December 31, 2015

Perkembangan Tasawuf - Karya Terawal


BBB,  18 Rabiul Awwal 1437 = 30 Disember 2015 (Rabu):


Telah dibincangkan bahawa unsur-unsur tasawuf terdapat di dalam  Al-Qur`an, Hadith Nabi s.a.w. dan pembawaan Baginda dan terdapat pada sahabat-sahabat, para tabi`in dan seterusnya.
Pengajian terhadap keilmuan tasawuf dan pembawaan kesufian semestinya, antaranya membicarakan  terhadap tokoh kesufian itu sendiri. Mereka begitu ramai. Abdul Rahman al-Sulamiyy (m. 412H.) seabad sebelum Al-Ghazali (m. 505H.) yang beliau adalah seorang sufi membuat kajian tentang kelahiran tokoh-tokoh sufi dan mengkategorikan sufi-sufi berkenaan kepada lima kategori yang setiap kategori secara kronologi adalah serama 20 orang, kecuali kategori ke lima 23 orang. Ini bermakna jumlah tokoh yang disenaraikan dari peringkat awal hingga ke zamannya ialah 103 orang, iaitu satu jumlah yang ramai dalam tempoh 400 tahun selepas Hijrah.
Melihat kepada kategori pertama yang dikira lebih awal, maka terdapat tokoh-tokoh terkenal dan sering diperkata dan dirujuk berhubung dengan tasawaf. Mereka seperti Al-Fudhail bin `Iyad, Dhu al-Nun al-Misri, Ibrahim bin Adham, Bishr al-Hafi, Sari al-Saqati, Harith al Muhasibi, Shaqiq al-Balakhi, Abu Yazid al-Bistami, Ma`ruf al-Karkhi, Yahya bin Mu`adh al-Razi, dan Abu Turab al-Nakhshabi. Beberapa yang lain kurang diperkatakan seperti Hatim al-Asamm, Ahmad bin Abi al-Hawari, Abu Hafs al-Nisaburi, Hamdun al-Qassar, Mansur bi `Ammar,  Ahmad bi `Asif al-Intaki, dan Abdullah bin Husain al-Intaki. Boleh dikatakan bahawa bagi semua kategori atau Tabaqat yang digunakan oleh Abdul Rahman al-Sulamiyy, bahawa tokoh-tokoh dari kategiri pertama adalah paling ramai dikenali dan sering disebut dan dirujuk. Ketokohan mereka ini banyak dimaklumi dan dan diwarisi secara riwayat, kecuali beberapa dari mereka yang telah menghasilkan penulisan yang dapat diwarisi.
Walau bagaimana dilihat di dalam kategori pertama dan bagi kesemua lima kategori, tidak didapati dan tidak dimasukkan ke dalam sebarang kategori, iaitu tokoh sufi penting dan dianggap terawal dan teristimewa bahawa tokoh ini menghasilkan karangan tasawuf yang dapat diwarisi, iaitu Abdullah al-Mubarak (m.181H.)  dia menghasilkan kitab yang diberi judul  Kitab Al-Zuhd wa al-Raqa`i q (Kitab Zuhud Dan Kehalusannya), iaitu sebuah kitab yang tebal hampir 700 halaman. Daripada judul kitab ini dapat difahami mengapa judul kitab ini menggunakan perkataan ``Al-Zuhd`. Ini ialah kerana pada peringkat awal istilah tasawuf belum digunakan atau belum popular digunakan.
Gaya karangan di dalam kitan Al-Zuhd wa al-Raqa`iq ini menjelaskan bahawa ia adalah dikarang pada peringkat awal peradaban Islam, iaitu pada pertengahan abad ke 2 Hijrah. Adalah menjadi ciri dan identiti karangan-karangan awal Islam  menggunakan gaya Hadith yang merupakan gaya dominan pada peringkat permulaan pertumbuhan persuratan Islam. Gaya Hadith ini membezakan daripada gaya Al-Qur`an dan juga membezakan dari gaya karangan zaman Jahiliyyah lebih didominan oleh gaya puisi atau gaya khutbah (prosa).
Maksud gaya Hadith bahawa maklumat sesuatu  yang mau disampaikan dinyatakan secara riwayat yang mempunyai perawi dan ada sanad dan silsilah yang menyambungkan kepada matan yang menjadi bahan yang disampaikan. Sebagaimana Hadith, maklumat yang disampaikan secara berawi dan bersilsilah yang menyampaikan kepada matan adalah bagi mengukuhkan pernyataan dengan bukti rantaian rawi yang menerima maklumat melalui perawi-perawi secara bersilsilah berkenaan. Sebagai contoh Kitab Sirah Ibn Ishak (85-151H.) adalah juga disampaikan dengan gaya Hadith. Contoh sejarah kelahiran Rasulullah s.a.w. di dalam  Sirah Ibn Ishaq (bermaksud):
Bercakap kepada kami  oleh  Ahmad bin `Abd al-Jabbar, bercakap kepada kami oleh Yunus bin Bikibr, daripada Ishaq berkata, bercakap kepadaku Al-Muttalib bin Abdullah daripada Qays daripada bapanya daripada datuknya Qays bin Maghramah berkata:
``Aku dilahirkan dan Rasulullah s.a.w. pada Tahun Gajah.``
(Muhammad bin Ishaq bin Yasar, Sirah Ibn Ishaq al-Musammat bi Kitab al-Mabda` wa al-Mab`ath wa al-Maghazi, Tahqiq Muhammad Hamidullah, Hizmet Kitaevi, Turkey, 1401/1961: 25).
Gaya Hadith ini menjadi ciri dominan karangan-karangan pada peringkat awal persuratan Islam termasuk Al-Muwatta` oleh Imam Malik,  Al-Umm oleh Al-Imam Shafie dan Kitab al-Zuhd oleh Imam Ahmad bin Hanbal. Maka demikianlah juga Kitab Al-Zuhd wa al-Raqa`iq sebagai Kitab Tasawuf terawal dan dihasilkan sebelum tahun 181H juga menyampaikan maklumat dengan menggunakan kaedah gaya Hadith. Sebagai contoh catatan Ibn al-Mubarak tentang `Jihad` secara riwayat:
``Diberitahu kepada kamu oleh  Abu `Umar bin Hayawiyyah dan Abu Bakar al-Warraq, kedua-duanya berkata: ``Memberita kepada kami oleh Yahya,``  katanya, ``Telah bercakap kepada kami oleh al-Husain, `` dia berkata: ``Memberitakan kami oleh Ibn al-Mubarak dia berkata, ``Telah memberitahu kepadaku oleh Al-Auza`i, katanya ``Aku mendengar dari Bilal  bin Sa`ad berkata; ``Kezuhudan kamu gemar,  Abdullah Ibn Al-Mubarak, Kitab al-Zuhd wa al-Raqa`iq, ijtihadmu lemah, keilmuanmu jahil dan kejahilanmu menipumu.``
(Abdullah Al-Mubarak, Kitab al-Zuhd wa al-Raqa`iq, Hlm. 60)
Atau sebuah lagi pernyataan oleh Abdullah bin al-Mubarak tentang iktibar dan tafakkur:
``Mengkhabarkan kepada kamu oleh Abu `Umar bin Hayawiyyah dan Abu Bakar al-Warraq, kedua-duanya berkata, ``Telah memberitakan kami oleh Yahya, dia berkata, ``Telah bercakap kepada kami oleh al-Husain, dia berkata, ``Memberitakan kami oleh Ibn al-Mubarak,``  dia berkata, ``Telah mengkhabarkan kami Musa bin `Ubaidah daripada Abi `Amri daripada `Abdullah bin Mas`ud, dia berkata,
``Kebenaran itu berat tanggungan, kebatilan itu ringan bawaan, mengikut syahwat sesaat mewariskan duka memanjang.``
(Abdullah bin Al-Mubarak, Kitab al-Zuhd wa al-Raqa`iq, hlm. 98).
Demikian dua petikan dari catatat Ibn Al-Mubarak tentang dua persoalan tasawuf, iaitu tentang kehendak berzuhud dari mereka yang jahil dan bahaya kebatilan dan syahwat yang jelas membawa elemen-elemen tasawuf. Gaya persuratan pada peringkat permulaan Islam dan sejak awal lagi  kejiwaan tasawuf telah lahir sebagaimana elemen-elemennya wujud di dalam Al-Qur`an dan di dalam Hadith Nabi s.a.w. dan subur bersama perkembangan Islam dan sebagai pengawas dan penghias bagi perkembangan tamadun dan peradabannya.

Sekian.

