July 23, 2016

KITAB-KITAB AL-IMAM AHMAD BIN HANBAL


BBB,  17 Syawal 1437 = 22 Julai 2016 (Jumaat):
Penerbit bagi kitab Al-Zuhd bagi al-Imam Ahmad bin Hanbal, iaitu Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, Beirut (1403H./1983M.) menyebut karangan-karangan atau kitab-kitab susunan Al-Imam Ahmad bin Hanbal tidak secara lengkap, tetapi menyebut.
Kitab-kitab terkenalnya yang  telah diterbitkan (bercetak):
1)       Al-Musnad (Kitab Hadith) yang terdiri dari 6  jilid, yang mengandungi 30,000 Hadith.
2)      Al-Zuhd – Kitab yang menjadi fokus pembicaraan
3)      Al-Radd  `ala al-Zanadiqah fima bihi min Mutashabihi al-Qur`an (Penolakan Terhadap Golongan Zindiq Pada Apa yang mentashabih Dengan Al-Qur`an).
4)      Al-Wara` - Tanbahan (ada pada Penulis).
Menurut Penerbit  Imam Ahmad bin Hanbal ada menghasilkan kitab Tarikh dan Al-Nasikh dan al-Mansukh.
Manakala tulisan-tulisan yang masih bersifat naskhah (belum diterbitkan):
a)      Al-Ashribah  (Minuman-Minuman)
b)      Al-Masa`il (Masalah-Masalah)
c)       Al`Ilal wa al-Rijal (`Illat dan Tokoh-tokoh).
Antara yang menulis tentang Al-Imam Ahmad bin Hanbal ialah:
·          Ibn al-Jauzi dengan judul Manaqib al-Imam Ahmad dan Sirah Perjalanannya
·         Abu Zahrah dengan judul Ibn Hanbal Dirasat Kamilah `an Hayatihi wa Muallafatihi (Kajian Lengkap Kehidupan Dan Karangan-Karangan Ibn Hanbal).
Sebagai Al-Imam  yang berjuang bagi menegakkan Islam melalui jihad keilmuan Al-Imam Ahmad bin Hanbal tidak terlepas dari menghadapi fitnah, ancaman, bahkan tahanan (penjara).
Sebagaimana dimaklumi pada zaman kenaikan kerajaan Abbasiyyah (bermula 132H.) berlaku bukan saja pertikaian dari segi politik yang membawa kepada kejatuhan pemerintahan kerajaan Umawiyyah di Sham (berpindah ke Andalus), tetapi juga berlaku pertikaian intelektual. Pada zaman tersebut lahirnya faham Mu`tazilah, Qadariyyah, Jabariyyah dan Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah, di samping pecahan-pecahan yang lain. Karajaan Abbasiyyah pada umumnya adalah pendukung bagi fahaman Mu`tazilah-Qadariyyah. Ini sesuai dengan prinsip perjuangan aliran ini dengan Kerajaan Abbasiyyah yang berslogankan – Wajib  mengubah pihak yang menyeleweng (Umawiyyah). Manusia adalah  diberi kuasa oleh Allah  melakukan kehendak dan qudratnya.
Al-Imam  Ahmad bin Hanbal, termasuk al-Imam Shafie adalah berada di dalam zaman kenaikan Kerajaan Abbasiyyah. Antara persoalan falsafah yang menjadi pertikaian pada masa tersebut, ialah Al-Qur`an sebagai kalam Allah, adakah Qadim atau Baharu. Al-Imam Ahmad berdiri teguh dengan pendapat bahawa Al-Qur`an adalah Qadim, bukan Baharu – Kena Jadi, sebagaimana dipegang oleh pihak Mu`tazilah-Qadariyyah.
