December 9, 2015

Menjana Tenaga Bagi Mengimarahkan Masjid Al-Umm


BBB, 26 Safar 1437 = 08 Disember 2015 (Selasa):


Setelah melalui Fasa Perancangan (2010-2013), kini Fasa Pembinaan (10.12.2013- Kini), hampir siap, kini AJK Pembinaan Dan Pengimarahan membuat persediaan bagi mengisi Fasa Ketiga yang dianggap terpenting, iaitu Fasa Pengimarahan. Sebagaimana pelaksanaan kedua-dua fasa tersebut perlu melalui perancangan teratur dan rapi – terutama melalui mesyuarat-mesyuarat, begitulah pendekatan yang diambil bagi menghadapi dan mengisi Fasa Ketiga - Pengimarahan.
Bagi menghadapi dan mengisi Fasa Pengimarahan ini sebenarnya tindakan awal telah diambil sejak September 2014, dalam mana AJK Pendidikan yang dipengerusikan oleh Dr. Tajul Ariffin Noordin pada 26 Zulkaedah 1435 = 21 September 2014 telah mengadakan Seminar Merancang Dan Mengimarahkan Masjid Al-Umm bertempat di Hotel Puri Pujangga, UKM. Sebuah kertaskerja berjudul ``Pengajian Di Masjid Al-Umm: Cadangan`` dibentangkan oleh Penulis selaku Pengerusi Ahli Jawatankuasa Pembinaan dan Pengimarahan Masjid al-Umm.  Selepas itu diadakan Bengkel Penentuan & Penulisan Program Pengimarahan Masjid Al-Umm pada 03 Rabiul Akhir 1436 = 24 Januari 2015 juga diadakan di Hotel Puri Pujangga , UKM yang dihadiri jemputan-jemputan dari institusi-institusi dan orang-orang perseorangan bagi mendapat idea dan sumbang saran daripada mereka tentang modul-modul pengajian yang hendak dijalankan.


Masjid Al-Umm adalah milik penduduk Bandar Baru Bangi, bahkan terdirinya bangunan Masjid Al-Umm hingga kini adalah hasil dari derma orang ramai, khususnya dari penduduk Bandar Baru Bangi dan bagi mengimarahkan Masjid Al-Umm adalah bergantung kepada penduduk berkenaan. Satu mekanisme yang diambil untuk melaksanakan pengimarahan ialah dengan mendapat kerjasama dari surau-surau dan masjid yang berada di Bandar Baru Bangi, lantaran itu pada 05 Safar 1437 = 17 November 2015 pihak AJK Masjid Al-Umm telah menjemput Pengerusi-Pengerusi Surau dan Masjid atau wakil-wakil ke Majlis Perjumpaan dengan mereka yang diadakan di Masjid Al-Umm. Sejumlah 50 orang telah hadir. Majlis diisi dengan:
1)      Taklimat pembinaan Masjid Al-Umm.
2)      Memaklumkan pihak Masjid Al-Umm memerlukan tenaga bagi mengimarahkan Masjid Al-Umm dan meminta kerjasama surau-surau dan masjid membuat cadangan bagi mengisi tenaga-tenaga penting dari segi imam, bilal, siak, juruteknik, kerani dan pegawai keselamatan.
3)      Program Lawatan melihat Bangunan Masjid.
Sebagai hasilnya pihak Masjid mengenal pasti mereka yang layak bagi jawatan-jawatan di atas, melalui cadangan surau-surau dan Masjid dan juga melalui iklan yang dibuat. AJK juga menyedari bahawa perlu ada tenaga-tenaga muslimat yang dapat menggerakkan kegiatan-kegiatan berhubung dengan muslimat di masjid. Sebagai persediaan bagi permulaan penggunaan Masjid Al-Umm yang perlu dilakukan dari sekarang, maka pada hari ini (26 Safar 1437 = 08 Disember 2015) satu Majlis Perjumpaan Dengan Bakal Pegawai-Pegawai Masjid dan Muslimat dari surau-surau diadakan bertempat di Masjid Al-Umm. Hadir ke Majlis Perjumpaan  pada hari ini ialah AJK Pembinaan dan Pengimarahan Masjid Al-Umm, Nazir Masjid Al-Hasanah Tuan Haji Napiah Shahrani, Imam Syed Muhammad, Imam Ustaz Ishak, tenaga-tenaga pengajar,  sejumlah 10 muslimat dan tenaga-tenaga yang mau memberi khidmat bakti terhadap masjid. Tuan Haji Ghazali Abbas selaku Pengerusi Majlis Perjumpaan mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir yang jumlah mereka adalah seramai 40 orang (Mereka dibekalkan dengan dua buku, iaitu buku `Pengajian Di Masjid Al-Umm: Cadangan` dan buku, ``Merealisasikan Bangi Bandar Ilmu`` yang kedua buku ada hubungan dengan Masjid Al-Umm).


