December 10, 2015

Jangka Panjang: Pembangunan Tiga Peringkat


BBB, 27 Safar 1437 = 09 Disember 2015 (Rabu):
Berikut dari ucapan Pengerusi Pembangunan dan Penimarahan Masjid Al-Umm Tuan Haji Ghazali Abbas menjemput Tuan Haji Abdul Rahman Daud selaku Pengarah Pembangunan Masjid Al-Umm membentangkan kepada hadirin tentang perkembangan pembinaan Masjid Al-Umm. Beliau membicarakan tentang pembangunan jangka panjang kepada tiga tahap, iaitu Pertama, Kedua dan Ketiga.



Tahap Pertama
Ialah tahap pembangunan fizikal Masjid Al-Umm yang mulai dibangunkan sejak 10 Disember 2013. Dengan berdasarkan kepada power point beliau menerangkan tahap pembangunan dari pembersihan tapak, penanaman cerocok, terdirinya tiang-tiang yang kemudian memperlihatkan rangka bangunan yang berbentuk tiga tingkat. Diikuti dengan pemasangan batu bata dan tangga-tangga, pemasangan bumbung dan atap. Bangunan masjid menjadi lebih jelas dengan menaikkan kubah oleh Syarikat Majleza dan pembinaan dua menara yang pada puncaknya mengambil bentuk menara Masjidil Haram terkini.
Berikutnya ialah kerja-kerja penghalusan dari pemasangan tiles pada semua lantai di semua tingkat dari tiga tingkat, pemasangan pintu dan tingkap dan cat mengecat. Selepas itu diterangkan tentang aras bawah  yang terdiri dari ruang persidangan atau jamuan, ruang aqad nikah dan bilik persalinan yang semuanya berhawa dingin dan bilik penyediaan makanan bagi majlis-majlis jamuan. Dari tangga sebelah kanan dan kiri dapat naik ke aras utama yang bahagian utamanya ialah ruang bagi solat yang di hadapannya mihrab (dari aras satu ke bawah). Pada sebelah kanan dan kiri ialah ruangan lempah yang bersifat terbuka dan tidak menggunakan penghawa dingin sebagaimana pada ruangan tengah. Pada bahagian belakang juga ialah ruangan terbuka untuk jamaah. Pada bahagian tepi kanan dan kiri ialah bilik wudhu`. Manakala bersebelahan bilik wudhu ialah bilik pentadbiran dan bilik tarbiah anak-anak. Terdapat bilik jenazah pada sebelah kanan sebagaimana terdapat ruangan rehat pada  sebelah menyebelah bagi bilik-bilik wudhu atau hadapan bilik pentadbiran dan bilik tarbiah.
Dengan melalui tangga kanan dan kiri dan juga perkhidmatan lift dapat dinaiki ke aras satu (tingkat tiga) yang terdiri dari ruang solat muslimat. Bilik-bilik bahagian belakang untuk tahfiz dan bilik sumber (perpustakaan) dan IT. Pada bahagian kanan dan kiri juga bilik wudhu` dan toilet. Pada bahagian sayap kanan ialah bilik persidangan dan dan pada sayap kiri bilik mesyuarat.
Pembangunan sudah sampai 96% dan kerja-kerja sekarang lebih kepada penghalusan dalaman seperti dekorasi di bahagian atas ruang utama dan dinding dan kerja luar seperti jalan, pagar dan taman.
Tahap Kedua
Ialah pembangunan rumah penginapan dan asrama. Bertempat di Surau al-Umm No. 6 Jalan 1/3G, Bandar Baru Bangi. Rumah semi D ini diberi sementara oleh PKNS untuk dijadikan Surau Sementara dan telah digunakan mulai Ramadhan tahu 1978. Sempena pembinaan Masjid Al-Umm pihak AJK Pembangunan dan Pengimarahan Masjid Al-Umm memohon dari pihak PKN secara percuma, tetapi tidak disetujui, tetapi adalah secara menjualnya kepada Masjid dengan harga RM500,000. Pihak AJK telah membayar wang depositnya. Rumah semi D ini akan diubahsuai kepada dua kediaman pada bahagian atas untuk imam atau tamu-tamu dan mereka yang datang mengajar atau sebarang urusan masjid. Pada bahagian bawah juga diadakan bilik-bilik untuk asrama atau untuk disewa. Adalah dijangka perbelanjaan bagi menyiapkan pengubahsuaian bangunan ini memerlukan peruntukan lebih dari satu juta ringgit.



