BBB,
24 Zulkaedah 1437 = 27 Ogos 2016
(Sabtu):
Ada
dua lapisan makna dari istilah-istilah di atas.
Pertama konsep kaya, syukur dan faqr dengan
maksud biasa.
Kaya bererti mendapat kemudahan dan rezeki dari
Allah yang menjadikan seseorang itu berada di dalam kelawasan, maka sebagai
seorang yang berada di dalam situasi
keislaman, memberi peluang baginya bersyukur dengan menunaikan hak-hak Allah
seperti berzakat sebagai satu kewajipan dan lebih daripada itu ia dapat
melakukan kerja-kerja sunat dengan banyak membuat kebajikan yang memberi erti
dia bersyukur. Dalam erti kata lain kekayaan yang dicapai secara halal memberi
peluang baginya mendapat pahala. Sebaliknya faqr bererti faqir dan berada di
dalam kesempitan adalah ujian daripada Allah dan yang faqir berkenaan yang
hidup di dalam situasi Islam juga
mendapat ganjaran di atas kesabarannya.
Maksud bagi istilah-istilah di atas
diterima, tetapi pembicaraan lebih kepada makna rohani. Dalam maksud. Kaya
adalah kekayaan rohani, begitu juga dengan konsep syukur dan faqr
Al-Muhasibi menerangkan maksud kaya dalam
bentuk soalan.
`Apa itu ghina (kaya) ? Katanya,
Kaya ialah membesarkan yang memberi nikmah
(Allah). Ertinya ada nikmat-nikmat yang diterima baik bersifat material dan
kejiwaan. Katanya lagi, ``Dengan kaya melahirkan kesyukuran dan dengan
berterusan syukur mengurangkan rasa kekurangan. Siapa yang membesarkan nikmat
Tuhan membangkitkan rasa cinta terhadapNya dan berterusan pula syukurnya.
Kata Al-Muhasibi yang membangkitkan rasa
syukur oleh kerana kesedaran nikmat seperti harta benda yang diterima adalah fana dan
mungkin hilang dan dengan kesedaran ini, disamping syukur, kiranya berlaku
kehilangan harta benda, maka dengan kesedaran dan keinsafan seperti itu tidak
menjadikannya orang yang keciwa dan putus asa. Dengan demikian terpupuk dalam
jiwa, bahawa mencari harta tidak menjadikan diri hamba kepada harta. Kerana
kata hukama` sebagaimana dipetik oleh Al-Muhasibi, ``Tidak mementingkan oleh
orang yang berakal melainkan Allah.`` Dia yang memberi, Dia yang menariknya dan
mungkin akan memberi kembali.``
Menurut Al-Muhasibi syukur ada jenis-jenis.
Antaranya syukur yang wajib, iaitu dengan menunaikan hak Ta`ala seperti
mengeluarkan zakat dan syukur yang sunat, iaitu mengiringi sebarang kejayaan
dan kurniaan yang diterima dari kurniaan Allah dilakukan kebajikan dan dia
bersyukur dengan `Al-hamdulillah`.
Yang membangkitkan seseorang itu bersyukur
kata Al-Muhasibi, kerana pengalaman yang lepas daripada menghadapi kesukaran,
maka dengan kesenangan yang didapati menimbulkan penghargaan terhadap kurniaan
dan mengharapkan agar terus mendapat keurniaan yang membolehkannya terus
bersyukur dan berwaspada daripada ditarik kembali kurniaan yang diterima.
Dalam erti kata yang lain bagi yang
mempunyai keinsafan kerohanian, perlu meletakkan diri pada pertimbangan yang
wajar di dalam mengharapkan kurnia, hendaklah bersyukur dan sedar pula kurniaan
bukan semestinya berterusan, mungkin ditarik kembali, sebab itu dalam bersyukur
ada kesedaran, mengharapkan berterusan kurnia, tetapi jika ditarik, maka adalah
di dalam kesedaran. Dengan harap dan ikhtiar kurniaan akan diberi kembali.
