October 15, 2020

 

NEGARA BERILMU  DAN  BUKU

(Fikrah Bangi: 776).

BBB:  27 Safar 1442H. = 15 Oktober 2020M. (Khamis).

Keilmuan rapat dengan kitab atau buku. Keilmuan diwarisi lantaran dirakam  oleh para ilmuan ilmu-ilmu yang  didalami. Tradisi keilmuan adalah dipelajari oleh pelajar-pelajar melalui guru dan kitab atau buku. Kitab atau buku adalah merangkuni berbagai-bagai bidang. Keilmuan di dalam Islam misalnya tafsir, hadith, akidah, fiqh, tasawuf, hisab, mantiq, falaq, ilmu alam, sejarah dan berbagai-bagai lagi. Keilmuan berkenaan dipelajari dari generasi ke generasi hingga kini. Demikianlah dengan ilmu-ilmu yang lain.

Negara berilmu adalah negara yang mempunyai ramai ulama atau ilmuan yang merakamkan ilmu-ilmu mereka,  diwarisi dan dipelajari oleh generasi-ke generasi. Buku-buku keilmuan yang lain dari di atas, ialah seperti ilmu ekonomi,  pertanian, perniagaan, sains ,teknologi, statistik, perubatan, pertanian, pelayaran, persenjataan, peperangan, komunikasi dan sebagainya.

Banyak bidang keilmuan, tetapi seseorang tidak dapat menguasai semua. Negara yang mempunyai kesedaran keilmuan mengatur pengajian kepadarakyatnya melalui pengajian pra-sekolah, sekolah rendah, menengah, atas, kolej dan universiti. Bagi menjadikan rakyat mereka yang berpelajaran,  anak-anak dihantar belajar menurut tahap tahap pengajian di atas. Mereka diajar oleh guru-guru berpengalaman sehingga pelajar-pelajar menguasai ilmu yang dipelajari dan meningkat maju hingga tahap pengajian tertinggi dan dengan keilmuan yang dipelajari, mereka bekerja dan berkhidmat kepada keluarga dan negara. Jika keseluruhan atau sebahagian besar rakyat terpelajar, maka masyarakat  dan negara akan maju.

Ilmu adalah dinamik, ianya terus dihasil dan dikembangkan. Pakar-pakar di dalam berbagai bidang ilmu pengetahuan terus menghasilkan buku-buku dan menjadi tambahan maklumat dan pelajaran bagi generasi. Penghasilan buku sama ada yang bersifat agama, sains, kemanusiaan dan sebagainya tidak harus dibiarkan berdasarkan minat ilmuan dan penulis semata-mata. Negara berilmu dan pemerintah seharusnya mengambil inisiatif menggalakkan para ilmuan menghasilkan buku. Bagi tenaga pengajar misalnya di universiti diberi galakan kepada yang menghasikan buku dengan kenaikan pangkat. Bagi mereka yang lain sepatutnya mendapat galakan dari kerajaan dengan bantuan dan subsidi, kerana tidak semua penjualan buku mendapat pulangan modal. Sebab itu bagi para ilmuan dan penulis seharusnya diadakan skim insentif, bila buku yang dihasilkan dan bernilai, maka diberi ganjaran.

Berbagai cara bagi menggalakkan penghasilan buku-buku di dalam berbagai bidang. Misalnya dengan mengadakan hadiah buku secara tahunan diberi kepada penulis yang menghasilkan buku yang baik. Ini melibatkan berbagai bidang penulisan seperti bidang ilmiah, sastera, agama dan berbagai-bagai lagi.

Bagi menggalakkan perkembangan buku kerajaan sepatutnya menganjurkan konvensyen tentang buku dan memperkenalkan buku-buku dan memberi ruang kepada kedai buku syarikat dan pengarang-pengarang memasarkan buku mereka. Hadiah-hadiah diberi kepada pengunjung dan pembeli buku bagi terus menggalak pengarang dan pembaca terus  menghasil  dan membeli  buku.

Kerajaan dan pihak berkenaan terus mendirikan perpustakaan di bandar-bandar dan luar bandar agar orang ramai, khususnya pelajar-pelajar datang membaca dan membuat rujukan. Bagi menggalakkan penulis menghasilkan buku-buku, kerajaan hendaklah membeli hasil-hasil buku yang baik dan dibahagian ke berbagai-bagai perpustakaan besar dan kecil. Dengan demikian sebahagian dari masalah pemasaran yang dihadapi penulis dan kedai-kedai buku dapat diatasi. Di dalam zaman IT ini, maka peralatan IT dan komunikasi kini seharusnya disediakan oleh perpustkaan. Masalah tiada capaian internet bagi pelajar-pelajar luar bandar dapat diatasi dengan menjadikan  perpustakaan pusat pembelajaran.

Bangsa yang maju ialah bangsa yang berilmu. Salah satu cara penambahan ilmu ialah dengan cara membaca. Rakyat hendaklah digalakkan membaca sejak dari kecil. Setiap pelajar digalakkan membaca sejumlah buku, katakan di dalam sebulan 5 buah buku. Jika anak-anak dapat dipupuk minat membaca sejak dari awal usia, umpamanya ada anak-anak yang diajar sejak pra-sekolah rendah dan membaca buku-buku, bahkan novel-novel  atau buku-buku cerita untuk anak-anak, insya Allah dengan minat yang ditanam ini, maka anak-anak yang sedemikian akan terus minat membaca dan anak-anak yang rajin membaca akan menjadi anak-anak yang pandai dan menjadikan mereka anak-anak yang maju dan berjaya di dalam pelajaran.

Orang dewasa juga seharusnya  digalakkan terus membaca dan kini boleh dicapai maklumat maklumat melalui internet. Kita tidak mau rakyat Malaysia, malas membaca. Kita tidak mau mendapat maklumat, rakyat Malaysia hanya  membaca sekadar 10 halaman di dalam setahun. Semua pihak digalakkan membaca yang bahan-bahan bacaan  dengan mudah boleh didapati.

Jadilah rakyat Malaysia, rakyat yang membaca berbagai-bagai buku. Jadikan negara Malaysia sebagai Negara Berilmu.

Sekian.

No comments:

Post a Comment