October 1, 2020

 

PENJAGAAN  BAYI

(Fikrah Bangi:  646).

BBB:  13 Safar 1442H. = 01 Oktober 2020M. (Khamis).

 

Adalah tahap yang penting di dalam penjagaan  bayi. Tanpa pengetahuan yang betul boleh mengganggu dari  segi pertumbuhan bayi secara sihat dan kadangkala boleh menyebabkan kerencatan yang  mengganggu perkembangan bayi  secara normal dan sihat.

Sebenarnya dan sewajarnya bagi  satu pasangan yang  mau mendirikan rumahtangga dan bakal akan menerima anak, seharusnya dikehendaki mengikuti pakej kursus  yang lengkap yang seharusnya  diatur oleh pemerintah dengan kerjasama pihak jabatan agama dan dihadiri pasangan, iaitu:

a)      Kursus pra-berumah tangga

b)    Kursus perkahwinan

c)     Panduan keluarga bahagia

d)    Kursus penjagaan bayi

e)     Kursus kesihatan

Sepatutnya kursus disekalikan di bawah `Jabatan Keluarga Negara`.  Bagi kursus penjagaan bayi ini, sebagaimana maklum memang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan dalam mana apabila seseorang ibu sudah mengandung dikehendaki  hadir ke klinik ibu bagi menjalani peperiksaan. Kehadiran diteruskan dari masa ke masa. Para ibu diberi kemudahan mendaftar diri untuk melahirkan anak di hospital seterusnya mendapat rawatan di sana sehingga ibu dan bayi pulang ke rumah masing-masing. Ada pihak keluarga yang berkemampuan memilih untuk melahirkan anak di hospital atau klinik swasta. Bagi bayi dan anak yang pulang ke rumah sememangnya mereka disusuli dan didatangi oleh jururawat dan bidan yang memastikan ibu dan anak mendapat penjagaan yang baik dan kesihatan ibu dan bayi  berada di dalam perkembangan normal di samping mengikuti nasihat dari  jururawat dan bidan kerajaan. Sewajarnya para ibu bapa  mendapat panduan dan manual lengkap yang seharusnya diikuti ibubapa di dalam penjagaan bayi  mereka,  sama ada dari segi  permakanan, ubat-ubatan dan berbagai  panduan sewajarnya  bagi  ibu bapa.

Permasalahan  yang  mencabar dihadapi  oleh  pihak  ibu bapa  ialah bagi ibu-ibu  yang bekerja.  Bagi  ibu  yang tidak  bekerja, maka  bayi  dapat  dijaga  terus oleh ibu berkenaan dengan cara  yang  lebih selamat. Adapun bagi ibu yang  bekerja  dan  berkerjaya  bila habis  tempoh  cuti,  maka si ibu dikehendaki  kembali  bekerja  dan  meninggalkan  bayi  dijaga oleh  pihak yang lain. Bagi  kepentingan  kesihatan  dan  perkembangan bayi  dan ketenteraman ibu dan juga bapa pihak kerajaan sewajarnya mempunyai perancangan  bagi kebajikan  kekeluargaan dan  perkembangan  bayi secara sihat. Antaranya:

1)    Para ibu yang melahirkan anak diberi cuti, termasuk tanpa gaji selepas tiga bulan sehingga setahun lamanya

2)    Para  ibu  dan anak dalam masa tersebut  terus mendapat rawatan  susulan dengan pihak kesihatan datang ke rumah ibu dan bayi atau dalam tempoh tertentu datang ke hospital atau klinik ibu untuk mendapat rawatan dan nasihat.

3)    Elak  para ibu yang bekerjaya dari  berhenti kerja atau meletakkan jawatan, kerana ini  merugikan negara. Kalau sesuai bagi ibu boleh menyambungkan cuti  tanpa  gaji  sehingga  dua tahun.

 

Kini adalah menjadi kebiasaan bagi ibu bekerja, selepas  tempoh cuti  bersalin  dan kembali  bekerja, terpaksaa  menghantar  bayi atau anak ke rumah  penjagaan bayi.  Permasalahan  yang dihadapi kelayakan  pengasuh-pengasuh rumah penjagaan, kualiti  makanan dan kesihatan anak yang diasuh secara ramai-ramai yang  tidak  terjamin  dari  segi kesihatan.

Beberapa  cadangan wajar  diberi perhatian:

1)    Pihak kerajaan  atau swasta  dikehendaki  menyediakan ruang perkhidmatan menjaga bayi  di mana para ibu dapat memantau dan menyusu bayi menurut waktu  tertentu.

2)     Rumah penjagaan bayi dikendalikan sepenuhnya oleh pihak kerajaan  dengan  menyediakan bangunan, jururawat  dan pekerja-pekerja sepenuh masa. Semua mereka  yang berkenaan perlu menjalani kursus dan lulus sebelum diterima bekerja di rumah-rumah penjagaan bayi.

3)    Kerajaan mengeluarkan  buku manual bagi panduan rumah jagaan yang bertauliah dan dipantau perjalanan. Ia juga sebagai panduan ibu bapa.

Semua langkah  yang diambil, lantaran  seorang bayi adalah aset negara, perkembangan secara sihat dan teratur  memberi kebaikan dan keuntungan bagi negara. Negara dan sudah tentulah ibu bapa mau seorang bayi berkembang dengan sihat dan maukan anak berkenaan bila besar berjaya di dalam pelajaran dan berjasa kepada ibu bapa, keluarga, agama dan bangsa.

 

Sekian.

No comments:

Post a Comment