October 21, 2020

 

SINDROM  SEPI MAHASISWA UNIVERSITI

(Fikrah Bangi:  581),

BBB: 04 Rabi`ul-Awal 1442H. = 21 Oktober 2020M. (Rabu).

 

Selepas perlaksanaan Akta Universiti dan Universiti Kolej (1974), keriuhan pelajar menunjuk perasaan bertukar sepi, begitu juga debat agung, forum,  seminar  dan perdebatan  di universiti yang terbuka kepada orang ramai, terutama yang berlaku di Universiti Malaya dapat dikatakan terhenti dan mahasiswa dalam sindrom sepi. Kehangatan suasana kampus  menjadi sejuk. Kritikan-kritikan terhadap kerajaan secara terbuka juga terhenti.

Apa yang dilakukan oleh mahasiswa ?  Mereka mengatur program bersama pihak Perhubungan  Universiti bagi menyambut kedatangan pelajar baru, menyusun program orientasi. Bila tiba musim konvokesyen, mereka mengatur kandungan program seperti mendirikan gerai-gerai jualan dan program pengenalan kepada pelajar-pelajar baru, manakala pihak kolej mengatur program orientasi terhadap pelajar baru di kolej, termasuklah sukan dan sebagainya.

Dapat dikatakan selepas Akta Universiti diperkenalkan, mahasiswa adalah menjadi pasif. Jika ada suara adalah suara menentang akta secara pasif dan tidak ke mana. Segala kegiatan mahasiswa dapat dikata dikendalikan oleh pihak Perhubungan Universiti. Walau kemudian ada kelonggaran dari segi akta, sifat pasif dan sindrom sepi ini berterusan. Mereka tidak dapat membuat kenyataan ke luar tanpa kebenaran dan tidak bebas membuat hubungan dengan persatuan-persatuan mahasiswa dari universiti-universiti lain tanpa keizinan. Kalau ada jemputan-jemputan yang mahu dibuat, maka pada surat berkenaan ada cop kelulusan dari  pihak Perhubungan Universiti.

Satu kesan yang ketara dapat dilihat, bahawa  dalam musim Covid-19, banyak permasalahan yang timbul berhubung dengan mahasiswa, misalnya kebajikan mereka selama tersekat di dalam kampus, kemudian exodus mereka untuk pulang ke kampung dan urusan yang berkenaan dengannya sepatutnya Persatuan Mahasiswa di universiti  sama aktif menyuarakan pendapat mahasiswa, sama mengatur kepulangan dan kebajikan mereka yang mau pulang, sepatutnya sama dilibat dan disuarakan oleh Persatuan Mahasiswa, tetapi hal ini tidak kedengaran, bagaikan tidak ada persatuan mahasiswa di universiti.  Begitu juga baru-baru ini, apabila kebanyakan universiti mulai hendak dibuka bermula dari Oktober, tiba-tiba  berlaku peningkatan kembali wabak, selepas pilihanraya di Negeri Sabah pada 26 September,  pihak pelajar telah diberitahu untuk hadir mendaftar secara langsung, tiba-tiba beberapa universiti yang telah memanggil pelajar datang, membuat pengumuman bahawa pendaftaran secara langsung ditangguh kepada pendaftaran atas talian, sedang ada sebahagian dari pelajar diiringi keluarga mereka sudah tiba untuk mendaftar. Maka keluarlah berita, sebahagian dari yang datang telah di hambat keluar dan tidak dibenarkan masuk. Berita berkenaan tular di dalam media dan pihak perhubungan universiti berkenaan terpaksa menjawab, bahawa tidak berlaku, dan merupakan silap faham. Masalah mahasiswa yang datang dari jauh yang setengahnya menempah tiket kapal terbang dan menghadapi kerugian. Yang menjawab dan mengendalikan permasalahan – termasuk memberi peluang tinggal di asrama bagi yang telah tiba dan berusaha dengan pihak penerbangan dan sebagainya bagi membayar balik tiket atau menangguhkan penggunaan semuanya dikendalikan oleh pihak perhubungan universiti. Kita tidak mendengar pihak Persatuan Mahasiswa menyuarakan atau memberi pendapat tentang kebajikan mahasiswa. Ini jelas mencerminkan betapa peranan persatuan mahasiswa tidak berlaku. Mereka adalah pasif dan sindrom bisu. Apakah sikap dan watak ini  sepatutnya berlaku di kalangan mahasiswa, khususnya di kalangan persatuan-persatuan mahasiswa.

Kita ketahui sedang mahasiswa dan persatuan dalam sindrom bisu, berlaku perubahan yang mau mahasiswa dan orang muda berumur 18 tahun ke atas diberi hak mengundi. Dalam suasana yang kontradik, kita menjangka, kalangan mahasiswa yang telah dibisukan akan kurang menyambut perubahan yang berlaku secara mendadak. Misalnya kurangnya minat orang muda mendaftar untuk mengundi, akan terus berlaku, termasuk di kalangan mahasiswa. Kita juga dapat melihat bahawa peluang untuk mereka yang berumur 18 tahun ke atas ini, kurang mendapat respond dari kalangan mahasiswa dan persatuan. Sepatutnya jika mereka diberi kebebasan berorganisasi dan mengeluarkan pendapat peluang baru ini sepatutnya disambut dengan hangat. Walaupun hak mereka mengundi ini belum dilaksanakan, sewajarnya mereka menyambut dengan bersemangat dan membuat persediaan. Dalam keadaan sekarang ada semacam dilema antara harapan terhadap golongan muda untuk mengambil alih pimpinan dengan kebekuan suasana di kalangan mereka.

Bagi orang muda dan mahasiswa mereka mempunyai peluang untuk mengubah suasana politik tanahair dari dominasi golongan tua yang masih kemarut mempertahankan kedudukan kepada suasana dan perubahan baru yang didominasi oleh orang muda dan juga dari kalangan mahasiswa.

Kalangan mahasiswa  dan persatuan mereka hendaklah diberi hak dan menggunakan peluang dan kesedaran yang seharusnya berlaku dari kampus diaplikasikan ke dalam masyarakat bagi perubahan, termasuk politik ke arah  masa depan yang lebih baik.

Sekian.

No comments:

Post a Comment