepas Putrajaya dibuka (2001), kerana BBB sebagai lokasi strategik bagi kediaman baik untuk ke Putrajaya, Kuala Lumpur atau Seremban. Kini terdapat 20 seksyen BBB yang penduduknya berjumlah 80,000 orang. Cawangan Universiti Kuala Lumpur dan Kuala Lumpur Infrastruktur Universiti Kolej (KLIUC) juga turut didirikan, di samping bertambahnya sekolah-sekolah pada peringkat rendah dan menengah dan sekolah agama.

Turut berkembang di BBB pusat-pusat komersil, Klinik Kesihatan dan klinik-klinik swasta, pasar-pasar malam dan pasar tani, di samping adanya kompleks sukan dan taman-taman rekreasi. Beberapa bank mendirikan cawangan di BBB seperti CIMB, Bank Islam, Maybank, AMbank dan Muamalat.

PKNS juga mendirikan bangunan tetapnya di Seksyen 9 BBB. Kini kawasan BBB yang seluas lebihkurang 100 km. persegi itu sudah padat dengan pembangunan. Yang tinggal hanya 2% saja masih belum digunakan. Sesungguhnya BBB terlakar dalam sejarah dan peta negeri Selangor sebagai sebuah Bandar didiri bagi keperluan universiti, tetapi apakah objektif dan visi awal BBB terlaksana ?

Kesedaran kemasyarakatan dan agama

Sesungguhnya sejak awal BBB dibangunkan, wujud kesedaran kemasyarakatan dan keagamaan di kalangan penduduk. Persatuan Penduduk (PPBBB) ditubuhkan sejak awal BBB dihuni dan hidup hingga kini.

Beberapa orang YDP bersilih ganti memimpin persatuan seperti Tuan Haji Omar Jaafar, Haji Salleh Kassim, Haji Banhawi Mohamad dan Dr. Hj.Tajul Ariffin Noordin. Turut lahir persatuan-persatuan kawasan yang berindukkan PPBBB. Usaha mewujudkan syarikat kerjasama berlaku sejak awal ditubuhkan `Kedai Kita` yang kemudian melalui PPBBB melahirkan sebuah koperasi yang dikenali sebagai Ko-Bangi.

Satu yang menonjol di BBB ialah wujudnya kesedaran Keislaman yang tinggi di tengah masyarakat BBB yang 95% dari penduduknya beragama Islam. Walaupun hampir 25 tahun BBB dihuni Kerajaan Negeri tidak mendirikan masjid, tetapi dengan kesedaran Islam yang tinggi setiap seksyen yang dibuka, walaupun kerajaan negeri tidak menggalakkan pembinaan surau, tetapi penduduk secara bermuafakat mendirikan surau setempat, bahkan terdapat lebih dari sebuah surau (3 buah) bagi satu seksyen. Lantaran itu bagi 20 seksyen di BBB terdapat 26 surau (Taman Melur dan Intan dikira di dalam BBB).

Beberapa surau ditingkatkan dengan didirikan sembahyang Jumaat. Hanya dua buah masjid baru didirikan oleh Kerajaan Negeri, iaitu Masjid al-Hasanah (2001), kemudian diikuti masjid Teras Jernang (2004). Mungkin tidak ada Bandar lain yang seluas 100 km. persegi mempunyai surau sebanyak BBB. Lantaran itu setiap masuknya waktu azan berkumandang suara azan bersahut-sahutan dari surau ke surau menyeru umatnya mendirikan salat.

Manakala hampir tiap surau mengadakan pengajian agama antara waktu maghrib dan Isyak dan pada hari Sabtu dan Ahad wujudnya kelas-kelas agama dan bimbingan di berbagai-bagai surau berkenaan. Bahkan surau-surau, di samping persatuan, menjadi pusat permuafakatan dan kegiatan kemasyarakatan. Dari kesedaran tinggi terhadap agama PPBBB dan Persatuan Surau-Surau yang saling bekerjasama rapat menggariskan hasrat agar BBB menjadi Bandar Melayu-Islam yang sejahtera dihuni.

Sambutan 30 tahun usia BBB

Pada 21 Januari 2007 baru-baru ini PPBBB melancarakan perasmian sambutan 30 tahun BBB. Sambutan bertujuan merapatkan masyarakat, bermuhasabah dan menilai objektif dan visi yang dihasratkan bagi BBB. Sambutan yang berterusan ke akhir tahun (2007) antaranya diisi dengan pelancaran Majlis Sambutan 30 Tahun BBB, Pameran, Perkesahan Sejarah BBB, Forum, Persidangan, Motivasi pelajar, Program Belia dan Sukan, Karnival, Hari Kesihatan, Pelancaran Buku Info-Bangi, Tadarrus dari Surau ke Surau dan lain-lain. Program-program ini berjalan mengikut jadual dan tarikh-tarikh yang diatur. Jawatankuasa dipertanggungjawab sedang giat melengkapkan program-program berkenaan.

Menilai visi dihasrat BBB

Sekurang-kurangnya ada 3 perkara dihasratkan bagi BBB sebagaimana dilahirkan oleh pucuk pimpinan dan PPBBB, iaitu BBB sebagai Bandar Pentadbiran, Bandar Akademik, Bandar Melayu-Islam yang Sejahtera Dihuni (PPBBB). Sejauhmanakah objektif ini terlaksana ?.