Berhubung dengan pegangan dan pendirian Al-Imam Ahmad bin Hanbal yang bercanggah dengan pegangan rasmi kerajaan Abbasiyyah pada masa itu, maka Khalifah al-Ma`mun (198H. – 218H.) telah memanggil Al-Imam Ahmad bin Hanbal berhubung dengan pegangannya tentang Qadimnya Al-Qur`an. Tetapi di dalam masa dibicarakan Al-Imam Ahmad bin Hanbal Khalifah al-Ma`mun meninggal dunia, tetapi Al-Imam Ahmad bin Hanbal tidak terlepas dari tuduhan, bahkan Khalifah Al-Mu`tasim (218-227H.) yang menggantikan Khalifah al-Ma`mun meneruskan polisi Khalifah al-Ma`mun. Kes pegangan Al-Imam Ahmad bin Hanbal didengar, beliau didapati bersalah dan beliau telah dihukum penjara dan merengkok dalam tahanan selama 28 bulan kerana keengganannya mengatakan `Al-Qur`an Makhluk !``. Beliau dilepaskan dari penjara pada tahun (220H.). Al-Wathiq (227-232H.) yang menggantikan Al-Mu`tasim tidak mengapakan al-Imam Ahmad bin Hanbal, tetapi pada zaman pemerintahan Al-Mutawakkil (232-247H.) yang teraju pemerintahan mulai dikuasai oleh tentera-tentera Turki yang diberi kepercayaan sejak Al-Wathiq menjadi tentera negara dan membelakangi keturunan `Arab, maka politik pemerintahan ditentukan oleh pahlawan-pahlawan Turki – termasuk menaik dan menurunkan khalifah. Di dalam keadaan lemah ini, maka Khalifah Al-Mutawkkil memuliakan Al-Imam Ahmad bin Hanbal dan meletakkannya sebagai Ulama Negara. Sebarang mesyuarat penting  tidak berlangsung tanpa disertai oleh Al-Imam Ahmad bin Hanbal. Kemuliaan yang diberi ini berterusan hinggalah meninggalnya Al-Imam Ahmad bin Hanbal (m. 241H.).
Dapatlah dilihat jiwa ketasawufan pada diri Al-Imam Ahmad bin Hanbal kental di dalam jihad kehidupannya.  Sanggup berdepan dengan hukuman kerana mempertahankan keyakinan yang dipegangnya, walaupun berdepan dengan hukuman penjara. Beliau adalah tokoh keilmuan yang jitu. Beliau mempunyai Musnad Hadith yang terkenal dengan  - Musnad Imam Ahmad yang mengandungi koleksi Hadith berjumlah 30,000 Hadith. Kealimannya di dalam Al-Qur`an dan Al-Hadith melayakkannya mengeluarkan fatwa dan beliau berkedudukan sebagai Imam Mazhab Empat. Beliau setara  dengan imam-imam mazhab yang lain yang mempunyai karya besar masing-masing dalam mana Al-Imam Malik dengan al-Muwatta`, al-Imam al-Shafie dengan al-Umm dan al-Imam Abu Hanifah dengan  al-Fiqh al-Akbar dan al-Asgharnya dan  Al-Imam Ahmad dengan Musnadnya.
Di dalam bidang tasawuf, walaupun jarang mereka yang meletakkan Al-Imam Ahmad bin Hanbal sebagai tokoh sufi yang penting, tetapi adalah jelas bahawa dengan kehidupan dan jiwa kesufiannya beliau adalah pembawa jiwa sufi, bahkan menyusun karya yang berhubung dengan tasawuf iaitu karya Al-Imam Ahmad bin Hanbal yang jelas iaitu:
1)      Al-Zuhd
2)      Al-Wara`
Beliau bersama Abdullah bin al-Mubarak adalah sama mempelopori pendekatan tasawuf terawal, iaitu `Zuhd` . Kedua-duanya mengambil pendekatan penulisan gaya Hadith di dalam menyusun karya masing-masing. Bukti berkarya  dari Abdullah bin al-Mubarak dan al-Imam Ahmad bin Hanbal jelas bahawa tasawuf adalah Turath keilmuan Islam yang asal yang berkembang di dalam rahim peradaban dan tamadun Islam sebagaimana keilmuan-keilmuan Islam yang lain.

Sekian.

No comments:

Post a Comment