December 13, 2015

Tahap Dua - Imarah Keilmuan Di Masjid Al-Umm


BBB, 30 Safar 1437 = 12 Disember 2015 (Sabtu):


Tahap dua pengajian bagi mengimarahkan Masjid Al-Umm ialah dengan mengadakan pengajian yang bersifat formal, khusus dan diikuti oleh golongan atau kelompok khusus, mempunyai kandungan pengajian tersendiri yang kurikulum dirangka bagi tujuan-tujuan pengajian khusus berkenaan. Perlaksanaannya lebih kemudian dari peringkat pertama  - Pengajian bersifat Fardu dan Asas. Ruangnya masih menggunakan ruang dan kemudahan Masjid Al-Umm.
Pengajian pada Tahap Dua ialah:
1.       Pengajian Tahfiz
2.       Pengajian Ala Pondok Moden
3.       Pengajian berpakej

1)      Pengajian Tahfiz
Adalah menjadi hasrat Masjid Al-Umm untuk membuka Pengajian Tahfiz. Sebagai buktinya bahawa dalam plan pembinaan Masjid Al-Umm terdapat bilik khas  pada aras satu (tingkat tiga) bagi bangunan tersebut. Namun pertanyaan yang timbul, adakah pihak Masjid Al-Umm akan mengadakan pengajian lengkap sebagai Ma`had Tahfiz ? Bermaksud ianya sebagai sebuah madrasah khas dan lengkap dengan kurikulum dan matapelajaran-matapelajaran dan guru-guru. Manakala pelajar-pelajar yang keluar dengan sijil diktiraf dan keluaran layak untuk menyambung pengajian ke institusi-institusi pengajian yang selari dengannya. Contoh sebagaimana Ma`had Tahfiz, Kuala Kubu Baru yang mutakhir akan ditingkatkan kepada tahap universiti.
Bagi mengadakan Ma`had Tahfiz yang lengkap sebagai sebuah madarasah atau ma`had tahfiz yang sempurna yang akan mengeluarkan sijil yang diktiraf, boleh memohon pekerjaan atau melanjutkan pelajaran  maka pihak masjid tidak mempunyai kemampuan, sekurang-kurang buat masa ini. Satu cara ialah dengan mengadakan `Kelas Tahfiz` terhad. Bermaksud Masjid bekerjasama dengan sekolah rendah dan menengah yang berdekatan dengan Masjid Al-Umm  dan juga boleh diperluaskan kepada Sekolah Agama Integrasi dan  Sekolah Hamidiah yang kedudukannya tidak berapa jauh dari Masjid Al-Umm. Pembukaan kelas Tahfiz adalah dengan mengambil pelajar secara terhad yang jumlahnya dalam lingkungan belasan orang sahaja. Pihak masjid  boleh berunding dengan pihak sekolah  baik pada peringkat rendah (paling baik) atau menengah menawarkan kepada pelajar berkelayakan dan bersesuaian dua tempat dari satu sekolah atau dari luar bagi memasuki Kelas Tahfiz. Pelajar-pelajar berkenaan sebaiknya tinggal di asrama yang disediakan oleh masjid. Tetapi pelajar-pelajar berkenaan mereka terus belajar di sekolah masing-masing.  Dalam kata lain pihak Masjid Al-Umm menyediakan guru tahfis yang berkelayakan yang mengendalikan pengajian tahfiz kepada pelajar-pelajar berkenaan menurut jadual waktu yang ditentukan. Semasa tinggal di asrama masjid, mereka dilatih menjadi imam dan bilal serta bertilawah Al-Qur`an pada masa-masa bersesuaian. Bagi pelajar-pelajar tahfiz yang dididik oleh Masjid dan berjaya menghafal  Al-Qur`an akan diusahakan oleh Masjid untuk menyambung pengajian tinggi di dalam jurusan yang bersesuaian. Antara mereka mungkin akan berkhidmat di masjid atau di bahagian-bahagian lain yang bersesuaian.
2. Pengajian Ala Pondok Moden
Pengajian pada tahap ini dicadangkan, ialah bagi memenuhi keperluan bagi kalangan mereka yang telah bersara dari kerja-kerja rasmi dan mempunyai masa yang tak dapat diisi dan masih di dalam suasana kesihatan yang baik, di dalam hal ini sewajarnya ianya diisi dengan pengajian agama dalam maksud pengajian keilmuan Islam.  Bagi yang umur sedemikian yang lebih cenderung kepada ibadat,  dengan cara kehidupan ala pondok, maka pengajian bukan lagi bertujuan untuk mencari kedudukan di dalam pekerjaan dan pangkat, maka pengajian ala pondok ini adalah lebih ideal, lantaran pengajian di masjid ala pondok, memungkin mereka lebih banyak menumpukan perhatian untuk beribadat dan pengajian bagi lebih memahami soal-soal Islam, khususnya aspek beribadat membantu diri lebih menyempurnakan diri bagi menjalankan amal ibadat serentak dengan memahami aspek-aspek keislaman dengan lebih mendalam. Walaupun pengajian ala pondok moden ini lebih ditujukan kepada mereka yang sudah bersara dan mereka yang sudah lanjut usia – warga emas, tetapi tidak menghalang dari kalangan mereka yang dari golongan yang lain bagi mengikutinya. Lantaran pengajian pondok adalah pengajian yang boleh diikuti oleh pelbagai peringkat umur. Bagi mereka yang pernah melawat sesebuah pengajian pondok tradisional yang masih terdapat di Kelantan, Kedah dan beberapa negeri yang lain, mereka dapat melihat konsep pengajian sedemikian adalah berpaksikan masjid atau surau, atau balai atau madrasah yang berada di tengah-tengah pusat pengajian pondok. Manakala pondok-pondok mengambil tempat dan didirikan keliling dari bangunan masjid berkenaan. Ianya sebagai `Kiblat` bagi pusat pengajian. Selain dari pondok-pondok, maka terdapat rumah Tuk Guru dan pembantu-pembantunya pada bahagian sedikit jauh dari pondok-pondok. Pengajian berkenaan mempunyai pengajian keagamaan terutama seperti Al-Qur`an, Hadith, `aqidah, fiqh, tasawuf, nahu, saraf, mantiq, balaghah dengan kitab-kitab di dalam bidang-bidang keilmuan tersebut. Keilmuan-keilmuan tersebut diajar oleh Tuan Guru utama dan guru-guru pembantu. Pengajian adalah bertempat di masjid atau madrasah dan biasanya mengiringi waktu-waktu solat dengan tambahan dan intensif pada waktu-waktu pengajian sebelah pagi dan sebelah petang. Mereka yang mengaji ini berdikari mengurus kehidupan diri dengan memasak sendiri di pondok-pondok masing-masing. Suami isteri bersara juga boleh sama mengikuti pengajian. Maksimam bagi satu pondok dihuni dua orang, tetapi pada kebiasaan satu pondok adalah satu orang. Sumber kewangan bagi mereka ialah dari peruntukan dari orang tua atau sendiri, tetapi kebiasaan juga mereka berdikari  dari mendapat derma dan hasil  kerja-kerja sambilan yang tidak mengganggu pembelajaran mereka.

Di dalam konteks pengajian pondok moden di Masjid Al-Umm, maka format dan susun atur sebagaimana  format dan susun atur pondok tradisi, tentulah tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya. Namun semangat dan tujuan pengajian pondok tradisi itu dapat dipadankan secara terhad dan merupakan penambahbaikan dapat dilakukan. Ada beberapa halangan yang tidak dapat diaplikasikan sepenuhnya aspek dan ciri pondok tradisi kepada pondok moden. Halangan utama ialah ruang tanah tidak ada bagi mendirikan pondok-pondok kecil keliling masjid. Sifat sedemikian tidak sesuai bagi ciri keselamatan diakibatkan oleh kebakaran dan dari segi pandangan. Tetapi hal ini dapat di atasi dengan mengadakan rumah asrama – antaranya disewa bagi menempatkan mereka dalam kawasan berdekatan dengan masjid. Mereka tidak perlu berdikari memasak sendiri, tetapi adanya kantin untuk mereka makan bagi waktu-waktu tertentu. Ini adalah bagi pengaji-pengaji yang datang dari luar dan jauh, tetapi bagi penduduk setempat yang tinggal bersama keluarga dan meminati pengajian sedemikian, mereka boleh datang dari rumah mereka dan pulang pada waktu-waktu tertentu sahaja.
Kurikulum bagi pengajian ala pondok moden ini, adalah berdasarkan bidang-bidang pengajian agama yang memang terkenal selama ini termasuk pemilihan kitab-kitab, tetapi bahan pengajaran seharusnya disertai dengan pengajian dan bahan-bahan pengajian yang semasa. Misalnya kitab-kitab pengajian di dalam banyak bidang yang dikarang oleh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi, Dr. Al-Zuhaily di dalam bidang tafsir, Dr. Zaharuddin Abdul Rahman di dalam bidang fiqh dan ekonomi Islam, Dr. Zulkifli Abu Bakar di dalam bidang tasawuf, begitulah sebagai contoh di dalam bidang-bidang yang lain. Pendek kata selain dari menggunakan kitab-kitab turath yang diwarisi seperti kitab Sabil al-Muhtadin oleh Syeikh Muhammad Arshad al-Banjari, atau Sharh Hikam Melayu oleh Tuk Pulau Manis, Sayr al-Salikin oleh Syeikh Abdul Samad al-Falimbani hendaklah juga menggunakan buku-buku keilmuan semasa seperti Ekonomi Islam, Keluarga Islam, Perusahaan Kecil, Panduan Kesihatan dan berbagai-bagai lagi.
Jadi bagi mewujudkan pengajian ala pondok moden ini perlu ada kurikulum terpilih dan bersesuaian dengan keadaan pengaji dan suasana pembelajaran. Ada guru-guru berkelayakan, ada pengaji-pengaji yang komited dengan pengajian, mereka diberi perhatian dari segi makan minum dan diberi perhatian dari segi kesihatan dan kebajikan mereka. Seharusnya ada kerjasama dan bantuan dari pihak berkuasa, pihak masjid mempunyai waqaf dan aset harta, di samping mendapat  derma kewangan dan bantuan kebajikan dari orang ramai.

Sekian.

No comments:

Post a Comment