December 11, 2015

Perbincangan Dan Rumusan Pertemuan


BBB, 28 Safar 1437 = 10 Disember 2015 (Khamis):
Agenda terakhir bagi pertemuan antara Ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Pengimarahan Masjid Al-Umm dengan para jemputan ialah perbincangan dengan para Imam, guru, muslimat dan tenaga-tenaga sukarela yang mau memberi khidmat kepada Masjid Al-Umm. Tetapi sebelum perbincangan di mulakan  Pengerusi Pembangunan dan Pengimarahan mohon kepastian:


1)      Komitmen Imam
Tuan Nazir Masjid Al-Hasanah Hj. Napiah Shahrani yang juga selaku imam sebagai mewakili para imam yang hadir memberi komitmen untuk memberi tenaga kepada Masjid Al-Umm menurut giliran yang diatur secara bersesuaian, bahkan mereka juga sanggup mengisi waktu bagi mengajar antara waktu-waktu solat seperti antara waktu Maghrib dan Isya` dan sebagainya. Insya Allah jadual akan diatur.


2)      Bank Maklumat Guru
Turut hadir mereka yang layak mengajar di masjid, walau bagaimana ramai lagi guru yang terkenal dan berkelayakan mengajar tidak dapat hadir. Maklumat tentang guru-guru akan dikumpul dan disimpan di dalam bank maklumat masjid. Mereka yang berkenaan akan dihubungi dan ditawarkan untuk mengajar di Masjid Al-Umm menurut giliran, masa bersesuaian dan menurut bidang keilmuan dan kepakaran guru-guru berkenaan.
3. Bilal dan Siak
Sebagaimana imam, mereka juga dijemput menyampaikan azan menurut masa yang bersesuaian dan siak datang berkhidmat. Bagi yang berkelayakan dan yang berminat selepas berkhidmat dalam tempoh tertentu akan ditawarkan sebagai bilal dan juga siak.
4. Juru Teknik, Kerani dan Keselamatan
Akan dinilai dari kepakaran dan kebolehan. Interview akan diadakan bagi memilih mana yang bersesuaian – termasuk bagi yang menawarkan khidmat percuma. Adapun bahagian keselamatan, jika tiada yang berkelayakan, maka akan diurus melalui syarikat keselamatan yang berdaftar.
5. Wakil Muslimat
Seramai 10  orang muslimat hadir di dalam mesyuarat. Pengerusi mengingatkan pihak AJK Masjid memerlukan kerjasama muslimat di dalam mengimarahkan masjid, khususnya kegiatan yang berhubung dengan muslimat. Beberapa daripada mereka akan mewakili dalam mesyuarat AJK Induk Pembangunan  dan Pengimarahan Masjid, bila ada agenda yang berhubung dengan mereka. Tiga orang telah ditunjuk dari kalangan mereka yang akan mewakili muslimat dalam mesyuarat Induk. Mereka ialah
1)      Dr. Hajah Saudah bt. Haji Hassan
2)      Puan Hajah Hidayah Muhammad
3)      Puan Hajah Mu`minah bt. Yusoff
Mereka dikehendaki mengadakan mesyuarat dengan ahli-ahli yang hadir dan yang lain bagi merangka kegiatan muslimat di Masjid Al-Umm dan melaporkannya kepada AJK Pembangunan dan Pengimarahan Masjid Al-Umm untuk dimesyuaratkan pada peringkat induk.
Semasa perbincangan ada beberapa perkara ditimbulkan oleh hadirin sebagai cadangan, iaitu:
·         Menyediakan tabung pertanyaan bagi kalangan muda dan bagi para jamaah. Persoalan dan kemusykilan mereka perlu dijawab dengan cara terbaik.
·         Diadakan Tabung Kebajikan bagi membantu mereka yang layak menerima.
·         Diadakan kelas atau slot pengajaran berhubung dengan `Tafaqquh fi al-Din`
·         Menyediakan ruang dan kegiatan yang dapat menarik minat anak-anak sekolah dan kalangan belia datang ke masjid. Antaranya membuka ruang perpustakaan untuk kegunaan mereka. & perlu tubuh Kelab Remaja Masjid.
·         Tilawah Al-Qur`an beramai-ramai sebagaimana diatur Al-Qur`an di atas rihal pada bahagian hadapan saf pertama untuk dibaca oleh jamaah, khusnya selepas zohor dan masa-masa yang lain yang bersesuaian.


·         Setiap selepas subuh ada tafsiran Al-Qur`an serta tadabbur dan Hadith secara bergilir-gilir
·         Perlu mengadakan kelas Tahfiz.
Majlis pertemuan berakhir pada jam 12.00 tengahari
Kepada mereka yang pertama kali datang dan belum melihat bangunan masjid, terutama dari dalam. Mereka terutama kalangan muslimat yang pertama kali datang, termasuk sebahagian kaum muslimin dibawa melihat bangunan masjid, mulai dari aras satu (tingkat tiga) ke tingkat utama (dua) dan ke tingkat bawah tanah (satu). Selepas itu mereka berpisah.
Objektif mengadakan pertemuan pertama dengan mengadakan pertemuan dengan Pengerusi-Pengerusi Surau dan Masjid atau wakil-wakil mereka (17 November 2015) dan pertemuan dengan bakal imam, guru, muslimat  dan mereka yang mohon berkhidmat adalah mencapai objektif:
Melalui pertemuan Pengerusi-Pengerusi Surau dapat dijalinkan hubungan antara pihak masjid dengan surau. Melalui mereka banyak maklumat yang didapati dan juga mendapat maklumat tentang pegawai-pegawai masjid, guru-guru dan tenaga-tenaga yang diperlukan dan adalah diharapkan kerjasama akan berterusan.
Melalui pertemuan dengan Pengerusi-Pengerusi Surau dan Masjid atau Wakil-Wakil, Masjid  Al-Umm mendapat maklumat tentang imam-imam dan guru-guru yang dapat memberi khidmat mengajar. Begitu juga dari pertemuan kita mendapat beberapa tawaran dari beberapa orang yang menawarkan diri untuk menginfakkan tenaga bagi kebaikan dan perjalanan masjid. Kita menerima tawaran dan mengucapkan terima kasih.
Paling penting jika selama ini pihak muslimat belum ada perwakilan di masjid, maka pada kali ini 10 orang daripada mereka hadir. Mereka menununjukkan wakil mereka dan diharap pihak muslimat akan bermesyuarat bagi merangka perkhidmatan yang paling sesuai bagi mereka mengadakan kegiatan di Masjid Al-Umm. Diharap mereka dapat menarik ramai muslimat menyertai kegiatan di masjid khususnya bagi kegiatan yang dianjur oleh muslimat. Adapun pihak belia, dijangkan mendapat kerjasama dari pihak ABIM.
Semua pertemuan yang diadakan ini adalah sebagai persediaan untuk diisi bagi mengimarahkan Masjid Al-Umm sebagaimana diharapkan bahawa Masjid Al-Umm menjadi tempat yang selesa bagi kemudahan beribadat. Masjid juga diharap menjadi pusat pengajian keilmuan-keilmuan Islam. Di samping itu diharap masjid juga menjadi tempat bagi kegiatan kemasyarakatan.
Masjid Al-Umm adalah milik semua, kita semua seharusnya sama mengimarahkannya.

Sekian.

No comments:

Post a Comment