December 30, 2015

Pengajian Tasawuf


BBB, 17 Rabiul Awwal 1437 = 29 Disember 2015 (Selasa):


Menyebut tentang keilmuan tiga serangkai di dalam Islam, maka salah satu ilmu dimaksudkan ialah ilmu tasawuf, di samping ilmu akidah dan fiqh. Ketiga-tiga ilmu berkenaan adalah bagi memenuhi tuntutan  diri. Maka ciri bagi ilmu akidah ialah bersifat akli dan ciri bagi sifat ialah bersifat amali lahiri dan istimewa bagi ilmu tasawuf ialah bersifat rohani. Jika diri diibarat sebagai tapak semaian yang subur, maka benih bagi ketiga-tiga bidang keilmuan berkenaan mudah bercambah dan berkembang subur bila disirami dengan unsur keilmuan berkenaan. Ini bermaksud bahawa tapak bagi persediaan bagi ilmu tasawuf sedia ada pada jiwa individu dan umat dan perutusan Rasulullah s.a.w. sama membawa elemen tasawuf yang ada di dalam agama Islam dan mudah subur keilmuan tersebut di dalam jiwa dan hati nurani yang ada pada individu dan jiwa masyarakat umat menurut acuan agama Islam itu sendiri. Penggaluran ini sekaligus bagi menafikan pendapat bahawa tasawuf adalah unsur luar yang tidak ada di dalam agama Islam, sebaliknya ianya berada di dalam Al-Qur`an, Al-Hadith, pembawaan sahabat dan pengikut-pengikut dan di kalangan para rohaniawan di dalam Islam dari zaman awal Islam sehinggalah zaman sekarang. Walau bagaimana akibat dari sentuhan ilmu dan interaksi budaya, maka tidak dapat dinafikan adalah unsur pengaruh mempengaruhi.
Sesungguhnya elemen tasawuf ada di dalam Al-Qur`an sebagai contoh ayat Al-Qur`an bermaksud:
``Dan Dia bersama kamu di mana kamu berada``. (Al-Hadid: 4)
``Ke arah mana kamu halakan pandangan, maka kamu berdepan dengan wajah Allah``. (Al-Baqarah: 115)
Keseluruhan maksud bagi Surah `Al-Ikhlas (112: 1 -4) dan banyak lagi ayat-ayat yang lain.
Manakala Hadith, maka seluruh pembawaan diri Rasulullah s.a.w.  yang hidup dalam keadaan sederhana adalah cerminan bagi tasawuf:
 Hadith Baginda, antaranya bermaksud: Hadith diriwayatkan oleh Abdullah bin `Umar r.`anhuma daripada Nabi s.a.w. Baginda bersabda (bermaksud):
``Orang Islam itu adalah mereka yang sejahtera sekalian orang Islam dari (bahaya ancaman) lidah dan tangannya dan orang yang muhajir (yang berpindah) ialah mereka yang menjauhi apa yang dilarang Allah.`` Hadith Bukhari.
Atau Hadith yang diriwayatkan oleh Anas r.a. daripada Nabi s.a.w. Baginda bersabda (bermaksud):
``Tiga macam perkara, barang siapa yang di dalam dirinya terdapat tiga macam perkara itu, dia dapat merasakan kemanisan iman (pertama) Bahawa dia menjadikan Allah dan Rasulnya lebih dicintai olehnya daripada yang lain (keduanya) Dan bahawa dia mencintai seseorang, tiada lain cintanya itu melainkan semata-mata kerana Allah dan (ketiga) bahawa dia benci akan kembali kepada kekufuran seperti dia benci akan dicampakkan ke dalam nereka – Riwayat Bukhari.
Sebuah lagi Hadith bermaksud:
Daripada Abi Hurairah r.a. daripada Nabi s.a.w. Baginda bersabda:
``Tanda orang munafiq itu tiga:, apabila ia bercakap ia bohong, dan apabila berjanji ia mungkir dan apabila diamanahkan kepadanya ia khianat. (Riwayat Bukhari).
Manakala contoh dari kalangan sahabat yang berjiwa sufi dan menjadi contoh kesufian antaranya ialah:
1)      Abu Dhar al-Ghifari r.a.
Dia kelana musafir merentasi padang pasir sengaja datang menemui Rasulullah s.a.w. di Makkah kerana mau menganut agama Islam . Dia tidak menyembunyikan keislamannya, walaupun pada masa itu dakwah Rasulullah s.a.w. masih secara sembunyi. Dia tidak takut pada ancaman Quraisy. Dia kembali kepada kaum al-Ghifar dan mengislamkan mereka dan turut didakwahkan kaum Aslam. Abu Dhar memimpin rombongan yang diislamkan menemui Rasulullah s.a.w. selepas Hijrah. Rasulullah menghargai kegigihan Abu Dhar dan mengkagumi ketegasan pendiriannya sejak awal menerima Islam di Makkah. Abu Dhar tetap hidup dalam keadaan sederhana. Abu Dhar tidak menyenangi dengan gaya hidup mewah Mu`awiyah yang menjadi govenor Sham pada zaman Khalifah Sayyiduna `Uthman bin Affan. Beliau telah membentuk satu`Gerakan Pendapat` sebagai NGO yang menentang gaya hidup mewah dan penyelewengan yang menggugat pemerintahan Khalifah `Uthman. Bagi menyatakan pertentangan dan rasa tidak  puashatinya beliau kembali  meminggirkan dirinya hidup di Padang Pasir Rabazah beribadat hingga akhir hayat sebatang kara.
2. Bilal bin Rabah
Pembawa ciri sufi juga dapat diteladani dari kehidupan Bilal bin Rabah bekas seorang hamba bagi pembesar Quraisy – Umayyah bin Khalaf. Beliau disiksa tuannya kerana masuk Islam, tetapi telah diselamat dan dimerdekakan oleh Abu Bakar. Hidup beliau secara sederhana dan menjadi Tukang Bang (Mu`azzin) Rasulullah s.a.w., di Masjid Madinah. Kerana cintanya terhadap Rasulullah selepas Rasulullah s.a.w. meninggal, beliau tidak sanggup tinggal di Madinah melihat kesan-kesan beliau bersama Rasulullah dan mengungsi ke Syria dan meninggal di sana.
3. Abdullah bin Umar
Seorang  tokoh ilmuan yang kuat beribadat ialah Abdullah bin `Umar. Menerima Islam sejak kecil, ketika umurnya 13 tahun dia mau menyertai peperangan Badar, tetapi tidak diizin Rasulullah s.a.w. kerana umurnya masih muda. Abdullah bin Umar berguru secara langsung dari Rasulullah s.a.w. dan beliau merupakan seorang tokoh ilmuan Islam dan menjadi tempat rujukan dari segi hukum hakam. Namun Abdullah bin Umar menolak tawaran Sayyiduna `Uthman bin `Affan untuk melantiknya menjadi Hakim untuk mengelak dari kesilapan dari menghukum. Beliau amat berhati-hati di dalam mengeluarkan fatwa lantaran takut tersilap. Beliau hidup sederhana dan kuat beribadat. Umurnya panjang sehingga 85 tahun dan berkesempatan dengan pemerintahan Mu`wiyah.
(Khalid Muhammad Khalid, Sejarah 33 Wira Terbilang, (Terjemahan Abu Mazaya Al-Hafiz), Al-Hidayah Publications, Batu Caves, Kuala Lumpur, 2009: 25 – 67).
Demikian tiga daripada tokoh-tokoh sahabat yang membawa ciri-ciri sufi di dalam kehidupan mereka. Mereka menjadi inspirasi kepada  kalangan sufi, meskipun pada masa mereka belum lahir lagi apa yang diistilahkamn sebagai `Tasawuf`.
Jelas dari perbincangan ringkas di atas unsur-unsur tasawuf sebenarnya wujud di dalam Islam itu sendiri seperti di dalam Al-Qur`an, Al-Hadith, Pembawaan sahabat dan tabi`in. Tasawuf berkembang seiring dengan perkembangan Islam.

Sekian.

December 29, 2015

Pengajian Perundangan Islam (Shari`ah)


