July 24, 2016

KANDUNGAN KITAB AL-ZUHD


BBB, 18 Syawal 1437 =  23 Julai 2016 (Sabtu):
Sebagaimana  tajuk yang dibawa oleh Kitab al-Zuhd, maka sudah tentulah kandungan yang dibawa oleh kitab ini ialah persoalan-persoalan yang berhubung dengan zuhud, iaitu sebagaimana telah disebutkan ia  adalah nama dan judul awal bagi maksud keilmuan yang kemudiannya dikenali sebagai tasawuf.
Kitab Al-Zuhd yang dihasilkan oleh Al-`Alim al-Rabbani wal Siddiq al-Thani al-Imam Abi `Abdillah Ahmad bin Muhammad bin Hanbal al-Shaybani (164-241H./780-855M.) diterbitkan oleh Raji` al-Naskhah wa Dhabti A`lamiha Lujnah min al`Ulama` bi Ishraf al-Nashir – Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, Beirut, Lubnan yang cetakan pertamanya 1403H./1983M. Buku ini berjilid rapi dan menarik adalah setebal 480 hlm. Penulis berpeluang memiliki buku ini  dengan membelinya  ketika menunaikan fardhu Haji bagi kali pertama dengan isteri dan membelinya di Makkah al-Mukarramah  pada 03 Dhul Hijjah 1405 bersamaan 19 Ogos 1985 dengan harga 15 riyal Sa`udi. Kitab al-Zuhd adalah setebal 480 halaman.  Bagi buku ini tidak disebut siapa penyelenggaranya, ianya dimulakan dengan kata-kata Penerbit secara ringkas yang lebih sedikit dari sehalaman, diikuti dengan  Tarjamah Al-Imam Ahmad bin Hanbal sebanyak  tiga halaman dan dikuti dengan kandungan kitab yang sebagaimana telah disebut adalah mengambil gaya persuratan Hadith.
Kandungan Kitab al-Zuhd  ialah mengenai Zuhud para al-anbiya` (rasul-rasaul), empat khulafa` al-Rashidin, para sahabat dan zuhhad yang kesemuanya berjumlah 53 orang).
Pada  kata pengantar penerbit yang ringkas, tetapi menarik, maka selepas basmalah, hamdalah dan salawat terhadap Nabi Muhammad s.a.w. kata penerbit bermaksud:
Adapun kemudian daripada itu:
Berfirman Allah Ta`ala bermaksud:
``Sesungguhnya janji Allah itu adalah benar, maka janganlah kamu diperdayakan oleh kehidupan dunia dan jangan pula kamu diperdayakan oleh bisikan dan ajakan syaitan yang menyebabkan kamu berani melanggar perintah Allah`` (Luqman: 33).
Dan firman Allah Ta`ala lagi bermaksud:
``Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia, kesukaan kepada benda-benda yang dingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak pinak, harta benda yang banyak berpikul-pikul dari emas dan perak, kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih, dan binatang-binatang ternak, serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu adalah kesenangan hidup di dunia, dan ingatlah pada sisi Allah  ada (tempat) kembali yang sebaik-baik (iaitu syurga) – (Ali `Imran: 14).
Seterusnya penerbit membawa Hadith-Hadith yang bertemakan tasawuf:
Daripada Abi Sa`id al-Khudri r.a. berkata, ``Rasulullah s.a.w. berdiri di atas mimbar dan kami duduk sekelilingnya, maka Baginda bersabda bermaksud:
``Daripada perkara yang aku takut ke atas kamu selepas ketiadaanku, apa yang terbuka kepada kamu daripada bunga dunia dan hiasannya.``
  Tambah lagi penerb it:
Daripada Anas r.a. bahawasanya Nabi s.a.w. bersabda bermaksud:
``Allahumma, tidak ada kehidupan, melainkan kehidupan akhirat.``
Kata penerbit:
Ditangan kita `Kitab al-Zuhd` bagi Imam al-`Allamah Ahmad bin Hanbal yang menerangkan tentang zuhud para anbiya` yang diketua mereka itu Nai Muhammad bin Abdullah alayhim al-salat wa al-salam. Juga dibentangkan kepada kita zuhud para sahabat r.anhum diredhai mereka itu dan diikuti para zuhhad dari kalangan tabi`in. Al-Imam Ahmad bin Hanbal menampilkan kitabnya secara tunggal dari segi judul `al-Zuhd`.
Berkata Ibn Taimiyyah r.h.a. tatkala disebut dihadapannya tajuk `al-Zuhd`, katanya,
``Sebaik-baik apa yang dikarang padanya ialah `Kitab al-Zuhd` yang dikarang oleh Imam Ahmad bin Hanbal.``
Tasmbah penerbit, ``Melihat kepada kepentingan kitab ini dan faedah yang diharap daripadanya, kita mengambil tanggungjawab dengan memberi khidmat, dengan apa yang boleh memudahkan kita dari segi  kesungguhan dengan  mengisi maktabah muslim dengan bahan keilmuan yang praktikal, kitab yang begitu berharga yang tidak dapat tidak perlu dibaca dan mengambil faedah daripadanya.
Adapun bahagian kedua, yakni berkenaan latar al-Imam Ahmad bin Hanbal, kita telah merumuskan kandungan dalam tulisan kita yang lepas.
Sebagaimana telah disebutkan bahawa Kitab Al-Zuhd ialah mengenai kezuhudan para anbiya`, sahabat dan para zuhhad, iaitu bermula dengan kezuhudan Nabi Muhammad s.a.w. bermula dari halaman  8 sehingga halaman 43 yang setiap halama antara  5 – 7 Hadith. Tetapi bagi Hadith permulaan tentang Nabi Muhammad s.a.w. sanad dengan para rawinya agak panjang mengambil ruang tiga perempat halaman (hanya tiga Hadith. Maka Hadith pertama selepas bermula dengan basmalah:
Mengkhabarkan kami al-Shaykh al-Jalil al-`Adlu Nasir al-Din Abu `Abdullah Muhammad bin Yusuf bin Muhammad bin `Abdullah al-Dimashqi al-Shafi`i dikenali dengan Ibn al-Minhar dengan membaca kepadanya dan kami mendengar pada bulan-bulan daripada tahun 708H. dikatakan kepadanya. Menmgkhabarkan kami oleh al-Shaykh Imam yang dipercayai Taqiyyuddin Abu Muhammad Abdul Rahman bin Abi al-Fahm bin Abdul Rahman al-Baladini al-`Abbasi. Mengkhabarkan kami oleh Abu al-Qasim Yahya bin As`ad bin Yahya bin Bulish al-Tajir daripada Abi Talib Abdil Qadir bin Muhammad bin Yusuf al-Yusufi. Memberitakan kami oleh Abu `Ali Hasan bin `Ali bin Muhammad bin `Ali bin al-Madhhab membaca kepadanya pada bulan Rabi`ul Awwal tahun 443H. Mengkhabarkan kami oleh Abu Bakar Ahmad bin Ja`afar bin Hamdan bin Malik al-Qati`i.
Bercakap kepada kami oleh `Abdul Rahman `Abdullah bin Ahmad bin Muhammad bin Hanbal r.a. berkata, bercakap kepadaku Abi Ahmad bin Muhammad bin Hanbal bin Hilal bin Asad bin Kinanah, bercakap kepada kami Yazid bin Harun, memberitakan kami Muhammad bin Mitraf daripada Zaid bin
``Siapa pergi dan pulang (berulang) ke masjid disediakan Allah `Azza wa Jalla kepadanya di dalam syurga tempat boleh bergerak sebagaimana dia pergi mari``.
Demikianlah contoh riwayat bagi sanad pertama dan permulaan yang agak panjang yang membawa kepada matan  Hadith daripada Nabi Muhammad s.a.w. Kaedah menyampaikan maklumat sedemikian adalah berterusan selanjutnya menurut topik-topik berkenaan, tetapi tidak sepanjang riwayat oleh rawi-rawi pada sanad bagi Hadith pertama ini.

Sekian.

No comments:

Post a Comment