Adapun makna faqr, dari segi makna lahir,
ialah sangat memerlukan dengan merasa diri kekurangan. Konsep faqr kepada harta
benda atau sumber rezeki itu dipindahkan
kepada maksud yang bersifat kerohanian.
Jadi faqr ada dua makna. Makna lahiri,
iaitu memerlukan kepada keperluan-keperluan terutama yang bersifat material bagi
mengatasi kesempitan yang dihadapi. Di dalam hal ini tuntutan mencari nafkah
dan keperluan sesuatu yang wajib bagi mengatasi keperluan.
Namun dari segi maknawi faqr dari segi
kerohanian, tidak semestinya ia faqir dari segi material. Dia mungkin cukup dari
segi keperluan dan mungkin seorang yang kaya yang menunaikan kewajipan yang
fardhu dan banyak membuat kebajikan, tetapi dilihatnya ianya sebagai amanah
yang diberi Tuhan terhadapnya dan dia menjalankan hak-hak, keperluan dan
kewajaran dan bukan sebagai beban baginya.
Sebaliknya disamping kurniaan yang diterima
disedarinya bahawa dia tetap berada pada kategori faqr kepada Allah. Yakni,
walaupun dari segi lahir seorang itu relatifnya kaya, mewah dan berada di dalam
kesenangan, tetapi kaya berkenaan bersifat nisbi dan kecil dengan nisbah
faqrnya manusia dan segala kejadian kepada Allah. Manusia walaupun relatifnya
kaya, tetapi faqr kepada Allah misalnya keperluan kepada penjagaan Allah dari segi udara, cahaya,
minuman dan makanan. Bagi negara faqr kepada Allah agar
tidak dilanda bencana, musnah segala bahan tanaman dan tiada makanan.
Manusia amat faqr kepada Allah dari segi keselamatan seperti selamat dari
bencana gempa, banjir dan berbagai-bagai kerosakan. Manusia memerlukan
penjagaan dari Allah tentang berterusannya pergerakan cakerawala. Sesungguhnya
tanpa pemeliharaan Allah segalanya musnah.
Al-Muhasibi yang membicarakan tentang
konsep kaya, syukur dan faqr, adalah terus membicarakan mengenai akhlak dan
sikap manusia di dalam kehidupan. Di dalam mengejar kepentingan, manusia
diperingatkan, kekayaan yang sebenarnya ialah kekayaan pada Allah. Kekayaan
pada manusia adalah nisbi dia boleh datang dan pergi. Kekayaan nisbi kepada
manusia bagi memberi ruang kepadanya untuk bersyukur dan berpeluang menunaikan
kewajipan dan bagi membuat kebajikan. Manusia juga tidak terlepas dari ujian
kesusahan dengan menghadapi situasi faqr, faqr memberi kesedaran pada manusia,
betapa lemah dan terhadnya kemampuan manusia. Dengan mendepani situasi faqr,
menyedarkan manusia dengan kelemahan yang ada. Dari satu segi dengan faqr
menyedarkan manusia betapa ianya amat berharap kepada Allah. Konsep faqr kepada
material yang nisbi ini ditransformkan
kepada faqr kepada Allah yang haqiqi. Faqr dan kaya bagai coin dua permukaan
yang kedua-duanya mendukung nilai. Dengan permukaan faqr berpeluang bersabar dan mendapat pahala, manakala
permukaan kaya berpeluang bersyukur dan mendapat pahala.
Konsepsi faqr tidak bererti ketiadaan
material, lantaran yang kaya material pada hakikat tetap faqr kepada Allah,
sebagaimana yang kaya tidak bererti
dia kaya, kerana yang kaya
sebenarnya ialah Allah. Daripada pengalaman faqr dan kaya, manusia seharusnya
mempunyai kekayaan jiwa yang dapat menilai dan bertindak secara saksama.
Sekian.
No comments:
Post a Comment