PENDIDIKAN PRA-SEKOLAH
(Fikrah
Bangi: 647).
BBB:
14 Safar 1442H. = 02 Oktober 2020M. (Juma`at).
Dimaksudkan
pendidikan pra-sekolah, ialah pendidikan selepas bayi dihantar ke taman asuhan dan menjelang persekolahan formal,
ketika anak-anak berumur antara 4- 6 tahun. Berbagai nama diberi kepada
pendidikan pra-sekolah ini, antaranya tadika, tabika, taska, pasti dan berbagai
lagi. Adalah menjadi trend pendidikan, bahawa
bagi anak-anak yang berada di
dalam lingkungan di atas, maka ibu bapa akan
menghantarkan anak-anak mereka ke sekolah tadika atau yang seumpama nama
dengannya. Penghantaran bukan kerana ibu
bapa bekerja, tetapi bagi ibu yang tidak bekerja juga. Ibu bapa mengharapkan
anak—anak mereka didedah dengan
pendidikan pra-sekolah, mampu mengenal huruf, membaca dan mengira. Anak-anak
menjadi pandai lebih awal dan lebih mudah bergaul dengan anak-anak yang lain
dan tidak ketinggalan mendapat pelajaran berbanding dengan anak-anak yang lain yang
kebanyakan mereka mendapat pendidikan pada peringkat pra-sekolah.
Persesoalan yang timbul apakah pendekatan pengajian dan
mutu pembelajaran dan pendidikan yang
diterima anak-anak ? Apakah pihak yang mengendalikan pendidikan lebih
mementingkan aspek komersil dari tujuan pendidikan per se ? Sewajarnya pihak ibu bapa dan kerajaan
memberi perhatian. Sesungguhnya
pendidikan tahap sedemikian sudah menjadi sebagai keperluan,bahkan kemestian
bagi ibu bapa.
Kita
berpendapat tahap pendidikan ini wajar
diletakkan di bawah Kementerian Pendidikan. Jika tahap ini tidak diambil secara
terus oleh pihak Kementerian, maka sewajarnya pendidikan sedemikian dipantau
secara dekat. Perkara-perkara seperti berikut diberi penekanan.
1)
Penyeragaman kurikulum dan
penyesuaian hendaklah dipastikan bermutu dan ianya hendaklah disediakan secara
profesional oleh Kemnenterian Pendidikan. Ianya hendaklah disedia dan diselia
penggunaan dan perjalanannya.
2)
Guru-guru hendaklah berkelayakan.
Kementerian Pendidikan hendaklah membuat syarat keperluan, memilih dan memberi
kursus yang perlu diikuti dan perlu lulus sebelum seorang guru itu berkhidmat
sebagai seorang guru yang bertauliah dan berjawatan tetap.
3)
Mempunyai bangunan yang sesuai sebagai
bangunan pendidikan, mempunyai kelas secara teratur dan menurut keperluan dari
segi kesaihatan.
4)
Mempunyai kantin bagi makan minum
kanak-kanak secara bersih dan sihat. Mutu makanan hendaklah dijaga dan
dipantau.
5)
Mempunyai padang permainan anak-anak
untuk riadah dan berbagai kegiatan fizikal.
6)
Sebaiknya bangunan persekolahan bukan milik
perseorangan, tetapi oleh pihak kerajaan dan mendapat biaya dari pihak kerajaan.
7)
Ada jawatankuasa tadbir yang terdiri
dari pihak sekolah dan ibu bapa.
8)
Ada penilaian dari segi
pelajaran oleh pihak pemerintah. Juga
penilaian terhadap aspek-aspek yang lain.
9)
Bayaran yang dikenakan terhadap
anak-anak hendaklah berpatutan dan dikawal pihak kerajaan.
10)
Mendapat subsidi dari pihak kerajaan
terhadap anak-anak miskin, bahkan
subsidi terhadap sekolah.
Dan beberapa perkara lagi yang boleh ditambah.
Misalnya penekanan bukan saja terhadap pendidikan pelajaran, tetapi adab dan
akhlak dan latihan ibadat.
Mutu pendidikan
sejak pendidikan pra-sekolah ini hendaklah dijaga dan sejak awal ini anak-anak hendaklah ditanam
sifat suka kepada pelajaran dan rajin. Kesihatan anak-anak diberi penekanan
dengan beriadah. Pihak kerajaan wajar mengadakan
pasukan pemantau kesihatan anak-anak dengan pasukan ini melawat dari masa ke
masa menurut jadual yang ditentukan.
Dengan melahirkan anak-anak yang maju dalam pelajaran, sihat dan bermotivasi
memudahkan anak-anak ini meningkat kepada pengajian pada peringkat pengajian
sekolah rendah.
Kita mau anak-anak sejak dari peringkat taman asuhan
hingga pra-sekolah diberi perhatian dari segi pendidikan bukan saja oleh pihak
ibu bapa, tetapi juga oleh pihak kerajaan.
Sebagai aset negara kita mau warga negara berilmu dan
sempurna.
Sekian.
No comments:
Post a Comment