July 22, 2016

AL-ZUHD KITAB TASAWUF TERAWAL SELEPAS AL-ZUHD WA AL-RAQA`IQ: PENDAPATTENTANG AL-IMAM AHMAD BIN HANBAL


BBB, 16 Syawal  1437 = 21 Julai 2016 (Khamis):


Kitab Al-Zuhd adalah antara kitab membawa persoalan tasawuf terawal  selepas kitab Al-Zuhd wa al-Raqa`iq oleh Abdullah al-Mubarak (m. 181H.) sebagaimana telah dibicarakan. Selepas daripada ini adalah dilihat bahawa kitab Al-Zuhd adalah merupakan turath tasawuf selepas kitab Al-Zuhd wa al-Raqa`iq. Kitab Al-Zuhd ini dihasilkan oleh  Ahmad bin Muhammad bin Hanbal al-Shaybani yang terkenal sebagai Imam Ahmad bin Hanbal (164-241H/780-855M.). Ini bererti Ahmad bin Hanbal berkesempatan dengan Abdullah bin al-Mubarak  dari kalangan tabi`in yang menghasilkan kitab Al-Zuhd wa al-Raqa`iq.
Adalah menarik melihat bahawa:
1)      Ahmad bin Hanbal seazaman dengan Abdullah al-Mubarak
2)      Kedua-duanya mengambil judul bagi kitab bertemakan tasawuf dengan judul Al-Zud bagi Ahmad bin Hanbal dan bagi Abdullah bin Mubarak berjudul Al-Zuhd wa al-Raqa`iq.
3)      Kedua-duanya adalah  mengikuti tradisi persuratan Islam pada peringkat awal Islam, iaitu menurunkan maklumat secara riwayat sebagaimana riwayat bagi Hadith Rasulullah s.a.w.
4)      Bukti persuratan sebagaimana kedua-dua kitab tersebut adalah bukti kukuh sebagai asas perkembangan persuratan tasawuf Islam.
5)      Membuktikan pada peringkat permulaan istilah tasawuf belum begitu popular dan tajuk bagi yang bertema tasawuf pada peringkat permulaan ini ialah `Zuhd`. Dan zuhud adalah menjadi ciri  ketasawufan yang penting.
Ahmad bin Hanbal tidak saja terkenal di dalam bidang fiqh, tetapi di dalam menyusun persoalan yang berhubung dengan tasawuf dan diri dan sejarah hidup beliau mencerminkan beliau seorang pejuang keislaman, keilmuan dan kerohanian yang mempertahankan prinsipnya, walaupun menghadapi hukuman – dipenjara kerana mempertahankan prinsip pegangannya. Nama penuh  Ibn Hanbal ialah Imam Ahmad bin Muhammad bin Hanbal bin Hilal bin Asad bin Idris bin Abdullah bin Hibban bin Abdullah bin Anas bin `Auf bin Qasit bin Mazin bin Shaiban bin Dhuhal bin Tha`labah bin `Ukabah bin Sa`b bin `Ali bin Bakar bin Wa`il bin Qasit bin Hanab bin Aqsa bin Da`mi bin Juwaylah bin Asad bin Rabi`ah bin Nizar bin Ma`ad bin `Adnan  - Abu Abdullah al-Shaybani al-Wa`ili. Imam bagi mazhab Hanbali, salah satu daripada Imam Mazhab yang empat  yang bertali keturunannya dengan  moyang turunan Rasulullah s.a.w. kepada `Adnan. Imam Ahmad berasal dari Marwi dan bapanya pemerintah (Wali) di Sarkhas.
Imam Ahmad bin Hanbal dilahirkan di Baghdad (L. 164H./780M.). Dididik di dalam suasana keilmuan dan bersungguh di dalam pengajian. Di dalam mencari ilmu dan  pengalaman beliau banyak bergerak bermusafir antaranya ke Kufah, Basrah, Makkah, Madinah, Yaman, Sham, Thughur, Maghrib, Jaza`ir, Iraq, Parsi dan Khurasan. Dia mendapat pengajian antaranya dari Sufyan bin `Uyaynah, Ibrahim bin Sa`ad, Bashar bin Mufaddal, Yahya bin al-Qattan, Hashim, Waqi`,  Ibn `Aliyyah, Ibn Mahdi, Abdul Razak dan lain-lain.
