Pengumuman Menteri Kerjaraya Dato' Seri S Samy Vellu pada Khamis 14 Disember 2006, bahawa kadar tol akan dinaikkan mulai 1 Januari 2007, bagi lima lebuhraya di Lembah Kelang menjadikan rakyat semakin tertekan, perit dan derita menghadapi penghidupan.
Lebuh-lebuh raya dinaikkan tol mulai awal Januari lepas ialah Lebuhraya Cheras - Kajang, Damansara - Puchong (LDP), Shah Alam, Kuala Lumpur - Karak dan Koridor Guthrie.
Kadar kenaikan adalah tinggi, iaitu antara 30 sen hingga RM1. Bagi pengguna lebuhraya menggunakan kereta Cheras - Kajang bertambah dari 70 sen ke RM 1 di Batu 9 dan dari 60 sen kepada 90 sen di Batu 11.
Kadar baru yang dikenakan di lebuhraya yang lain, di LDP ialah RM1.60 (lama RM1.00), Shah Alam RM2.20 (RM1.50), KL - Karak RM5.00 (RM4.00), Karak Bentung RM3.00 (RM2.50) dan Koridor Guthrie RM1.40 (RM1.00).
Kadar kenaikan ini dijangka berterusan hingga 2011, kecuali LDP 2010 dan Cheras - Kajang 2012.
Kenaikan-kenaikan lain ialah pada 2008, iaitu apabila tol disemak kembali yang melibatkan lebuh-lebuhraya Ampang, Utara - Selatan, Kulim - Butterworth dan Seremban - Port Dickson.
Hujah Klisye
Sebagaimana biasa, setiap kali kenaikan tol, kerajaan akan membawa hujah tawar dan klisye serta sebelah pihak (kerajaan) bahawa tol perlu dinaikkan berdasarkan ikatan perjanjian antara kerajaan dengan pihak pemegang konsesi lebuhraya, rakyat yang mau menggunakan lebuhraya secara selesa perlu tanggung kos yang lebih, kenaikan tol tidak dapat dielakkan, rakyat perlu sama tanggung beban tol, dalam keadaan tol naik Kerajaan masih menanggung subsidi sebanyak RM2.589 bilion dan tol di Malaysia masih tetap terendah dari tol di Negara-negara lain di dunia ! Itulah antara ungkapan dan rintihan pihak Kerajaan kepada rakyat..
Bagaimana Dengan Rakyat?
Bagaimana dengan rakyat? Tiada di dalam agenda perkiraan dan tiada kontrek dan ikatan konsesi antara Kerajaan dan rakyat !
Bagi pekerja yang bekerja dan berulang alik melibatkan lebuh-lebuhraya yang dinaikkan tol terpaksa mengeluarkan tambahan bajet bulanan yang menghakiskan pendapatan, bagi peniaga-peniaga yang menggunakan lebuhraya berkenaan tentulah berkira-kira menambahkan harga barangan bagi memindahkan beban kepada pengguna.
Semua kenaikan dan perkhidmatan akhirnya terbeban kepada pengguna.
Masalahnya rakyat, khususnya di Lembah Kelang bukan saja terbeban dengan kenaikan tol berkenaan, tetapi bertimpa-timpa dengan kenaikan bertubi-tubi dari harga minyak, gas, letrik, air dan cukai-cukai taksiran.
Hidup rakyat bawahan dan sederhana amat tertekan. Permintaan Kerajaan dari rakyat sewajarnya tidak lebih dari kemampuan rakyat.
Apa yang diharap rakyat yang wajar dilakukan kerajaan misalnya apabila harga minyak turun ke bawah daripada US60 dolar satu tong, harga minyak di Malaysia seharusnya turut sama turun, namun Kerajaan tidak turut menurunkan harga minyak dengan berbagai helah dan alasan sebagaimana helah semasa menaikkan harga minyak.
Yang teruk dan menderita hanya rakyat jelata. Pengurangan cukai jalan yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak pada 30 Disember 2006 lepas sekadar untuk meredakan kemarahan rakyat.
Cukai yang dikurangkan untuk kenderaan di bawah 1600 CC ini hanya RM10 hingga ke bawah RM100 sahaja.
Pengurangan ini cuma dinikmati sekali setahun, sedangkan beban tol setiap hari. Jumlah RM100/= cuma mampu menampung bayaran tol kadar seminggu sahaja.
Bagaimana Dengan Syarikat Konsesi?
Bagaimana dengan syarikat pemegang konsesi lebuh-lebuhraya yang menaikkan tol?