BBB,  16 Rabiul Awwal 1437 = 28 Disember 2015 (Isnin):
Adalah bidang yang paling luas diperkatakan di dalam keilmuan Islam, lantaran ianya melibatkan kehidupan lahiri umat dalam hubungannya dengan Allah, manusia dan alam keliling. Semuanya ada syariat aturan ditentukan. Sebagai perundangan Islam, maka ia adalah bersumberkan Kitab Allah – Al-Qur`an dan Hadtth Nabi s.a.w dan juga bersumberkan ijama` `Ulama` dan Qiyas.
Bidang Perundangan Islam atau Fiqh al-Islami, walaupun berasal dari sumber yang sama, namun bidang ini adalah bidang yang dinamik dan hidup sebagaimana dinamiknya hidup dan terus berubah, maka persoalan-persoalan furu` berdepan dengan perbedaan pendapat. Lantaran sedemikian melahirkan mazhab-mazhab yang terkenal seperti Maliki, Shafie, Hanbali dan Hanafi.
Pengajian pada peringkat yang lebih tinggi seharusnya tidak saja menurut apa yang diperturunkan pendapat-pendapat oleh tokoh-tokoh mazhab, tetapi mempelajari kaedah-kaedah mengistinbatkan hukum-hukum menurut kaedah fiqhiyyah yang teratur, tetapi membincangkan faktor-faktor dan sebab-sebab yang menjurus kepada kelainan pendapat dan ciri-ciri perbezaan. Juga bagaimana konsep mazhab terbina dan siapakan pendukung-pendukung yang mengukuhkan sesuatu mazhab, khususnya Mazhab yang dipegang oleh umat Islam di Asia Tenggara atau di alam Melayu. Mungkin dibincangkan juga solusi menyatukannya. Misalnya dengan penyatuan fatwa dan tidak menggalakkan memberi pendapat secara peribadi mengenai aspek-aspek hukum, khususnya melibatkan permasalahan khilafiyyah.
Secara perbandingan wajar diperlihatkan perbezaan undang-undang shariah dengan undang-undang sivil. Wajar juga digalurkan perkembangan fiqh shariat bermazhab Shafie  di alam Melayu. Institusi-institusi yang mendukungnya dan tokoh-tokoh ulama Melayu Nusantara yang memperluaskan pengajaran Mazhab Shafie ini serta kitab-kitab karangan mereka.
Antara kitab-kitab terkenal di dalam bahasa Arab yang menjadi sumber bidang fiqh, khusus bermazhab Shafie seperti:
·         Abdullah bin Muhammad Ali, Lata`if al-Isharat ila Sharh ila Tashil al-Turuqat li Nazmi al-Waraqat, Mustafa al-Babiyy al-Halabiyy wa awladuh, Misr, 13121H.
·         Abdul Karim al-Matari al-Dimyati, Hashiah `ala Sharh al-Shihab al-Ramli `ala al-Sittin, Matba`at Dar  Ihya` al-Kutub al-`Arabiyyah,  Misr, 1344H.
·         Abu Ishaq Ibrahim bin Ali – Al-Shirazi, Kitab Al-Muhadhdhab, 2 jiulid. Dar al-Kutub al-`Arabiyyat al-Kubra, Misr, tt.
·         Abu Yahya Zakariyya al-Ansar,  Fath al-Wahhab bi Sharh Minhaj al-Tullab, 2 Jilid., Keluaran ?, tanpa tempat\, tt.
·         Ashmad bin Abdul Latif al-Khatib, Hashiat `ala Sharh al-Waraqat, Dar al-Kutub al-`Arabiyyat al-Kubra, Misr, tt.
·         Ahmad bin al-Husayn (Abu Shuja`), Fath al-Qarib al-Mujib, Matba`at Sulayman Mar`i wa shurakah, Surabaya, tt.
·         Ahmad ibn Muhammad al-Dimyati,  Hashiyat `ala Sharh al-Waraqat, Matba`at Mustafa al-Babiyy al-Halabiyy wa Awladuh, Misr, 1342H.
·         Ibn Hajar al-Haytami,  Al-Zawajir `an Iqtiraf al-Kaba`ir, Keluaran ?, Tempat ?, tt.
·         Ibrahim al-Bajuri, Hashiah `ala Sharh al-`Allamat Ibn Qasim al-Ghuzza, Al-Matba`at al-Maymaniyyat, Misr, 1309H.
·         Muhammad al-Sharbini al-Khatib,  Al-Iqna` fi Halli Al-Faz Abi Shuja`. Al-Matba`at al-Khayriyyat, Misr, tt.
·         Muhammad ibn `umar ibn `Arabi al-Jawi,  Fath al-Samad, Al-Matba`at al-Miriyyat al-Ka`inat, Makkah, 1306H.
·         Shihab al-Din al-Qalyubi, Hashiat `ala Sharh al-Minhaj al-Talib, Al-Matba`at al-Miriyyat al-Ka`inat, Makkah, 1305H.
·         Sulayman al-Bujayrimiyy, Tuhfat al-Habib  Hashiah `ala Sharh al-Khatib.Yahya ibn Sharaf al-Nawawi, Kitab al-Azkar, Al-Matba`at al-Maymaniyyah, Misr, 1310H.
·         Yahya Ibn Sharaf al-Nawawi,  Kitab al-Azkar, Al-Matba`at al-Maymaniyyah, Misr, 1319H.
·         Zainuddin Ibn Al-Aziz al-Malibari,  Fath al-Mu`in bi Sharh Qurrat al-`Ayn, Matba`at Wadi al-Nil, Misr,  1290H.
(Terdapat cetakan lebih baharu bagi terbitan kitab-kitab di atas yang terdapat di pasaran).
Di atas merupakan sebahagian daripada kitab-kitab fiqh yang menjadi sumber pengajian pada zaman tradisi yang mendukung mazhab Shafie. Kajian juga perlu dibuat tentang pengaruh kitab-kitab di atas dan yang lain-lain terhasil pada zaman tradisi terhadap ulama`-`ulama Melayu yang menghasilkan kitab-kitab fiqh di dalam tulisan jawi yang menjadi sumber pengajian pada zaman tradisi juga dimana mereka menghasilkan.
Kitab-Kitab fiqh di dalam bahasa Melayu terpenting adalah:
·         Abdul Rashid Banjar, Kitab Perukunan, al-Matba`at al-Islamiyyah, Singapura, tt.
·         Abdul Samad bin Muhammad Salleh Tabal, Bidayat Ta`lim al -`Awami, Al-Matba`at al-Miriyyat al-Ka`inat, Makkah. 1328H.
·         Abdul Samad bin Muhammad Salleh, Kifyat al-`Awwam, , al-Matba`at al-Kamaliyyat, Kota Bharu. Kelantan, tt.
·         Ahmad bin Muhammad Zayn bin Mustafa al-Fatani,  Kitab al-Fatawa,  Kelantan Printing Co., Kota Bharu, 1331H.
·         Daud bin Abdullah al-Fatani,  Furu` al-Masa`il, al-Matba`at al-Miriyyat al-Ka`inat, Makkah, 1300H.
·         Daud bin Abdullah al-Fatani, Ghayat al-Taqrib, Al-Matba`at al-Miriyyat al-Ka`inat, Makkah, 1312H.
·         Daud bin Abdullah al-Fatani, Idah al-Bab, , Al-Matba`at al-Miriyyat al-Ka`inat, Makkah, 1315H.
·         Daud bin Abdullah al-Fatani, Munyat al-Musalli, Al-Matba`at al-Khariyy al-Islamiyy, Misr, 1313H.
·         Muhammad Arshad al-Banjari,  Sabil al-Muhtadin, , Matba`ah Nur al-Thaqafat al-Islamiyyat, Jakarta, tt.
·         Muhammad bin Ismail Daud al-Fatani, Al-Bahr al-Wafi wa al-Nahr al-Safi, al-Matba`at al-Sharqiyyat, Jeddah,, 1349H.
·         Muhammad bin Ismail Daud al_Fatani, Matla` al-Badrayn wa Majma` al-Bahrayn, Matba`at Dar al-Tiba`at  al-Misriyyat al-Kubra, Singapura, tt.
·         Muhammad bin Ismail Daud al-Fatani, Washah al-Afrah wa Asbah al-Falah,, Al-Matba`at  al-Miriyyat al-Ka`inat, Makkah 1310H.
·         Muhammad Nur bin Muhammad bin Ismail al-Fatani, Kifayat al-Mubtadi,  Al-Matba`at al-`Amirat al-Sharqiyyat, Jeddah, 1353H.
·         Muhammad Zainuddin bin Muhammad al-Badawi al-Sumbawani, Minhaj al-Salam, Matba`at Mustafa al-Babiyy al-Halabiyy, Misr, 1345H.
·         Sayyid Ahmad bin Muhammad bin Husayn al`Idrusi, Tanbih al-Ikhwan, Al-Matba`at al-Miriyyat al-Ka`inat, Makkah, 1333H.
Dengan mengkaji sumber-sumber fiqh dari kitab-kitab di dalam bahasa Arab yang menjadi bahan pengajian dan rujukan bagi ulama Melayu yang menghasilkan kitab-kitab di dalam bahasa Melayu bertulisan jawi membuka ruang kefahaman tentang sumber hukum syara yang diterima umat dan diamalkan di dalam kehidupan masyarakat umat di Alam Melayu. Kajian dapat diperluaskan dengan kajian kini dan hasil-hasil karangan fiqh terkini bagi lebih meluaskan lagi kefahaman  dan memperkayakan keilmuan.

Sekian.

December 28, 2015

Mendepani Tahun Mendatang Perlu Berjiwa Besar Dan Berkeberanian Intelektual Bagi Menyemarakkan Perkembangan Keilmuan


BBB, 15 Rabiul Awwal 1437 = 27 Disember 2015 (Ahad):


