December 5, 2015

Surah Taha, Umar Mengkaguminya, Terbuka Jiwanya Menerima Islam

                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                  
BBB,  22 Safar 1437 =  04 Disember 2015 (Jumaat):


Surah ke 20 ini diturun di Makkah, Mengandungi 135 ayat.
Sebagaimana dimaklum semasa Rasulullah s.a.w. mendakwah agama Islam kepada kaumnya – Kaum Quraisy, Baginda mendapat tentangan yang hebat. Antara penentang yang paling kuat ialah Abu Jahal dan Umar Ibn al-Khattab. Penyebaran Islam pada peringkat awal ialah dengan cara sembunyi-sembunyi untuk mengelak dari penentangan langsung dari musuh-musuh Islam. Antaranya dilakukan secara senyap-senyap di rumah-rumah seperti di rumah Al-Arqam bin Abi Al-Arqam dan di rumah mereka yang menerima Islam.
Antara episod dakwah yang menarik, iaitu kira-kira tujuh tahun sebelum Hijrah, sebagaimana diriwayatkan oleh Ibn Hisham dalam karya sejarahnya, iaitu Sirah Ibn Hisham (Al-Qur`an al-Karim Terjemahan Dan Huraian Maksud, Jilid 3, Diusahakan oleh `Uthman El-Muhammady (Terjemah Tafsir), Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1993: 1489), juga diriwayatkan oleh  Al-Daruqutni di dalam Musnadnya yang diterima sanadnya daripada Anas bin Malik r.a. dan juga ditulis oleh Ibn Ishaq di dalam Kitabnya Sirah Ibn Ishaq sebagai Kitab Sirah atau Sejarah Islam terawal dalam Islam, bahawa berita sampai kepada Umar Ibn al-Khattab yang pada tahun  ketujuh sebelum Hijrah masih merupakan musuh utama dalam Islam, dan beliau dan penentang-penantang dari Quraisy berusaha menentang Islam, bahkan berusaha untuk membunuh Rasulullah s.a.w,. Dalam usahanya mencari Rasulullah s.aw. pada satu hari – untuk membunuhnya ia terserempak dengan Na`im bin Abdullah, lalu Naim bertanya Umar, ``Hendak ke manakah engkau wahai Umar ? Beliau segera menjawab, ``Hendak mencari musuh aku, iaitu Muhammad  ! Orang yang telah belot dari agama nenek moyang kita !`` Secara sinis Naim menjawab, ``Engkau  sepatutnya mengurus kaum keluargamu sendiri``. Umar terkejut dengan kata-kata Naim dan bertanya, ``Apa maksudmu ?``
Naim memberitahunya, bahawa adiknya Fatimah Binti Al-Khattab bersama suaminya – adik iparnya, dan bapa saudaranya Said bin Zaid telah masuk Islam ! Mendengar berita yang mengejutkan itu, makin bangkitlah kemarahannya, maka Umar yang garang itu dengan pedangnya terhunus, segera  mencari mereka untuk menghukum mereka.
Umar membuat keputusan menuju ke rumah suami adiknya. Pada masa itu terdapat bersama yang datang mempelajari agama Islam ialah Khabbab bin al-Arathi. Umar dikatakan memukul adik dan suaminya hingga berdarah, sedang Khabbab pada masa itu bersembunyi. Pada masa itu Umar merampas helaian surah yang dibaca oleh mereka. Iaitu Surah Taha. Umar yang memang salah seorang dari pembesar-pembesar Quraisy yang pandai membaca tertegun dengan keindahan kata yang bermula dengan `Taha`, kata anih yang belum diketahui atau didengar sebelum itu dan juga kandungan ayat-ayat berikut, sebagaimana maksud di dalam Al-Qur`an:
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Mengasihani
Taha.
Kami tidak menurunkan Al-Qur`an kepadamu, (wahai Muhammad), supaya engkau menanggung kesusahan.
Hanya untuk menjadi peringatan bagi orang-orang yang takut melanggar perintah Allah
(Al-Qur`an) itu diturunkan dari Tuhan yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi
Iaitu (Allah) Al-Rahman yang bersemayam di atas `Arasy
Dialah jua yang memiliki segala yang ada di langit, dan yang ada dibumi, serta yang ada di antara keduanya, dan juga yang ada di bawah tanah di perut bumi
Dan jika engkau menyaringkan suara dengan doa permohonanmu, maka yang demikian tidaklah perlu., Kerana sesungguhnya Allah mengetahui segala rahsia dan segala yang tersembunyi
Allah tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Dia. Baginyalah segala nama yang baik.`` (20.1-8).
Menurut satu maklumat yang lain, ketika Umar tiba di rumah adiknya, tanpa diketahui mereka, Umar mendengar mereka secara jamaah mempelajari Al-Qur`an. Fatimah adik Umar sendiri pada masa ketibaannya sedang mentartil bacaan Surah Taha. Umar seorang tokoh bahasa dan mahir berpuisi amat memahami soal bahasa dan sastera Arab sebagaimana Al-Mughirah, Labid dan Hassan bin Thabit. Beliau sendiri banyak menggubah puisi (bersifat jahiliyyah). Mendengar kemerduan dan keindahan ungkapan bahasa Al-Qur`an menerusi Surah Taha itu, beliau terpegun dan kagum, lantaran belum pernah beliau mendengar bahasa seindah Qur`an dan merdu dengan ungkapan. Kata Taha sendiri mengejutkannya dan ingin benar untuk mengetahui apa maksud gerangan. Serentak dengan itu kemarahan beliau terhadap adiknya dan terhadap mereka yang sedang mempelajari Al-Qur`an mendadak hilang. Dadanya seolah-olah mulai disuluh dengan nur iman. Umar sendiri dikatakan mendapat cebisan naskhah yang dibaca mereka dan menelitinya dengan penuh keasyikan.
Sesungguhnya doa Rasulullah s.a.w. dikabul Allah. Lantaran Rasulullah pernah berdoa memohon dari Allah agar membuka hati pemimpin Quraisy sama ada Abu Jahal atau Umar Ibn al-Khattab menerima Islam yang dengannya dapat mengukuhkan dakwah keislaman. Umar diberi rahmat dan hidayat menerima Islam, melalui peristiwa yang paling baik dan berkat, tidak lain dari mendengar dan membaca keindahan dan keistimewaan kandungan Al-Qur`an. Benarlah cabaran Al-Qur`an yang bermaksud:
``Dan jika kamu ragu dengan apa yang Kami turunkan ke atas Hamba Kami (Muhammad), maka kemukakanlah satu surah seumpamanya dan jemputlah saksi-saksi berwibawa , selain daripada Allah, sekiranya kamu adalah mereka yang bersifat benar``. (Al-Baqarah: 23).
Apa maksud Taha ?
Tiada siapa mengetahui maksud sebenarnya, melainkan Allah. Ia merupakan salah satu mu`jizat.
Surah Taha sebagaimana Yasin, ada yang mengaitkan maksud kepada Rasulullah sendiri, sebagaimana nama baginya. Lantaran itu Taha dan Yasin menjadi nama bagi kalangan orang Islam sebagai  mengambil keindahan dan keberkatan dari ayat-ayat  Al-Qur`an itu sendiri.

Sekian.

No comments:

Post a Comment