Yang disebut ialah tentang perjanjian. Tidak dibentang tentang keuntungan mereka berterusan dikaut dari rakyat!
Di dalam perkiraan biasa rakyat, sewajarnya jika dengan kadar tol lama mereka telah mencapai keuntungan dan bertambah untung dengan pertambahan kenderaan, mereka mendapat pulangan di atas modal yang ditanam, bahkan semakin lama tol dikenakan sepatutnya semakin turun kadar tol yang dikenakan, tetapi pertambahan demi pertambahan tol berlaku.Keperitan demi keperitan ditanggung rakyat.
Kerajaan diminta bersifat telus dengan membentang setiap sen yang dicukai dari rakyat melalui tol, belanja operasi dan keuntungan. Siapa di belakang yang memiliki dan menikmati hasil tol.
Rakyat membayar dan mereka berhak mengetahui. Dengan kenaikan kadar tol berterusan kita bayangkan permukaan jalan yang berturap dengan batu krikil dan tar dengan bayaran yang dibayar pengguna pada hakikatnya bagi pemegang konsesi permukaan lebuhraya tersusun dari kepingan-kepingan wang, bahkan kepingan emas dan intan hasil bayaran pengguna berterusan.
Bagi rakyat dan pengguna yang jerih membayar ia adalah sungai peluh, darah dan air mata yang mengalir dari keperitan hidup mereka yang bergulat dengan penghidupan.
Apakah urusan tol kini berada pada paksi keadilan ? Atau memberi keuntungan kepada sebelah pihak dan rakyatlah menjadi mangsa. exploitasi berterusan ?
Yang Dipersoalkan
Tol bagi pengguna jalan raya, khususnya bagi penduduk di Lembah Kelang sudah menjadi budaya kehidupan yang tidak dapat dielakkan.
Ke mana saja mereka keluar untuk bekerja atau berurusan mereka dikepung oleh tol yang tak terelakkan. Bukan satu tol, tapi berlapis-lapis tol.
Contoh dari Bangi ke Shah Alam, pilih mana saja jalan, ikut highway, ikut jalan Kesas, Ikut jalan Puchong dan ikut jalan Cheras semuanya ada lapisan tol.
Kena bayar pergi balik lebih dari RM10yang menyamai harga minyak.
Yang dipersoalkan mengapa begitu tinggi bayaran. Sebagai contoh bayangkan bayaran antara tol Batu 9 ke Batu 11 jalan Cheras, iaitu sejauh 2 km sebanyak 90 sen. 45 sen sekilometer!
Satu bayaran yang melampau!
Melebihi dari tambang bas dan penggunaan petrol. Bila mula di buka pada 15 Januari 1999 tol di Batu 9 dikenakan 50 sen dan Batu 11 dikenakan 40 sen.
Kenaikan bayaran kali pertama telah dibuat pada awal Januari 2003 dan mendapat bantahan dengan tunjuk perasaan, kerana kenaikan adalah tinggi, iaitu dari 50 sen kepada 70 sen di Batu 9, iaitu kenaikan sebanyak 40%, manakala bagi Batu 11 daripada 40 sen kepada 60 sen, iaitu kenaikan sebanyak 50%.
Kenaikan bagi awal Januari 2007 adalah lebih melampau, iaitu kenaikan 100% bagi batu 9 dari toll 1999 dan 125% bagi Batu 11.
Dari perkiraan biasa jika tol dikenakan pada 1999 syarikat pemegang kosesi (Grand Saga), mampu mentadbir dan menyelenggarakan Jalan Cheras, maka dengan bertambahnya kenderaan yang bererti bertambahnya cukai tol yang didapati, sewajarnya tidak dinaikkan tol.
Bahkan sepatutnya semakin lama penggunaan tol semakin bertambah pulangan syarikat tanpa perlu dinaikkan bayaran. Bahkan sepatutnya, makin lama lebuhraya digunakan, cukai tol sepatutnya semakin menurun. Keadaan ini seharusnya berlaku kepada semua lebuhraya yang dikenakan tol. Namun keadaan nampaknya menjadi sebaliknya.
Tidak Adil
Dalam keadaan sekarang, adalah dilihat amatlah tidak adil sesebuah lebuhraya yang diberi kepada satu syarikat konsesi dalam tempoh katakan 30 tahun dan membuat pinjaman dari sebuah bank atau bank-bank katakan sejumlah RM2 bilion bagi menyiapkan lebuhraya berkenaan dan apabila siap, maka beban bayaran untuk melangsaikan hutang dan belanja pentadbiran juga penyelenggaraan dikena dan dibebankan kepada pengguna setempat dalam tempoh 30 tahun sahaja, sedangkan pada hakikatnya lebuhraya akan kekal mungkin ribuan tahun akan datang, sedangkan pengguna di luar dari tempoh 30 tahun akan menggunakan jalan berkenaan secara percuma, bahkan bayaran pentadbiran dan penyelenggaraan ditanggung oleh pihak kerajaan.