Tahap Ketiga
Ialah tahap jangka panjang. Masjid dijangka akan menjadi pusat pengajian tinggi. Bagi kepentingan jangka panjang pihak Masjid akan memohon daripada pihak Kerajaan  Negeri melalui MPKj untuk mendapatkan ruang Medan Usahawan, iaitu kawasan warung hadapan masjid bagi membina bangunan lebih dari 10 tingkat. Bangunan ini akan dijadikan ruang bilik kuliah, ruang persidangan, perpustakaan, bilik-bilik pentadbiran, asrama, kedai buku dan kedai-kedai yang menyediakan keperluan bagi pelajar.
Bagi jangka panjang Masjid Al-Umm menjadi induk bagi tempat ibadat, pusat bagi perkembangan keilmuan dan kegiatan kemasyarakatan yang berada di Wadi Ilmu di Bangi Bandar Ilmu.
Selepas Tuan Haji Abdul Rahman membentangkan konsep pembangunan terkini dan jangka panjang, Dr. Tajul Ariffin Noordin selaku Pengerusi AJK Pendidikan dijemput oleh Pengerusi Majlis untuk bercakap tentang pendidikan bagi mengimarahkan Masjid Al-Umm. Beliau bercakap tentang konsep bengkel dan klinik, iaitu sebagai tambahan dari kuliah dan pengajaran kitab-kitab  yang biasa diadakan di masjid-masjid. Bengkel ialah perbincangan tentang topik-topik khusus di dalam jumlah terhad bagi mendigestkan topik-topik tertentu. Manakala klinik adalah lebih khusus membimbing anak-anak misalnya bagaimana mendirikan solat secara betul dan bacaan yang betul. Pendekatan ini juga dapat diperluaskan kepada kalangan orang tua yang memerlukan bimbingan secara intensif berhubung dengan ibadat solat dan berbagai-bagai bidang yang lain.
Dr. Tajul Ariffin Noordin juga bercakap tentang pengajian. Menurutnya Beliau bersetuju diadakan Kelas Tahfiz di Masjid al-Umm. Sebagai Pengerusi bagi Kompleks Pendidikan Islam Bandar Baru Bangi, beliau memaklumkan di situ terdapat kelas Tahfiz untuk anak-anak sekolah, tetapi suasana di situ tidak begitu kondusif, beliau mencadangkan kelas tahfiz disitu dipindahkan ke Masjid Al-Umm, lantaran di masjid lebih kondusif dan lebih intim dengan suasana ibadat dan suasana yang lebih tenang.



Beliau juga bercakap tentang perancangan untuk mengadakan kerjasama pengajian di Masjid Al-Umm dengan instiutusi-institusi pengajian luar yang berada terutama di sekitar Bangi. Beliau merujuk kepada rundingan yang sedang dibuat dengan pihak Dar al-Hikmah, Sungai Ramal Dalam. Modul pengajian di situ dapat di bawa ke Masjid Al-Umm atau kedua-dua tempat menganjurkan pengajian secara bersama. Pelajar-pelajar yang mnengikuti pengajian berbagai bidang yang dianjurkankan bila lulus pada peringkat diploma yang kelulusan diiktiraf oleh pihak kerajaan dapat menyambung pengajian ke pengajian-pengajian tempatan dan juga luar negara.
Dengan penerangan yang diberi oleh ketiga pihak, iaitu oleh Pengerusi Pembangunan dan Pengimarahan Masjid  secara luas, Tuan Haji Abdul Rahman mengenai pembangunan fizikal dan Dr. Tajul Ariffin Noordin dari segi pendidikan, maka dijangka para peserta, terutama yang baru datang, lebih khusus bagi yang mau berkhidmat dengan Masjid Al-Umm dapat memahami tentang perkembangan Masjid Al-Umm dari segi visi dan misinya bagi mencapai al-Falah dunia dan akhirat.
Selepas penyampaian penerangan oleh Dr. Tajul Ariffin Noordin Majlis berhenti rihat dan para hadirin dijemput ke jamuan sebelum majlis di sambung semula.

Sekian.

No comments:

Post a Comment