MINAT MENGIKUTI CERAMAH POLITIK
(Fikrah Bangi: 424),
BBB: 19 R.Akhir 1441H. = 16 Disember 2019M. (Isnin).
Merenung kembali tentang perjuangan politik
yang aku sedikit sebanyak terlibat, khususnya selepas 1998, sebenarnya aku tidak menjangka akan terlibat dengan
politik – Jauh ke Negeri Selangor yang aku menghabiskan sebahagian besar dari
usia mutakhirku. Walau bagaimana merenung kembali kepada sejarah hidupku, aku
bersyukur berkesempatan dengan sejarah perjuangan kemerdekaan negara, bahkan
berkesempatan mengingati negara di dalam
keadaan dharurat oleh ancaman komunis dan berkesempatan menyambut kemerdekaan
dengan gambar kenangan sambutan (31 Ogos 1957) semasa di Kuala Berang, Hulu
Terengganu
Aku
terbawa ke Kuala Berang, ialah kerana selepas menamatkan pengajian sekolah Melayu,
di Kampung Nyiur, Paka Dungun (1956), aku dikehendaki oleh Nindaku (Ninda
Abdullah bin Abdul Muttalib) mendapat didikan keagamaan. Secara kebetulan
seorang bapa sepupu (Muhammad Embong – Pak Teh Mat), sedang belajar di Pondok
Madrasah Islahiyah- Pondok Faqih Abdullah – Tok Faqih), Kuala Berang - seorang Guru Pondok yang lulus pengajian agama
di Patani (Gurunya di sana Tok Rashid). Mahu menjadikan aku seorang yang
beragama sebagaimana bapa sepupuku itu, maka aku dihantar ke Pondok Madrasah Islahiyyah Kuala Berang pada
akhir tahun 1956 tersebut. Ninda penentu kemahuan ke atas diriku sebagai anak yatim
piatu sejak kecil dipelihara ninda lelaki dan perempuan (Tok Chik). Kehendaknya
supaya aku menjadi orang yang beragama
ini, bukanlah sesuatu yang baharu, kerana aruah ayahku telah dihantar belajar
di Pondok . Jertih dan kemudian ke Pondok Tok Kenali, Kelantan (Kitab-kitab
pengajiannya masih aku warisi).
Semasa di Kuala Berang, walaupun nindaku
mahu aku `mengaji pondok`, tapi aku secara kemahuan sendiri, masuk belajar di
Sekolah `Arab Kuala Berang, bertempat di Bekas Balai Polis Kuala Berang di
tebing Sungai Kuala Berang. DF Sekolah `Arab yang baru dibuka ini (1956) ada
tiga darjah. Mudir pada masa itu Ustaz Mahmud Salim (seorang yang bergiat dalam
politik dan sahabat rapat dengan Ibrahim Fikri). Aku masuk ujian
peperiksaan kerana aku mohon terus masuk
ke darjah tiga, darjah tertinggi di Sekolah Arab Kuala Berang. Aku berjaya
melangkau kelas hingga darjah tiga Sekolah Arab ini Belum bernama, apabila
sekolah pindah berhapiran sekolah
Inggeris Sekolah Intan Zaharah dinamakan
Sekolah `Arab Sultan Mahmud, Kuala Berang. Aku tidak sempat belajar di
sini. Sebenarnya ramai dari kawan-kawan Sekolah `Arab Kuala Berang ini sama
tinggal di Madrasah Islahiyyah.
Suasana negara pada tahun 1966 ketika aku
berada di Kuala Berang itu hangat dengan perjuangan politik kemerdekaan
tanahair. Pada masa itu aku berminat mendengar ceramah-ceramah politik yang
terdiri dari parti Umno dan Pas. Tokoh-tokoh politik tempatan tidaklah menarik
mendengar kempen politik mereka, kerana taraf pendidikan mereka yang rendah. Dari politik Umno pada masa itu ialah
seperti Abdul Rahman (Pandir) – Pernah menjadi Wakil Rakyat peringkat awal di
Kuala Berang. Seorang dari kalangan generasi muda dari Umno pada masa itu ialah
Alias Ali – wartawan Berita Harian dan menjadi menantu Abdul Rahman Pandir dan
Alias sendiri juga pernah menjadi ahli Parlimen berikutan kejayaan di dalam
bidang wartawan dan pernah mengetuai sebagai Pengarang Berita Harian, di Kuala
Lumpur.
Tokoh politik dari Pas tempatan yang tidak
sangat tinggi dari segi wibawa politik ialah
Encik Omar Shukri dan Encik Mahmud Sulaiman. Omar Shukri pernah menjadi
Wakil Rakyat Pas di Dewan Negeri Terengganu, manakala Mahmud Sulaiman pernah
menjadi Menteri Besar Terengganu selepas Datuk Samad. Semasa di Kuala Berang ini
terdapat toloh-tokoh politik tanahair terkenal turut datang berceramah seperti
Dr. Burhanuddin Hilmi. Beliau pernah berceramah di Padang dekat Pejabat Daerah
Kuala Berang dengan berdiri pada pinggir bukit di situ dengan orang ramai yang
memenuhi padang berkenaan. Aku turut
tertarik dengan ceramahnya yang membicarakan tentang sejarah perjuanbgan
politik tanah air dan perjuangan parti Islam yang beliau menjadi Presiden Pas
pada masa itu
Semasa di Kuala Berang ini aku berkesempatan
menyambut kemerdekaan tanah air dan bergambar di pintu gerbang sambutan
berhadapan pejabat Daerah bersama kawan-kawan yang sama bersekolah di Sekolah
Arab Kuala Berang. Baik Tok Faqih Guru Pondok Madrasah Islahiyyah (Cenderung
kepada Umno, majlis pengajarannya sering didatangi Abdul Rhman Pandir). Begitu
Mahmud Salim Mudir Sekolah `Arab, tidak melarang kami dari mengikuti
ceramah-ceramah politik yang sering diadakan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment