December 3, 2015

Surah Maryam: Keistimewaan Lahiri Dan Maknawi


BBB, 20 Safar 1437 = 02 Disember 2015 (Rabu):
Surah Maryam adalah Surah Makkiyyah, Surah Ke 19 mengandungi 98 ayat.
Meneliti dan menghayati surah Maryam dari segi lahiri dan maknawi tertanggap beberapa keistimewaan.


a)      Keistimewaan Lahiri
1.       Satu-Satunya Surah Membawa Tajuk Dengan Nama Wanita
Di dalam Al-Qur`an banyak menyentuh tentang tokoh dan watak seperti Nabi Ibrahim, Ya`klub, Yusuf, Musa, Isa dan lain-lain. Setengahnya langsung sebagai judul surah seperti Ibrahim dan Yusuf dan setengah kisahnya terkandung di dalam surah dan tidak menjadi judul seperti Ya`kub, Musa dan Isa dan lain-lain, tetapi semua tokoh dan watak-watak berkenaan adalah dari kalangan lelaki. Menariknya Surah Maryam adalah satu-satunya surah yang membawa judul bertajuk mengenai wanita, iaitu Maryam. Ini menunjukkan bahawa dari segi surah – Maryam, diberi tempat istimewa di dalam Al-Qur`an dan sudah tentulah lebih istimewa tentang tokoh dan watak yang diperkatakan, iaitu Maryam. Di dalam Al-Qur`an selain dari menceritakan tokoh wanita secara menyebut secara jelas – Maryam, terdapat banyak tempat yang merujuk kepada tokoh wanita, tetapi tidak disebut  namanya secara jelas. Misalnya mengenai `Isteri Fir`aun – Asiah` , isteri Abu Lahab – Ummu Jamil`, watak utama perempuan di dalam Surah Yusuf – Zulaikha. Tetapi dirujuk kepada mereka secara isyarat dan tidak menyebut secara langsung. Penyebutan tentang nama `Maryam` menunjukkan keistimewaan watak ini. Kalau kita meneliti di dalam Surah Al-Nisa` - Perempuan (ke 4), maka tidak kedapatan penyebutan nama wanita secara langsung, tetapi yang ditekankan di dalam surah ini ialah hukum-hukum mengenai perempuan seperti hukum berkahwin lebih dari satu,, tentang maskawin, perintah bergaul dengan isteri dengan cara yang baik, perintah jangan terburu-buru menceraikan isteri jika timbul perkara-perkara yang tidak menyenangkan dan larangan mengambil balik harta dan pemberian yang telah diberi jika berlaku perceraian dan hendaklah menggauli isteri atau isteri-istreri secara baik., Pendek kata walaupun surah ini mengenai wanita, tetapi tidak menyebut secara langsung tentang tokoh wanita. Surah Maryam memberi kedudukan istimewa berkenaan Maryam !
2.       Keistimewaan Dari Segi Bahasa
Sebagaimana sebahagian dari surah-surah Al-Qur`an bermula dengan huruf-huruf (19), maka demikian dengan surah Maryam ini bermula dengan huruf. Ada yang bermula dengan satu huruf seperti Sad, Qaf dan lebih dari itu. Tetapi bagi Surah Maryam ini ia adalah merupakan antara huruf terbanyak iaitu  Kaf, Ha`, Ya` `Ayn dan Sad. Sebagaimana bagi surah-surah lain yang bermula dengan huruf, tidak diketahui makna, melainkan oleh Allah, dan merupakan mu`jizat Al-Qur`an, tetapi antara pentafsir ada yang membuat tafsiran bagi awalan  Surah Maryam ini. Ada yang berpendapat secara terhad, bahawa `Sad` pada huruf kelima adalah bermaksud kepada `Qissah` lantaran di dalam surah tersebut menceritakan tentang Zakariyya, Yahya, Isa, Maryam dan Ibrahim. Manakala Al-Imam Fakhrul Razi berpendapat bahawa huruf-huruf berkenaan merujuk kepada sifat-sifat Tuhan, iaitu:
Kaf bermaksud Kafi (Tuhan Yang Memadai Pada DiriNya Sendiri)
Ha` bermaksud Hadi (Tuhan Yang Memberi Hidayah)
Ya` bermaksud Yad (Tangan Allah Di atas Tangan-Tangan Mereka)
`Ayn bermaksud `Alim (Tuhan Yang Maha Mengetahui)
Sad bermaksud Sadiq  (Tuhan Yang Maha Benar)
(Al-Qur`an Al-Karim Terjemahan Dan Huraian Maksud, Diusahakan oleh Muhammad `Uthman El-Muhammady (Menterjemah), Jil. 3, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1993: 1450).
3.       Keistimewaan Dari Segi Sastera (Adabiyy)
Kalau kita perhatikan  mulai dari Surah Al-Fatihah (Surah Pertama) hingga kepada Surah Al-Kahfi (Surah ke 18), maka bahasa di dalam surah-surah berkenaan adalah bahasa bersifat prosa atau nathar (bukan berciri puisi), tetapi mulai Surah Maryam maka kita dapati mempunyai elemen seni yang pada akhir tiap-tiap ayat mempunyai bunyi hujungan yang sama – Kecuali 6 ayat pada bahagian 1/3 ayat-ayat dari bahagian awal Surah Maryam, lebih khusus ialah dari ayat 34 – 40:
1)      34—35 berakhir dengan huruf nun
2)      36 -37  berakhir dengan huru mim
3)      38 – 39 berakhir dengan huruf nun
4)      40 berakhir dengan huruf nun.
Selain dari tujuh ayat di atas maka dari ayat kedua hingga ayat 74 kesemuanya berakhir dengan bunyi akhir yang sama ia `ya`. Adapun mulai dari ayat ke 75 hingga akhir surah (98), maka diakhiri bunyi dengan bunyi akhir `da`, kecuali tiga ayat berakhir dengan `za` iaitu ayat 81 , 83 & 98.
Kebanyakan ayat cukup bagi satu-satu ayat dibaca dengan satu nafas, dengan demikian dapat membangkitkan keindahan bunyi oleh kerana kesamaan sebutan bagi setiap ayat berkenaan. Ini merupakan salah satu style atau gaya susunan dan ungkapan ayat Al-Qur`an yang melahirkan bunyi indah dan menarik terutama apabila dilagukan.
B)      Keistimewaan Maknawi
Dimaksudkan keistimewaan yang tidak dapat dilihat dengan mata lahir, tetapi lebih kepada persepsi maknawi dan rohani.
1.       Sifat Sabar
Ini adalah sebagai dialami oleh Nabi Zakaria yang tidak berputus asa dari rahmat Allah yang akhirnya menerima zuriat kurniaan Allah, walaupun dalam usia yang lebih lanjut.
2.       Cekal Mendepani Fitnah
Sebagaimana yang dihadapi Maryam kerana mengandung tanpa diketahui bapa. Beliau dituduh melakukan zina, tetapi dibersih oleh Allah dan anaknya  - Isa.
3.       Menghadapi Berbagai Ujian
Sebagaimana dikisahkan di dalam Surah Maryam. Dakwah rasul-rasul tidak sunyi dari menghadapi rintangan dan ujian sebagaimana dialami oleh Nabi Ibrahim, Zakaria, Yahya dan Isa seperti dikisahkan di dalam Surah Maryam tersebut.

Sekian.

No comments:

Post a Comment