PEMIMPIN KEILMUAN
(Fikrah
Bangi: 772),
BBB: 22 Safar 1442H. = 10 Oktober 2020M. (Sabtu).
Imej
dan identiti sebuah institusi pengajian bergantung pada pimpinan keilmuan yang
harus ada dan mengajar di institusi pengajian berkenaan. Dilihat kepada zaman
tradisi, misalnya keilmuan pada zaman tradisi di Terengganu ditokohi oleh Syeikh
Abdul Malik bin Abdullah -Tok Pulau
Manis (1650-1736) yang menghasilkan karangan-karangan untuk institusi
pengajarannya dan masyarakat seperti
Hikam Melayu, Kifayah dan Bayan Kayfiyat al-Niyyah . Peradaban keilmuan di
Pulau Riau banyak diserlahkan oleh Raja Ali Haji (1809-1870) yang mengarang
antaranya Tuhfat al-Nafis dan Gurindam 12, Thamarat al-Muhimmah, Bustan
al-Katibin dan lain-lain.
Pada
peringkat yang lebih kemudian Za`ba Guru di Maktab Perguruan Tanjung Malim dan
kemudian mengajar di Universiti Malaya terkenal sebagai seorang pakar bahasa
yang mengarang Pelita Bahasa Melayu dan berbagai karangan yang lain dan
mempunyai pengikut seperti Profesor Haji
Omar di Universiti Malaya. Dalam bidang ekonomi Profesor Ungku Aziz selain dari
menjadi Naib Canselor di Universiti Malaya terkenal sebagai Pakar Ekonomi dan
ianya mencadangkan ditubuhkan Tabung Haji (1963) yang berkembang hingga kini. Beliau
mempunyai pengikut seperti Rafidah Aziz Pensyarah Ekonomi Universiti Malaya
sebelum beliau terlibat di dalam bidang politik.
Ketokohan
di dalam bidang keilmuan yang mengharumkan universiti yang dia berkhidmat ialah
Profesor Dr. Syed Naguib al-Attas dengan cetusan pendapatnya bahawa Islamlah
yang merubah dan meningkatkan peradaban Melayu, beliau juga mempelupuri tentang Falsafah dan Pemikiran Islam semasa
memimpin Institut Pemikiran Islam di
UIAM. Banyak buku dihasikan beliau seperti Islam Dalam Pemikiran dan Peradaban,
The Mysticism of Hamzah Fansuri dan lain-lain. Beliau mempunyai
pengikut-pengikut yang ramai mendukung falsafah dan pemikirannya.
Tokoh
Besar di dalam bidang keilmuan Islam ialah Al-Imam Al-Ghazali (m.1111). Beliau
bukan setakat memimpin Universiti Nizamiyyah, tetapi memimpin pemikiran Islam.
Beliau menyatu dan mengintegrasikan ketiga-tiga keilmuan Islam, iaitu akidah,
fiqh dan tasawuf dengan menghasilkan begitu banyak karya seperti Ihya` `Ulum al-Din, Al-Iqtisal fi al-I`tiqad,
Tahafut al-Falasifah dan banyak lagi. Pengajaran al-Ghazali menjadi pengikut
keilmuan bagi umat Islam.
Bagi
universiti-universiti di negara kita yang banyak itu, seharusnya mempunyai
pemimpin keilmuan di dalam bidang-bidang keilmuan utama yang ditawarkan oleh
sesuatu universiti. Universiti mempunyai ranking dari segi tenaga pengajar yang
mencerminkan tahap keilmuan mereka. Di universiti ada tenaga pengajar bermula
dari tutor (pengajar), pensyarah, pensyarah
kanan, profesor madya, profesor, bahkan kini `Profesor Emiratus` yang merupakan tenaga pengajar dan ilmuan
terkenal di dalam bidang keilmuan tertentu di universiti.
Kita
merenung kepada puluhan universiti yang ada di negara kita. Ada kalangan mereka
bertaraf profesor, bahkan profesor emiratus, sukar bagi kita mengenali
tokoh-tokoh keilmuan yang diberi title keilmuan yang gah itu, lebih sukar bagi
kita untuk mengetahui apakah bidang dan kaedah keilmuan yang disumbangkan,
lebih daripada itu dapat memberi manfaat kepada masyarakat.
Universiti
ada, tokoh ilmuan yang beritle ada, tetapi sumbangan mereka, sekurang-kurangnya
dalam bentuk tulisan mengapa tidak disebarkan ? Salah siapakah ? Apakah pihak
Kementerian Pengajian Tinggi tidak mempunyai perancangan bagi memperkenalkan
sumbangan tokoh-tokoh akademik ini kepada masyarakat ? Sebenarnya tokoh berkenaan tidak memerlukan perkenalan
dan promosi dari kementerian. Sebenarnya kerja mereka sebagai contoh Profesor
Ungku Aziz, Profesor Syed Naguib al-Atas, kerja-kerja yang mereka lakukan,
pengajaran, lebih-lebih lagi buku-buku yang mereka hasilkan adalah jurucakap
bagi diri mereka. Ianya mencerminkan tahap keilmuan dan komitmen tarhadap
kerja-kerja mereka.
Antara
kaedah yang patut dilakukan dan pernah dilakukan, hendaklah diwajibkan sebelum
seorang diberi title profesor, apa lagi profesor emiratus, hendaklah dimestikan ada buku yang
diterbitkan dan dimestikan menyampaikan syarahan perdana profesorship yang
disiarkan secara terbuka dan disaksikan oleh orang ramai dan dapat dinilaikan
tahap kedalaman keilmuan yang ada pada dirinya dan melayakkannya mendapat
gelaran profesor atau sebaliknya.
Universiti
dilihat sebagai institusi yang unggul dengan keilmuan. Tenaga pengajar adalah
tonggak keilmuan. Jika tenaga pengajar tidak berkemampuan menyampai keilmuanya
dengan baik dan tidak meyakinkan, maka adalah suatu tragidi bagi universiti
yang menghakiskan kepercayaan masyarakat terhadap universiti. Universiti
seharusnya mempunyai tokoh-tokoh yang
unggul ilmu yang memandu negara
dan masyarakat.
Sekian.
No comments:
Post a Comment