August 29, 2016

GANGGUAN KEROHANIAN: MENGATASINYA


BBB, 25 Zulkaedah 1437 = 28 Ogos 2016 (Ahad):
Beberapa gangguan  yang menghalang konsentrasi kerohanian, khususnya tentang kezuhudan disenarai dan dibicarakan oleh Al-Muhasibi, iaitu:
1)      Waswas dan cara menolaknya
2)      Takabbur, hasad dan penipuan
3)      Riya` dan waswas
4)      Tekanan hawa nafsu
5)      Syaitan
Apa yang disenaraikan di atas adalah gangguan-gangguan yang  teruk terhadap kerohanian bahkan kehidupan.
 Waswas
Bermula dari bisikan dan rasa tidak pasti tentang ketepatan amalan, khususnya niat, hingga diulang-ulang menyebabkan waswas, dan jika terus diikut waswas meningkat kepada `penyaklit kejiwaan` Ayat Al-Qur`an ada menyebut bermaksud:
``Dari kejahatan pembisik, penghasut yang timbul tenggelam.  Yang melemparkan bisikan  dan hasutan ke dalam  hati  manusia. Iaitu pembisik dan penghasut dari kalangan jin dan manusia (Al-Nas, 4 -6).
Waswas adalah dari permainan syaitan  yang bagi menghindarinya ialah berpaling darinya dan jangan mendengar dan melayan kepada bisikan syaitan berkenaan.                                                                                                                              tidak tenteram dan dirasuk oleh jin dan syaitan dihalau  dengan isti`azah dan basmalah  (Surah al-Nas) dan terus bertindak dan yakin dengan amalan dan jangan melayan sebarang waswas jin dan syaitan.
Waswas dengan pegangan  jika dilayan dan dibiarkan boleh berkembang oleh  hawa nafsu  dan syaitan kepada meringan dan meninggalkan ketaatan kepada berjinak-jinak dengan ma`siat, kepada terlibat dengan shubahat, kepada meninggalkan yang sunat dan kemudian meninggalkan yang fardhu dan akhirnya menggugat keimanan.
 Takabbur, hasad dan penipuan dan lain-lain
Dua perkara di atas telah dibicarakan oleh Al-Muhasibi di dalam kitabnya Al-Ri`ayat Li Huquq Allah. Sebagai tambahan, kata Al-Muhasibi yang menyebabkan timbulnya takabbur oleh kerana yang takabbur melupai diri  dan siapa yang lebih tinggi daripadanya. Yang takabbur ialah yang terlindung oleh  nikmat dan kelalaian yang nisbi terhadap yang hakiki. Dia mengajak manusia mengkaguminya sebagaimana dia mengkagumi terhadap dirinya. Takabbur akan surut padam bila berlaku kebinasaan, tatkala mana tiada di dalam dirinya sebaranmg persediaan seperti waspada, tawadhu` dan tidak menerima putaran hidup yang meletakkan dirinya pada tahap kehinaan, bukan saja dirasai dirinya tetapi dipandang masyarakat kelilingnya yang sepatutnya mendapat simpati dan pembelaan. Keadaan yang sama kepada yang hasad apabila dia tidak menyenangi yang dihasad, tiba dia dibalas dengan sifat hasadnya, bahawa dia sendiri menerima bala dan kehinaan. Manakala penipu adal;ah lebih kedepan dari hasad, kerana dia sanggup bertindak melakukan penipuan. Orang yang menipu tidak selamat. Dengan penipuan sebenarnya ia memerangkap dirinya yang penipuannya terbungkar dan mendepani penghinaan, lebih-lebih lagi jika dia terbawa kepada pengadilan di dunia. Dan pasti pengadilanm lebih pedih akan dihadapi di akhirat. Dari aliran kekejian yang sama, ialah riya`  yang juga telah dibicarakan, sebagaimana orang takabbur, demikianlah dengan yang riya` dia akan mendepani kehinaan dan keinsafan apabila berdepan dengan kegagalan dan kekeciwaan yang menelanjangkan kepalsuan riya` dan menyedari diri tak lebih dari orang lain, bahkan meletakkan diri pada tahap yang lebih rendah akibat dari  lagak riya`
Cara melindungi diri dari takabbur, hasad, penipuan dan riya`   memerlukan pendidikan akhlak dan kerohanian, iaitu tidak lain dari mengukuh pegangan akidah, mematuhi perintah Allah  -   mematuhi segala suruhan dan menjauhi segala larangan. Mendidik diri dengan sifat insaf, tawaduk, ikhlas serta memupuk diri dengan rasa kasihan belas , berbaur dalam jiwa  rasa keihsanan dan keinsanan, mescaya jika ada di dalam diri  benih-benih didikan sedemikian, maka dari awal tidak tumbuh dalam diri  sifat takabbur, hasad, penipuan dan riya`.
Al-Muhasibi mengambil pinjaman dari bandingan  ayat Al-Qur`an (Al-Baqarah: 261), bahawa segala amalan yang baik digandakan Allah balasan tiap satu kepada  seratus hingga tujuh ratus dan lebih dari itu, sebaliknya bagi yang melakukan kejahatan seperti takabbur, hasad, penipuan dan riya` sebagai biji benih yang hampa di atas tanah gersang yang tidak menumbuhkan sebarang tumbuhan, bahkan menerima kesiksaan dari kekejian yang dilaku, bukan saja diakhirat, bahkan akibat kesemuanya diterima di dunia lagi.
Lantas bagaimana mengatasi gangguan kerohanian di atas  ? Tidak  lain dari melazimkan diri dengan sifat ta`abbudiyyah dan beribadat.  Di bawah pecahan  Al-Masa`il fi al-Zuhd`,    Al-Muhasibi  ada membicarakan tentang afdhal ibadat dengan katanya,``
``Afdhal ibadat ialah mengetahui keagungan Allah Subhanahu wa Ta`ala dan mengagungkanNya.``
Konsep mengetahui dapat difahami ialah dengan mempelajari keilmuan-keilmuan yang mendekat diri kita dan mengenali Allah Ta`ala. Pengajian melibatkan keilmuan  yang berhubung dengan Al-Qur`an dan Al-Hadith, keilmuan akidah, syari`at, akhlak (tasawuf), ilmu yang berhubung kejadian alam, bahkan apa jua ilmu yang baik secara langsung dan tidak langsung membawa kita mengenali hakikat ciptaan dan pengakuan dan pengagungan kita terhadap Allah Subhanahu wa Ta`ala. Pengajian pula seharusnya berterusan dan semakin mendalam pengajian, maka semakin kita mengenali Tuhan.
Sudah tentulah dengan pengajian membawa diri patuh kepada perntah Allah dan menjauhi segala laranganNya. Bukankah dengan solat mencegah diri dari melakukan kekejian dan munkar ? (Al-`Ankabut: 45), Bukankah puasa meningkatkan ketaqwaan ? (Al-Baqarah: 183), Bukankah dengan berzakat menggandakan pahala dan dapatan ? Al-Nisa`: 162). Demikianlah dengan berbagai-bagai ibadat  yang  lain.
Sesungguhnya jika seseorang Islam itu mendalami keilmuan Islam, mengamal dengan apa yang disuruh dan menbjauh diri dari segala larangan, dirinya bersifat ta`abbudiyyah, maka sesungguhnya  dirinya tidak menjadi orang yang ingkar, menentang perintah Tuhan, melakukan kejahatan dan berbagai-bagai lagi.
Pendidikan memupuk ta`abbudiyyah dan diperkukuh dengan ibadah makin mendekati diri dengan Allah.

Sekian.

No comments:

Post a Comment