Apa yang nyata tiada kesedaran dan tindakan nyata dari pihak berkuasa dan pentadbir untuk meletakkan matlamat dan motto yang menggerakkan usaha ke arah perlaksanaan. Tujuan menjadikan BBB Bandar pentadbiran bagi Hulu Langat adalah bersifat sekerat jalan atau melepaskan batuk di tangga.

Setakat ini penanda bagi BBB sebagai pusat tadbiran hanya dengan adanya Pejabat Daerah Hulu Langat di BBB. Pejabat ini didirikan oleh pihak pemaju swasta sebagai ganti pertukaran tanah komersil di Kajang kepada pihak pemaju hartanah (Metro Kajang) termasuk tapak Pejabat Daerah Lama di Kajang.

Yang turut berpindah ke BBB ialah TNB, itupun kerana tapak dan bangunan TNB Hulu Langat di Kajang terlampau kecil dan lama, maka bangunan barunya didirikan di BBB. Manakala jabatan yang lain hanya untuk BBB contoh PKNS, Polis, Bomba dan klinik. Lantaran itu BBB tidak boleh dikatakan Bandar pentadbiran bagi Hulu Langat dalam erti kata sebenarnya.

Sungguhpun BBB didirikan sebagai pemangkin bagi UKM dan turut didirikan di sini berikutnya UNITEN, Universiti Kuala Lumpur, KLIUC, Institut Perguruan Islam dan berpuluh-puluh institusi penyelidikan, juga berdekatan dengan UPM, Universiti Multimedia, Universiti Sain Islam Malaysia, nampaknya pihak perancang dan pentadbir kehilangan visi menjadikan BBB sebagai Bandar Akademik.

Tiada usaha menonjolkan imej ini ke peringkat nasional dan antarabangsa. Tiada kedapatan di sini bangunan untuk konvensyen, kedai-kedai buku bertaraf universiti, galeri seni, muzium, persatuan penulis dan intelektual yang dihormati, bahkan tiada terpancar dari sini perbincangan-perbincangan ilmiah yang mencerminkan aliran-aliran pemikiran dan dapatan tertentu yang menjadikannya sebagai identiti BBB atau `Oxford BBB`.

Adanya lebih kurang 500 profesor di sini sebagai tempat tinggal mencari makan, bukan menjadikannya tanah subur bagi perkembangan ilmu pengetahuan. UKM sendiri bersifat `kacang lupakan kulit` terhadap BBB. Tiada apa sumbangan UKM terhadap BBB baik dari segi idea, kemasyarakatan, kebajikan, bahkan sukan. Yang dilihat penghuni di sini sebagai tenaga pekerja sebelum mereka bersara.

Hanya apa yang dapat dibanggakan, dan ianya bukan objektif dari pihak pengasas dan pentadbiran, bahawa BBB dibina masyarakat bersama sebagai `Bandar Melayu-Islam Yang Sejahtera Dihuni`.

Ini terbukti dari bercambahnya surau-surau hingga berjumlah 26 buah. Surau-surau ini membekalkan pengajaran berterusan kepada ahli qaryah setempat. Guru-guru luaran dijemput menyampaikan kuliah dan tarbiah. Anak-anak selepas persekolahan dihantar ke pendidikan-pendidikan agama, pengajian tahfiz, agama dan membaca al-Qur`an.

Penduduk bersepakat dan bermuafakat melalui surau dan persatuan menyambut raya dan hari-hari kebesaran. Namun BBB sebagai Bandar Sejahtera Dihuni` dari segi fizikal adalah ketinggalan. Bandar ini tidak menjadi Bandar taman sebagaimana dihajatkan. BBB adalah Bandar bertaraf kelas tiga berbanding dengan Shah Alam, Subang dan jauh kedudukan berbanding dengan Putrajaya.

Jalan-jalan di sini berlopak berlubang, sampah sarat tidak diangkat dengan sempurna, longkang parit sering tersumbat, denggi sering terjadi. Di BBB kehijauan yang diharap sedap mata memandang telah dikorbankan. Bukit Bangi yang asalnya untuk kawasan hijau dijadikan kawasan perumahan elit, kawasan hijau untuk rekreasi diteroka untuk perumahan `Council Homes`, kawasan kelapa sawit yang diharap menjadi `green belt` antara kawasan perumahan dengan kilang habis menghilang. Kawasan hijau di tepi Tasik Cempaka dinoda menjadi kawasan perumahan. Demikianlah gara-gara ruang makin berkurang.

Kita berharap masih ada kesedaran berputik di minda pihak berkuasa, pentadbir dan mereka yang berkenaan untuk mengangkatkan BBB terutama sebagai `Bandar Akademik` dan `Bandar Sejahtera Dihuni`. Sesungguhnya di sana masih ada ruang dan peluang dibaiki. Marilah dengan penuh kesedaran bersama-sama kita majukan BBB.

Bangi,
3 Safar 1428
21 Februari 2007.

No comments:

Post a Comment