December 27, 2019

PEMUKA POLITIK 1980AN


PEMUKA POLITIK 1980AN
(Fikrah Bangi: 433),
BBB: 30 R.Akhir 1441H.= 27 Disember 2019M. (Juma`at).
Era 1980an era pergolakan politik dan kelahiran beberapa tokoh politik yang mencorakkan  politik negara hingga 2000.  Pergolakan dan perkembangan politik pada masa tersebut ada hubungan dengan tradisi intelektual yang melonjakkan perkembangan politik dalam tempoh tersebut.
Ada tiga orang yang utama yang mewarnai polilik dalam tempoh tersebut. Mereka ialah Anwar Ibrahim, Fadzil Noor dan Mahathir Mohamad.
Anwar melalui proses pencanaian diri dengan keilmuan, kepimpinan dan keterlibatan di dalam pentadbiran politik.
Anwar sebagaimana telah diperkatakan  adalah memimpin gerakan mahasiswa di kampus UM pada akhir 1960an. Selepas menamatkan pengajian di universiti itu, beliau mengambilalih kepimpinan PKPIM. Pada masanya Persatuan Pelajar Islam Malaysia ini menjadi NGO penting. Beliau menjelajah mempopular NGO tersebut dengan berbagai kegiatan – termasuk ke peringkat negeri dan diberi peluang oleh peringkat negeri. Aku sebagai pimpinan Mahasiswa UKM pernah menyertai kem, seminar  dan tarbiah yang dilakukan di Johor Bharu. Kerajaan negeri Johor di bawah pimpinan Menteri Besarnya – Datuk Othman Sa`at memberi  kerjasama pada peringkat negeri. Demikian dengan tempat-tempat yang lain. Pendek kata PKPIM pada masa itu mesra dengan pihak pemerintah.
Anwar  memimpin PKPM buat beberapa tahun, kerana kemudian daripada itu beliau mempunyai wadah perjuangan yang lebih besar. Bermaksud pada pertengahan 1970an beliau bersama dengan kumpulannya menubuhkan Angkatan Belia Islam (ABIM) dengan Penasihat Utama di belakangnya ialah Syed Naguib al-Attas, profesor dan tokoh akademik di UKM pada masa itu. Lambang ABIM adalah direkabentuk oleh Syed Naguib.
Markas bagi kegiatan ABIM pada pertengahan 1970an  ialah di Kampung Baru, Kuala Lumpur dan juga Jalan Pantai Baru, Kuala Lumpur. Wadah perjuangan yang dipilih ABIM ialah Islam dan bidang yang dipilih ialah pendidikan. Melalui pendidikan dikembangkan pendekatan politik yang berasaskan Islam. Di Kg Baru dan Jalan Pantai Baru Kuala Lumpur terdapat pejabat dan sekolah ABIM yang darinya juga melahirkan pemimpin pelajar. Dan tokoh-tokoh politik. Anwar sebenarnya tidak bertujuan mahu terus memimpin ABIM, sebaliknya ia menjadi tangga baginya melangkah ke bidang politik. Adalah menjadi harapan parti-parti semasa mahukan Anwar masuk politik melalui melalui parti masing--masing. Sejak zaman Datuk Razak lagi, beliau diharap Datuk Razak  menyertai Umno. Memandangkan wadah perjuangan Anwar dan ABIM adalah Islam, maka beliau juga diharap dan dijangkakan akan menyertai Pas. Tapi sejak awal Anwar, walaupun memilih Islam sebagai wadah perjuangan, tetapi kecenderungan beliau tidak terhadap Pas dan Pas tidak beria-ria untuk menjemput beliau menyertai Pas.
Hasrat beliau untuk melibatkan diri  dengan politik jelas apabila pada pengakhiran Datuk Hussein Onn, beliau menyatakn hasrat meninggalkan ABIM untuk menyertai politik. Ura-ura Anwar untuk masuk politik pada masa itu menjadi fokus media. Hasrat beliau juga menimbulkan pro dan kontra. Ada yang mengharapkan beliau tidak meninggalkan ABIM, tetapi ABIM pada masa itu tidak kekeringan dari pelapis-pelapis yang berkaliber dan bermutu yang sebenarnya melahirkan ramai pemimpin-pemimpin yang mereka ini dapat disaksikan hingga kini.
Anwar membuat pilihan  dengan mengumumkan penyertaan kepada Umno. Sebenarnya dengan memilih Umno, parti yang memerintah, akan cerah masa depannya, sebaliknya jika menyertai Pas yang ideologi pegangannya di dalam ABIM, dijangka beliau tidak ke mana di dalam politik, kemungkinan  menjadi pembangkang yang popular. Tetapi itulah hakkat pilihan Anwar, Beliau mungkin mudah meningkat di dalam Umno, tetapi tidak sunyi dari ranjau-ranjau yang bakal dihadapi yang kesannya dialami hingga kini.
Sekian.

No comments:

Post a Comment