December 15, 2015

Tahap Ketiga: Memartabatkan Masjid Al-Umm Ke Tahaf Pengajian Tinggi


BBB, 02 Rabi`ul Awal 1437 = 14  Disember 2015 (Isnin):
Puncak daripada pengajian di Masjid Al-Umm yang selari dengan unjuran dan pembangunan fizikalnya ialah meningkatkan pengajiannya kepada tahap pengajian tinggi. Bagi memperluaskan pengajian yang dapat ditawarkan oleh Masjid Al-Umm memerlukan kawasan yang lebih luas, tapak masjid yang seluas 2 ekar sudah tidak mempunyai ruang untuk sebarang penambahan bangunan. Bagi melaksanakan hasrat jangka panjang ini masjid memerlukan kawasan  tapak bagi pembangunan fizikal bagi pengajian tinggi berkenaan.


Ada dua tapak berdekatan dengan Masjid Al-Umm kini yang boleh menjadi kampus, kita gunakan istilah  Jami`ah Al-Umm - Pengajian Tinggi atau Universiti Al-Umm, iaitu:
1)      Medan Usahawan yang berhadapan dengan Masjid Al-Umm yang luas kira-kira 2 ekar
2)      Padang Awam yang berkedudukan sebelah kanan Masjid Al-Umm yang juga luas kira-kira dua ekar.
Kesedaran untuk meningkatkan pengajian di Masjid Al-Umm dan memperluaskan kawasan kampus pengajian memang sudah lama dibangkitkan dan ada cadangan agar semua Medan Usahawan – termasuk hingga ke kawasan Pasar Basah Bandar Baru Bangi yang luasnya sebanyak  5 ekar itu dibangunkan secara bersepadu sebagai kampus pengajian dan pasar basah dinaik taraf sebagai pasar moden bagi keperluan penduduk setempat dan Bandar Baru Bangi seluruhnya.
Namun ada kekangannya:
a)      Mengambil kawasan Padang Awam, melalui rundingan dengan pihak berkuasa merupakan isu sensitif. Kerana ini adalah merupakan satu-satunya padang awam dan tanah lapang setempat. Kalangan penduduk, khususnya kalangan generasi muda menentang pengambilan Padang Awam. Mereka lebih suka Padang Awam ini terus sedemikian dan dapat digunakan sebagai Padang Bola dan kegiatan sukan setempat. Pihak masjid juga dapat mengguna dan mengambil faedah bagi berbagai-bagai kegiatan selain dari sukan, ialah ruangan bagi ceramah terbuka dan kawasan perhimpunan bagi berbagai-bagai sambutan keagamaan dan awam. Cuma wajar ditingkatkan padang berkenaan sebagai padang yang standard dengan menanam pokok-pokok menghijau kelilingnya dan mungkin di tambah dengan `stands bertingkat di lereng bukit bagi padang tersebut, termasuk ada pentas pada bahagian tengah di tepi bukit di tengah-tengah stands berkenaan. Pokoknya padang awam ini menjadi padang serbaguna.
b)      Membangunkan seluruh kawasan `Medan Usahawan` hingga ke kawasan Pasar Basah, memerlukan kos yang tinggi dan kurang berkenaan dengan pembangunan bagi `Jamiah al-Umm. Membangun kawasan pasar ini adalah merupakan tugas MPKj. Permohonan hendaklah ditujukan kepada pihak MPKj membangunkan kawasan pasar berkenaan selari dengan pembangunan yang akan dilakukan terhadap `Jami`ah al-Umm`. Ini mengurangkan beban kewangan yang dihadapi masjid terhadap tugas yang tidak berkenaan baginya.
Tumpuan Utama
Sebaiknya dan buat permulaan ialah menumpukan kepada pembangunan Kampus Jami`ah Al-Umm, ialah mengusahakan dari pihak MPKj atau terus kepada Kerajaan Negeri Selangor dan melalui Pejabat Daerah/Tanah Hulu Langat bagi mendapat keizinan bagi Masjid Al-Umm menggunakan tanah yang dua ekar berhadapan dengan Masjid Al-Umm itu bagi mendirikan Kompleks Ilmu  bagi Jami`ah Al-Umm (Al-Umm University).
Sememangnya cadangan mendirikan Kompleks Ilmu sebanyak 17 tingkat pernah dibincangkan dan rangka plan telah disedia dan dibincangkan. Ianya merupakan pembangunan tahap ketiga selepas pembangunan Masjid Al-Umm dan Surau Al-Umm  yang akan dijadikan Kediaman Imam dan Asrama. Dengan tumpuan kepada pembangunan Kompleks Ilmu bagi Jami`ah al-Umm, tanpa melibatkan padang dan kawasan pasar pada peringkat permulaan, sebenarnya adalah merupakan cabaran besar bagi AJK Masjid Al-Umm untuk mendapat keizinan dari Kerajaan Negeri Selangor bagi mendapat kawasan Medan Usahawan bagi dijadikan sebahagian dari Kampus Jami`ah al-Umm. Cabaran yang lebih besar lagi ialah bagaimana untuk mendapat peruntukan sebagai kos pembinaan bagi Kompleks Ilmu Jami`ah Al-Umm. Adalah dijangka dengan bangunan 17 tingkat ini kos pembinaannya memerlukan kos lebih dari RM100 juta !
Bangunan yang mau didirikan ini bukan sekadar bangunan biasa, tetapi sesuai dan seharmoni dengan bangunan Masjid Al-Umm yang disifatkan oleh banyak pihak sebagai `Masjid Yang Indah`.


