January 17, 2020

KRONOLOGI KEMPEN MENJELANG HARI MENGUNDI


KRONOLOGI KEMPEN MENJELANG HARI MENGUNDI
(Fikrah Bangi: 453).
BBB: 21 Jamadil Awwal 1441H. = 17 Januari 2020M. (Juma`at).
Selepas penamaan calon pada Sabtu 20 November 1999, maka  bermulalah kempen  calon yang bertanding bagi pilihanraya, khususnya bagi Dun Kajang. Sebagaimana telah dibincangkan bahawa segala program telah diatur oleh parti dan segala kegiatan menurut jaduak yang disusun parti.  Infra-struktur parti digunakan sepenuhnya. Misalnya cawangan-cawangan  bergerak cergas dan calon  melalui cawangan-cawangan bergerak ke cawangan berdasarkan jadual yang diatur. Oleh kerana masa untuk berkempen, iaitu dari 20 November 1999 hingga  28 November 1999, iaitu sekadar seminggu – Mengundi pada 29 November 1999. Maka strategi kempen dan prioriti utama dilaksanakan, supaya tidak berlaku pembaziran masa.
Keselamatan calon diberi perhatian tinggi selepas mendaftar, kerana  boleh dilakukan sabotaj terhadapnya. Sebab itu segala pergerakannya dikawal, terutama oleh Unit Amal. Rumah calon juga dikawal oleh Unit Amal selama dua puluh empat jam dengan mempunyai shift dan giliran dengan sejumlah pengawal diketuai saudara Abdullah dan saudara Agus. Ini untuk mengelak dari misalnya dicolek, dari kemalangan dan berbagai sabotaj yang lain. Calon bergerak secara berkumpulan dalam berkempen./
Selepas pencalonan, maka pada malamnya dibawa bermesyuarat tentang pergerakan yang akan dilakukan. Solat Hajat dilakukan pada malamnya di Markas Al-Mawaddah yang menjadi markas Gerakan Pilihanraya, maka pada keesokan harinya, selain dari kempen kumpulan muslimin dan muslimat ke  lokasi-lokasi dan perumahan tertretu calon dibawa berkempen di Pasar Tani, dihadapan PKNS. Bangunan PKNS di Seksyen 9 Bandar Baru Bangi dan kawasan itu masih kurang maju, maka untuk menarik pengunjung diadakan  Pasar Tani. (untuk beberapa masa sahaja, kemudian dihentikan). Calon pergi dengan iringan penyokong dan bercakap di pasar berkenaan memperkenalkan diri dan mengharapkan orang ramai memberi sokongan pada calon.
Selepas berkempen di Pasar Tani, PKNS calon dan pengiring-pengiring bergeraka ke Kajang menuju ke Markas di Sungai Sikamat. Markas di sini antara yang terbesar dan giat. Calon diarak dan disambut di markas itu dan berucap dihadapan orang ramai yang hadir Calon tidak bercakap panjang, sekadar memperkenalkan diri, apa yang akan dilakukan jika kemenangan diberi. Ucapan selanjutnya dilakukan pihak jemputan-jemputan yang lain yang meneruskan kempen.
Pada sebelah malamnya calon, selepas berihat dan solat maghib di Markas Al-Mawaddah Seksyen Dua, Bandar Baru Bangi, keluar dengan diiringi pengiring-pengiring secara berkonvoi ke kawasan Surau al-Kauthar. Surau ini sejak didirikan amat aktif dan ramai dengan jama`ah, maka pada medan surau itu di tepi jalan diadakan majlis perkenalam calon dan ucapan ringkas disampaikannya. Selepas mengadakan pertemuan di kawasan Surau al-Kauthar dan solat Isya`, calon bergerak bersama-sama pengiring-pengiring ke  Kawasan 4 Tambahan Bandar Baru Bangi, disambut oleh pihak jawatankuasa yang menganjurkan Majlis Pengenalan calon. Calon diberi slot ringkas untuk berucapa dan memperkenalkan diri, walaupun sebelumnya sudah dikenali. Majlis di sini agak sedikit panjang dengan adanya  dialog dan sedikit jamuan.
Selepas Majlis pengenalan calon di Seksyen 4 Tambahan berdekatan surau di situ, calon bergerak pulang ke rumah diiringi pengiring-pengiring dan berehat di rumah yang rumah berkenaan dikawal oleh pasukan Unit Amal.
Demikianlah pergerakan hari pertama kempen dengan banyak memberi tumpuan pada kawasan di Bandar Baru Bangi dan juga ke Kajang, iaitu di Markas di Sungai Sikamat, iaitu markas terpenting di Kajang.
Sekian.

No comments:

Post a Comment