October 17, 2020

 

SUMBER ILMU DI UNIVERSITI TERABAI ?

(Fikrah Bangi:  778),

BBB:   29 Safar 1442H. = 17 Oktober 2020M. (Sabtu).

Satu tradisi  yang baik bagi pelajar-pelajar di  universiti, bahawa setiap pelajar yang  bakal keluar dari universiti bagi ijazah pertama, baik dari mana jabatan dan fakulti diwajibkan menulis sebuah latihan ilmiah yang dinilai dengan unit yang lebih tinggi dari kursus yang lain diikuti. Sebahagian besar markah adalah dinilai dari latihan ilmiah ini untuk melayakkannya mendapat ijazah sama ada kepujian atau lulus biasa, bahkan gagal. Laihan ilmiah ini adalah merupakan  intisari dari keilmuan yang dipelajari pelajar hingga melayakkannya menerima ijazah.

Bagi ijazah yang lebih tinggi, contoh ijazah sarjana, sama ada ianya  sebahagian dari keperluan di dalam mengikuti ijazah sarjana, atau tesis sepenuhnya, maka kelulusan bergantung kepada tesis sarjana. Pelajar ijazah sarjana perlu menghasilkan tesis yang baik dan bermutu untuk melayakkannya mendapat ijazah secara kepujian. Bagi pelajar ijazah Doktor Falsafah, sama seperti ijazah sarjana, tesis sebahagian dari penilaian yang mengikuti ijazah secara kursus atau sepenhnya menulis tesis Doktor Falsafah. Perlu diingat bagi setiap kerja sama ada latihan ilmiah bagi ijazah pertama, sarjana dan Doktor Falsafat, setiap penulis ada penyelia, seorang bagi ijazah pertama dan seorang dan lebih bagi ijazah  sarjana dan demikian juga bagi ijazah Doktor Falsafah. Apa yang mahu ditekankan, bahawa setiap pelajar bagi semua peringkat dengan penyelia masing-masing berusaha menghasilkan kajian dan penulisan yang terbaik. Bagi penyelia juga  kerja menyelia adalah sebahagian keperluan bagi kenaikan pangkat. Pendek kata kerja menghasilkan latihan ilmiah dan tesis adalah kerja bersungguh-sungguh agar ianya merupakan satu hasil kerja bermutu sebagai bukti kejayaan dalam pelajaran.

Apa yang hendak ditarik perhatian,  kerja-kerja bermutu ini pada kebiasaan selepas tamat pengajian  tersimpan dan tidak dimanfaatkan, kecuali bagi yang berusaha, biasanya dengan inisiatif sendiri berusaha menerbitkan.

Penulisan bersifat akademik sedemikian adalah sumber ilmu yang dihasilkan di universiti. Banyak sumber ilmu yang dapat dimanfaatkan. Bayangkan jika jumlah

Lulusan Doktor Falsafa (Ph. D.) seluruh negara, termasuk yang belajar di luar negara seramai:

Lulusan   Doktor Falsafah              1,500 orang

Lulusan  Sarjana                             3,500 orang

Latihan Ilmiah                                15,000  orang

 Bererti ada  20,000 penulisan  (tentu lebih banyak  lagi) tersimpan di universiti).

Sudah tentu sebahagian besar dari tulisan-tulisan ilmiah di atas ada yang bermutu dan wajar disebar dan diketahui, bahkan dijadikan bahan pengajian dan rujukan pelajar-pelajar dan mereka yang berminat. Pertanyaan kita apakah perkara ini tidak dlihat oleh pihak pengajian tinggi  untuk mewujudkan satu sekretariat bagi meneliti bahan-bahan yang terbaik, diwujudkan penerbit-penerbit khas dan dipasarkan. Ianya memberi faedah.

1)    Memperkayakan sumber keilmuan di dalam berbagai bidang, dimanfaatkan.

2)    Merancakkan penerbitan buku atau bentuk baru sesuai dengan  perkembangan teknologi.

3)    Menjadikan sumber  industri dan perniagaan buku

4)    Menjadi sumber kewangan bagi universiti.

5)    Penulis mendapat royalti dari penerbitan bahan penulisan yang dihasilkan.

6)    Penulis dapat melunaskan hutang pengajian.

7)    Bagi hasil penulisan bermutu dan diterbitkan mengagkat nama penulis dan memudahkan mendapat pekerjaan dan kenaikan pangkat.

8)    Dengan mutu penulisan yang dihasilkan menggalakkan penulis untuk menulis hasil penulisan yang lain.

9)    Dengan banyaknya sesuatu universiti menerbitkan bahan-bahan penulisan bermutu meningkatkan nilai universiti sebagai universiti berprestage.

10)                       Negara yang banyak menghasilkan buku yang bermutu menandakan ianya adalah negara berilmu – contohnya negara jepun. Negara yang mementingkan ilmu adalah negara yang maju.

Oleh kerana penulisan ilmiah, sarjana dan Dr. Falsafah mencerminkan tingkat dan tahap ilmu yang dicapai seorang pelajar, maka tradisi mewajibkan pelajar menghasilkan tahap-tahap penulisan sedemikian terus dikekalkan, ditambah baik dan diangkat di dalam penilaian. Pihak universiti dan pengajian tinggi perlu memberi perhatian dan galakan. Misalnya secara tahunan dianugerahkan tesis terbaik di dalam bidang-bidang tertentu dan diterbitkan.

Pihak kementerian dan universiti perlu mengadakan acara tahunan konvensyen, pameran dan penjualan buku-buku serta menggalakkan pelajar r dan orang ramai berminat dan terus membudayakan masyarakat membeli dan membaca buku. Dengan demikian  universiti rancak dengan ilmu dan penerbitan buku. Orang ramai menjadi masyarakat yang menghargai buku dan ilmu dan negara pula menjadi negara buku dan berilmu.

Sekian.

No comments:

Post a Comment