Manakala mengambil ilmu darinya antaranya  dua anaknya Abdullah dan Salih dan yang lain ialah Abdul Razzaq, Yahya bin Adam,  Abu al-Walid, Ibn Mahdi, Yazid bin Harun, `Ali bin al-Madini, Bukhari, Muslim, Abu Daud, Abu Zar`ah al-Razi, al-Dimashqi, Muhammad bin Abi al-Dunya, Muhammad bin Ishaq al-Saghani, Abu Hatim al-Razi dan lain-lain. Ramainya pelajar yang mengikuti pengajaran Imam Ahmad bin Hanbal sebagaimana digambarkan oleh anaknya dalam riwayat:
``Berkata Husain bin Ismail, ``Aku mendengar bapaku berkata, ``Adalah berhimpun pada majlis ilmu al-Imam Ahmad jumlahnya antara lima ribu lebih kurang.``
Berkata Yazid bin al-Munadi, ``Adalah Imam Abu Abdullah Ahmad bin Hanbal daripada sebaik manusia, semulia-mulia diri, pandai bergaul, berkeperibadian tinggi, penuh adab dan daya tarikan dalam pergaulan. Jauh dari keji dan lagha, tidak didengar darinya melainkan muzakarah berhubung dengan keilmuan dengan ilmuan-ilmuan sezamannya. Suka membicarakan tentang orang salihin dan para zuhhad. Dia tenang dan hening, kata-katanya elok.  Apabila berdepan dengan seseorang gembira dirinya dengannya dan menerimanya. Dia adalah seorang yang tawadhu`. Mereka memuliakannya, membesarkannya dan mengasihinya.
Tentang Imam Ahmad bin Hanbal, berkata al-Imam al-Shafie tentangnya,
``Berkata Harmalah, aku mendengar Imam Shafie berkata,
``Aku keluar daripada `Iraq, sesungguhnya aku tidak meninggalkan seorang lebih mulia dan lebih berilmu. Tidak ada yang lebih wara` dan lebih taqwa daripada Ahmad bin Hanbal.``
Berkata Qutaibah, ``Mati Sufyan al-Thauri, maka matilah kewarakan, mati Imam Shafie, maka matilah kesunahan dan Mati Ahmad bin Hanbal, maka lahirlah bid`ah-bid`ah.`` Tambahnya, ``Bahawa Ahmad bin Hanbal berdiri di kalangan ummah bagaikan membawa mesej Nubuwwah.``
Riwayat al-Bayhaqi daripada Hakim daripada Yahya bin Muhammad al-`Anbari  berkata, `Telah bernasyid kepada kami oleh Abu  Abdullah al-Busandi tentang Ahmad bin Hanbal r.a.
Sesungguhnya Ibn Hanbal adalah sebagai Imam
Dia sebenarnya Imam di alam kukuh berpegang
Mendukung Nabi Muhammad menentang penyelewengan
Dia datang selepas khalafah-khalifah selepas mereka  perbalahan
Dia  menentang  syirik di atas segala  syirik berlapisan
Dialah contoh ulama dan imam menjadi contoh ikutan.

Menyebut tokoh tafsir terkenal Ibn Kathir:
``Adalah mereka yang teguh menghadapi fitnah dan cekal menghadapi tuduhan empat dan ada yang kata lima iaitu,
·          Ahmad bin Hanbal. Dia adalah terkehadapan
·         Muhammad bin Nuh bin Maimun al-Jundi Nisaburi -  mati di jalanan
·         Nu`aim bin Hammad al-Khuzai – Mati di dalam penjara
·         Abu Ya`qub. Mati dipenjara oleh Al-Wathiq, lantaran perbalahan`Al-Qur`an makhluk`. Dia dibelenggu dengan rantai besi
·         Ahmad bin Nasr al-Khuza`i.
(Sumber, muqaddimah bagi Kitab Al-Zuhd).
Dengan sedikit latar permulaan tercermin watak dan jiwa kesufian Ahmad bin Hanbal.

Sekian.


No comments:

Post a Comment