Dengan berakhirnya tahun 2015, di dalam konteks pembinaan Masjid Al-Umm, maka sudah dua tahunlah tempoh pembinaan berlalu (bermula 10 Disember 2013), setelah tiga tahun berlalu tempoh persiapan (2010). Adalah dijangka penggunaan bagunan fizikal masjid ini dapat digunakan pada awal 2016. Mulai penggunaan masjid ini adalah tahap penting, lantaran ianya bermakna tahap pengisian dan bersifat berterusan. Kualiti masjid ini akan lebih dilihat  pada mutu pengisian. Dengan pengisian yang baik, maka masjid yang indah dari segi fizikal, bila dilengkapi dengan pengisian yang bermutu, maka bertambahlah mutunya lahiri dan maknawinya.
Adalah sedari awal pembinaan masjid ini mempunyai misi dan visi yang ianya dilihat sebagai induk kegiatan bagi pusat ibadah dan ilmu di Wadi Ilmu, di Bangi Bandar Ilmu. Jika sejak dua tahun yang lepas, bahkan sejak lima tahun yang lepas perbincangan, khususnya melalui mesyuarat-mesyuarat bulanan secara berterusan tertumpu kepada pembinaan fizikal Masjid Al-Umm, maka untuk fasa seterusnya mesyuarat-mesyuarat dan kegiatan lebih tertumpu kepada pengisian di samping meneruskan agenda pembangunan.
Jika misi pembangunan Masjid Al-Umm untuk tempat ibadat sahaja, maka perlaksanaannya hampir mencapai matlamat sebaik ianya digunakaan. Jika tujuan setakat ini, maka sebenarnya untuk tujuan sedemikian sudah cukup dengan surau-surau yang dibenarkan mendirikan Juma`at dan surau-surau yang lain bagi tempat-tempat ibadat di samping pengisian-pengisian pengajian sebagaimana telah dijalankan selama ini.
Sebagaimana disebut, bahawa visi dan misi bagi Masjid Al-Umm, ialah bagi menjadikannya sebagai sebuah `Jami`ah` yang dikenali dengan `Jami`ah Al-Umm` sebagaimana pernah dilalui oleh Masjid Qayrawan di Maghribi dan Masjid Al-Azhar di Mesir sejak kedua-dua masjid ini di dirikan pada abad ke 4H./10M. Kedua-dua masjid ini berkembang menjadi pusat pengajian tinggi (Jami`ah) yang kedua-duanya juga menjadi uniniversit tertua di dunia. Adalah menjadi hasrat bagi Masjid Al-Umm menjadi pusat ibadat dan kegiatan ilmu sebagaimana yang dilalui oleh kedua-dua masjid di atas, tetapi  tidaklah mengikut pola-pola yang dilalui oleh kedua-dua masjid berkenaan sepenuhnya, tetapi di samping mengikuti kedua-dua pengalaman masjid tersebut sudah pastilah Masjid Al-Umm yang dihasratkan menjadi `Jami`ah Al-Umm` mempunyai kualiti dan identiti tersendiri.
Ini adalah maksud judul perlunya `Berjiwa Besar Dan Mempunyai Keberanian Intelektual` bagi membangun ciri dan identiti bagi Masjid Al-Umm. Sesungguhnya tidak mudah bagi membangun Masjid Al-Umm sebagai sebuah `Jami`ah Al-Umm` yang menjadi pusat ibadat dan kegiatan keilmuan yang  memancarkan kehebatan dan ketinggian ilmu yang dibawa oleh Masjid Al-Umm. Bermaksud perlu wujudnya tenaga-tenaga yang menggerakkan masjid ini dengan kegiatan ibadah, tetapi lebih dari itu ada tenaga-tenaga intelektual dan ulama yang merangka pendekatan dan menjana keilmuan sehingga terpancar darinya kegiatan-kegiatan keilmuan yang selayaknya bertaraf pengajian tinggi yang diyakini dan dihormati.
Adalah dijangka bermulanya tahun 2016, maka mesyuarat-mesyuarat akan membincangkan agenda-agenda yang melibatkan pengisian bagi kegiatan masjid, di samping meneruskan kegiatan yang bersifat poembangunan. Jika mesyuarat bagi peringkat persediaan dan pembinaan Masjid Al-Umm memakan masa  lima tahun bagi dua tahap, maka agenda-agenda yang melibatkan pengisian ini juga boleh memakan masa seperti tersebut. Walau bagaimana bagi tahap menggerakkannya sebagai pusat ibadat telah dapat disediakan persediaan, di samping mendapat dan memilih tenaga-tenaga yang berkelayakan yang di dalam proses pemilihan, di samping terdapat tenaga-tenaga sukarela yang sanggup menginfakkan dirinya bagi Masjid Al-Umm.
Adapun pengisian bagi memartabatkan Masjid Al-Umm sebagai `Jami`ah Al-Umm` tidak merupakan keperluan mendesak dan bersegera. Bermaksud Masjid Al-Umm akan bermula dengan kegiatan biasa sebagai pusat mendirikan solat dan kegiatan-kegiatan ibadat lain serta pengajaran sebagaimana garis panduan keilmuan dan kurikulum yang disediakan di samping tambahan-tamabahan mana yang perlu, maka dalam masa yang sama ke arah melaksanakan konsep `Jami`ah Al-Umm` akan difikirkan kaedah pendekatan dan pengisian-pengisian yang harus dilaksanakan. Di dalam hal ini satu pasukan yang mantap diperlukan bagi merangka pendekatan, membina kurikulum dari peringkat diploma, tahfiz, ijazah pertama dan seterus kepada sarjana dan Doktor falsafah. Yang penting ialah mendapat tenaga pengajar yang bersesuaian dengan keperluan dan pendekatan yang bersesuaian dengan identiti Masjid Al-Umm..
Telah disebutkan bahawa dari segi fizikal bahawa pengajian dapat dijalankan secara kampus terbuka yang melibatkan Masjid sebagai induk bagi Jami`ah Al-Umm, manakala surau-surau yang berada dalam keluasan 100 hektar keliing Masjid Al-Umm adalah menjadi komponen bagi kawasan kampus terbuka berkenaan. Manakala tenaga-tenaga akademik yang ramai di Bangi dan sekitarnya dapat dimanfaatkan sebagai tenaga akademik yang diperlukan di samping mendapat tenaga-tenaga dari luar.,
Sebenarnya menyebut perkara di atas memang mudah, namun bagi menurunkannya pada peringkat perlaksanaan banyak cabaran  yang menuntut kelompok berjiwa besar dan keberanian intelektual bagi  mencari pendekatan, kurikulum, tenaga pengajar, pentadbiran, pelajar-pelajar dan kewangan.
Bagi menjadikan Masjid Al-Umm bertaraf Jami` Al-Umm, maka mulai dari awal 2016 agenda Jami` Al-Umm ini akan dibincangkan di dalam mesyuatr-mesyuarat, tetapi agenda berkenaan akan di bawa ketahap konvensyen, seminar, bengkel dan sumbang saran  bagi menjana dapatan yang dapat dijadikan rumusan yang konkrit yang dapat dijadikan panduan bagi perlaksanaan konsep dan gagasan bagi Jami`ah Al-Umm.
Sebenarnya bermula dengan perbincangan, konvensyen, seminar, wacana,bengkel dan sumbang saran bererti  bermulanya kegiatan ilmiah yang menjadi hasrat bagi Jami`ah Al-Umm  mendukung hasrat sedemikian.  Sudah tentulah Jami` Al-Umm lebih bersemarak dengan kegiatan keilmuan apabila pengajian-pengajian bagi peringkt Jami` al-Umm dibuka.

Sekian.

December 23, 2015

Pengajian Mengenai Akidah


BBB,  10 Rabiul Awwal 1437 = 22 Disember 2015 (Selasa):


