October 8, 2020

 

PENGAWASAN  DAN  MUTU  UNIVERSITI

(Fikrah Bangi:  770),

BBB:  20 Safar 1442H. = 08 Oktober 2020M. (Khamis).

Kita bersyukur kepada Allah dan merasa senang, bahawa di negara kita mempunyai sejumlah 30 universiti awam dan swasta. Satu jumlah mencukupi bagi warga negara dan dari luar negara untuk mendapat pelajaran.

Walau bagaimana  dengan jumlah yang begitu banyak, tentulah ada perbedaan penyampaian keilmuan, antaranya kepakaran keilmuan dari kalangan tenaga pengajar,  perbedaan antara bidang, perbedaan pencapaian yang dilihat dari kebolehan pelajar yang dikeluarkan dan perbedaan menyeluruh antara satu universiti dengan universiti yang lain. Perbedaan juga dapat dilihat kepada yang lebih kecil. Misalnya:

·         Mutu kandungan kursus di dalam bidang-bidang yang ditawarkan.

·        Infra-struktur seperti kampus dan kemudahan peralatan pengajaran.

·        Kemampuan pensyarah  dari segi keilmuan dan penyampaian.

·        Persediaan sumber ilmu seperti perpustakaan dan berbagai kaedah capaian.

·        Kegiatan pelajar di dalam kerja lapangan, hubungan kemasyarakatan, sukan

 dan berbagai kegiatan kemahasiswaan.

Kita percaya negara yang melihat universiti sebagai mekanisme memajukan negara memberi perhatian terhadap universiti, lebih-lebih lagi swasta dan cawangan universiti negara lain di negara ini agar:

·        Universiti benar-benar berperanan memajukan negara.

·        Walaupun universiti diberi otonomi, tetapi seharusnya dipantau agar mutu terkawal,  tidak timbul penentangan  akibat dari unsur negatif yang ditimbulkan, terutama dari  pihak swasta dan cawangan universiti dari luar.

·        Mempastikan imej,  identiti Malaysia dan kecintaan terhadap negara. Ini perlu ditanamkan terutama pada universiti swasta dan cawangan universiti dari luar negara.

·        Berdaya saing yang tinggi antara universiti. Dengan yang demikian melonjakkan imej universiti di kalangan universiti tempatan dan di kalangan antarabangsa.

·        Menjadi tarikan bagi pelajar sama ada tempatan dan dari luar untuk menyambung pengajian di negara ini.

Bagi menjamin terutama dari segi mutu, kerajaan,khususnya kementerian yang berhubung dengan pengajian tinggi janganlah dikenali hanya dengan isu-isu yang berbangkit, tetapi seharusnya mempunyai perancangan dan pemantauan bagi semua universiti sama ada uiversiti awam, swasta dan cawangan universiti dari luar negara

Kementerian hendaklah mempunyai dasar, polisi, perancangan dan pelaksanaan yang setiap universiti yang diwujudkan menurut dasar berkenaan. Kerajaan tidak seharusnya mengikut kehendak dan cadangan  pihat tertentu dan mengikut tanpa menurut dasar yang ditentukan. Janganlah penubuhan satu universiti bersifat `universiti-universitian`  semata-mata, hanya sekadar nama, tetapi dari segi hakikat dan mutu bukan bertaraf universiti.

Penilaian terhadap mutu universiti terpancar dari dalaman dan luaran. Dari segi dalaman sebelum ditubuh sudah tentu ada jawatankuasa pakar dan berwibawa yang dapat menampilkan pra-sarana dan pengisian bagi universiti. Kerajaan adalah penilai utama tentang kesesuaian penubuhan, manakala di dalam universiti itu sendiri ada penapisan nilai yang terdiri dari, unit, jabatan, fakulti, senet dan jama`ah, tahap-tahap yang menilai dan mempastikan mutu universiti terkawal.

Penilaian dari segi luaran dilihat kepada pencapaian universiti. Misalnya kini ada badan penilai yang melihat ranking sesebuah universiti pada peringkat misalnya antara bangsa,  Asia, Asean dan ada yang menilai dari segi bidang-bidang tertentu.

Masyarakat melihat dan menilai sejauh mana komitmen universiti terhadap ilmu dan memberi bimbingan dan manfa`at bagi masyarakat misalnya melalui perancangan tertentu terhadap masyarakat. Mereka menilai terhadap mutu keluaran universiti bila berkhidmat dengan masyarakat, apakah ianya cemerlang atau sebaliknya.

Masyarakat juga menilai terhadap  tokoh tenaga pengajar yang berjasa terhadap masyarakat. Misalnya idea Ungku Aziz mencadangkan supaya ditubuhkan Tabung Haji pada tahun 1960an benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat umat. Profesor Ahmad Ibrahim dilihat tokoh yang mengusahakan penyatuan antara bidang perundangan Islam dengan civil. Bank Islam (cetusan dari kalangan akademik) dilihat sebagai pelopor berbagai produk kewangan Islam yang kini diiktiraf dan diamalkan oleh berbagai negara dan oleh mereka yang Islam dan bukan Islam.

Tidak banyak sebenarnya kecemerlangan yang ditunjuk oleh universiti dan ilmuan darinya, namun kecemerlangan sedemikianlah diharapkan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment