January 30, 2020

DEBAR MENUNGGU KEPUTUSAN


DEBAR MENUNGGU KEPUTUSAN
(Fikrah Bangi: 466),
BBB:  05 Jamadil-Akhir 1441H. = 30 Januari 2020M. (Khamis).
Tugas melawat pusat-pusat mengundi DUN Kajang pada Isanin 29 November 1999 selesai pada jam 5.00 petang. Calon dihantar ke rumah solat dan rehat.
Selepas solat calon ke MTD Al-Mawaddah bagi mengikuti rombongan ke Dewan Orang Ramai,  Majlis Perbandaran Kajang (MPKj)  tempat pengiraan undi dan mengumumkan keputusan. Di Dewan inilah  tempat pendaftaran calon – penerimaan dan penolakan. Bangunan ini kini sudah tidak ada. Ia dirobohkan bagi memberi laluan kepada Jalan MRT dari Sungai Buluh - Kajang. Sejak  sedekad yang lepas. Turut tiada dan telah dirobohkan ialah Pejabat Daerah Hulu Langat dan MPKj yang menggunakan satu bangunan sejak sekian lama. Bangunan MPKj didirikan di belakang bangunan Pejabat Daerah/MPKj yang lama – di belakang bangunan Polis Kajang.
Tapak  Pejabat Daerah lama/MPKj dirobohkan, dikatakan  pihak swasta mendapat pemilikan tanah itu dengan pertukaran, bahawa pihak swasta membina bangunan Pejabat Daerah di Bandar Baru Bangi yang digunakan sekitar 2005. Manakala MPKj berpindah ke bangunan baru, di belakang tapak lama, di belakang bangunan Polis Kajang. Kini tiada Dewan MPKj secara berasingan manakala Pejabat Daerah mempunyai dewan orang ramai di dalam kawasan tanah Pejabat Daerah di Bandar Baru Bangi.
Sebagaimana disebut pengiraan undi dan pengumuman keputusan dilakukan di Dewan Orang Ramai Lama MPKj berhampiran Stadium Kajang. Pada masa itu pengiraan undi tidak dilakukan pada pusat pembuangan undi sebagaimana kini yang keputusan secara tidak rasmi dappat tahu lebih awal. Pada tahun 1999 ini peti undi semuanya dibawa ke Dewan Orang Ramai MPKj, dan di sinilah semua undi itu dikira dan diumumkan selepas keputusan dipastikan.
Pada pilihanraya DUN Kajang ini, kedua pihak optimis, terutama MCA dari BN, kerana berdasarkan keputusan pilihanraya 1995 yang ditandingi oleh calon yang sama Choong Tow Chong, beliau mendapat 7,705 undi majoriti. Dalam satu pertembungan kempen beliau dengan calon Pas beliau  yakin menang dengan  menyatakan kepada calon Pas, bahawa beliau sudah terhidu kemenangan. Walau bagaimana penyokong dan calon Pas, walaupun sebelumnya tidak ditandingi oleh Pas, ada semacam harapan yang positif, lantaran itu mereka datang ke Dewan Orang Ramai. Biasanya jika tiada harapan pihak calon dari awal tidak akan datang. Cukup mengikutinya dari jauh.
Pengiraan undi pada malam 29 November itu agak tegang. Bilangan undi sebenarnya telah dibuat dan selesai sejak jam 10.00 malam lagi, tetapi pegawai-pegawai pilihanraya membuat rujukan kepada pihak Suruhanjaya, dikatakan pengiraan undi terpaksa dibuat berkali-kali untuk mempastikan keputusan. Keadaan menunggu dan resah  terutama antara kedua pihak MCA dan Pas berterusan sehingga jam 1.00 pagi, sedangkan keputusan tempat-tempat lain telah banyak diketahui. Akhirnya pada jam 1.15 pagi pihak Pengurus Pilihanraya memanggil kedua calon, tetapi calon Pas bagi DUN Kajang sahaja ke atas pentas.
Keputusan diumumkan pada jam 1.30 pagi 30 November 1999 sebagaimana berikut:
Jumlah pengundi DUN Kajang yang layak   mengundi ialah 29,360
Undi Pas (Dr. Shafie bin Abu Bakar)                                            10,922
Undi MCA (Choong Tow Chong )                                                  10,885
Majoriti ialah sebanyak                                                                        37
Keluar   keluar mengundi                                                              75.60   (21,807)
Undi rosak                                                                                        279    
Keputusan calon Pas DUN Kajang (Dr. Shafie Abu Bakar) memenangi pilihanraya DUN Kajang dengan majoriti 37 undi.
Sekian.                                                                                                     

No comments:

Post a Comment