August 31, 2016

PERSOALAN NAFSU DIBINCANGKAN OLEH AL-MUHASIBI: PECAHAN


BBB, 27 Zulkaedah 1437 =   30 Ogos 2016 (Selasa):
Persoalan nafsu adalah persoalan yang popular di dalam pembicaraan tasawuf. Pada tanggapan umum menyebut `Nafsu` ia adalah elemen  negatif yang wujud pada diri manusia. Dia adalah kekejian yang meruntun kepada kejahatan  dan meruntuh manusia di lembah kehinaan. Nasfu  selain dari yang jahat ada yang baik.
Merujuk kepada nafsu yang meruntun kepada kejahatan ini Allah berfirman bermaksud:
``Sesungguhnya  nafsu beresifat ammarah itu meruntun kepada kejahatan.`` (Yusuf: 53).
Al-Muhasibi  membicarakan tentang nafsu dengan melihatnya sebagai elemen yang jahat yang tabiatnya mendorong kepada kejahatan dan merosakkan. Kata Al-Muhasibi  lagi, nafsu adalah sesuatu yang keduniaan dan keji. Tabiatnya adalah merwafakat dengan  tuntutan keduniaan.
Dari segi nafsu ammarah yang cenderung kepada kejahatan ini, maka sekata kalangan sufi seperti Ibn Rajab al-Hanbali, Ibn al-Qayyim dan Abu Hamid al-Ghazali yang pendapat mereka dirumus dalam kitab Tazkiat al-Nufus dihimpun oleh Dr. Ahmad Farid dan ditahqiq oleh Majid bin Abi al-Layl, bahawa tanpa ikhtilaf mereka berpendapat elemen  nafsu ammarah  ialah penghalang bagi penyampaian  ahli salik kepada Allah. Mereka juga berpendapat, tidak mampu mendekati dan tidak sampai perjalanan kerohanian kepadaNya, melainkan selepas mematikan dari diri kekejian ammarah, meninggalkannya, bahkan menentangnya, lantaran kejayaan adalah kejayaan membasmikan dari diri nafsu itu. Kekalahan bererti tunduk kepada nafsu dan berada di dalam kecelakaan.
Allah berfirman bermaksud:
``Maka adapun orang yang melampau (tagha), serta ia mengutamakan kehidupan dunia semata-mata, maka sesungguhnya neraka jahimlah tempat kediamannya.
Adapun orang yang takutkan keadaan semasa ia berdiri di mahkamah Tuhannya (untuk dihisab), serta ia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu, maka sesungguhnya syurgalah tempat kediamannya.`` (Al-Nazi`at, 37 -41).
Allah menyebut tentang nafsu ammarah yang keji, tetapi juga tentang nafsu-nafsu yang lain, iaitu `Nafsu  al-Lawwamah.` Firman Allah bermaksud:
``Aku bersumpah dengan  hari kiamat. Dan aku bersumpah dengan  `al-nafsu al-lawwamah`. (Al-Qiyamah: 1 -2).
Menurut catatan kaki di dalam Tafsir Al-Rahman, bahawa al-nafsu al-lawwamah, ya`ni jiwa yang sentiasa menegur dan menempelak dirinya sendiri semasa ia berbuat baik atau berbuat jahat. Ketika berbuat baik, ia menempelak dirinya mengapa tidak membuatnya lebih baik, sebaliknya kalau ia melakukan kejahatan lebih-lebih lagi tempelak dan sesalnya.
Ada yang berpendapat nafsu lawwamah, ialah nafsu yang tidak tetap di atas satu hal. Dia bersifat berbolak balik dan banyak perubahan, kadang dia sedar dengan perlakuan dan kadang lupa dan lalai, menerima dan menolak, mesra dan duka,, gembira dan duka, redha dan marah, taat dan tentang.
Kata Hasan Basari, Nafsu lawwamah ialah yang sering mencela diri dan timbul celaan, mengapa buat begitu dan begini. Pokoknya ada kesedaran diri antara cenderung untuk berbuat baik, tapi tidak sempurna menyebabkan timbul celaan terhadap diri.
Nafsu yang lebih mantap ialah tahap nafsu yang dinamakan Nafsu Mutma`innah, iaitu nafsu yang tenang kepada Allah dan bertambah tenang dengan dhikir mengingatiNya  dan rindu menemuiNya. Ini diisyarat dengan firman Allah bermaksud:
``Wahai orang-orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang, tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan berpuashati lagi diredhai serta masuklah dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia. Dan masuklah dalam syurgaku.`` (Al-Fajr: 27-30).
Walau bagaimana ada yang menambahkan kategori nafsu sehingga enam peringkat, iaitu:
1)       Nafsu Ammarah nafsu paling rendah yang bersifat iblis dan syaitan sebagaimana telah dibicarakan.
2)      Nafsu Mulhamah: Nafsu yang sedar dengan kejahatan dan kebaikan, tetapi dia tetap di bawah pengaruh  kejahatan
3)      Nafsu Lawwamah: Sebagaimana telah dibicarakan.
4)      Nafsu Mutmainnah: Sebagaimana telah dibicarakan
5)      Nafsu Mutma`innah Radhiaah yang tingkat ketenangan lebih tinggi dari mutma`innah
6)      Nafsu Radhiah Mardhiah, peringkat tertinggi.
Walau bagaimana Al-Muhasibi tidak membicarakan pecahan-pecahan nafsu di atas. Yang dibincangkan ialah sifat nafsu, kekejian daripadanya dan bagaimana menghendarinya. Walau bagaimana usaha permulaan daripadanya yang menjadikan nafsu sebagai sebahagian daripada pendekatan tasawuf membuka jalan bagi yang datang lebih  kemudian  mengolah dan memperluaskan  persoalan nafsu dalam  bidang tasawuf.
Pembicaraan tentang nafsu dan pemecahan-pemecahan kepada beberapa kategori dan mengenal pasti pada setiap kategori itu memberi peluang bagi kita mengenalpasti sifat-sifat nafsu di dalam kategori-kategori tersebut , walaupun sebenarnya batas yang memisahkan antara kategori-kategori tidak ada `clear cut`  antara satu sama lain. Namun ianya menjadi panduan berguna  bagi  peribadi,  bagi penerangan dalam pengajaran, penilaian  keakhlakan dan tindakan-tindakan yang diambil berhubung dengan  perundangan.
Dengan pembicaraan aspek `nafsu`, maka  Al-Muhasibi sebenarnya mengukuhkan pendekatan tasawufnya yang berasaskan akidah dan syariat (Al-Ri`yah Li Huquq Allah) – termasuk akhlak. Pembicaraan tentang `nafsu`  ini memperluas  dan mengukuhkan lagi pendekatan tasawufnya yang berasaskan  akhlak yang juga mengukuhkan pendekatan Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah dari segi tasawuf.

Sekian.

No comments:

Post a Comment