December 14, 2015

Pengajian Berpakej


BBB,  01 Rabiul Awal 1437 = 13 Disember 2015 (Ahad):


Termasuk di bawah perkembangan pengajian pada tahap dua ialah pengajian berpakej.
Maksud pengajian berpakej, bahawa Masjid Al-Umm menyediakan satu anjuran kursus pengajian dalam masa terhad. Contoh dalam tempoh tiga hari, seminggu atau sebulan. Di dalam kursus yang diadakan ini diisikan dengan keilmuan-keilmuan secara berfokus bagi mencapai objektif yang digariskan. Sasaran peserta kepada kelompok tertentu, misalnya dari institusi tertentu yang mungkin dibiayai oleh institusi berkenaan, agar peserta memahami kursus yang dianjurkan. Bagi menjayakan pengajian berpakej ini, pihak penganjur – masjid, menyediakan modul-modul kursus, misalnya dengan sejumlah kertaskerja yang dihasil dan disampaikan oleh mereka yang pakar di dalam bidang-bidang keilmuan yang terkandung dalam pakej keilmuan berkenaan. Di dalam pengajian berpakej berkenaan ada disertakan secara  praktik amal ibadat, forum, bengkel, ceramah, soal jawab dan juga jawapan-jawapan bertulis dari peserta sebagai penilaian.
Pengajian berpakeg boleh bersifat dalaman dan luaran.
Pengajian Pakeg Dalaman.
Bermaksud masjid menyediakan modul lengkap bagi menganjurkan pengajian atau boleh dinamakan sebagai kursus yang melibatkan peringkat-peringkat tertentu. Misalnya bagi kalangan ilmuan, pelajar-pelajar sekolah, bagi kalangan muslimat (wanita), muslimin dan muslimat.
Pakej bagi kalangan Ilmuan ini bermaksud pihak masjid berusaha mengadakan pakej kursus yang bersifat tinggi yang dihadiri oleh kalangan ilmuan tempatan dan institusi-institusi dari luar misalnya bersifat konsep konvensyen, seminar, muzakarah dan sebagainya membincangkan topik menarik semasa seperti `Ancaman Terhadap Akidah dari NGO Liberal Sekular`, `Sistem Ekonomi Islam: Cabaran`, `Malaysia Sebagai Hub Halal dan Haram: Sejauhmanakah Kemampuan ?`. Masjid Al-Umm menjadi tempat berwacana dengan peserta-peserta adalah datang dari dalam dan luar dan bagi mereka dibekalkan senarai hotel-hotel penginapan terdekat dalam tempoh beberapa hari seminar. Seminar diisi dengan kertas-kertaskerja oleh tokoh-tokoh ilmuan terkenal tanah air dan kemungkinan dijemput khusus dari luar.
Pakej kursus yang bernama konvensyen, seminar atau muzakarah sedemikian dibuat hanya sekali sekali yang mungkin bersifat tahunan atau dwi-tahunan, tetapi topiknya hendaklah menarik dan menyentuh isu semasa. Topik-topik di atas sememangnya besar dan mencabar, bahkan ianya bersifat nasional, bahkan umat sejagat, tetapi adalah penting bagi kefahaman dan pengluasan keilmuan dalam bidang-bidang berkenaan. Pakej keilmuan yang sedemikian dapat memberi peluang bagi masjid mendapat lertas-kertaskerja dan rumusan perbincangan-perbincangan bersifat ilmiah yang kemudian dapat diterbitkan di atas nama masjid, jadi masjid berperanan di dalam melebarkluaskan keilmuan-keilmuan Islam yang bersifat semasa.
Konvensyen, seminar dan muzakarah yang lebih kecil dan bersifat nasional dan tempatan yang lain dapat diadakan bagi menjana keilmuan dari semasa ke masa. Contoh yang terbaik bagi peringkat sekolah, ialah kursus bagi pelajar-pelajar sekolah selama katakan seminggu dari masa tempoh mereka menghadapi cuti panjang sekolah dari November hingga Disember bagi satu-satu tahun. Bagi mengisi masa lapang mereka agar mereka tidak lalai pihak masjid misalnya menyediakan pakeg `Pendidikan Islam` bagi satu kumpulan pelajar bagi tempoh seminggu yang di dalamnya diisi dengan kursus membaca Al-Qur`an, memperbaiki solat dan lain-lain ibadat, memahami akidah dan meningkat