February 25, 2020

PANTAS, LETAK JAWATAN DILANTIK PM INTERIM !


PANTAS , LETAK JAWATAN, DILANTIK PM INTERIM !
(Fikrah Bangi: 489),
BBB: 01 Rajab 1441H.= 25 Februari 2020M. (Selasa).
Dapatlah dikatakan  perubahan pantas hari ini ( Isnin 24 Februari 2020) adalah episod dramatik politik yang bagi setengah adalah mencemaskan, tetapi ada yang melihatnya sebagai mengeciwakan, bahkan ada yang merasa muak dengan perjalanan politik yang tidak menghargai mandat rakyat. Tidak sampai dua tahun amanah yang diberi dan apa yang dikatakan zaman baru itu runtuh dikaki mereka yang diamanahkan. Dua tahun masa berlalu dengan sia-sia.
Drama politik bermula dengan  diterima mengadap Yang Di Pertuan Agong pimpinan yang antaranya di Ketuai Zahid Hamidi dari Muwafakat Nasional, Anwar Ibrahim PKR dan dipuncaki dengan Perletakan Jawatan Perdana Menteri yang suratnya disampaikan kepada Yang Di Pertuan Agong, pada 1.00 tengahari.  Berikutnya Tan Sri Muhyiddin Yasin mengumumkan yang Parti Bumiputra Bersatu keluar dari PH.  Dengan perletakan jawatan Tun Mahathir dari PM dan PH dan keluarnya Bersatu dari PH bermakna PH terbubar dengan sendirinya. Jangkaan ada pihak yang mendakwa mendapat sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan terhapus apabila Tun Mahathir yang meletakkan jawatan  dijemput mengadap ke Istana dan dilantik oleh Yang Di Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri Interim selaku Caretaker` goverment. PKR yang berhasrat menubuhkan kerajaan mengalami keretakan parti, apabila memecat Azmin dan Zuuraida dan bersama-samanya keluar 9 ahli parlimen.. Pihak pimpinan PKR  menyifatkan Azmin sebagai pengkhianat, sedang Azmin menjawab, bahawa beliau dan kumpulannya menggagalkan konspirasi, bukan sebagai pengkhianat.
Berakhirnya pemerintahan PH diperkukuhkan lagi dengan pengumuman Ketua Setiausaha Negara, bahawa dengan perletakan Jawatan Tun Mahathir dari Perdana Menteri, maka pemerintahan  yang terdiri dari Timbalan Perdana Menteri, menteri-menteri dan timbalan-timbalan  terbubar. Jadi dengan pembubaran berkenaan, maka dengan kuasa yang diberi kepadanya sebagai Perdana Menteri Interim, maka beliau berhak melantik kabinet baru  bagi menjalankan pemerintahan sehingga seorang Perdana Menteri yang baru dilantik. Tiada tempoh tertentu perlu dilantik.
Episod yang dilalui oleh Tun Mahathir dilihat makin mengukuhkan kedudukannya. Peluang yang pada asalnya Pakatan Nasional mendapat kesempatan mengukuhkan dirinya mengalami rencatan, apabila Tun Mahathir menegaskan, bahawa perletakan jawatannya, antaranya kerana tidak mau bekerjasama dengan Umno. Namun dalam beberapa masa mendatang ini, akan dilihat kerjasama dengan pihak mana akan dilakukan  bagi menegakkan pemerintahan. Tun Mahathir terpaksa berhadapan dengan Anwar Ibrahim, rival politiknya walaupun dapat disekat dari menjadi Perdana Menteri, sekurang-kurangnya buat masa ini.
Drama pantas politik yang berlaku kini bukan pengakhiran, sebaliknya adalah sebagai permulaan. Parti-parti politik yang mempunyai kuasa  menggugat sedang mengatur strategi. Sidang Parlimen yang akan bersidang tidak terlepas dari gugatan.
Walau bagaimana strategi dan tektik politik nampaknya terus berpihak kepada Tun Mahathir. Namun banyak lagi episod yang akan berlaku mencabar sebarang kelemahan.
Bagi orang ramai bertanya, hingga bilakan episod dan drama politik menjejekkan berterusan. Dua tahun dilihat sebagai pembaziran.  Pembangunan terganggu. Ekonomi makin tenat, pasaran saham jatuh menjunam di bawah dari paras 1,500 terendah sejak 5 tahun yang lalu.
Rakyat tidak senang dengan episod politik yang berlaku. Rakyat mau negara diperintah secara politik matang !
Sekian.

No comments:

Post a Comment