December 16, 2015

Fungsi Kompleks Ilmu Bagi Masjid Al-Umm


BBB, 03 Rabiul Awwal 1437 = 15 Disember 2015 (Selasa):


Cadangan bagi mendapatkan ruang tanah bagi membina Kompleks Ilmu Masjid ini dirancangkan sejak dari awal tarikh pembinaan fizikal Masjid Al-Umm (akhir 2013). Antara tanah yang dikenalpasti bagi pembinaan Kompleks Keilmuan ini ialah kawasan tanah Medan Usahawan yang warung-warung di sini terbiar sejak berpuluh tahun yang lepas. Usaha ke arah ini telah dilakukan. Misalnya merangka plan architect oleh Ir. Tuan Haji Ghazali Hussin. Namun tumpuan tinggi tidak diberi, lantaran tumpuan utama ialah lebih mencari dana bagi pembinaan Masjid Al-Umm.
Kini Masjid Al-Umm hampir siap, maka inilah masa yang paling sesuai bagi menggerakkan pembinaan infra-struktur, khususnya pembinaan Kompleks Ilmu bagi hasrat menjadikan Masjid Al-Umm induk bagi pengajian tinggi yang dihasratkan. Sebagaimana dibicarakan bahawa bangunan ini adalah sebanyak 17 tingkat dan gambaran kasar – architect impression telah dilakarkan. Bangunan ini secara menyeluruhnya dapat dikatakan sebagai `Kompleks Pentadbiran` bagi pengajian tinggi – bertaraf universiti – Jami`ah Al-Umm – Al-Umm University. Walau bagaimana ianya bukan berfungsi semata-mata untuk pentadbiran, tetapi melibatkan aspek-aspek yang lain bagi sebuah pengajian tinggi.
Secara kasar dapat dipecahkan bahagian-bahagian bagi bangunan 17 tingkat itu kepada pecahan-pecahan berikut:
1-      2 = Tingkat - Ground level dan Tingkat 2
Pada tingkat ini terdapat kedai-kedai makan, kedai pakaian, peralatan harian, peralatan tulis dan sukan, manakala tingkat dua ialah seperti kedai buku, komputer dan Alat-Alat Komunikasi
Pendek kata tingkat bawah ini menyediakan keperluan harian dan biasa
3 –   Tingkat Tiga
Tingkat bagi kegiatan pelajar, termasuk persatuan-persatuan
4 - 8  Tingkat Empat hingga Lapan
Ruang untuk kuliah dan tutorial (selain dari menggunakan ruang yang ada di Masjid Al-Umm).
9 – 12 Tingkat Sembilan hingga Dua Belas
Tingkat  untuk Shaykh, Rektor, Canselor, Presiden dan kakitangan
Tingkat untuk Timbalan-Timbalan Akademik, Pembangunan, Pelajar dan Hubungan Luar
Pendaftar dan kakitangan
Bendahari dan kakitangan
13 – 15 Tiga Belas hingga Lima Belas
Asrama terhad bagi pelajar-pelajar
14 – 17  Empat Belas hingga Tujuh Belas
Pejabat bagi kakitangan akademik bagi berbagai-bagai bidang.
Sesungguhnya walaupun bangunan mempunyai 17 tingkat, sebenarnya begitu terhad dan setengahnya tidak sesuai berada di bangunan itu, contohnya asrama para pelajar sewajarnya berada pada bangunan-bangunan tersendiri.
Sebenarnya dengan sebuah bangunan Masjid Al-Umm – dan Kompleks Ilmu Masjid Al-Umm, terasa masih kekurangan ruang, jika pengajian `Jami`ah al-Umm mulai beroperasi. Apa yang perlu dilakukan bagaimana dapat mengatasi masalah ruang dan menjadikan Jami`ah al-Umm menjadi sebuah Pusat Pengajian yang Unik, Unggul Dengan Ilmu, Bermutu dan Identitik dengan ciri-ciri yang ada padanya.
Jami`ah Al-Umm hendaklah mengutamakan Mutu dan kecemerlangan ilmu, jangan ikut trend semua universiti yang ada yang lebih bersifat kilang yang mengeluarkan keluarannya secara  `mass production` yang berlambak keluaran dan tiada pasaran dan jika mendapat pasaran, maka ianya mencerminkan kualiti umum yang tidak mampu menunujukkan kecemerlangan yang dihasratkan. Oleh kerana keluaran pada peringkat ijazah pertama berlambak hingga tiada ruang untuk dipasarkan, maka tujuan utama bagi Jami`ah  al-Umm, bukan mengutamakan pelajar-pelajar ijazah pertama yang amat berlebihan dalam pasaran.
Tugas Jami`ah al-Umm, ialah mengambil sejumlah terhad dan minimum pada peringkat ijazah pertama, tetapi lebih memilih pelajar-pelajar  ijazah sarjana di dalam bidang-bidang terpilih. Dalam kata lain, Jami`ah al-Umm jangan tamak membuka berbagai bidang pengajian pada peringkat ijazah pertama. Tetapi lenih menumpukan pada peringkat sarjana dan Dr. Falsafah, tetapi hendaklah memilih bidang-bidang pengajian yang baik yang mempunyai pakar-pakar yang dapat membimbing pelajar-pelajar pada peringkat sarjana dan Doktor Falsafah yang tokoh-tokoh mahaguru sebenarnya ramai kedapatan di Bandar Baru Bangi ini sendiri. Penentuan bidang-bidang ini terpulang kepada usaha Jami`ah Al-Umm mendapat pakar-pakar yang ramai di Bandar Baru Bangi. Tentulah keutamaan terhadap bidang keislaman. Tetapi janganlah dikelirukan bila menyebut bidang keislaman hanya terhad kepada bidang yang kita fahami sebagai bidang agama yang dalam erti kata yang sempit.
Pada peringkat awal Jami`ah Al-Umm ini perlu berusaha untuk kerjasama dengan berbagai-bagai universiti yang ada di Bangi dan sekelilingnya. Ijazah secara bersama mungkin perlu pada peringkat permulaan sebelum Jami`ah Al-Umm mendapat kepercayaan dari pelajar setempat dan  dari luar.
Sebagai rumusan apa yang diutamakan oleh Jami Al-Umm ialah menyampaikan pengajaran bermutu oleh mahaguru-mahaguru bermutu kepada pelajar yang bermutu dengan semua  pihak dapat menjanakan ilmu dan menghasilkan penerbitan-penerbitan bermutu atas nama Jami`ah  Al-Umm.

Kita berharap hasrat murni ini dapat dijayakan dalam masa terdekat. Insya Allah.

Sekian.

No comments:

Post a Comment