October 25, 2020

 

RUANG LINGKUP  KEILMUAN

(Fikrah Bangi:  785),

BBB:  08 Rabi`ul-Awal 1442H. = 25 Oktober 2020M. (Ahad).

 

Maksud ruang lingkup keilmuan di atas adalah mendekati istilah kurikulum, tetapi di sini tidak digunakan istilah kurikulum ini, kerana terhad dan tidak mencerminkan maksud yang dikehendaki.

Ada beberapa hiraki dan martabat yang dituju bagi memenuhi ruang lingkup keilmuan.

Pertama:  Tahap tinggi yang menepati dengan peradaban yang dihasilkan oleh ilmu berkenaan.

Kedua:  Tahap tamadun terhasil  dari intelektual yang dipupuk oleh ilmu. Ini adalah tahap yang dihasilkan oleh ilmu dan kemajuan manusia yang dapat disaksikan dengan mata kepala dan manusia berada di dalam arus kemajuan yang berkenaan.

Ketiga:  Tahap awam yang mereka berjuang bagi kepentingan kehidupan fizikal diri dan perlu bimbingan berterusan.

Bagi persediaan ruang lingkup berkenaan, terutama bagi peringkat menyediakan ruang lingkup dan panduan bagi tahap peradaban dan juga bagi tahap tamadun memerlukan pakar-pakar  di dalam berbagai bidang, kalau pun tidak pada tahap merangka dan menyusun, ialah memberi pendapat dan sumbangan ide yang dapat dibina ruang lingkup ilmu berkenaan.

Apa yang dimau pada tahap peradaban adalah bahan dan mahaguru-mahaguru  yang dapat memandu pengajian dan pelajar secara`Hakikat dan Hikmat` bagi ruang lingkup peradaban berkenaan. Antaranya berpandukan turath tradisi yang mencirikan peradaban yang pernah dicapai dalam memandu kepada Hakikat dan Hikmat terkini.

Misalnya dari Al-Qur`an melahirkan variasi ilmu yang diolah oleh para ilmuan Islam misalnya tentang kewujudan, hakikat Ketuhanan, kealaman, kemanusiaan dan keihsanan. Dari  jalur rohani  diolah oleh Al-Ghazali dan Ibn `Ata`illah al-Sakandari. Dari  jalur akidah diolah oleh Ash`ari-Maturidi ke Maududi. Dari jalur shari`ah diolah oleh mazahib empat ke Al-Qaradhawi. Dari jalur tafsir diolah oleh seperti Ibn Kathir hingga ke Hamka. Dari jalur sejarah dan kemasyarakatan  diolah oleh seperti Ibn Khaldun dan Al-Shahrastani. Dalam bidang matematik ialah seperti Khawarizmi dan Al-Jabbar dan dalam bidang perubatan seperti Ibn Sina dan Ibn Rushd dan sebagainya. Demikian sebagai contoh. Tetapi semuanya seharusnya tidak terhenti dan noktah pada peringkat yang dicapai, tetapi seharusnya diolah ke tahap-tahap peradaban yang patut dicapai, termasuk bidang-bidang yang lain kepada penerokaan yang lebih luas bersifat hakikat dan hikmat. Ruangnya adalah terbuka. Tahap berkenaan mencapai nilai dan peradaban.

Pada  tahap tamadun, adalah lebih jelas dari segi ruang lingkupnya, iaitu perkembangan keilmuan semasa di dalam berbagai bidang. Misalnya keperluan mendapat pelajaran adalah sesuatu yang asas yang perlu disediakan oleh pemerintah hingga tak ada yang tidak mendapat pelajaran  asas dan perlu. Apa yang menarik adalah bidang ekonomi Islam yang dulu bidang ini bagai tertutup, tetapi dengan pengolahan baru, ia adalah bidang yang   terbuja maju dan berbagai produk ekonomi Islam terhasil, diolah dan masih berkembang. Ini contoh bidang yang harus terus diteroka dan dapat dimanfaatkan oleh mereka yang Islam dan bukan Islam.

Bidang yang bersifat neutral dan tidak dipengaruhi ideologi, ialah perkembangan IT  itu sendiri yang amat banyak dimanfaatkan dari segi komunikasi wajar diteroka dan diperkembangkan melalui genius manusia untuk kepentingan kemajuan. Bidang-bidang yang lain yang dapat dicontohi ialah bidang pertanian dan perladangan dan segala yang berhubung dengan permakanan, ia seharusnya diteroka bagi kepentingan manusia agar hidup tidak kecukupan makanan hingga mencapai tahap kelaparan. Demikianlah dengan bidang pembangunan fizikal perumahan yang menghimpit manusia,kerana tidak mempunyai kewangan bagi mendapat tempat perlindungan yang jika  dilakukan secara saksama, seharusnya tidak ada manusia yang tidak ada tempat perlindungan.

Dalam apa bidang juga yang menyokong dan memperkukuhkan tamadun yang membentuk hidup di bandar dan kota, manusia yang berada  pada tahap biasa dan menengah ini adalah golongan yang sering lalai dan terabai dari nilai dan etika baik dan buruk. Aspek hakikat dan hikmah yang dicapai oleh kalangan atasan dari segi keilmuan perlu diperturunkan kepada mereka. Misalnya mendidik mereka menjauhi dari sifat kejelikan. Misalnya kekejian sifat tamak, menipu, mencuri, rasuah dan berbagai sifat kekejian yang perlu dihindari.

Pada tahap rendah ialah kalangan yang kurang akal dan menjadi beban masyarakat. Kalangan mereka ini tidak boleh ditolak, tetapi mereka perlu kepada keihsanan bimbingan  dan berhak untuk hidup.

Tahap yang menjadi fokus pendidikan keilmuan yang dibicarakan ialah tahap membina peradaban dan ketamadunan bagi manusia. Bagaimanakah pendidikan keilmuan sedemikian seharusnya  disampaikan dan siapa seharusnya menyampaikan ?

Sekian.

No comments:

Post a Comment