Satu mekanisme bayaran yang wajar perlu difikirkan agar beban bayaran tidak dikenakan kepada satu generasi dalam tempoh 30 tahun sahaja, pada hal jalan tersebut akan terus diguna dan dimanfaatkan oleh generasi-generasi seterusnya.
Bersifat Kroni Dan Monopoli
Dalam keadaan sekarang pemberian konsesi kepada sesuatu syarikat adalah bersifat kroni dan monopoli.
Syarikat berkenaan menjadi satu konsortium mengawal hak dan menjadi satu institusi monopoli berterusan selama katakan 30 tahun dengan mempunyai satu angkatan pekerja yang ramai.
Dalam masa tersebut mereka mengumpul cukai bagi perbelanjaan, pengurusan dan keuntungan hingga dalam masa tersebut berjumlah berpuluh kali ganda dari modal asal dari pinjaman, mungkin mencecah puluhan billion RM.
Ia merupakan monster yang terus lapar dengan kutipan tol bagi membiayai pentadbiran, pengurusan dan keuntungan.
Lantaran itu kenaikan tol dilakukan berselang tiga tahun misalnya. Dalam masa 30 tahun tersebut keuntungan maksima perlu dihasilkan.
Inilah realiti yang terpaksa ditanggung oleh pengguna pada setiap lebuhraya bertol. Iaitu menanggung kos dan keuntungan semasa syarikat dan akan datang.
Perlu Pendekatan Baru
Sejarah lebuhraya bertol di Negara kita adalah sejarah yang lahir pada zaman Samy Vellu yang mendominasi Kementerian Kerjaraya sejak 1980an melangkaui zaman tiga Perdana Menteri.
Pendekatan yang dibuat terhadap syarikat konsesi lebuhraya adalah di dalam bentuk dan cara yang sama.
Mungkin ada pendekatan-pendekatan yang lebih saksama dan wajar digunapakai, tetapi tidak dapat dilihat oleh Menteri di Kementerian Kerjaya oleh kerana didominasi budaya pendekatan secara lama.
Untuk menimbulkan dinamika dan pendekatan baru yang lebih wajar dari segi urusan di Kementerian Kerjaraya, adalah wajar Kementerian yang telah didominasi oleh seorang tokoh yang telah sinonim antara Samy Vellu = Kerjaraya = Tol perlu ditukar dan diberi Kementerian Kerjaraya kepada tokoh baru yang difikirkan dinamik dan berwawasan.
Pendekatan Cadangan
Apa yang dicadangkan berikut adalah bertujuan baik demi kepentingan Negara dan rakyat.
Satu alternatif yang boleh dibuat terhadap pembinaan lebuhraya, bahawa Kerajaan mengumumkan sesuatu projek jalan raya dengan spesifikasi tertentunya dan mentenderkannya secara terbuka dan bebas untuk disambut oleh syarikat-syarikat yang berkelayakan dengan memberi keutamaan syarikat dari dalam diikuti syarikat dari luar Negara dengan jumlah peruntukan khususnya dan perlu disiapkan dalam tempoh tertentu.
Peruntukan ini diberi kepada syarikat-syarikat terpilih menurut progress pembinaan.
Tugas syarikat berkenaan ialah menyiapkan lebuhraya sahaja. Dengan ini dapat mengelak dari beban bunga berganda dari pinjaman bank-bank yang terpaksa dikenakan terhadap pengguna.
Bagi pentadbiran dan penyelenggaraan lebuhraya kerajaan melalui Kementerian Kerjaya boleh melaksanakannya sendiri atau membuat tender kepada syarikat-syarikat yang mau menyelenggarakannya dalam tempoh tertentu dengan kadar bayaran tol yang minimum iaitu antara 1 dan dua sen sekilometer sahaja. Tidak seperti kadar melampau sekarang sebanyak 45 sen sekilometer.
Dalam keadaan sekarang Kerajaan sedar betapa bermaharajalelanya tol di lebuhraya-lebuhraya, lantaran itu Kerajaan semacam tidak setuju dengan tol yang dikenakan sekarang, lantaran ianya amat membebankan rakyat.
