October 23, 2020

 

MEMBENTUK  BANDAR  ILMU

(Fikrah Bangi: 783),

BBB: 06 Rabi`ul-Awal 1442H. = 23 Oktober 2020M. (Juma`at).

 

Universiti berdikari dan benar-benar otonomi adalah universiti yang berusaha menjadikannya benar-benar pusat ilmu yang melengkapi keperluan kehidupan berdasarkan  ilmu. Tujuan universiti ini menjadikan universiti pusat kecemerlangan ilmu, menyediakan berbagai-bagai keilmuan, menyediakan pimpinan keilmuan dan pentadbiran,menyediakan guru-guru yang berkelayakan dan berprestasi tinggi, menyediakan kemudahan-kemuhadan yang diperlukan bagi pengajian, menawarkan pengajian kepada pelajar-pelajar yang berkelayakan, mengeluarkan lulusan-lulusan yang berkebolehan dan berdikari.  Pelajar-pelajar bakal menjadi pemimpin di dalam berbagai bidang.

Bagi tujuan di atas, sebagaimana telah disebutkan, sebuah kawasan yang luas bagi kep[erluan dan tidak semestinya di dalam bandar, kerana sukar mendapat kawasan yang luas. Tempat yang sesuai adalah di pinggir bandar dan mempunyai kemudahan perhubungan.

Di dalam kampus berkenaan ada pusat pentadbiran yang diketuai pentadbir berpengalaman yang dapat mengatur bukan saja dari segi pentadbiran  tenaga sokongan, tetapi pentadbiran harta, bangunan dan kawasan-kawasan latihan. Ada ketua bahagian pentadbiran kewangan, dana dan harta waqaf dan bertanggungjawab bagi meningkatkan dana dan harta waqaf.

Tokoh tertinggi adalah mahaguru yang berkeilmuan tinggi dan dihormati,boleh dikenali sebagai `Allamah`,  `Canselor`, Rektor` dan sebagainya. Dia dan pasukannya mengatur struktur akademik dan keilmuan-keilmuan yang perlu disusun dan bahan-bahan bagi disampaikan kepada pelajar. Mengatur kaedah-kaedah penyampaian keilmuan tertinggi, mengatur penerbitan dan penghasilan keilmuan sehingga universiti terkenal sebagai universiti terbaik dari segi keilmuan.

Sebagaimana disebutkan universiti berperanan menyampaikan keilmuan, kecendekiaan, latihan dan pengalaman.

Dilihat dari segi perkembangan fizikal universiti berdikari ini mewujudkan sebuah `Bandar Ilmu` yang mencerminkan `Negara Berilmu`. Bahagian sentral bangunan dipuncaki  Pusat Rohani `sebagai  lonjakan seni jiwa dan hati roihani` yang mengindahkan fizikal dan keinsanan.  Kelilingnya sebagai lengkongan kedua perpustakaan sesuai dengan zaman terkini, pusat pentadbiran, dewan-dewan, bilik-bilik kuliah dan pengajaran. Keliling bagi  bulatan ketiga ialah bangunan-bangunan fakulti dan pentadbiran. Bagi lengkongan keempat ialah bangunan pentadbiran dan kegiatan mahasiswa. Dalam lengkongan ini juga  bertempat kolej-kolej kediaman. Tempat-tempat kegiatan sukan, padang dan berbagai jenis sukan yang sesuai.

Lengkongan kelima adalah pusat-pusat komersil yang dimiliki universiti yang ditadbirkan secara langsung – khususnya sebagai tempat-tempat latihan. Turut disediakan beberapa sekolah bagi pelajar-pelajar pilihan yang juga sebagai tempat kajian dan latihan pengajaran bagi pelajar di dalam bidang pendidikan. Terdapat juga bangunan hospital bagi universiti untuk latihan dan keperluan setempat.

Pada sebahagian dari kampus terdapat kediaman bagi tenaga pengajar dan juga bagi pelawat. Terdapat juga bangunan sebagai hotel untuk mereka yang melawat dan ibu bapa yang datang mengunjungi anak-anak dan mereka yang mengikuti pengajian secara tidak formal. Pada bahagian ini juga terdapat pasaraya dan kedai-kedai dan bank-bank. Konsep bangunan di universiti berasaskan falsafah, ciri seni dan identiti universiti yang direkacipta khusus dan diolah kepada  realiti lahiri.

Dikejauhan dari lima lingkungan ini terdapat bangunan-bangunan bengkel, industri  dan kilang, makmal-makmal, pusat-pusat penghasil makanan dan berbagai penghasilan..

Pada lingkungan keenam ialah terdapat sawah, ladang, kebun-kebun berbagai buah-buahan, pusat-pusat ternakan, tempat latihan binaan. Lengkongan ketujuh ialah kawasan hutan, larian sungai dan rekreasi yang  juga menjadi pusat kajian.

Selain daripada bangunan induk universiti berdikari di atas universiti yang banyak bergantung pada hasil waqaf dan aset-aset yang lain, tidak menghalang dari memiliki aset-aset yang tidak semestinya berada di dalam kampus induk. Ianya waqaf  yang  dikurniakan misalnya oleh kerajaan  negeri,  pihak swasta dan orang perseorangan. Begitu juga  universiti memiliki hartanah komersil di bandar-bandar, memiliki kedai-kedai komersil yang ditadbir sendiri atau disewakan, memiliki hotel dan tempat rekreasi, memiliki saham, kerjasama dengan pihak lain misalnya mengeluarkan makanan dan sebagainya yang ianya dapat dijadikan juga tempat latihan bagi  pengajar dan pelajar.

Dilihat dari segi fizikal universiti berdikari yang memerlukan kelengkapan fizikal bagi kawasan operasinya menjadikannya sebagai `Bandar Ilmu` yang terkawal. Terkawal dari segi pembinaan fizikal dan susunatur, terkawal dari segi kependudukan, terkawal dari segi kegiatan dan perkembangan.

Bila universiti ini beroperasi berlaku keharmonian yang terpancar dari kelompok masyarakat berilmu yang meningkatkan prestasi manusia  berkualiti yang  dapat memajukan negara, agama  dan bangsa.

Sekian.

No comments:

Post a Comment