Maka seni binanya adalah seni bina Islam yang harmoni dengan seni bina Masjid Al-Umm  yang hampir siap itu. Jika Masjid Al-Umm mempunyai aras bawah tanah, kubah indah, menara seperti Masjid al-Haram Makkah, maka Kompleks Ilmu bagi Jami`ah Al-Umm hendaklah mempunyai ciri-ciri keunikannya. Misalnya pada bahagian atasnya mempunyai elemen kubah dan menara bagi mengharmoni, mengidentiti dan mengasosiasikannya dengan Masjid Al-Umm dan dari Kompleks Ilmu ini dihubungkan ke masjid dengan `Jambatan Ilmu` yang sekaligus memudahkan mereka yang dari Kompleks ilmu ke masjid dan dari masjid ke Kompleks ilmu dalam urusan solat dan pengajian keilmuan. Sebenarnya secara tidak langsung Bangunan Masjid Al-Umm (bakal Jami`ah Al-Umm) dalam satu kedudukan dalam satu bulatan menyambungkan bangunan masjid dengan Kompleks Ilmu  dan bersambung dengan Sekolah Menengah dan Sekolah Rendah yang berdekatan dan bersambung dengan Masjid Al-Umm (kelak Jami`ah Al-Umm-Universiti Al-Umm). Dalam kata lain secara simbolik pengajian di sini mempunyai pertalian rohani dan maknawi  antara sekolah rendah, menengah dan Kompleks dan Masjid sebagai Jami`ah Al-Umm.
Persoalan yang besar ialah, dari manakah untuk mendapatkan jumlah dana yang melebihi RM100 juta bagi membangunkan kompleks Ilmu bagi Jami`ah  itu ?  Sekali pandang tentulah berat, tetapi jalan bagi  menjanakan dana banyak cara dan kita jangka dengan adanya pihak-pihak yang berjaya menjanakan dana bagi masjid  Al-Umm secara derma orang ramai, maka kita percaya dana bagi pembangunan kompleks Ilmu bagi Jami`ah Al-Umm dapat dilaksanakan. Sebab itu bagi merealisasikan hasrat murni di atas sebuah konvensyen perlu diadakan:
``Konvensyen Ke Arah Memartabatkan Masjid Al-Umm Bertaraf Pengajian Tinggi``
Sebenarnya dengan ada misi dan visi yang jelas, ada azam dan komitmen yang tinggi dari pihak AJK dan semua pihak bekerja secara ikhlas demi meningkatkan syiar Islam dan mengukuhkannya dengan keilmuan insya Allah akan mencapai kejayaan !

Sekian.

No comments:

Post a Comment