Selain dari itu setiap tiga tahun sekali kadar tol dinaikkan hingga lebih seratus peratus dari tol asal, bukan saja kenaikan yang tidak wajar, tetapi menghisap darah rakyat.
Pengumuman Timbalan Perdana Menteri pada 30 Disember 2006 itu membuktikan ketidaksenangan Kerajaan tentang kenaikan tol yang melampau itu.
Jika Kerajaan dapat menurunkan kadar cukai jalan raya, mengapa tidak digunakan mekanisme yang sama, iaitu melalui cukai jalan raya secara purata bagi seluruh pengguna.
Dengan cara ini beban pengguna secara ramai-ramai dapat diringankan.
Ianya dapat diunjurkan dalam tempoh yang lebih lama hingga ianya tidak begitu terasa oleh pengguna dan dengan cara demikian dapat mengelak dari berlakunya kenaikan barangan dan perkhidmatan kerana tiada berlaku kenaikan kadar tol secara berulang.
Jika difikirkan mereka yang tinggal di bandar-bandar sebenarnya lebih banyak menggunakan kemudahan lebuhraya dan jalan raya, maka satu makanisme lagi ialah dengan mewujudkan dua jenis cukai jalan raya, iaitu kategori A bagi kenderaan yang didaftarkan dan digunakan di bandar-bandar yang dengan segala jenis kenderaan lebih tinggi bayaran dari kenderaan kategori B dengan berbagai-bagai jenis kenderaan di luar bandar dengan bayaran yang lebih rendah. Ianya difikirkan lebih bersifat adil dan semua rakyat sama bertanggungjawab.
Kepentingan Rakyat
Tidak siapa menafikan akan pentingnya lebuhraya dan jalan raya. Ianya perlu dibina di mana bersesuaian bagi kepentingan dan kemudahan rakyat.
Di sebalik pentingnya infra-struktur perhubungan ini, janganlah menjadikannya kesempatan oleh pihak-pihak tertentu bagi mendapat keuntungan berganda dengan mengeksploitasi rakyat.
Kepentingan rakyat hendaklah menjadi perkiraan utama.
Pembinaan lebuhraya masa depan hendaklah di atas dasar tanggungan bersama rakyat yang kosnya dari rakyat (kerajaan) dan ditanggung sama rata oleh rakyat.
Cengkaman pengkopratan dan penswastaan hendaklah dielak atau dikurangkan, kerana rakyat terpaksa menanggung sekurang-kurangnya tiga lapis bebanan, kos hakiki pembinaan lebuhraya, kos bagi mempastikan keuntungan kepada syarikat konsesi yang membina lebuhraya dengan berbagai-bagai anak syarikat yang perlukan keuntungan bagi pekerja-pekerja di dalam syarikat berkenaan dan pembayaran bunga di atas modal pinjaman dari bank-bank yang jumlahnya menjadi berganda dari modal pinjaman. Inilah menjadikan tol yang sepatutnya antara satu kepada dua sen satu km. meningkat kepada 45 sen satu km!
Dalam keadaan sekarang rakyat menjadi letih dengan kenaikan demi kenaikan tol bersilih ganti dari tol ke tol yang lain bersama dengan kenaikan-kenaikan - petrol, gas, letrik, air dan lain-lain.
Kenaikan barangan dan perkhidmatan turut meluncur laju hingga tak terkejar dan tak tertampung pendapatan mereka.
Mereka sudah letih untuk bangkit membantah, bahkan jatuh terbakar di dalam api kemarahan.
Mengapa dibiarkan ketara kenaikan tol berterusan mengakibatkan kenaikan barangan dan perkhidmatan secara berangkaian?
Berhubung dengan kenaikan tol ini, Kerajaan tidak patut menekan satu pihak, iaitu rakyat dan membelai pihak lain - Syarikat pemegang konsesi.
Rakyat pada pihak yang lemah dipaksa menerima kenaikan berterusan.
Syarikat konsesi sekarang juga seharusnya menerima tekanan. Mereka perlu membentang kira-kira dapatan, perbelanjaan dan keuntungan mereka.
Jika ternyata ada unsur eksploitasi melampau, perjanjian dengan mereka boleh ditarik balik dan mekanisme pengurusan dan kewangan yang lebih wajar dilaksanakan.
Pendeknya perubahan perlu dilakukan. Pendekatan dan mekanisme baru di dalam pembinaan dan pengurusan lebuhraya perlu dicari dan diikuti. Kepentingan rakyat perlu diutamakan, bukan mengeksploitasi mereka semata-mata. - mr
No comments:
Post a Comment