Salah satu dari bidang tiga serangkai keilmuan Islam ialah akidah, bidang akidah yang dikenali dengan usuluddin, ilmu tauhid dan ilmu al-Kalam adalah merupakan bidang falsafah utama di dalam Islam. Kajian utama hendaklah berdasarkan prinsip akidah yang ada di dalam ayat-ayat Al-Qur`an dan juga Al-Hadith. Namun kursus juga mengkaji tentang sejarah yang melahirkan pendekatan akidah sebagaimana tumbuh dan berkembang akibat konflik di kalangan umat Islam terutama pada zaman Kerajaan Umawiyyah.
Di dalam konflik yang berlaku di antara kepimpinan Sayyiduna Ali dengan Mu`awiyah, melahirkan pendapat-pendapat yang melibatkan akidah, seperti antara golongan Ash`ari dengan pendukung Khawarij yang melahirkan Qadariyyah, Murjiyah, Jabariyyah dan Mu`tazilah, manakala di satu pihak melahirkan golongan yang dikenali dengan Shi`ah.
Pendekatan Ash`ari-Maturidi dan Al-Tahawi  dikira sebagai golongan Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah golongan dan aliran utama yang dipegang ummah, manakala Shiah didukung oleh puak-puak Shi`ah terutama di Iran. Jadi membicarakan tentang aqidah yang berkembang di kalangan umat Islam tidak boleh lari dari elemen sejarah yang melahirkan aliran-aliran sebagaimana disebutkan yang kesannya sehingga kini.
Dari satu segi mengkaji tentang aqidah umat, hendaklah termasuk tentang pengangan akidah di kalangan umat Islam di Alam Melayu. Pegangan umat Islam di Alam Melayu pada keseluruhannya adalah berpegang pada mazhab Ahlu al-Sunnah wa al-Jamaah. Dari sudut pegangan akidah di kalangan umat Melayu, masyarakat umat terhutang budi terhadap ulama-ulama yang melalui institusi pengajian tradisi memperkembangkan agama Islam dan menghasilkan kitab-kitab yang dikenali dengan kitab jawi, khususnya di dalam bidang akidah.
Jadi pengajian melibatkan kajian terhadap kandungan Al-Qur`an dan al-Hadith terutama terhadap ayat-ayat yang mengandungi elemen akidah dan huraian-huraian terhadapnya. Kajian juga dilakukan terhadap sumber-sumber sejarah dan penghasilan tulisan yang berhubung dengan akidah dan seterusnya kelahiran bahan-bahan pengajaran akidah di dalam bahasa Melayu, khususnya ulama dari Aceh, Patani, Kedah, Kelantan yang mereka menghasilkan kitab-kitab yang berhubung dengan akidah.
Dari satu segi di dalam pendekatan dan bahasan akidah, khususnya yang melibatkan ilmu al-kalam turut digunakan elemen-elemen logik, misalnya konsep rukun akal, logik, dalil dan burhan. Ini mempunyai perkaitan dengan pengaruh logic Aristotlian di dalam membahaskan sesuatu persoalan dengan menggunakan kaedah logik. Jadi dari satu segi yang lain prinsip-prinsip ilmu logik digunakan dan perlu dipelajari dari segi asal usul dan bagaimana diaplikasikan di dalam mengolah dan menghujahkan bukti-bukti kebenaran dengan kaedah logik.
Sumber buku-buku adalah:
·         Afzalur Rahman, Islam – Ideology And The Way of Life, A.S Noordin, Kuala Lumpur, 1995.
·         Ahmadie Thaha, Ibn Taimiah,  PT. Bina Ilmu, Surabaya, 1982.
·         Al-Juwayni, Al-Imam al-Haramayni, Al-Shamil Fi Usul al-Din, Al-Ma`arif, Al-Iskandariyyah, 1969.
·         Bernard Berofsky, Free Will And Determinism, Harper & Row, London, 1966.
·         Deborah L. Black, Logic And Aristotle`s Rhetoric And Poetics In Medieval Arabic Philosophy, E.J Brill, Leiden, 1990.
·         Hamidah Abdulhamid, Perngantar Logik, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1991.
·         A.Hanafi M.A. Pengantar Theology Islam, Djayamurni, Djakarta, 1967.
·         A.Hanafi M.A. Theology Islam (Ilmu Kalam), Bulan Bintang, Jakarta 1974.
·          Hashiah Shaykh Ibrahim Al-Bayjuri, Tuhfat al-Tauhid `ala Jauharat al-Tauhid, Matba`at Dar al-Kutub al-Arabiyyah Isa al-Babiyy al-Halabiyy wa shurakah, Misr, tt. 130 hlm.
·         Hourani, G.E. Reason And Tradition In Islamic Ethics, Cambridge University Press, London, 1985.
·         H.M.Rasjidi, Filsafat Agama, Bulan Bintang, Jakarta, 1975.
·         M.M. Sharif, A History of Muslim Philosophy, Vol. I & II, Otto Harrassowitz, Wiesbaden, 1963.
·         Muhammad Baisar, Dr, Fi Falsafah Ibn Rushd, Al-Wujud wa al-Khulud, Dar al-Kitab al-Lubnani wa Maktabat al-Madrasah, Beirut, 1973.
·         Sakinah Ariff Johor (Penyelenggara), Syurga dan Neraka, Karya Bestari Sdn. Bhd., Shah Alam, 2008.
·         W. Montgomery, Watt, The Formative Period of Islamic Thought, University Press Edinburgh, Edinburgh, 1973.
·         Zakaria Stapa & Mohamed Asin Dollah, Islam Akidah Dan Kerohanian, Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia Bangi, 2001.
Demikianlah sebahagian daripada buku-buku yang dicadangkan untuk dijadikan bahan rujukan.
Manakala bagi kitab-kitab Turath di dalam bidang tauhid yang dihasilkan oleh ulama`-`ulama Melayu Nusantara ialah seperti:
·         Abdul Samad bin Muhammad Salih al-Kelantani,, Manhat al-Qarib, Matba`at al-Kamaliyyah, Kota Bharu, Kelantan, 1354H.
·         Ahmad bin Muhammad Zain Musatafa al-Fatani, Faridat al-Fara`id, Matba`at al-Ahliyah, Kota Bharu, Kelantan, tt.
·         Daud bin Abdullah al-Fatani, Al-Durr al-Thamin, Matba`at Dar Ihya` al-Kutub al-`Arabiyyah al-Kubra, Misr, 1337H.
·         Daud bin Abdullah al-Fatani, Al-Bahjah al-Saniyyah, Matbaat al-Miriyyah al-Ka`inat, Makkah, 1276H.
·         Hussein Nasir bin Muhammad Taib al-Mas`udi al-Banjari, Bidayat al-Talibin, Al-Matba`at al-Zainiyyah, Perak, 1348H.
·         Ibrahim al-Liqani, Sharh Bagi Matn Jauharat al-Tauhid, Matba`at Dar Ihya` al-Kutub al-`Arabiyyah, Misr, 1339H/1921.
·         Muhammad Ali bin Abdul Ghafur Kutan, Kelantan, Zahrat al-Murid, Matba`at al-Kamaliyyah, Kelantan, 1356H.
·         Muhammad Zain bin Al-Faqih Jalaluddin, Bidayat al-Hidayah, Matba`at al-Taraqqa al-Majidiyyah,, Makkah, 1329H.
Demikianlah sebahagian daripada buku-buku dan kitab-kitan yang boleh dijadikan rujukan dan kajian.
Dari segi pengajaran antara kitab-kitab di atas boleh dijadikan teks pengajaran yang boleh diikuti oleh ahli jamaah yang datang berjamaah dan mengikuti pengajian secara terbuka. Bagi pelajar-pelajar mereka juga hadir secara berdaftar sebagai salah satu kursus bagi pengajian bagi peringkat Ijazah pertama.
Sekian.

·         Penulia bercuti beberapa hari – akhir tahun.

December 22, 2015

Menyusun Perspektif Keilmuan - Buku Panduan


BBB, 09 Rabiul Awwal 1437 = 21 Disember 2015 (Isnin):


