December 4, 2015

Yang Syukur,Pasrah Dan Berbalah: Islam Menyerlah


BBB,  21 Safar 1437 = 03 Disember 2015 (Khamis):


Pergi lebih mendalam selepas menghayati tentang keindahan dan kelembutan ayat-ayat Al-Qur`an di dalam Surah Maryam yang kebanyakan ayat-ayatnya berhujung dengan `ya` itu, maka pada perlapisan yang lebih dalam  tersentuh jiwa dengan `Gundah-Syukur, Pasrah & Mewariskan Perbalahan pendapat berterusan`. Terumus pendapat itulah watak-watak dan suasana-suasana  mewariskan kepada manusia yang diterima dan dibawa dalam perjalanan.
Keluarga Zakaria menghadapi permasalahan tidak semudah untuk diselesaikan, tetapi ianya bukan di luar dari pengalaman normal. Sebagai ketua keluarga yang menumpahkan jiwa raga dalam berkhidmat ke pada Allah di Masjid al-Aqsa, Baitul Maqdis, Nabi Zakariyya yang sudah lanjut usianya amat mengharap dan terus memohon kepada Allah agar Allah mengurniainya zuriat bersama isterinya yang selama ini dianggap mandul. Dia mau khidmat yang selama ini dicurahkan dapat disambung anaknya – sebaik-baiknya lelaki. Rintih Zakariyya sebagaimana dimaksudkan ayat Al-Qur`an:
``Ia merayu dan berkata, ``Wahai Tuhanku, sesungguhnya telah lemahlah tulang-temalang tubuhku dan telah putih melepaklah uban rambut kepalaku dan aku, wahai Tuhanku tidak pernah merasa hampa dengan do`a permohonanku kepadaMu``. (19.4)
 Bagi Allah tidak ada kerumitan bagiNya untuk mengkabulkan permintaan sedemikian. Dengan doa dan ketulusan hati Zakaria akhirnya doanya dikabulkan  dengan kurniaan anak lelaki terus dengan pemberian nama `Yahya` nama yang belum pernah diguna seumpamanya sebelumnya. Yahya meneruskan khidmat sebagai penerusan yang dilakukan oleh bapanya Zakariyya dan menurut syariat seperti di dalam  Taurat.
Sebagaimana Zakariyya maukan anak lelaki dari keturunan sendiri demikianlah juga keluarga Imran memohon dari Allah mengurnianya bersama isterinya `Hannah` untuk mendapat anak lelaki. Mereka bernazar bila besar untuk menyerah anaknya bagi mengabdikan dirinya berkhidmat di tempat ibadat di Masjid Al-Aqsa, Baitul Maqdis. Allah jua mengkabulkan permintaan mereka, tetapi bukan anak lelaki, tetapi sebaliknya perempuan yang diberi nama Maryam. Mereka pasrah dengan kurniaan dan oleh kerana nazar, maka mereka menyerahkan juga anak perempuan ini beribadat dan mencurahkan baktinya kepada Allah dan beribadat di dalam Masjid Al-Aqsa berkenaan.
Berlainan warna, nasib dan ketentuan yang dialami Maryam sebagai Rahib Wanita, dia menghadapi ujian yang paling getir. Sebagai Rahibah dia semata-mata menumpukan ibadat dan khidmat di pusat ibadat, dan dia tidak memohon untuk mendapat sebarang zuriat, lantaran dia tahu dia seorang yang tidak bersuami, tetapi atas kehendak Allah dia diberitahu oleh Malaikat, bahawa dia dikurnia anak tanpa bapa dan mengandung, dia tidak dapat menolak dan mengandung. Dia menerima cemuhan dan tuduhan liar dan mengasingkan diri beribadat sambil menunggu tarikh kelahiran, bahkan dia berpuasa dari bercakap. Apabila anaknya lahir yang dinamai Isa, kepada yang bertanya, dia mengisyaratkan supaya  menanyakan anak tersebut. Dan  Isa menjawab sebagaimana dimaksudkan di dalam Al-Qur`an:
``Ia menjawab, ``Sesungguhnya aku ini hamba Allah. Ia telah memberikan kepadaku Kitab (Injil) dan Ia telah menjadikan daku seorang Nabi``. (19.30)
Isu Maryam dan anaknya Isa bukan sekadar kelahiran semata-mata, tetapi mencetuskan pertikaian bukan saja dari segi menerima dan menolaknya, tetapi kedudukannya dari segi falsafah dan aqidah yang sifatnya amat serius dan diwarisi perbalahan oleh generasi zaman.
Dari segi lahirnya Isa menyebabkan melahirkan berbagai pendapat. Antaranya melihat Jesus Isa al-Masih mempunyai dua identiti, iaitu Lahir sebagai kemanusiaan dan Batin sebagai Ketuhanan.
Dari segi penerimaan terhadapnya berlaku perselisihan.
Antara Yahudi tidak mengaku kenabiannya dan menganggapnya sebagai anak zina. Mereka menuduh Al-Masih anak Yusuf Tukang Kayu yang bila lahir Al-Masih dikahwinkan dengan Maryam. Dari satu segi terdapat pendapat-pendapat:
1)      Golongan Ya`kubin Isa itu ialah Allah
2)      Golongan Nasturiyyin Isa Anak Allah
3)      Pendeapat Isa itu Yang Ketiga dan Yang Bertiga. Dia Allah, Dia Anak Allah dan Dia Ruhul Qudus
4)      Pendapat yang mempercayai Oknum Ketiga ialah Ibunya Maryam.
Tetapi yang dijadikan keputusan Kaisar Konstantin di perhimpunan di Necea, ialah Triniti Allah Bapa, Allah Putera dan Allah Ruhul Qudus, Yang Satu Di Dalam Tiga dan Tiga Di Dalam Satu.
Hamka mencatat, ``Injil yang ada sekarang bukan lagi yang turun kepada Isa Al-Masih. Apa yang ditulis oleh Matius, Markus, Lukas dan Yohannes itu bukan wahyu. Di dalam kesemuanya tidak terdapat tentang Isa bercakap-cakap membenarkan ibunya daripada tuduhan-tuduhan yang bukan-bukan dan pengakuan bahawa dia akan menjadi Nabi dan menerima kitab Injil dari Tuhan sebagaimana keterangan terdapat di dalam Al-Qur`an sebagaimana ayat di atas. Demikianlah kekacauan pendapat tentang Isa di kalangan Israil dan golongan Kristian yang mengelirukan.
(Hamka, Tafsir Al-Azhar, Jil.6, Pustaka Nasional Pte Ltd., Singapura, 2001: 4,300).
Kedatangan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai Nabi dan Rasul akhir zaman menyibarkan agama Islam dan antaranya membetulkan tentang kedudukan Al-Masih yang dia bukan dibunuh sebagaimana cuba  dilakukan oleh Bani Israil , tetapi diangkat oleh Allah kesampingNya.
Kedatangan Islam dengan bukti Al-Qur`an yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad  s.a.w. tidak saja memperbetulkan tanggapan terhadap Nabi Isa Al-Masih sebagai Rasulullah, tetapi juga terhadap nabi-nabi yang lain sebagaimana sebahagian daripada mereka disebut di dalam Surah Maryam, iaitu tentang:
Nabi Ibrahim yang mendakwah agama Hanif (Islam), termasuk terhadap ayahnya yang merupakan sebagai pemahat patung-patung. Ibrahim adalah Siddiq lagi benar (19.41). Dia diancam oleh pemerintah pada masanya iaitu Namrud dari zaman Babilon. Dia melakukan Hijrah termasuk ke Makkah mendirikan Ka`bah.
Nabi Musa yang cirinya ialah `Berbicara Dengan Tuhan` (Al-Nisa`: 164) dan mendapat tentangan dari Fir`aun semasa di Mesir.
Nabi Ismail yang disifatkan sebagai `Penunai Janji` (19.54) dan
Nabi Idris yang disifatkan sebagai Kenabian Yang Benar (19.56)
Islam dan Al-Qur`an yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad s.a.w. bukan setakat memperbetulkan persepsi dan tanggapan terhadap Maryam dan Nabi Isa, tetapi memperbetulkan pegangan terhadap kerasulan dan kenabian yang telah diutuskan Allah, tetapi juga menunjuk jalan  kehadapan untuk dijalani secara lurus dan betul.

Sekian.

No comments:

Post a Comment