kesedaran akhlak. Kursus berpakeg ini disampaikan oleh guru-guru terlatih, pakar motivasi dan disertakan dengan kegiatan sukan dan rekreasi. Kursus bersifat kemahiran dan seni juga dapat dianjurkan dalam tempoh terhad ialah seperti `Menulis Khat dan Jawi` atau `Kursus Tarannum` sebagai satu pakej yang ditawarkan. Pakeg ini boleh dianjurkan juga kepada kumpulan-kumpulan yang lain dalam masa baki tutup persekolahan. Bagi kumpulan remaja pula masjid boleh menganjurkan kursus perkahwinan mengikut kurikulum yang disediakan oleh JAIS, bahkan pihak masjid boleh berusaha mendapat pengiktirafan dari JAIS bagi menganjurkan kursus pakej perkahwinan ini dari masa ke masa.
Untuk kalangan muslimat pula pihak masjid dengan kerjasama jawatankuasa muslimat mengadakan pakej kursus `Keluarga Bahagia` yang diisi misalnya dengan Mu`asharah dalam keluarga Islam, Ibadat dalam keluarga, Kursus masakan, Asas-asas jahitan, Kaedah mendidik anak, Adab dan akhlak kekeluargaan`.  Kursus ini diisi dengan kurikulum yang menarik dan disampaikan oleh guru-guru berkemahiran bagi setiap pelajaran. Kursus ini dapat dianjurkan berulang kali bagi kelompok berlainan dan penambahan baikan kandungan dilakukan bagi kandungan kursus dari masa ke masa. Kursus juga diadakan melibatkan kalangan kalangan remaja lelaki dan perempuan ialah mengenai misalnya, tentang kerjaya, menjadi usahawan muda, menghasilkan produk halal dan haram. Bagi bidang sedemikian mungkin antara tenaga pengajar dijemput dari institusi-institusi berkenaan.
Satu contoh yang baik untuk kepentingan ramai ialah  menganjurkan pakej kursus Haji, maka pakej bagi kursus Haji ini dapat dianjurkan oleh masjid dengan mendapat keizinan dan pengiktirafan dari Tabung Haji dan JAIS. Pihak Masjid boleh mengadakan kursus ini secara ulangan bagi setiap tahun bagi mereka yang hendak menunaikan haji atau umrah. Tenaga pengajar dilatih khas oleh pihak masjid di samping menjemput guru-guru yang diiktiraf oleh pihak Tabung Haji dan JAIS.
Di samping pakej-pakej di atas pihak masjid boleh mengadakan pakej pengajian secara kecil-kecilan seperti pengajian Al-Qur`an Bertajwid, Kursus mengurus jenazah dan sebagainya.
Apa yang dibicarakan bahawa pakej bagi kursus-kursus di atas adalah bersifat dalaman, bermaksud semua kegiatan dilakukan di masjid dengan peserta-peserta tempatan atau luar datang mengikuti pakej kursus di atas di masjid dan dikendalikan oleh pihak masjid.
Satu cara lagi pengajian berpakej luaran iaitu dengan membawa pakej bagi kursus keilmuan keluar dari kawasan masjid yang antaranya bersifat kreasi seperti melalui kerjasama ibu bapa dan pihak sekolah masjid menjalankan kursus intensif ibadat ke kawasan rekreasi di musim cuti sekolah seperti ke kawasan hutan lipur, ke kawasan-kawasan inap di tepi pantai. Cara sedemikian lebih sesuai bagi pelajar-pelajar sekolah, di samping menyampaikan keilmuan agama dan praktis ibadat, pelajar-pelajar yang aktif ini melibatkan diri dalam sukan dan kegiatan fizikal yang bersesuaian.
Satu cara bagi pakej yang dibawa keluar ialah menawarkan kursus berpakej kepada pihak-jabatan-jabatan dan institusi-institusi tertentu di tempat mereka bagi mengikuti kursus, katakan mengenai pakej Ibadat, halal dan haram dan sebagainya yang pihak masjid menyampaikan kursus menurut modul yang sedemikian dalam tempoh sehari atau separuh hari dan sebagainya.
Demikianlah berbagai pakej yang sesuai dilibatkan oleh masjid dengan tujuan untuk berdakwah dan menyibarkan ilmu-ilmu keislaman di samping mendapat pulangan bagi masjid meneruskan kegiatannya.

Sekian.

No comments:

Post a Comment