October 22, 2020

 

UNIVERSITI  BERDIKARI - WAQAF

(Fikrah Bangi:  782),

BBB: 05 Rabi`ul-Awal 1442H. = 22 Oktober 2020M. (Khamis).

Bagi mereka yang layak ke universiti  kini menghadapi beberapa masalah. Antaranya, bagi pelajar yang keluarga miskin adalah menghadapi  persoalan kewangan.  Pada peringkat permulaan universiti ditubuhkan di negara ini dan pelajar berkelayakan masih kurang mudah mendapat biasiswa dari kerajaan atau dari berbagai pihak yang menajakannya. Kalau tidak mendapat biasiswa dapat juga dermasiswa yang kurang jumlahnya dari biasiswa. Kini kalau tiada kewangan pelajar dapat membuat pinjaman dari kerajaan. Masalahnya bila keluar dan bekerja sebahagian daripada peminjam liat untuk membayar dan terus berhutang dan rela mereka menerima berbagai sekatan. Peluang pinjaman masih diteruskan. Tonggakan hutang makin bertambah dan menyekat peluang bagi mereka yang lain untuk meminjam.  Satu cara bagi mengatasi kini digalakkanbagi  ibubapa mencarum bagi peluang masa depan anak-anak untuk belajar. Setakat ini belum jelas tentang kejayaan.

Satu model pengajian tinggi  yang dapat mengelak pelajar-pelajar dari berhutang ialah dengan memberi otonomi sebenarnya kepada universiti mengendalikan pentadbiran dan kewangan dan pelajar tidak perlu berhutang, bahkan belajar percuma dan tak perlu membayar hutang. Bagaimana ?

Model dapat dicontohi dari Universiti Al-Azhar, Mesir. Pelajar yang belajar di sana yang datang dari berbagai negara boleh datang belajar dengan tidak dikenakan yuran dan ada bantuan. Universiti ini berdikari dan tidak menyusahkan kerajaan. Universiti  ini mempunyai aset yang banyak yang terdiri dari harta waqaf. Harta waqaf ini kadangkala diberi pinjam kepada pihak tertentu. Model pengajian sedemikian dapat dilihat dari pengajian tradisi seperti pengajian pondok. Pelajar-pelajar pengajian pondok dahulu seperti di Kedah, Kelantan, Terengganu dan  beberapa tempat yang lain juga tidak dikenakan bayaran. Pelajar di samping belajar, akan bekerja di sawah, ladang ternakan  dan sebagainya yang menjadi milik pondok, mereka mendapat upah dan sedekah dari masyarakat. Mereka juga bergantung pada harta waqaf pondok dan mampu belajar dengan cara hidup amat sederhana dan dapat meneruskan pengajian.

Zaman kini terdapat pesantrin-pesantrin di Indonesia yang menawarkan pengajian percuma kepada pelajar. Selain dari menghadiri sesi pengajian, mereka dikehendaki turun ke sawah, ladang dan berbagai aset pondok. Darinya mereka mendapat ganjaran dan meneruskan  pengajian secara percuma.

Mungkinkah dapat didirikan universiti percuma di dalam negara kita pada zaman kini ? Mungkin boleh, iaitu dengan mengadakan pilot projek moden yang memberi universiti otonomi mengendalikan penubuhan dan pengajian percuma kepada pelajar. Kaedahnya perlu terkini dan sesuai dengan kehidupan kini.

Sebenarnya pada peringkat awal UKM ditubuhkan dan diwujudkan Bandar Universiti – Bandar Baru Bangi, dapat dijadikan contoh. Tapi kewujudan Bandar Baru Bangi, sekadar Bandar Universiti yang tidak ada misi, visi  dan kesedaran. Pada hakikatnya kedua-duanya tidak berkenaan, UKM tidak ambil peduli pun tentang Bandar Baru Bangi, begitu juga sebaliknya.

Kita dapati ada beberapa Bandar Universiti seperti Oxford dan Cambridge, bahkan Harvard yang berdikari kerana mempunyai aset sendiri yang mencukupi.

Dalam keadaan sekarang  universiti-universiti menyedari kelemahan pelajar-pelajar yang keluar, kerana tiada kemahiran bekerja, maka kini, (tidak peringkat awal), pelajar-pelajar dikehendaki menghadiri kursus industri seperti di kilang-kilang, bahkan di jabatan dan sebagainya. Kaedah seperti ini hanya memberi pengalaman bekerja, tetapi tidak bersifat berdikari.

Universiti Berdikari dan Percuma  dapat diadakan dengan mengadakan satu pilot projek sahaja dahulu bagi melihat berjaya atau tidak. Iaitu dengan mewujudkan, ``Kampus Bandar Universiti` di kawasan yang luas dan tidak semestinya di dalam bandar, sebaliknya di pinggir bandar.  Kampusnya disusun secara layout yang kreatif, inovatif dan menarik. Dari satu segi ianya dilihat sebagai bandar taman ilmu.

Kampus ini mempunyai kawasan ribuan hektar tanah. Di dalam kampus ini mempunyai bangunan pengajian,  pentadbiran, masjid, surau, padang sukan, hospital dan klinik.  Berhampiran universiti ada asrama-asrama yang pada peringkat permulaan dihadkan kepada katakan 3,000 pelajar. Universiti mempunyai rangkaian kedai-kedai, super market dan bank  sebagai kawasan komersil. Jauh sedikit universiti mempunyai bengkel-bengkel kenderaan dan kedai yang menjual berbagai jenama kenderaan. Universiti juga mempunyai kawasan kilang dan industri berat dan ringan.  Jauh sedikit dari pusat bandar ada ladang-ladang pertanian  yang luas yang diusahakan oleh universiti, manakala pada bahagian yang lain ada bahagian ternakan lembu kambing,  biri-biri, itik ayam, arnab dan kolam ikan dan sebagainya. Selain daripada itu universiti ada rumah-rumah sewa dan tempat rekreasi, budaya dan seni yang boleh didatangi pihak luar untuk melancong dan kawasan rehat.

Ini merupakan aset asas yang perlu diwujudkan bagi sebuah universiti  bersifat waqaf dan percuma dan pengisian dan  pentadbiranya  dijalankan saecara professional.

Akan dibincangkan selanjutnya.

Sekian.

No comments:

Post a Comment