July 17, 2016

PANDANGAN TENTANG DUNIA KEPADA MENCARI YANG HALAL


BBB,  11 Syawal 1437 = 16 Julai 2016 (Sabtu):


Sebagai lanjutan dari pandangan yang bersifat tasawuf, maka pada Juz`  4, di bawahnya dibicarakan 6 bab  yang dsipecahkan kepada persoalan-persoalan berikut:
1)      Mengecilkan  pandangan  dunia
2)      Dunia di sisi Allah
3)      Tawakkal dan tawadhu`
4)      Qana`ah  dan redha
5)      Konsep kefaqiran
6)      Mencari yang halal.
Konsep dunia sesuatu yang dekat, mudah didapati, tidak kekal dan tidak memberi faedah. Dari pandangan sepintas lalu adalah negatif terhadap dunia. Namun ada pandangan bahawa dunia adalah jambatan bagi akhirah. Dia adalah sebagai tapak tanaman bagi  hasil dan buahnya di  akhirat. Dunia sebagai tempat adalah menjadi wadah dan peluang membuat kebaikan bagi akhirat. Lantaran itu tidak wajar dikesampingkan, kecuali ianya bersifat keji dan merosakkan.
Menurut susunan yang dibuat Abdullah al-Mubarak bahawa:
1)      Mengecilkan pandangan dunia
(507) Berkata Ibn al-Mubarak, telah sampai kepada kami daripada al-Hasan bahawasanya dia berkata, bersabda Rasulullah s.a.w. bermaksud:
``Adapun umpamaku dan umpama kamu dan umpama dunia seperti kaum yang merentasi kawasan berdebu. Mereka tidak tahu hujungan yang direntas, berapa lebih jauh atau bila berakhir, mereka mendapati berkurang bekalan dan perlu kepada penambahan, mereka tidak kesampaian penujuan dan yakin dengan kebinasaan.``
Sudah tentulah sikap dan pandangan yang demikian berlaku bagi mereka yang tidak beriman, lalai dan tidak mempunyai pandangan dan pegangan hidup yang jelas. Akhirnya membawa kerosakan kepada mereka.
2)      Dunia di sisi Allah
(509 ):  Berkata Ibn al-Mubarak.  Mengkhabarkan kami oleh Ismail bin `Iyash dia berkata, bercakap kepada kami oleh `Uthman bin `Abdullah bin Rafi` adalah seoramg lelaki daripada sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w., mereka berkata bahawa   Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud:
``Kalaulah dunia diadili di sisi Allah bernilai seperti sayap nyamuk, nescaya tidak diberi daripadanya kepada orang kafir sesuatu.
3)      Tawakkal  dan  tawadhu`
(553) Berkata Ibn al-Mubarak, mengkhabarkan kami oleh Habwah bin Sharih, katanya, bercakap kepada kami Abu Hani` al-Khaulani, bahawa Amrin bin Malik berkata. Bahawasanya ia mendengar Fadhalah bin `Abid berkata,  Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud:
``Berbahagialah sesiapa yang diberi pertunjuk dengan Islam, dan adalah hidupnya mencukupi dan qana`ah.``
4)      Qana`ah dan Redha
(560):  Berkata Ibn al-Mubarak, mengkhabarkan kami Sufyan daripada Sulaiman dari Shamrin bin `Itiyyah daripada al-Mughirah bin Sa`ad bin al-Akhram daripada bapanya daripada Ibn Mas`ud berkata:
``Tidaklah mengalami mudarat oleh seseorang hamba yang berpagi-pagi di atas Islam dan berpetang-petang dengannya  seperti apa yang dialami  daripada keduniaan.``
5)       Konsep kefaqiran
(588):  Berkata Ibn al-Mubarak, mengkhabarkan kami oleh Sulaiman bin al-Mughirah daripada Thabit al-Bannani daripada Anas bin Malik, dia berkata, ``Aku melihat antara dua lengan `Umar empat tampungan  pada bajunya.
6)  Mencari yang halal
(593):  Berkata Ibn al-Mubarah, mengkhabarkan kami Baqiyyah bin al-Walid bahawa `Umar ibn al-Khattab berkata:
``Zuhud di dunia memberi kerehatan kepada hati dan juga jasad.``
Daripada apa yang dipetik dan disusun di atas, mungkin menimbulkan persepsi dan tanggapan negatif terutama kepada konsep dunia dan faqir. Dunia yang dikeji ialah segala perkara yang tidak berfaedah, melalai,  merosakkan dan tidak menjasi aset bagi akhirat. Dunia adalah konsepsi sesuatu yang buruk, bukan merujuk kepada bumi dan ruang tempat duduk yang di dalamnya manusia berusaha mencari rezeki yang halal bagi beribadat kepada Allah dan menjadi tempat dan peluang membuat kebaikan dan kebajikan sebagai tempat menanam modal kebaikan bagi menuainya di akhirat. Begiti juga konsep faqir, tidak bererti menjadikan diri miskin  dan hina dan mengharapkan bantuan dan pertolongan orang, Faqr ertinya tidak berhajat selain daripada Allah dan menjaga maruah diri hingga tidak dipandang hina dalam kehidupan. Kefaqiran tidak bererti tiasda pemilikan harta, lantaran dengan harta memberi peluang untuk membuat kebajikan bagi kepentingan hidup di dunia dan di  akhirat.
Sebagai rumusan dari pembicaraan
1)      Islam memupuk peribadi mulia yang tidak mengharap kecuali kepada Allah
2)      Dengan zuhud melatih diri  dengan qana`ah, redha dan tidak tamak dan angkuh.
3)      Qana`ah sifat mulia  meminumkan keperluan dan tidak bersifat membazir
4)      Faqir tidak bererti tiada harta, tapi tidak diperhamba olehnya. Dia meredeka dan bahagia.
5)      Keperluan kehidupan adalah cukup, jika tidak dibiarkan tamak menguasai diri

Sekian.


No comments:

Post a Comment