Elemen ketara di dalam Surah Taha ialah dari
segi estetiknya. Ciri estetikanya dapat dilihat dari dua aspek, iaitu aspek
lahiri dan aspek maknawi.
Dari aspek lahiri dilihat Surah Taha adalah
meneruskan ciri-ciri surah Maryam yang hujung pada setiap ayat (qafiyah) mempunyai
persamaan bunyi dengan hujung ayat-ayat sebelumnya, terutama bunyi `ya - a`. Ciri ini juga diteruskan di
dalam Surah Taha, di samping ada perbezaan. Bagi Surah Taha yang berjumlah 135
ayat dapat dilihat penghujung bagi ayat-ayatnya sebagaimana berikut (secara
berturut):
1) a Ayat 1 - 13 (Bacaan Taha, akhirnya alif atau alif maqsurah)
2) i 14
3) a 15 – 24
4) i 25 – 32
5) a 33- 38
6) i 39
7) a 40
8) i 41 – 42
9) a 43 – 77
10) m 78
11) a 79 – 84
12) i 85 -87
13) a 88 -89
14) i 90
15) a 91
16) u 92
17) i 93 – 96
18) a 97 – 135
Jika dilihat di atas, maka hampir keseluruhan (113)
ayat berakhir dengan a, diikuti hanya 20 berakhir dengan i dan hanya 1 berakhir
dengan m dan 1 berakhir dengan u.
Sesungguhnya ayat-ayat yang berakhir dengan
(ya, a) adalah merupakan ciri estetika lahiri bagi Surah Taha yang juga
bersifat demikian pada Surah Maryam. Ini adalah merupakan salah satu gaya
ungkapan di dalam Al-Qur`an, khususnya bagi Surah Taha dan yang seumpama dengannya.
Meskipun ciri sedemikian ada misalnya pada ciri syair yang antara ciri bagi
hujung bagi syair biasanya sama, tetapi ditentukan juga oleh pertimbangan
wazan, tetapi ayat Al-Qur`an, khususnya bagi Surah Taha tidak dan bukan syair.
Meskipun katakan diambil empat ayat bermula dari ayat 1 & 2, 3 & 4, 5 & 6, 7 & 8, dan
seterusnya boleh diletak dalam susunan gaya syair, tetapi ia bukan seperti
syair, meskipun bersamaan bunyi bagi sebutan bagi hujung setiap baris, lantaran
pada umumnya setiap ayat tidak sama dari segi panjang dan pendek dan setiap
ayat bukan disusun menurut wazan-wazan bagi pertimbangan baris-baris syair.
Dapat dikatakan bahagian daripada ayat-ayat Al-Qur`an mempunyai ciri-ciri
estetika dari segi ejaan dan bunyi yang menimbulkan keindahan dan kemerduan
apabila dibaca.
Dari segi estetika maknawi, adalah bermaksud,
di dalam menyampaikan dakwah keislaman Al-Qur`an sebagaimana telah dibicarakan
turut mengambil metod sastera di dalam bentuk cerita, lantaran cerita salah
satu cara menyampaikan dakwah dan menarik perhatian pendengar. Di dalam Surah
Taha, terdapat sebahagian besar daripadanya ialah menggunakn metod cerita
berhubung dengan Nabi Musa. Dari segi kedudukan cerita , maka didapati Cerita
berkenaan dengan Nabi Musa adalah merupakan cerita utama di dalam Al-Qur`an
selepas cerita secara langsung berkenaan Nabi Yusuf di dalam Surah Yusuf,
Cerita Ashab al-Kahfi di dalam Surah al-Kahfi, Cerita berkenaan Maryam di dalam
Surah Maryam dan Cerita berkenaan dengan Nabi Musa di dalam surah yang tidak
diberi nama dengan Musa, tetapi Taha.
Dari segi
intro dan gaya bercerita bagi cerita-cerita di atas mempunyai kelainan
intro dan pendekatan.
Bagi Surah Yusuf intro adalah pernyataan
secara langsung bahawa Allah mengkisahkan kepada Nabi Muhammad seindah-indah
kisah (Yusuf: 3)
Bagi Surah Al-Kahfi bahawa Rasulullah s.a.w.
akan ditanya oleh penanya (proksi dari Yahudi) bagi menguji kebenaran perutusan
Rasulullah s.a.w, maka gaya penceritaan bagi cerita ini ialah dengan bertanya
balik, ``Adakah engkau menjangka bahawa Ashab al-Kahfi dan Al-Raqim mereka
adalah sebagai tanda-tanda keajaiban ? (Al-Kahfi: 9).
Manakala intro bagi Surah Maryam adalah
bersifat perluahan rasa dari kerendahan jiwa Nabi Zakariyya dan Saydatina
Maryam berhubung dengan perasaan dan
pengalaman yang mereka alami dan ayat-ayat diungkap secara lembut dan merayu
dan mengharapkan simpati dan pengkabulan
di atas permohonan (Maryam: 4-6 & 18-34).
Adapun intro bagi Surah Taha, adalah merupakan
pertanyaan langsung Allah Subhanahu wa Ta`ala kepada Nabi Muhammad s.a.w. yang
ayat di dalam Surah Taha adalah bermaksud:
``Dan sudahkah sampai kepada engkau (wahai
Muhammad) kisah Nabi Musa ? (20.9).
Sesungguhnya bagi melahir dan menyampaikan
pernyataan, maka berbagai cara digunakan bagi menarik perhatian dan penerimaan
maklumat yang mau disampaikan. Pada zaman tradisi beduk dan canang dipukul bagi
menarik pendengar mendengar maklumat, makin moden makin canggih medium bagi
komunikasi dari radia, tv, internet dan berbagai-bagai lagi.
Bercerita adalah satu cara menyampaikan
maklumat, tetapi penyampaiannya adalah dengan menggunakan bahasa yang dikreatifkan
di dalam bercerita dengan menggunakan berbagai teknik penceritaan. Ada yang
menggunakan elemen kejutan, keanihan, gambaran suasana alam yang menarik
termasuklah pertanyaan.
Dengan pendekatan bertanya segera menarik
perhatian pendengar atau pihak yang dituju dengan pertanyaan. Pendengar yang
pada permulaan mungkin bersifat pasif dan tidak memberi perhatian, langsung
dituntut memberi perhatian dengan pertanyaan.
Demikian salah satu pendekatan wahyu yang
ditujukan kepada Nabi Muhammad s.a.w. dengan pertanyaan dan penerangan dengan
menggunakan cara bercerita.
Sekian.
No comments:
Post a Comment