October 26, 2020

 

OPERASI

(Fikrah Bangi: 786).

BBB: 09 Rabi`ul-Awal 1442H. = 26 Oktober 2020M. (Isnin).

Untuk beroperasi biasanya kampus telah siap dengan keperluan-keperluan. Peruntukan yang dihasilkan secara waqaf  serta derma  dan sebahagian tunjangan dari pihak  pemerintah yang mengertikan sokongan atau sekurang-kurangnya tiada halangan dari pihak kerajaan. Namun bagi peringkat permulaan, setelah ada tapak dan bangunan asas, untuk menjalankan operasi tidak semestinya segala-galanya sedia sempurna.

Keperluan utama adanya tokoh ilmuan berwibawa yang mampu bersama kumpulan merangkakan falsafah, dasar, polisi dan hala tuju pengajian bermula dari tahap tinggi. Imej,  jatidiri dan identiti pada tahap ini penting yang membawa nama pengajian. Pada tahap ini tokoh-tokoh bertahap filosof, allamah, cendekiawan, pemikir, budayawan, pujangga  dan sasterawan ada pada tahap ini yang mampu membicarakan topik-topik berkaiatan secara  falsafah,hakikat dan hikmah. Membicarakan hakikat wujud, alam dan ciptaan, membicrakan hakikat manusia dan misi pada kewujudan dan masa depan, tujuan dan arah  hidup dan panduan-panduan. Pengajian berusaha melahirkan  tokoh-tokoh persis Al-Ghazali, Ibn Khaldun, Ibn Sina, Al-Farabi, Hafiz, Firdausi, Rumi,  Al-Zuhaili, Al-Qaradhawi, Maududi dan sebagainya. Sudah tentu untuk mencari mereka yang bertaraf sedemikian kekinian tidak wujud, tetapi mereka adalah penyedia suasana dan penggerak ke arah ke tahap berkenaan. Tetapi mereka hendaklah bercontoh tauladan yang baik yang menghasilkan karya-karya sendiri yang baik di dalam bidang kepakaran masing-masing dan mampu membicarakan pemikiran dan tokoh-tokoh besar dibicarakan sebagai dorongan kepada pelajar pada tahap tinggi mengikuti jejak tokoh-tokoh berkenaan.

Operasi yang dapat dijalankan biasanya adalah bertahap diikuti dengan perkembangan-perkembangan selanjutnya. Ianya bermula dari kompleks pembinaan berasaskan masjid yang menjadi centre bagi ibadat dan pengajian. Kelilingnya  ruang-ruang  bagi perpustakaan, kuliah, seminar dan dewan-dewan perbincangan keilmuan.

Pada tahap kedua lebih kepada tahap keilmuan alamiah dan amalan kehidupan. Tahap ini juga merupakan tahap kedua dari perkembangan bertahap. Sudah disebutkan ia adalah pembesaran yang mencirikan bandar ilmu. Pada tahap ini ada bangunan fakulti dan jabatan yang diketuai oleh tokoh keilmuan berkenaan dan ada ruang amali. Misalnya bidang ekonomi dan perdagangan, pembelajaran tidak bersifat teoritikal semata-mata, tetapi berdekatan ada bank,  pasar, kedai-kedai yang dijadikan tempat praktik. Begitu juga misalnya bidang engineering ada bengkel-bengkel. Bagi bidang pengusahaan dan pengeluaran barangan ada kelompok kilang-kilang. Bagi bidang IT ada infra-struktur bagi bidang berkenaan yang menjadi tempat pembelajaran dan amalan. Seterusnya wujud hospital bagi fakulti perubatan dan makmal-makmal berkaitan. Terdapat bangunan bagi fakulti kemanusiaan, kemasyarakatan dan kebudayaan yang membicarakan soal kehidupan,nilai, seni, komunikasi, bahkan politik yang dari kegiatan mereka yang terlibat dalam bidang ini merancakkan kehidupan nilai dan budaya di dalam bandar ilmu. Pendapat-pendapat misalnya dari politik selalu dirujuk kepada tokoh-tokoh bagi bidang berkenaan, bahkan  pandangan mereka di dalam politik, bahkan masyarakat dan budaya dihormati dan mempengaruhi.

Bidang yang memerlukan kawasan yang luas ialah bidang pertanian dan perladangan yang mengambil ruang ke belakang dari kawasan kampus dan mungkin bahagian pertanian dan ladang berasingan sebagai tempat praktik dan amali. Bagi semua  kehidupan di bandar ilmu wujud  fakulti perbandaran dan alam sekitar  yang menjadikan  bandar, alam sekitar dan pengurusan sebagai bidang pengajian khusus.

Pada dasarnya, walaupun bandar ilmu sebagai satu kampus pengajian, khusus bagi masyarakat pelajar dan ilmuan, ianya menarik hadir masyarakat dari luar menghuni di pinggir-pinggir pusat pengajian berkenaan yang sama menghidupkan bandarilmu. Keperluan masyarakt kampus dan masyarakat pinggiran ini juga perlu disediakan. Misalnya persekolahan bagi anak-anak di kampus dan masyarakat luaran. Mereka mungkin melibatkan sama di dalam menyediakan perkhidmatan seperti pengangkutan, penghantaran  barangan, bahkan sebahagian dari yang berkhidmat di dalam kampus, misalnya pekerja-pekerja di kedai-kedai, pasar, di pejabat-pejabat, dibengkel-bengkel, di kilang-kilang, bahkan  di kebun-kebun dan ladang-ladang,mereka  adalah terdiri dari orang aam yang sama menumpang mencari pekerjaan.

Di dalam hal ini, walaupun otonomi  dan pentadbiran pada universiti, pihak universiti memerlukan masyarakat awam berpartisipasi di dalam menggerakkan kemajuan universiti, namun  masyarakat luar tidak sampai menenggelamkan imej, jatidiri dan identiti universiti  sebagai bandar ilmu.

Pendek kata semarak ilmu terus memanncar  sebagai identiti bandar ilmu.

 

Sekian.

No comments:

Post a Comment