April 24, 2020

DATANG RAMADHAN


DATANG  RAMADHAN

Datangnya  ketika berlaku ujian global
Tiada pernah sebelumnya manusia terancam
Dengan wabak Covid-19, tiada kelihatan
Cepat merebak wabak menuntut korban
Menuju jumlah suku juta kematian
Meruntuhkan  kekukuhan  ekonomi negara
Meningkatkan angka pengangguran dunia
Menjadikan pemimpin dunia
Gelabah mencari penyelesaian.

Datangnya merubah etika norma
Kelainan  dari   kegiatan  harian
Pekerja dikehendaki diam di rumah
Anak-anak tidak dikehendaki ke sekolah
Pengajian di universiti dihenti
Peniaga terhenti dari perniagaan
Pelancong tidak lagi datang
Sunyi semua dari kegiatan
Semua mengeluh kesempitan
Walaupunm ada bantuan – tidak kecukupan

Walaupun di tengah kegawatan begini,
Kembali kepada Allah menenangkan,
Khususnya  tatkala Ramadhan  datang.

Tetapi akibat dari Covid-19
Masjid surau tidak dibenar jama`ah
Solat Juma`at ditiadakan
Iftar  beramai di anjung tidak dibenar
Solat tarawih dan witir ditiadakan
Tiada moreh tiada qiyamullail
Tiada tadarus berkumpulan
Semua digalak dilaku di kediaman
Elak dari virus berjangkitan.

Meriah dan makmur kehidupan
Kemanisan ibadat secara jama`i  terhenti
Rindu kita kembali kepada ketenteraman
Bebas bergerak mencari rezeki
Anak-anak kembali tumpu pada pelajaran
Bebas beribadat meningkatkan kerohanian.

(Fikra Bangi: 542),
BBB: 01 Ramadhan 1441H. = 24 April 2020M. (Juma`at).

No comments:

Post a Comment