Penulis selaku Pengerusi AJK Pembangunan dan Pengimarahan Masjid Al-Umm dalam ucapan alu-aluan juga mengucapkan terima kasih kepada AJK, Tuan Nazir, imam-imam Masjid Al-Umm, para muslimat dan  semua pihak yang hadir. Penulis menyebut bahawa 2 hari lagi genap dua tahun tempoh pembinaan Masjid Al-Umm (mulai dibina – masuk tapak 10.12.2013). Al-Hamdulillah katanya, ``Dalam tempoh relatifnya cepat, Masjid Al-Umm hampir siap.`` Tugas seterusnya ialah pengisian bagi pengimarahan masjid. Bagi tujuan mengisi dan mengimarahkan Masjid menurutnya, ``Tuan-tuan dan puan-puan dijemput sebagai lanjutan dari pertemuan dengan Pengerusi-Pengerusi Surau dan Masjid atau wakil-wakil yang telah diadakan pada 17 November 2015 yang lepas.
Penulis selaku Pengerusi Pembinaan dan Pengimarahan Masjid Al-Umm memaklumkan bahawa pertemuan adalah bertujuan bagi bertemu dengan bakal pegawai-pegawai masjid Al-Umm yang terdiri dari imam, bilal dan siak. Menurutnya, ``Ini tidak semua mereka berkenaan hadir pada hari ini.`` Beliau melahirkan rasa sukacita bahawa beliau menerima nama-nama yang mau berkhidmat secara sukarela di dalam bidang-bidang kebolehan masing-masing. Pengerusi menyatakan, ``Semua yang memohon dan menawarkan diri akan dipanggil dan diberi peluang memberi khidmat, untuk mereka akan diatur jadual menurut giliran dalam tempoh tertentu dan mana yang layak dan menunjukkan komitmen yang tinggi akan ditawarkan untuk bertugas. Sementara bagi imam dari masjid dan surau-surau juga akan diminta kesudian mereka untuk menjadi imam dan juga bilal menurut jadual yang disusunkan. Guru-guru juga akan dikenalpasti  dan dijemput untuk mengajar menurut kepakaran masing-masing. Manakala bagi perkeranian dan juru teknik akan dipilih bagi memenuhi kekosongan.


Pengerusi juga menyatakan masjid memerlukan tenaga muslimat dan mengharapkan muslimat yang hadir dapat memberi khidmat bagi bidang-bidang yang sesuai, khususnya bagi pengajian-pengajian yang berhubung dengan muslimat dan berbagai-bagai kegiatan lain yang berkenaan. Masjid mempunyai ruang – Aras Satu (tingkat tiga) bagi ruang solat muslimat dan tugas-tugas lain yang berhubung dengan pengajian dan pendidikan anak-anak. Begitu juga dengan tugas-tugas kebajikan dan kemasyarakatan. Beliau berharap ada wakil-wakil muslimat di dalam mesyuarat induk, khususnya bila ada agenda yang berhubungan dengan muslimat. Pengerusi mengingatkan, ``Pertemuan bukan setakat hari ini, bahkan berterusan pada masa-masa akan datang.``
Pengerusi berharap pihak muslimat akan berbincang dengan kalangan muslimat mengatur program dan kegiatan-kegiatan sama ada dalam bidang ibadat, keilmuan, kebajikan dan kemasyarakatan dan dapat dibentangkan dalam mesyuarat induk untuk diteliti, diperhalusi dan dipersetujui bersama.
Pengerusi mengharapkan dengan kerjasama dan komitmen semua pihak Masjid Al-Umm menjadi:
Pusat bagi kemudahan dan keselesaan beribadat
Pusat kecemerlangan ilmu pengetahuan
Pusat bagi kegiatan kemasyarakatan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment