BBB, 04 Zulkaedah 1437 = 07 Ogos 2016 (Ahad):
Al-Imam Ahmad bin Hanbal adalah lebih
terkenal sebagai salah satu Imam Madhhab empat, tetapi selain dari Kitab Sunan Hadithnya, beliau
telah menyusun Kitab al-Zuhd dan Kitab al-Wara`, maka dengan demikian beliau
dilihat sebagai antara pengasas keilmuan tasawuf pada peringkat awal bersama
`Abdullah al-Mubarak dengan kitab al-Zuhd wa al-Raqa`iq.
Dengan kedua kitab ini memperlihatkan
bahawa keilmuan tasawuf, walaupun istilah tasawuf belum lahir lagi pada
peringkat awal atau belum popular digunakan, tetapi dengan pembicaraan
persoalan zuhud dan wara`, al-Imam Ahmad bin Hanbal telah dengan secara sedar
dan teratur membicarakan pendekatan ilmu tasawuf pada peringkat permulaan.
Aspek al-Zuhd dan al-Wara` merupakan
penyambungan dan pengolahan lanjut yang elemen-elemen berkenaan terdapat di
dalam Al-Qur`an dan Al-Hadith. Ini membuktikan tasawuf sebenarnya merupakan
elemen yang dari awal wujud di dalam Islam dan merupakan part and parcel di dalam
Islam itu sendiri.
Dengan bukti in menafikan usaha-uasaha pihak
yang mau mengaitkan tasawuf Islam adalah dari unsur luar dan bukannya berasal
dari dalam Islam. Apa yang telah dibicarakan jelas ianya bersumber dari dalam
Islam itu sendiri. Ianya bidang yang berkait dengan nilai dalaman, kerohanian
dan nilai luaran yang mencirikan elemen keakhlakan Islam.
Dengan dua kitab ketasawufan yang
dikemukakan oleh al-Imam Ahmad bin Hanbal, beliau menampilkan dua pendekatan
pembicaraan.
Pertama – di dalam Kitab al-Zuhd, dengan membicarakan tokoh-tokoh – termasuk
rasul-rasul, nabi-nabi,
khalifah-khalifah, sahabat-sahabat, tabi`in dan para zuhhad. Pendapat-pendapat
mereka dicatat tentang aspek-aspek yang berhubung dengan kezuhudan.
Manakala Kitab al-Wara` mengambil
pendekatan membicarakan persoalan-persoalan tasawuf dan yang paling utama ialah
tentang wara` itu sendiri, juga
persoalan pekerjaan, seperti perniagaan, jual beli, soal halal dan haram, perkara-perkara
yang memabukkan, baik buruk, soal riba
dan lain-lain. Dalam bidang wara` ini dibicarakan tentang adab, sabar dan
tawadhu`, menyuruh membuat baik dan melarang perkara jahat.
Di bawah persoalan-persoalan dikemukakan
Hadith-Hadith Nabi, pendapat para sahabat, tabi`in dan para zuhhad.
Kedua-dua kitab yang disebutkan mengambil
pendekatan riwayat, iaitu gaya Hadith, iaitu pendapat-pendapat yang berkenaan
soal-soalan yang dibicarakan ditampilkan berdasarkan Hadith-Hadit Nabi dan
gaya-gaya Hadith. Gaya ini mengukuhkan pendapat, kerana sumber pembicaraan
bukan sahaja datang dari tokoh-tokoh yang berwibawa, tetapi pendapat mereka
dilihat dibuktikan kebenaran dengan wujudnya para rawi yang mengukuhkan
pendapat yang berkenaan. Gaya Hadith merupakan ciri persuratan Islam yang asli
di dalam Islam dan berkembang serta diperkukuhkan
secara ilmu dan menjadi bahan dan sumber keilmuan Islam yang tiada sepertinya di dalam penulisan yang di luar
dari Islam.
Membicarakan asal usul dan persoalan
tasawuf Islam, ianya dapat dikaitkan dengan satu dimensi yang lain, iaitu
pengukuhan tradisi ilmu keislaman dan mengukuhkan aliran Sunni di dalam Islam.
Dilihat kepada Al-Imam Ahmad bin Hanbal,
beliau mengukuhkan pendekatan Sunni dari segi fiqh sebagai Imam Madhhab Empat
dari segi fiqh, tetapi sebagaimana telah
dibicarakan, bahawa Al-Imam Ahmad juga mengukuhkan pendekatan Sunni dari segi
tasawuf sebagaimana terbukti dengan kandungan di dalam Kitab al-Zuhd dan Kitab
al-Wara`, bukan setakat itu sahaja, pada akhir Kitab al-Wara` terdapat bahagian
akhir berjudul `Aqidah al-Imam al-Jalil yang merujuk kepada pendekatan akidah
al-Imam terutama Al-Imam Ahmad bin al-Hanbal dan pengikut-pengikutnya
bermaksud:
``Ini penyebutan keterangan i`tiqad Ahlu
al-Sunnah wa al-Jama`ah di atas madhhab fuqaha`
millah bagi Abu Hanifah al-Nu`man bin Thabit al-Kufi dan Abu Yusuf
Ya`qub bin Ibrahim al-Hanbali dan Abu `Abdullah
Muhammad bin Hasan al-Shaybani r.`anhum ajma`in dan apa yang dii`tiqad
mereka itu tentang usuluddin dan keagamaan mereka tentang Tuhan Rabb
al-`Alamin.``
Apa
yang dapat difaham bahawa Al-Imam Ahmad bin Hanbal dan juga Al-Imam Abu Hanifah
dari segi usuluddin bahawa mereka adalah berpegang dengan pendekatan Salaf
sebagaimana contoh pendekatan yang dibuat oleh Abu Ja`afar Ahmad bin Muhammad
al-Tahawi. Pendekatan al-Tahawi ini telah kita bicarakan sebelum ini dengan
panjang lebar. Pendekatan ini selaras dengan pendekatan bagi Al-Imam Ahmad bin
Hanbal dan melengkapkan pendekatan Sunni yang didekatinya sama ada di dalam
bidang fiqh, tasawuf dan akidah. Lanjutan dari pendekatan ini dapat dilihat dalam
pendekatan yang dibuat seperti oleh Ibn Taymiah dan Ibn al-Qayyim.
Sebagaimana Al-Imam Ahmad bin Hanbal, maka demikian juga
dapat dilihat dari segi melengkapkan pendekatan dari segi madhhab fiqh al-Imam
Shafie salah satu pendekatan Madhhab Empat. Al-Imam Shafie terkenal dengan
pendekatan madhhab fiqhiyyahnya dan didukung oleh pengikut-pengikutnya.
Dukungan ini bukan setakat di dalam bidang fiqh sahaja, tetapi dari segi
tasawuf didukung para peringkat lanjutan seperti oleh al-Muhasibi dan mantap
dengan pendekatan tasawuf Sunni dari madhhab Imam Shafie ialah dengan
pendekatan tasawuf oleh Imam Al-Ghazali dengan berbagai-bagai kitab tasawuf yang dihasilkan terutama kitab
terkenalnya Ihya` `Ulum al-Din. Bukan
setakat bidang fiqh dan tasawuf, tetapi juga dilengkap dengan pendekatan akidah
yang di dukung oleh Al-Imam Ash`ari dan pengikut-pengikutnya.
Sebagai kesan lanjutan, komponen pendekatan
sebagai pakej lengkap bagi madhhab-madhhab berkenaan diikuti secara lengkap
oleh pendukung-pendukung mereka. Sebagai contoh pendekatan bagi Madhhab Sunni
Al-Imam Ahmad bin Hanbal menjadi ikutan bagi sebahagian negara-negara Islam di
Timur Tengah termasuk Tanah Hijaz dan beberapa negara di Timur Tengah dan Benua
Kecil India, manakala pendukung pakej lengkap bagi Madhhab Shafie dari segi
fiqh, tasawuf dan akidah didukung oleh umat Islam di Alam Melayu, di samping
sebahagian negara di Asia Barat seperti Mesir dan sebagainya.Pakej-pakej
lengkap yang diikuti mengharmonikan dari segi pegangan dan amalan dan tidak
mencelarukan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment