July 1, 2016

PERTUMBUHAN ISTILAH KETASAWUFAN


BBB, 25 Ramadhan 1437 – 30 Jun 2016 (Khamis):


Kelahiran satu bidang ilmu semestinya diikuti dengan kelahiran atau penggubalan istilah-istilah bagi keilmuan tersebut. Pengistilahan penting bagi mendukung dan meluaskan keilmuan tersebut. Istlah-istilah menggambarkan  ciri-ciri keilmuan, pengembangan, pecahan dan klasifikasi bagi keilmuan tersebut sehingga ilmu tersebut matang dengan dukungan  istilah-istilah yang tepat.
Kita telah membicarakan tentang pertumbuhan keilmuan tasawuf dan kelahiran istilah tasawuf dan asal usul istilah itu berlaku selepas seabad kedatngan Islam, biarpun elemen-elemen ketasawufan sudah wujud bersama dengan kedatangan Islam. Kelahiran istilah tasawuf sebagai satu bidang keilmuan tidak cukup. Ianya memerlukan kepada peristilahan-peristilahan yang dapat mendukung keilmuan tersebut. Ianya memerlukan ulama` atau mereka yang pakar di dalam bidang berkenaan yang mengolah  keimuan  berkenaan – pecahan dan bidang-bidang. Mereka tidak lain dari kalangan pendukung tasawuf, pelajar-pelajar,  pengamal-pengamal dan pengkaji-pengkaji.
Penggubalan istilah adalah berkait rapat dengan sifat, ciri dan identiti keilmuan berkenaan. Misalknya  `maudu` ilmu tasawuf  ialah `Allah` sebagai objek dan tumpuan  pembicaraan, di samping ada yang mengatakan maudu` bagi ilmu tasawuf ialah diri insan itu sendiri (diri,  hati dan ruh) (Ibn `Ajibah: Iqaz al-Himam: 5). Ini bererti  fokus pembicaraan ilmu tasawuf terhadap insan dalam hubungannya dengan Allah – Membersih diri – akal, hati dan ruh agar   memungkin diri mendekati Allah.
Dilihat dari aspek yang lain, bahawa hubungan antara manusia dengan Allah, tiada lain sebenarnya, melainkan hubungan hamba (`abd) dengan Allah. Iaitu insan bersifat hamba dan melakukan kepatuhan kepada Allah sebagai yang layak disembah sebagaimana firman Allah yang bermaksud:
``Dan tidaklah aku jadkan jin dan manusia melainkan untuk menyembah akan daku.`` (Al-Dhariyat: 56).
Konsep menyembah Allah secara khusus seperti melalui solat, tetapi ianya bererti lebih luas daripada itu yang merujuk kepada aturan dan hubungan hamba dengan Allah, termasuk  tasawuf. Bahkan ibadat seperti solat dan ibadat-ibadat yang lain adalah merupakan makanisme bag i mematuhi, membersih diri dalam mendekati Allah.
Istilah abd, ibadat, abid, ma`bud, ubbad dan pecahan-pecahan yang lain daripadanya sebenarnya telah wujud seawal Islam di dalam Al-Qur`an mendahului dari kewujudan istilah tasawuf.  Di dalam hubungan Insan dengan Allah ada konsep  perhubungan kehambaan melahirkan istilah yang lebih khusus yang lebih bersifat kerohanian, tasawuf yang juga bersifat kehambaan lahir istilah yang identik dengan tasawuf, iaitu istilah `Ubudiyyah`  Hubungan kehambaan – insan` dengan Allah  yang meletakkan insan pada tahap hamba dan Allah Pencipta` yang kena sembah `Ma`bud`.  Dalam kata lain bagi menggambarkan hubungan, kewajipan dan kepatuhan didukung oleh istilah `Ubudiyyah`. Konsep ubudiyyah bererti keubudiyyah hamba insan  kepada Allah contoh sebagaimana di dalam kandungan Surah al-Fatihah:
1)       Pengakuan ketuhanan yang Maha Esa
2)      Pengakuan bahawa Dialah Pencipta bagi segala
3)      Dia adalah bersifat Rahman dan Rahim kepada hamba
4)      Dialah yang selayaknya disembah
5)      Kepadanya dituju segala permohonan

Konsep ubudiyyah secara khusus menjadi terminologi tasawuf  yang menjadi mekanisme ibadat dan peningkatan kerohanian hamba yang bersih di dalam menuju kepada Allah.
Profesor Emiratus Dr. Muhammad  Kamal Hassan yang pernah mengkaji  konsep `Ubudiyyah kesufiyan berdasarkan karangan Abdul Wahab al-Sha`rani (m. 973H./1493M.) berjudul Al-Anwar al-Qudsiyyah fi Ma`1rifat Qawa`id al-Sufiyyah  mencatat tentang istilah `Ubudiyyah, bahawa:
``The term `Ubudiyyah in a general sense denotes slavery,, bondage, servitude the state or condition of a slave, worship, adoration, devotion, and obidience  with  humality  or submissiveness. In Sufism the term `ubudiyyah refers to the state of absolute servitude of man in relation to the Lord of the universe.`` (Kamal  Hassan, The Sufi Concept of `Ubudiyyah, 1982: 1).
Sebenarnya dalam hubungan `abid  (hamba) dengan Ma`bud (Allah) berlaku pengolahan dari segi doktrin, prinsip dan konsep keilmuan tasawuf, juga hubungan insan sesama insan dan juga alam dan bagaimana pandangan dan seharusnya berinteraksi memperkembangkan keilmuan tasawuf dan berlakunya perkembangan dan pertambahan istilah-istilah yang digunakan yang mempunyai ciri dan tanggapan kesufian.
Misalnya di dalam hubungan abid dan Ma`bud banyak mengambil istilah-istilah yang ada di dalam Al-Qur`an menurut kesesuaian dengan kontekks dan persoalan. Misalnya bagi hubungan yang melihat kekuasaan dan keagungan Allah digunakan istilah sepert Dia al-Qayyum, Al-Qadir, Al-Khaliq. Bagi melihat hubungan ancaman terhadap abid yang tidak patuh kepada Allah digunakan istilah misalnya Al-Muntaqim, Al-Jabbar, Al-Mutakabbir dan bagi menunjukkan hubungan kemesraan digunakan istilah seperti  Al-Rahman, Al-Rahim, Al-`Aziz dan sebagainya.
Di dalam konteks pembaikan diri dan jiwa dalam hubungan dengan sesama insan  digunakan istilah-istilah yang sudah ada atau istilah-istilah yang  diwujudkan menurut kesesuaian seperti nafsu ammarah, lawwamah, mulhamah, mutmainnah, radiah, mardhiyah, sabar, tenang,  reda, taubat, syukur dan berbagai-bagai lagi. Dalam hubungan dengan sesama insan seperti dengki, khianat, pemarah, baik sangka, tolong menolong, gotong royong dan sebagainya.
Kesufian juga mempunyai hubungan yang bersifat alamiah yang seharusnya bersifat prihatin dan sukakan kebersihan, benci kepada kekotoran,  menjaga hidupan supaya tidak teraniaya dan tidak pupus  dan sebagainya.
Sebagai kesimpulan, bahawa perkembangan sesuatu bidang ilmu akan menyebabkan lahirnya istilah-istilah yang berkaitan dengan bidang berkenaan seperti bidang tasawuf umpamnya. Dengan kelahiran dan pertambahan istilah-istilah tasawuf memperkayakan bidang berkenaan. Ciri  bahasa tertentu seperti bidang tasawuf lebih membawa persoalan dan istilah yang lebih bersifat keagamaan, kerohanian dan estetik. Pertambahan istilah-istilah ketasawufan memperkayakan bidang berkenaan.

Sekian.


No comments:

Post a Comment