October 4, 2020

 

UNIVERSITI AMAT TINGGI PADA TANGGAPAN

(Fikrah Bangi:  766),

BBB:   16 Safar 1442H. = 04 Oktober 2020M. (Ahad).

Pada ketika diri masih pada peringkat sekolah rendah, bahkan pada ketika umur pada peringkat permulaan sekolah menengah pengajian di universiti sesuatu yang  tidak mungkin dicapai. Ia adalah pengajian begitu tinggi dicapai dan tidak mungkin bagi orang biasa. Universiti pengajian yang amat tinggi. Tanggapan  pada masa orang mengaji di universiti ialah yang mampu menguasai semua ilmu !

Semasa negara sedang berjuang untuk kemerdekaan, individu yang lulus universiti boleh dibilang dengan jari. Tiada wujud lagi universiti di negara ini. Seolah tiada rakyat yang layak. Menjelang kemerdekaan yang tercetus bagi mewujudkan pengajian tinggi di negara ini ialah  pada peringkat kolej. Atas kemurahan hati  DYMM Sultan Hishamuddin Sultan Selangor Baginda menghadiahkan bangunan istana di Klang menjadi kampus bagi pengajian  tinggi terawal di negara ini, iaitu Kolej Islam Malaya (1956). Untuk mencari anak tempatan mengetuai kolej ini menjadi kesukaran,lalu Profesor Dr. Abdul Rauf dari Timur Tengah dijemput menjadi Pengetua Pertama. Sememangnya berkat dari keikhlasan Tuanku Sultan, ramai cendekiawan dan pemuka-pemuka tanah air lahir dari sini.

Menjelang kemerdekaan, negara belum mempunyai universiti, yang ada pada masa itu ialah Universiti Singapura. Tiada mudah bagi rakyat negara ini untuk menyambung pengajian di sini. Hanya yang benar-benar berkelayakan dapat menyambung pengajian di sana. Permulaan kemerdekaan mereka yang lulus dari universiti dapat dibilang dengan jari. Yang diketahui dari Malaya yang lulus dari universiti Singapura kebanyakannya di dalam bidang sastera seperti Ali Ahmad (Nora) yang pernah menjadi Menteri Kabinet Malaya, Hasan Ahmad (Pengarah Dewan Bahasa),  Anis Sabirin (Penulis), Aminuddin Baki (Pendidikan)  dan beberapa yang lain. Manakala bidang sains lebih sedikit, mereka seperti Mahathir Mohamad, Hasmah Ali, Ungku Omar dan beberapa yang lain. Dalam bidang agama seperti Abdul Jalil Hasan, Nik Mahyuddin dan beberapa  pensyarah Kolej Islam yang mereka lulus dari Mesir. Yang lulus dari England seperti Tunku Abdul Rahman dalam bidang undang-undang dari  England  dan Abdul Razak Hussein juga dari England. Dalam bidang ekonomi seperti Ismail Ali dari London. Dan beberapa yang lain dalam bidang-bidang yang lain. Apa yang dapat dikatakan pada zaman permulaan kemerdekaan amat kurang yang berkelulusan universiti.

Kelulusan yang dianggap tinggi di dalam negara yang layak menjadi pegawai dan pentadbir ialah yang lulus Malayan Certificate of Education  (MCE), iaitu taraf pengajian menengah yang menggunakan bahasa Inggeris.

Ketiadaan pengajian pada peringkat universiti di negara ini adalah merupakan kekurangan. Menjelang kemerdekaan sudah diwujudkan Dasar Pelajaran di negara ini yang dikenali dengan Dasar Pelajaran Razak (1956) yang menjadi panduan bagi Dasar Pelajaran Negara dan juga Dasar Bahasa Negara. Menurut perancangan 10 tahun selepas kemerdekaan bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan dan rasmi dan sepatutnya sepuluh tahun selepas itu selepas diwujudkan pengajian pada peringkat menengah,maka universiti  yang menggunakan bahasa kebangsaan diwujudkan. Tetapi sebelum wujudnya universiti beraliran kebangsaan, universiti yang diwujudkan di negara ini ialah Universiti Malaya (1959) di Lembah Pantai, Kuala Lumpur. Ia adalah belahan dari Universiti Singapura yang menampung pelajar yang lulus MCE dan HSC terbaik di Malaya. Dalam tempoh transisi pengajian menengah Melayu yang menggunakan bahasa Melayu yang diberi peluang menyambung ke pengajian  di Universiti Malaya bermasalah,kerana tidak mampu menguasaibahasa Inggeris ? Ramai dari pelajar berkenaan tidak mencapai kelulusan yang baik,bahkan ada yang gagal. Sepatutnya menguasai bahasa Inggeris ini bukan bermasalah, kerana bahasa ini dipelajari sama pada peringkat menengah.

Lantaran  itu perjuangan mewujudkan universiti yang beraliran kebangsaan menjadi isu dalam dekad 1960an. Apa yang nyata hingga ke akhir 1960an negara kurang dari pengajian peringkat universiti. Sebuah universiti saja di negara ini tidak memadai. Kesedaran sepatutnya tidak pada isu bahasa sahaja, tetapi pada isu mutu pengajian yang sepatutnya  dituntut bersama mewujudkan  universiti-universiti di negara ini.

Mulai dari dekad 1970an  memperlihatkan kelahiran beberapa universiti di negara ini,  misalnya Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Universiti Pertanian Malaysia, Universiti Utara Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Malaysia Sabah dan Universiti Malaysia Sarawak.

Universiti amat dipandang tinggi. Dengan pertambahan pengajian tinggi di negara ini diharap mempertingkatkan mutu pengajian dan mempertingkatkan kemajuan negara yang diharap antaranya  digerakkan  oleh daya intelektual dari pengajian-pengajian tinggi di negara ini.

Sekian.

No comments:

Post a Comment