Untuk menyampaikan pengajaran bagi satu matapelajaran dan lebih bagi satu pengajian untuk satu semester atau tempoh tertentu perlu kepada rangka dan ruanglingkup keilmuan yang hendak disampaikan dengan disertakan sama buku-buku bacaan. Bagi sebuah pengajian yang mempunyai beberapa pelajaran atau bagi sebuah jabatan yang menawarkan berbagai kursus untuk tempoh satu semester bagi tahun tertentu, demikian juga pada peringkat fakulti, seharusnya mempunyai rangka setiap kursus yang hendak disampaikan yang dihimpunkan dalam sebuah buku `Perspektif Kursus Pengajian` biasanya lengkap dengan berbagai kursus yang boleh dipilih hingga kepada jumlah tahun yang melayakkan seseorang pelajar mengikuti kursus-kursus berkenaan secara bertahap (biasanya tiga tahun = 6 semester). Pengambilan biasanya dihadkan kepada jumlah unit bagi satu semester dengan kombinasi kursus yang diambil hinggalah kepada tahun ketiga. Apabila pelajar berkenaaan memenuhi syarat dan lulus serta mencukupi dari kombinasi unit kepada  contoh 120 yunit ( 3 unit bagi satu kursus + Ko-Kurikulum) bagi tahun melayakkannya untuk menerima ijazah sarjanamuda. Penerangan dan keperluan syarat sedemikian juga berlaku bagi semua peringkat dari Diploma hingga peringkat ijazah-ijazah yang lain. Sebab itu bagi setiap pelajar yang datang mendaftar dibekalkan dengan Buku Perspektif Pengajian untuk dipilih dan menjadi panduan baginya di dalam mengikuti kursus atau pengajian. Keperluan sedemikian wajar menjadi amalan, bukan saja bagi pengajian formal yang lama, tetapi juga bagi satu-satu kursus dan pengajian yang hendak diikuti, termasuklah pengajiamn di masjid bagi sebarang pengajaran keilmuan yang hendak disampaikan
Bagi pengajian di Jami`ah Al-Umm, maka sudah tentulah bila pengajian bermula dan pengajaran hendak disampaikan perlu ada buku perspektif kursus atau pengajian yang dianjurkan. Tiap pensyarah yang kursusnya disenaraikan seharusnya sebelum dari itu merangka kandungan kursus yang mau diajarkan, iaitu dengan menyediakan keterangan bagi kursus, kandungan dan bahan bacaan. Pensyarah juga seharusnya menyediakan bahan kuliah berdasarkan rangka kursus yang disediakan, umpamanya untuk sepuluh minggu bagi satu semester. Sebelum rangka kursus ini diterima untuk dimuat dalam buku panduan, ianya seharusnya dibincangkan pada peringkat jabatan dan fakulti berhubung dengan nilai kandungan  dan buku rujukan sama ada sesuai, standard atau tidak. Jika tidak diterima, kerana tidak sampai standard yang sepatutnya, maka pensyarah berkenaan seharusnya memperbaikinya sehingga ianya sesuai dan dapat diterima. Bahasa bagi pengajian di Jami`ah Al-Umm ialah bahasa Melayu, Arab dan Inggeris.
Bagi Jami`ah Al-Umm, selain ada pengajian diploma dengan cara bekerja sama dengan pengajian luar, maka jika mau diwujudkan pengajian bagi ijazah pertama bagi tahun pertama, maka peringkat permulaan mungkin dapat dianjur pengajian  bersifat jabatan. Jabatan boleh dipecahkan kepada dua jenis ijazah, iaitu: yang mungkin boleh dinamakan:
Type A:
Ilmu-Ilmu Teras Keislaman (Al-`Ulum al-Asasiyyah al-Islamiyyah).
Type B
Sarjana Muda Islam Integrasi
Klursus-Kursus yang dianjurkan – Contoh bagi semester pertama bernilai (boleh pilih 12  - 15 unit + ko-kurikulum) seperti:
Type A: Sarjana Muda Teras Keislaman
1)      Falsafah dan Hakikat Ilmu (kursus wajib diikuti semua pelajar semua jabatan dari semua fakulti dan wajib lulus
2)      Kursus bahasa (Wajib)
3)      Aqidah – Ahlu al-Sunnah wa Jamaah
4)      Sumber Fiqh Islamiyy
5)      Pendekatan Ilmu Tafsir
6)      Hadith Sumber Kedua Hukum
7)      Sirah
8)      Al-Adabiyyah Al-Islamiyyah
9)      Pertumbuhan Ilmu Al-Tasawwuf
Type B
Pelajar mesti memilih:
1)      Falsafah Dan Hakikat Ilmu
2)      Kursus Bahasa
Baki separuh (jumlah unit) dari Type A dan separuh dari Type B, iaitu:
A)      Sains Asas
B)      Ekonomi
C)      Perdagangan
D)     Komunikasi
E)      Sains Politik
F)      Perundangan
(Dalam perkembangan lanjut, setiap kursus bagi type A dan  B boleh berdiri sebagai sebuah jabatan)
Pelajar boleh memilih kursus di atas maksimum 15 unit bagi satu semester. Unit-unit tambahan ditentukan dari kegiatan ko-kurikulum yang ditentukan. Misalnya dari kegiatan sukan, khidmat masyarakat, kelas bimbingan dan sebagainya. Bagi pelajar yang tidak berkesempatan memilih kursus yang diminatinya, boleh mengambilnya pada semester yang lain apabila ditawarkan. Bagi semester yang kursus-kursus yang lain ditawarkan atau peningkatan dari kursus asas pada semester pertama dan seterusnya bagi semester tiga dan empat dan kelima dan enam yang memakan masa biasa tiga tahun. Bagi pelajar-pelajar yang tidak dapat melengkapkan unit kursus sejumlah 120 unit dalam masa tiga tahun, dia boleh meneruskan pengajian melebihi tiga tahun sehingga dia lulus.
Sebagai contoh keterangan bagi kursus wajib Falsafah dan Hakikat Ilmu (tidak guna istilah `Teori Ilmu` lantaran istilah teori tidak melambangkan kejituan keilmuan).
Kod 101 – Falsafah Dan Hakikat Ilmu
Asas bagi memahami apa itu ilmu dari segi Falsafah dan Hakikat. Pandangan Islam tentang Ilmu bersumberkan Al-Qur`an. Bagaimana Ilmu  tumbuh dan berkembang. Elemen-elemen dalam diri manusia dan faktor luaran memperkembangkan Ilmu. Pendapat tokoh-tokoh mengenai Ilmu. Kategori, pecahan dan ciri-ciri Ilmu. Ilmu adalak kekuatan dan berperanan memperkasakan tamadun dan peradaban. Penerokaan Ilmu dan kemungkinan-kemungkinan mendatang.
Buku-buku cadangan
1)      Ahmad Mohamad Said & Khadijah Salikan, Pembangunan Insan: Aspirasi Dan Realiti, Kolej Dar Al-Hikmah, Kajang, 2007.
2)      Ahmad Mohamed Said & Mohd Nasir Mohd Tap, Pembudayaan Ilmu: Membina Jati Diri Katamadunan, Kolej Dar al-Hikmah, Kajang, 2009.
3)      Franz Rosenthal, Keagungan Ilmu, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1992.
4)      Hairuddin Harun,Daripada Sains Yunani Kepada Sains Islam, Penerbit Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 1992.
5)      Hasan Langgulung, Pendidikan Islam, Pustaka Antara, Kuala Lumpur, 1979.
6)      Hikmat Nagib Abdul Rahman, Dirasat fi Tarikh al-`Ulum `Ind al-`Arab, Jami`ah al-Musil, Musil, 1985.
7)      Jujun S.Suriasumantri, Filsafat Ilmu: Sebuah Pengantar Popular, Sinar Harapan, Jakarta, 1984.
8)      Jujun S.Suriasumantri, Ilmu Dalam Perspektif, Yayasan Obor Indonesia, Jakarta, 1983.
9)      Modal Insan, Pusat Kurikulum, Universiti Putra Malaysia, 2009.
10)   Mohd. Kamal Hassan, Pendidikan Dan Pembangunan: Satu Perspektif Bersepadu, Nurin Enterprise, Kuala Lumpur, 1988.
11)   Omar Nakib, Malik Bennabi`s Approach to the Educational Problem in the Muslim World, Kolej Universiti Islam Selangor, Bangi, Selangor, 2006.
12)   Robert C. Solomon, Introducing Philosophy, Oxford University Press, New York, 2001.
13)   Seyyed Hossein Nasr, Science And Civilization In Islam, Dewan Pustaka Fajar, Shah Alam, Selangor, 1984.
14)   Sulaiman Nordin, Sains Menurut Perspektif Islam, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1995.
15)   Wan Mohd. Nor Wan Daud, Penjelasan Budaya Ilmu, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1997.
Demikianlah perspektif dari satu kursus, iaitu 101  Falsafah Dan Hakikat Ilmu, Kursus-kursus lain hendaklah mempunyai keterangan dan bahan rujukan bagi kursus-kursus yang ditawarkan, dinilaikan dan kemudian diterbitkan di dalam buku perspektif bagi peringkat, Jabatan dan Fakulti. 
Dengan adanya buku perspektif, antaranya menjadi panduan bagi pensyarah mengajar dan pelajar mengetahui ruang lingkup kursus. Ianya juga menjadi panduan untuk penilaian.

Sekian.

December 21, 2015

Kerjasama Dengan Pengajian-Pengajian Tinggi Luar


BBB, 08 Rabiul Awwal 1437 = 20 Disember 2015 (Ahad):


Jami`ah Al-Umm sebagai sebuah pengajian yang baru tentu kurang pengalaman dan banyak kekurangan yang dihadapi. Bagi mengatasi sebahagian dari kekurangan ialah dengan mengambil pendekatan `Kerjasama` dengan institusi-institusi pengajian tinggi yang sudah established, terutama yang pengajiannya berorientasikan Islam dan yang kedudukannya berdekatan dengan Jami`ah Al-Umm.
Kerjasama adalah di dalam bidang-bidang:
a)      Akademik
Kerjasama di dalam bidang akademik dimaksudkan, ialah kerjasama dari segi menganjurkan kursus di dalam bidang-bidang pilihan. Misalnya kerjasama menawarkan pengajian peringkat diploma katakanlah misalnya di di dalam diploma perundangan syariah. Jami`ah Al-Umm menyusun kurikulumnya sendiri dengan persetujuan institusi yang sama bekerjasama atau Jami`ah  Al-Umm menggunkan kurikulum dari institusi pengajian tertentu. Pelajar dari Jami`ah Al-Umm hadir sama ke institusi berkenaan mengikuti kuliah atau kurikulum berkenaan digunakan di Jami`ah Al-Umm dan mungkin tenaga dari institusi berkenaan datang sama menyampaikan kuliah kepada pelajar Jami`ah Al-Umm. Pada akhirnya pelajar dari kedua-dua institusi sama mengambil peperiksaan dan bagi Jami`al Al-Umm akan mengeluarkan diploma kepada mereka yang lulus di atas nama Jami`ah Al-Umm dengan kerjasama dengan institusi berkenaan.
Kerjasama juga dilakukan dengan meminjam atau menjemput tenaga pengajar dari institusi berkenaan menyampaikan kuliah di dalam bidang kepakarannya yang bidang berkenaan ditawarkan pada pengajian di Jami`ah Al-Umm.
Kerjasama juga dapat dilakukan pada peringkat Ijazah pertama. Misalnya pihak Jami`ah Al-Umm menawarkan pengajian yang berhuibuing dengan `Ulum Al-Qur`an yang di dalamnya termasuk bidang tahfiz. Kerjasama dapat dilakukan di dalam bidang kurikulum yang dirangka oleh pihak Jami`ah Al-Umm dan dinilai oleh pihak institusi yang juga menganjurkan pengajian pada peringkat ijazah di dalam bidang Ulum Al-Qur`an dan Tahfiz. Begitu juga dalam bidang pengajaran dengan meminjam tenaga pengajar yang diperlukan di Jami`ah Al-Umm.
Demikianlah kerjasama di dalam bidang-bidang yang lain seperti dalam bidang sains, ekonomi, perdagangan, komunikasi dan kemanusiaan yang seharusnya menurut pendekatan keislaman.
b)      Perpustakaan
Meneroka keilmuan pada peringkat pengajian tinggi, bukannya diterima dari pensyarah-pensyarah sahaja, tetapi banyak bergantung pada pembacaan dan penyelidikan – termasuk bagi mengolah dan memperluaskan keilmuan yang disampaikan oleh pensyarah memerlukan bacaan tambahan di perpustakaan. Bagi membuat esei, kajian ilmiah, kertas projek, tesis dan berbagai jenis penyelidikan perlu kepada rujukan di perpustakaan. Jami`ah Al-Umm yang baru dan terhad ruang, bagi peringkat permulaan tidak mampu menyediakan bahan-bahan bacaan di perpustkaan secara lengkap. Satu cara bagi mengatasi kekurangan pihak Jami`ah Al-Umm perlu mengadakan kerjasama dengan pengajian-pengajian berdekatan bagi memboleh pelajar-pelajar dari Jami`ah Umm menggunakan kemudahan perpustkaan, khususnya perpustakaan-perpustakaan yang mempunyai koleksi buku dalam bidang-bidang yang ditawarkan oleh Jami`ah Al-Umm. Kerjasama seperti ini dapat disekalikan dengan kerjasama di dalam bidang akademik.
c)       Sama-Sama Memperkasakan Ilmu
Bermaksud pihak Jami`ah Al-Umm mengadakan kerjasama dua hala di dalam bidang akademik. Misalnya bila pihak Jami`ah Al-Umm mengadakan kegiatan ilmiah seperti konvensyen, seminar atau sebarang wacana ilmiah pihak Jami`ah Al-Umm menjemput tenaga-tenaga pengajar dan pelajar untuk hadir sama bagi mempertingkatkan wacana dengan perbincangan-perbincangan Ilmiah yang boleh dimanfaatkan oleh hadirin. Pihak institusi yang lain, lebih-lebih lagi yang bekerjasama dengan Jami`ah Al-Umm juga diminta membuka peluang, menjemput tenaga akademik dan pelajar dari Jami`ah Al-Umm turut sama hadir membincangkan bersama seminat atau wacana yang diadakan.
d)      Melanjutkan Pengajian
Pihak Jami`ah Al-Umm dalam jangka panjang akan menawarkan ijazah lanjutan pada peringkat sarjana dan juga Doktor Falsafah. Dari segi meramaikan tenaga akademik, maka tenaga-tenaganya perlu dihantar ke luar dari Jami`ah Al-Umm , sama ada di dalam dan luar negara. Bagi yang di dalam negera, maka institusi-institusi yang mempunyai kerjasama dengan  Jami`ah Al-Umm memberi  peluang bagi tenaga dari Jami`ah Al-Umm melanjutkan pelajaran pada peringkat, terutamanya Ph. D bagi mempelbagaikan kelulusan tenaga akademik dari keluaran berbagai-bagai universiti sama ada di dalam dan luar negara.
Seterusnya kerjasama di dalam bidang akademik juga melibatkan penilaian keilmuan. Bermaksud bagi penilaian tesis pada peringkat Sarjana dan Dr. Falsafah memerlukan penilai-penilai luar, termasuk penilai dalaman. Maka kerjasama yang demkian juga diharapkan bagi mendapat tenaga-tenaga akdemik selaku penilai luar, terutama pada peringkat Ph. D.
e)      Latihan
Jami`ah Al-Umm sebagai insttusi pengajian yang baharu, sudah tentu masih kurang pengalaman dari segi pentadbiran sama ada tadbiran umum, pelajar, akademik dan sebagainya. Melalui kerjasama dengan pengajian tinggi yang diadakan, pihak Jami`ah Al-Umm diharap mendapat kerjasama dari segi latihan pegawai-pegawainya di dalam bidang pentadbiran sama ada melalui kursus formal atau tidak formal.
f)       Peringkat Pelajar
Kerjasama juga diperlukan pada peringkat pelajar seperti menganjurkan karnival, sambutan-sambutan seperti `Hari Ilmu Bangi`- termasuklah pertandingan-pertandingan sepereti sukan yang akan mengiratkan hubungan antara Jami` Al-Umm dengan institusi-institusia yang lain.

