December 2, 2015

Iskandar Dhu Al-Qarnain Legenda Dunia Dalam Legenda Melayu

BBB, 19 Safar 1437 = 01 Disember 2015 (Selasa):
Ketokohan Dhu al-Qarnain (yang dikenali sebagai Iskandar Dhu al-Qarnain) sebagaimana disebut di dalam Al-Qur`an tidak saja terkenal sebagai Tokoh Legenda Islam, tetapi juga sebagai `Legenda Dunia` yang dikenali di Barat dan di Timur. Tokoh ini juga dikenali di dalam peradaban dan tamadun Melayu. Nama Iskandar begitu terkenal sebagai nama dan gelaran bagi raja dan turunan raja-raja Melayu, misalnya Sultan Iskandar Shah sebagai Raja Melayu Terawal di Melaka di akhir abad ke 14M. Demikian juga dengan gelaran Sultan Iskandar Mahkota Alam dan Iskandar Thani di Acheh pada pertengahan abad ke 17M. Demikianlah dengan beberapa lagi gelaran bagi raja-raja Melayu. Iskandar Dhu al-Qarnain dianggap sebagai nasab keturunan bagi raja-raja Melayu, bahkan di Barat keturunan raja-rajanya dikaitkan  dari nasab ketururunan Raja Iskandar Dhu al-Qarnain. (Hikayat Iskandar Zulkarnain, Diusahakan oleh Khalid Hussain, Dewan Bahasa dan Pusaka, Kuala Lumpur, 1967: IX).


Ada berbagai pendapat mengenai bilakah zaman beradanya Iskandar Dhu al-Qarnain. Ada yang berpendapat bahawa Iskandar Dhu al-Qarnain berada pada zaman Nabi Allah Ibrahim a.s. yang dikaitkan wujudnya pada zaman itu bersama Nabi Ibrahim ialah Nabi Khidhir. Dalam Hikayat Iskandar Zulkarnain disebut bahawa Iskandar adalah berada pada zaman kerajaan Rum. Iskandar Dhu al-Qarnain berketurunan dari bapa yang bernama Raja Durab, beribukan Puteri Safiya Arqiya puteri Raja Rum anak kepada Raja Qilas (Hikayat Iskandar Zulkarnain: 41). Iskandar pada zaman kanak-kanak diserah mengaji dengan seorang guru bernama Aristatalis, iaitu seorang pendita terkenal dari negeri Istanbul.(Ibid. 42). Setelah kematian Raja Qilas maka ditaballah Iskandar menjadi Raja di negeri Rum. Dalam masa pemerintahannya Raja Iskandar Dhu al-Qarnain meluaskan jajahan takluk pemerintahannya. Adalah dikatakan bahawa Nabi Khidhir banyak membantu Raja Iskandar di dalam peperangan dan pemerintahan (Ibid. 53-70). Dikatakan perluasan pemerintahan Iskandar Dhu al-Qarnain ke Maghrib dan ke Masyriq adalah di dalam misi menyibarkan agama Islam di atas agama Nabi Allah Ibrahim. (Ibid. 71-134).                                                                                 

Di dalam Surah al-Kahfi disebutkan bahawa Dhu al-Qurnain telah meluaskan kekuasaannya hingga ke Barat ke sempadan jatuhnya matahari dan hingga ke Timur ke sempadan naiknya matahari (18. 86-90). Dikatakan  sempadan kekuasaan Iskandar Dhu al-Qarnain adalah sampai ke negeri Hindi (India). Kemaraan bala tentera Iskandar Dhu al-Qarnain  ke Masyriq membawa kepada penawanan negeri Hindi. Di sini Raja Iskandar Dhu al-Qarnain dikahwinkan oleh Nabi Khidhir dengan puteri raja Kida Hindi bernama Puteri Shahrul Bariyah yang digambarkan sebagai seorang puteri yang amat cantik serta amat elok perangainya. Dengan puteri Shahrul Bariyah ini Raja Iskandar Dhu al-Qarnayn mendapat putera lelaki yang diberi nama Aristun. Kemudian Aristun berkahwin dengan puteri Raja Turkistan (mendapat anak yang diberi nama Aftus). Daripada Raja Aristun lahirnya generasi-generasi turunan yang berhubung dengan Raja Iskandar Dhu al-Karnain di Hindi yang antaranya berkahwin dengan anak Raja Nushirwan dari Parsi yang selanjutnya memperturunkan keturunan kepada Raja yang dikenali dengan Raja Suran yang dikatakan menguasai negeri-negeri maghrib dan Masyriq, kecuali negeri Cina.

Pada masa pemerintahan Raja Suran ini baginda menggerakkan bala tentera melalui jalan laut untuk menyerang negeri Cina. Dalam perjalanan tentera Baginda menyerang negera Gangga Negara, iaitu berdekatan dengan Dinding, Perak dengan Rajanya ialah Raja Shah Johan. Mereka dikalahkamn oleh Raja Suran. Turut dikalahkan pihak Siam, rakyat di Kelang dan Raja Chulan di Kota Ganggayu. Raja Suran berkahwin dengan anak Raja Culan bernama Onang Kiu dan baginda bergerak ke Temasek.
Dari Temasek Raja Suran bersama bala tenteranya bergerak ke Cina. Mendengar berita demikian Perdana Negeri Cina memasang helah dengan menghantar perahu yang dilayari orang tua dengan pokok yang ditanam di dalamnya. Apabila perahu di temui pihak Raja Suran dimaklumkan mereka datang dari Cina semasa muda, kini setua dirinya baru sampai ke Temasek dan pokok yang benihnya ditanam masa bertolak dari negeri Cina sudah begitu besar begitu juga batang besi yang dibawa sebesar lengan, kini sekecil jarum dimakan karat. Maka pihak tentera Raja Suran membatalkan niat menyerang Cina, kerana dijangka memakan masa begitu lama - lantaran helah dari pihak Cina.


Selepas itu Raja Suran turun ke perut laut melalui peti kaca dan sampai ke negeri di bawah laut yang rajanya bernama Aftabul Ardz. Raja Suran berkahwin dengan anak raja tersebut yang bernama Puteri Mahtabul Bahri. Mereka dikurniakan tiga orang anak lelaki.Yang tua dinamai Nila Pahlawan, kedua Krishna Pendita dan yang bungsu Nila Utama. Mereka kembali ke permukaan bumi dan turun di Bukit Seguntang. Nila Pahlawan dikahwinkan dengan Wan Empo dan Nila Krishna dengan Wan Malini dan Nila Utama berkahwin dengan Wan Seri Beni anak Raja Bentan. Nila Utama kemudiannya membuka Singapura yang asalnya nama Temasek itu. Baginda mendapat seorang putera yang dinamakan Raja Kecil Besar. Dari jalur keturunan inilah dikatakan membuka negeri Melaka yang memulakan pemerintahan negeri Melaka dan maju pemerintahannya berikut dari penerimaan Islam bermula dengan Sultan Muhammad yang juga dikenali dengan Sultan Iskandar. Dari keturunan inilah dikatakan menjadi turunan bagi raja-raja Melayu.
(Sejarah Melayu, Versi G. Shellabear, Oxford University Press, Kuala Lumpur, 1967: 4-87).

Tanpa mempersoalkan dari segi kebenaran fakta, tetapi melihatnya dari segi budaya memperlihatkan bahawa turunan Iskandar Dhu al-Qarnain dilihat begitu agung. Fakta yang terdapat di dalam Al-Qur`an secara ringkas ini diolah secarea kreatif dan lahirlah berbagai pendapat mengenai asal usul keturunan Raja Iskandar Dhu al-Qarnain ini. Setiap pihak cuba menggalurkan keturunan raja dan pemerintahan masing-masing dengan turunan Iskandar Dhu al-Qarnain ini termasuklah juga di dalam hikayat-hikayat Melayu seperti Hikayat Iskandar Zulkarnain, Sejarah Melayu dan beberapa hikayat yang lain.

Yang menarik Iskandar Dhu al-Qarnain dilihat tokoh yang menyibarkan Agama Islam, tetapi oleh keberadaannya di dalam sejarah mendahului zaman Rasulullah s.a.w., maka sebagai kewajaran dikatakan bahawa Iskandar Dhu al-Qarnain adalah berada pada zaman Nabi Ibrahim a.s. dan mempunyai hubungan yang rapat dengan Nabi Khidhir, bahkan menjadi pembantu utamanya. Manakala yang lain melihat Iskandar Dhu al-Qarnain berada pada zaman kerajaan Rum, bahkan mengaitkannya dengan tokoh pemikir Greek, iaitu Aristotles sebagai gurunya, manakala bagi budaya Melayu yang mengaitkan raja-raja Melayu dari turunannya, menimbulkan pertanyaan dari segi misi agama yang dibawa oleh Iskandar Dhu al-Qarnain lantaran terputus dengan pertalian turunannya dari Kida Hindi hinggalah kepada zaman Nila Utama di Temasek. Misi sebagai pemeluk dan pendukung Islam hanya timbul kembali setelah raja Melaka menerima Islam dengan Raja Islam pertamanya Sultan Muhammad. Iskandar Dhu al-Qarnain dalam jalur Melayu dilihat ialah dari aspek budaya dan sastera, bukan sepenuhnya dari segi fakta. Iskandar Dhu al-Qarnain diterima sebagai tokoh agung dan sebagai legenda dunia. Banyak pihak yang mau mengaitkan pertalian turunan dengan tokoh berkenaan sebagai turunan agung.
Sekian.

No comments:

Post a Comment