October 13, 2020

 

CIRI  NEGARA  BERILMU

(Fikrah Bangi:  774),

BBB:  25 Safar 1442H. = 13 Oktober 2020M. (Selasa).

Negara berilmu adalah negara maju. Berbahagialah negara jika warga negaranya adalah pencinta ilmu. Ciri negara berilmu adalah:

Pemimpin di dalam negara adalah mereka yang cintakan ilmu. Mereka berusaha menyemarakkan keilmuan di dalam negara. Jika bercakap selalu bersifat ilmu dan gemar memetik pendapat-pendapat ilmuan di dalam percakapan dan ucapan.

Lantaran pemimpin orang berilmu dan cintakan ilmu, maka banyak usaha dilakukan bagi memperkembangkan ilmu. Lantaran itu negara dilengkapkan  dengan infra-struktur keilmuan. Didirikan tempat belajar dari peringkat pra-sekolah, sekolah rendah, menengah dan tinggi. Pada peringkat tinggi didirikan universiti menurut bidang dan keperluan.

Sebahagian bajet negera digunaklan untuk  memajukan ilmu di kalangan masyarakat. Setiap warga negara  diwajibkan belajar bagi golongan muda dan digalakkan belajar bagi semua peringkat dengan peruntukan yang mencukupi..

Tanda negara berilmu, pimpinan dan masyarakat menghormati mereka yang berilmu. Pendapat-pendapat ilmuan didengari dan dirujuk. Mereka terhormat dan berkedudukan tinggi di tengah masyarakat.

Para ilmuan adalah melibatkan diri dengan masyarakat. Mereka menyampaikan ilmu secara ikhlas, menyedarkan masyarakat dan membimbing mereka ke arah kejayaan.

Negara ilmu, selain dari mempunyai pengajian-pengajian tinggi terkenal, mempunyai ramai ilmuan dan pelajar-pelajar cemerlang. Lantaran negara terkenal dengan perkembangan keilmuan, tidak saja cenderung dan terlibat diri dengan ilmu dan masyarakat berilmu, lantaran itu negera berilmu menjadi tempat yang didatangi pelajar-pelajar dari luar negara untuk menikmati pengajian yang terkenal di negara berkenaan.

Negara yang mempunyai ramai ilmuan, ramai daripada ilmuan menghasilkan penerbitan-penerbitan terkenal yang dirujuk oleh pelajar dan masyarakat. Mereka mencetuskan idea-idea yang bernas yang dimanfaatkan oleh masyarakat.

Pendapat-pendapat ilmuan diberi ruang dan disalurkan  melalui konvensyen, seminar, syarahan, forum, diskusi dan sebagainya dan pendapat mereka dihebahkan melalui media-media.

Pendapat-pendapat ilmuan diturunkan ke tengah masyarakat melalui institusi ibadat seperti masjid dan surau, dewan-dewan orang ramai dan perhimpunan-perhimpunan.

Dengan memasyarakatkan ilmu di tengah masyarakat menghasilkan kesedaran  keilmuan tinggi di tengah masyarakat. Misalnya kesedaran tentang ekonomi,  peluang dan pembahagian yang adil. Bayangkan negara Malaysia yang kaya raya ini, jika kesaksamaan ekonomi dilakukan dengan adil, tidak ada yang terlampau kaya dan tidak ada yang terlampau miskin, bererti semua kecukupan dari  segi keperluan, maka dapat dikurangkan jurang kemiskinan. Jika semuanya mendapat hak yang wajar dan mereka berilmu, maka akan mengurangkan masalah sosial. Kurang dari pelaku-pelaku rasuah, kurang dari pencuri, kurang dari  mereka yang melakukan jenayah. Dengan berkurangnya mereka yang susah, maka bererti masyarakat dapat menikmati ketenangan di dalam kehidupan. Dengan demikian mereka hidup dalam keadaan lebih berbahagia. Mereka semua mempunyai pekerjaan yang sesuai, mempunyai  perumahan hasil dari projek perumahan untuk rakyat. Dengan ketenangan dan  kebahagiaan membuka ruang kepada mereka melakukan perkara yang lebih bermanfaat seperti menggalakkan keluarga di dalam mendalami ilmu,mengamalkan di dalam kehidupan yang mengharmonikan masyarakat.

Dengan ilmu meningkatkan akhlak masyarakat  dengan peribadi-peribadi mulia. Mereka menghargai nilai-nilai kemanusiaan seperti tolong menolong dan menghormati antara satu sama lain. Menghargai dan menjaga alam sekitar yang merupakan sebagai ruang untuk semua. Jika kesedaran menjaga alam sekitar timbul, kebersihan dapat dijaga. Semua berada di dalam suasana alam sekitar yang sihat dan menyenangkan.

Masyarakat yang berpelajaran ialah masyarakat yang menghormati dan menjaga nilai budaya murni masyarakat yang mencirikan imej dan identiti masyarakat. Nilai budaya mengukuhkan kemajuan fizikal yang dicapai dan menjadikan masyarakat bertamadun dan berperadaban  tinggi.

Sekian.

No comments:

Post a Comment