Sesungguhnya melalui kerjasama di dalam bidang-bidang yang disebutkan memantapkan Jami`ah Al-Umm, misalnya dalam bidang akademik, pentadbiran dan kemasyarakatan. Melalui kerjasama-kerjasama sedemikian Jami` Al-Umm semakin matang dan semakin berdikari dan akhirnya maju setarap dengan pengajian-pengajian tinggi yang lain, tetapi mempunyai ciri dan identiti tersendiri.

Sekian.

December 20, 2015

Tenaga Akademik Dan Kurikulum Keilmuan


BBB,  07 Rabiul Awal 1437 =  19 Disember 2015 (Sabtu):
Bagi sebarang pengajian, maka guru dan pengajian atau pelajaran yang hendak disampaikan adalah keperluan yang penting, apa lagi pada peringkat pengajian tinggi, khususnya bagi Masjid Al-Umm yang dihasratkan untuk ditingkatkan kepada `Jami` al-Umm` yang menjadi pemangkin bagi Bangi Bandar Ilmu.


Kita bersyukur kepada Allah Subhanahu wa Ta`ala dengan keistimewaan Bangi dengan keilmuan. Dalam satu seksyen daripada Bandar Bangi yang mempunyai 20 seksyen itu ada antaranya terdapat berpuluh profesor dan lulusan Ph. D yang sebahagian daripada mereka telah bersara. Mereka ini dari berbagai bidang ilmu pengetahuan. Mereka boleh dirunding bagi mendapatkan khidmat mereka di dalam bidang akademik. Sementara itu di Bangi terdapat juga ramai pentadbir universiti dari Nain Canselor, Timbalan Naib Canselor, Rektor,  Pendaftar dan berbagai-bagai pegawai dan kakitangan akademik yang sebahagian daripada mereka sudah bersara.
Di dalam bidang akademik terdapat mereka yang berkelulusan dan mengajar di dalam bidang pengajian Islam, sains, perubatan, ekonomi, perundangan, perdagangan, komunikasi dan kemanusiaan. Pendek kata dari segi tenaga pengajar mencukupi di dalam berbagai-bagai bidang. Mereka ini merupakan tokoh-tokoh akademik yang berpengalaman dan menghasilkan penerbitan-penerbitan yang menandakan kepakaran di dalam bidang masing-masing.
Cuma tenaga-tenaga akademik ini mendapat pengajian di berbagai-bagai institusi pengajian tinggi di dalam dan di luar negara di dalam berbagai-bagai bidang, sedang pengajian di Masjid Al-Umm sebagai `Jami`ah al-Umm` seharusnya mendukung keilmuan, nilai, pendekatan bersepadu yang berpaksikan Islam. Di dalam hal ini mungkin ada tidak keselarian dari segi perspektif dan arah pembawaan tenaga-tenaga akademik ini yang berlainan tempat menimba keilmuan dan berlainan tempat berkhidmat, walaupun sama menghuni di Bangi Bandar Ilmu.
Di dalam hal ini masa setengah tahun atau lebih  selepas mengadakan konvensyen pertama Jami`ah Al-Umm dapat digunakan bagi berwacana akademik tentang keilmuan - sejauhmanakah perdekatan selama ini  bersesuaian sebagai pendekatan keilmuan berintegrasikan Islam. Dengan cara ini Masjid Al-Umm baik secara langsung atau tidak  langsung bergiat dalam wacana ilmiah bernilai Islam.
Ada beberapa peringkat yang harus dilalui:
Peringkat pertama pihak Jami`ah Al-Umm mengadakan seminar:
Konsep keilmuan dalam Islam atau Keilmuan dari Perspektif Islam, atau  Falsafah dan integrasi ilmu dalam Islam atau Ilmu mengkuhkan tauhid atau sebarang judul yang memperlihatkan kesatuan ilmu dalam Islam dan berperanan mengangkatkan martabat insan sebagai khalifah Allah bagi memakmurkan bumi dan alam.
Seminar yang sedemikian hendaklah diadakan secara bersiri dengan judul yang berlainan tetapi menurut perspektif Islam.
Selepas Seminar Mengenai Konsep Keilmuan Islam diadakan seminar yang lebih spesifik di dalam berbagai-bagai ilmu .
Bagi bidang pengajian Islam dan berbagai keilmuan di dalamnya, tentulah lebih jelas dan mudah lantaran keilmuan yang dibincangkan sememangnya bidang-bidang keilmuan Islam. Tetapi bidang ini juga perlu kepada perbincangan dari segi approach, pembaharuan dan perkembangan keilmuan-keilmuan berkenaan agar tidak bersifat mengulang-mengulang dan tidak membawa perubahan dari segi kajian, penyelidikan dan sumbangan baru dalam bidang berkenaan. Pendek kata bidang ini juga perlu diwacanakan agar kaedah, pendekatan dan sumbangan dari segi keilmuan tidak ketinggalan dari bidang-bidang yang lain.
Yang lebih mencabar ialah bidang yang berhubung dengan sains yang mempunyai berbagai-bagai jenis bidang keilmuan. Sudah tentulah bidang yang sesuai bagi peringkat permulaan pengajian sains di Jami`ah Al-Umm ialah bidang-bidang yang terpilih dan bersesuaian sebelum ianya dikembangkan kepada bidang-bidang yang lebih luas. Di dalam hal ini pakar tenaga akademik diminta membentangkan pendekatan keilmuan mereka dari perspektif Islam berdasarkan rumusan yang telah dibincangkan tentang konsep keilmuan di dalam Islam itu. Kertas berkenaan dibahaskan oleh mereka yang pakar dalam bidang berkenaan yang dilihat dari perspektif keislaman. Demikianlah perbincagan dilakukan dari minggu ke minggu di dalam bidang-bidang sains yang berlainan sehingga melengkapi semua bidang sains yang diperlukan. Semua kertas dan pendapat disatukan, dihimpun dan diterbitkan sebagai panduan bagi merangka kursus atau disiplin di dalam mana-mana keilmuan sains berkenaan dan juga yang lain
Kaedah sedemikian juga dilakukan bagi bidang-bedang keilmuan yang lain seperti ekonomi, komunikasi, perundangan dan kemanusiaan. Segala kertaskerja dan dapatan dari wacana ilmiah ini dirumus dan disatu di dalam bidang-bidang berkenaan yang kelak menjadi panduan bagi perluasan keilmuan-keilmuan berkenaan dari perspektif keislaman.
Peringkat selanjutnya ialah menyusun kurikulum bagi setiap bidang keilmuan yang diwacanakan untuk dibawa ke dalam konvensyen peringkat kedua. Tapi sebelum semua bidang keilmuan berkenaan dirumus dan disatukan sebagai satu kesepaduan kurikulum yang menjadi panduan pengajaran dan pembelajaran, pihak Jami`ah Al-Umm hendaklah mengadakan lawatan-lawatan ke universiti-universiti yang menamakan universiti masing-masing dengan nama Islam seperti Kolej Universiti Islam Antarabangsa (KUIS), Seri Putera, Bangi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Universiti Islam Antarabangsa, Malaysia (UIAM) di Gombak dan Kuantan dan beberapa pengajian tinggi yang namanya dikaitkan dengan Islam.
Pihak Jami`ah Al-Umm, seharusnya tidak terikat dengan pendekatan yang diambil oleh  mana-mana pengajian Tinggi Islam yang dilawati, tetapi cuba memahami dan meneliti imej dan identiti yang dibawa pengajian-pengajian tinggi berkenaan. Semua dapatan dan rumusan yang dicapai akan dibawa kedalam Konvensyen Kedua Jami`ah Al-Umm.
Pihak Jami`ah Al-Umm hendaklah menyesuaikan dirinya dengan kemampuan yang ada dan dengan suasana sekitaran kelilingan,  tetapi cuba mencari pendekatan terbaik di dalam menyebarkan ilmu menurut perspektif Islam dan cuba mewujudkan sebuah pengajian tinggi yang unik dan beridentiti tersendiri.

Sekian.

December 19, 2015

Tujuan Konvensyen - Kertas-Kertaskerja Dihasilkan: Panduan


BBB, 06 Rabiul Awwal 1437 = 18 Disember 2015 (Jumaat):


Sebagaimana telah dibincangkan, bahawa tujuan utama diadakan konvensyen, dicadangkan pada 22 Jun 2016 (Sempena Hari Ilmu Bangi diisytiharkan pada 22 Jun 2008 oleh Dato` Menteri Besar Selangor) adalah bagi  membincangkan Masjid Al-Umm menjadi Pusat Pengajian Tinggi Islam sebagaimana masjid juga mempunyai cadangan perancangan pengajian pada peringkat rendah, pengajian di masjid, tahfiz dan pengajian ala pondok. Sebagaimana telah disebutkan, bahawa Masjid Al-Umm seharusnya bukan bersifat masjid biasa sebagai tempat solat dan adanya sedikit pengajian. Adalah dihasratkan Masjid Al-Umm menjadi Pusat Kecemerlangan Ilmu, khususnya keilmuan Islam. Konvensyen membincangkan tentang kewajaran lokasi dan infra-struktur yang ada padanya dengan tambahan-tambahan yang diperlukan. Memanfaatkan tenaga-tenaga akademik dan ulama` yang ada di Bandar Baru Bangi memberi sumbangan keilmuan di Masjid Al-Umm yang mungkin dinamakan `Jami`ah Al-Umm` (Al-Umm University), selain dari tenaga pengajar ialah membincangkan bidang-bidang keilmuan yang menjadi keutamaan dalam pengajian, tahap-tahap pengajian yang mungkin bermula dari diploma, ijazah pertama, sarjana dan doktor falsafah, juga mengenai pengambilan pelajar dan terpenting bagaimana mendapat dana bagi menggerakkan pengajian  di Jami`ah Al-Umm tersebut.
Gagasan bagi mendirikan Jami`ah Al-Umm adalah perkara besar dan memerlukan perbincangan berperingkat-peringkat dan memakan masa yang panjang sebelum ianya dapat dimulakan. Adalah dihasratkan bahawa Jami`ah Al-Umm yang berorientasikan masjid berkembang sebagaimana berkembangnya Masjid Qayrawan dan Masjid Al-Azhar kepada tahap Jami`ah - universiti. Tetapi pengajian di Jami`ah Al-Umm hendaklah mempunyai ciri-ciri dan identiti tersendiri.
Adalah dicadangkan perbincangan pada peringkat permulaan diadakan dua peringkat, iaitu peringkat dalaman dan diikuti pada peringkat terbuka.
Konvensyen (Pertama) yang bersifat dalaman ini hendaklah dengan kertas-kertaskerja yang dibentangkan oleh kalangan AJK Pembinaan Dan Pengimarahan Masjid Al-Umm yang mereka sebenarnya terdiri dari profesor, profesor madya, engineer, ahli akademik, arkitek, para profesional dan tokoh-tokoh berpengalaman. Walau bagaimana peserta-peserta luar terdiri dari kalangan akademik, professional dan berbagai bidang dijemput sama hadir untuk mendapat input, pandangan dan saranan daripada mereka. Hasil dari Konvensyen peringkat pertama dirumus dan dibawa kepada Konvensyen Peringkat kedua yang mungkin diadakan pada akhir tahun 2016. Di dalam konvensyen kedua ini tenaga akademik dan pakar-pakar luar dijemput membentang kertaskerja bersama tokoh-tokoh dalaman. Di dalam konvensyen ini dibincangkan tentang perkara-perkara lebih detail. Misalnya penentuan bidang tenaga akademik menurut kepakaran dan cadangan kursus-kursus yang releven sebagai pengajian di Jami`ah Al-Umm dan perkara-perkara yang lain yang ada hubungannya dengan sebuah pengajian tinggi. Peserta-peserta akademik dan professional juga dijemput menyertai sidang. Adalah dijangka dengan dua konvensyen ini pihak penganjur, iaitu Masjid Al-Umm mendapat pandangan, cadangan dan saranan yang memungkinkan pihak Jami`ah Al-Umm bergerak memulakan pengajian pada tahap tinggi berindukkan Masjid Al-Umm.
Konvensyen pertama dicadangkan penyediaan kertaskerja dari kalangan AJK Pembinaan dan Pengimarahan Masjid Al-Umm, ialah kerana kertas-kertaskerja melibatkan pengalaman yang dilalui oleh AJK di dalam membina dan mengimarahkan Masjid tersebut. Kertas-kertaskerja ini akan dihimpun dan diterbitkan dalam penerbitan dalam bentuk buku yang secara langsung merakamkan maklumat dan sejarah yang berhubung dengan pembinaan dan pengimarahan Masjis Al-Umm di samping mendapat pandangan dan visi mereka terhadap masa depan Masjid Al-Umm yang dihasratkan menjadi Pengajian Tinggi yang membawa kecemerlangan ilmu.
Adalah kertas-kertas kerja bagi Konvensyen Pengajian di Masjid Al-Umm ialah:
Ucapan Dasar (bertulis) oleh Penaung dan Penasihat Masjid al-Umm yang juga merasamikan pembukaan konvensyen.
Kertas Utama:    Ke Arah Meningkatkan_Masjid Al-Umm Ke Tahap Pengajian Tinggi – Pengerusi AJK
Kertas Dua:       Fokus Pengajian Tinggi di Masjid Al-Umm  Oleh Dr. Sabri
Kertas Tiga:   Kerjasama Jami`ah Al-Umm dengan Pengajian Luar – Dr. Tajul
Kertas Empat:   Pentadbiran Jami`ah Al-Umm – Tuan Haji Suib
Kertas Lima:   Menjana Modal Insan dan Pekerja di Jami`ah Al-Umm (Hj. Mohd Kalok)
Kertaskerja Enam: Pembangunan Fizikal Jami`ah Al-Umm ( Ir. Tuan Haji Ishak)
Kertaskerja Tujuh:  Menjana Dana Bagi Jami`ah Al-Umm (Tuan Haji Mohd Nor)
Kertaskerja Lapan : Projek Mendirikan Kompleks Ilmu: Cabaran (Ir. Tuan Haji Ghazali Husin)
Kertaskerja Sembilan: Menyediakan Penginapan dan Asrama (Hj. Abdul Rahma)
Kertaskerja Sepuluh: Tenaga Muslimat Dalam Pengajian di Jami`ah Al-Umm (Dr. Saudah).
Kertaskerja Sebelas: Melengkapkan Perpustakaan di Jami`ah Al-Umm (Hj. Ghazali Abbas)
Kertaskerja Duabelas:  Aspek Kebajikan di Jami`ah Al-Umm (Hj. Husin Yunos).
Kertas Tiga Belas: Meningkatkan Status Surau-Surau Dalam Kampus Terbuka Jami`ah Al-Umm (Ustaz Ahmad)
Dengan penghasilan kertaskerja berkenaan secara meluas dan menyeluruh dapat merakamkan pengalaman yang dilalui oleh AJK dalam kerja-kerja yang mereka laksanakan selama ini dan visi dan misi mereka bagi Jami`ah  Al-Umm.
Apa yang disusun di atas adalah merupakan cadangan dan terbuka bagi pembaikan.
Dengan gagasan Masjid Al-Umm sebagai pengajian di kampus terbuka, melengkapkan cadangan-cadangan yang dirangka bagi Masjid Al-Umm yang bukan saja sebagai tempat ibadat, tetapi sebagai pusat pengajian tinggi – Jami`ah Al-Umm yang mendukung aspirasi Islam, khususnya di dalam bidang keilmuan dan pendidikan.

Sekian.