BBB, 17 Zulkaedah 1437 = 20 Ogos
2016 (Sabtu):
Telah diperkatakan, bahawa Al-Muhasibi
lebih banyak memperkatakan sifat muhlikat di dalam pendekatan Kitab Al-Ri`ayat
Li Huquq Allah – karangannya. Salah sati sifat negatif yang dibicarakan ialah
sifat Takabbur. Sebenarnya riya`, `ujub,
ghurur dan takabbur hampir berdekatan
dari segi sifat dan cirinya. Semuanya
bertolak dari sifat diri yang boleh diletak di bawah kata `Sombong.
Riya` kesombongan diri seseorang dengan
merasa lebih dan rasa mengatasi orang lain yang tidak menyamainya, lantas dia
merasa megah dan sombong dan manifestasi dari dirinya lahir sikap memandang
rendah orang lain, tidak suka bergaul dengan mereka kerana menganggap mereka lemah dan
rendah dari dirinya yang dianggap lebih. Orang seumpama ini suka dipuji,
walaupun pada hakikatnya tiada sangat
kelebihan yang dianggap ada padanya.
Manakala `Ujub juga terletak di bawah
kategori sombong. Orang seumpama ini merasa kagum terhadap kemampuan diri,
sukar untuk bergaul. Apa lagi untuk menolong orang lain, suka memuji diri dan
merendah orang lain. Amat menjaga status di dalam kehidupan sosial. Kesombongan
sedemikian dapat mencetuskan persengkitaan.
Manakala ghurur, ialah orang tertipu daya
dengan menyangka diri lebih dan menganggap dirinya tidak perlu kepada orang
lain oleh kerana misalknya kesenangan yang dinikmati. Dia tidak menyedari
bahawa harta kekayaan misalnya tidak menjamin keselamatannya. Kesedaran mungkin
berlaku dengan berlakunya kematian, kemalangan atau jatuh susah yang mungkan
menyedarkan diri, bahawa hidup
bersendiri tidak menjamin kedudukan. Manusia perlu berhubungan dan
membantu antara satu sama lain.
Satu istilah yang hampir dan berdekatan
makna dengan sifat-sifat di atas, ialah
`Takabbur` yang dari segi bahasanya ialah membesar diri dan merendah-rendahkan
orang lain. Orang yang takabbur biasanya orang yang cuba menyembunyikan
kelemahan diri berdepan dengan khalayak dan masyarakat.
Sifat takabbur adalah satu sifat keji yang
ditempelak oleh Allah dan Rasul serta masyarakat.
Antara ayat-ayat Al-Qur`an bermaksud:
``Sebenarnya, bahawa Allah mengetahui akan apa yang nmereka sembunyikan dan apa
yang mereka zahirkan. Sesungguhnya Ia tidak suka kepada orang-orang yang
sombong takabbur.`` (Al-Nahl: 23). Orang
yang takabbur bercakap besar, sedangkan sering yang bersifat takabbur tidak mampu melaksanakan apa yang
dicakap. Ini bererti yang bersifat takabbur
juga bersifat dusta. Ayat Al-Qur`an bermaksud:
``Dan orang-orang yang mendustakan
ayat-ayat (perintah) Kami dan yang angkuh takabbur daripada mematuhinya.
Merekalah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.`` (Al-A`raf: 36).
Dan orang-orang takabbur ialah orang-orang
menyimpang dari kebenaran seperti firman Allah bermaksud:
``Aku akan memalingkan (hati) orang-orang yang sombong takabbur di
muka bumi dengan tiada alasan
yang benar.`` (Al-A`raf: 146)
Dan Hadith dipetik oleh Al-Muhasibi bahawa,
`Abdullah bin Salam berkata, ``Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda
bermaksud: ``Tidak masuk syurga siapa
yang di dalam hatinya seberat biji zarrah daripada takabbur.``
Takabbur
seperti riya`, `ujub dan ghurur (tertipu daya oleh diri yang hilang
pertimbangan) yang turut dibicarakan
oleh Al-Muhasibi adalah merupakan penyakit-penyakit hati dan rohani, berbanding
dengan riya`. `ujub dan ghurur yang lebih bertapak pada diri individu, maka
takabbur dapat dikatakan lebih serius implikasinya, iaitu pada dirinya, agama
dan kemasyarakatan.
Takabbur pada diri adalah merosakkan diri
dan reputasi diri. Kesan pada diri orang yang takabbur ialah orang yang hilang
pertimbangan rasional, lantaran meletakkan diri pada bukan tempat dan salah.
Orang dapat menilai dirinya melalui proses hubungan dan pergaulan. Orang
seperti ini ialah orang hilang keyakinan dan mau menutup kelemahannya, juga
kurang ilmu hingga dia sanggup mengada dan mengata apa yang tidak benar atau
jika ada fakta benar, tetapi sengaja ditambah dan dibesar-besarkan. Maklumat
dan dakwaan yang disampaikan mungkin pada awalnya ada kebenaran, tetapi selepas
ditokok tambah dan diperbesarkan, maka sebenarnya ia bukan lagi sesuatu yang
benar, tetapi sudah menjadi tidak benar dan dusta. Orang yang dusta akan
kehilangan kepercayaan dari orang sekeliling dan masyarakat dan dia menjadi orang
yang tidak dipercayai.
Orang yang takabbur yang ada di dalam
unsur-unsur dusta, bukan saja tidak dipercayai oleh masyarakat, dia sendiri yang sanggup berdosta, sebenarnya
tidak jujur dan mudah melanggar perinah-perintah
Allah. Takabbur juga berpotensi menjadi benih-benih jenayah, sama ada tindakan
dilakukan oleh si takabbur sendiri, lantaran
mau supaya diri dipandang tinggi, maka penipuan dan pendustaan dilakukadan
takabbur atau dia sendiri menghadapi
tindakan .
Riya`, `ujub, ghurur dan takabbur ialah pancaran dari satu
permukaan dari permulkaan hati yang telah rosak yang mungkin tidak kena dengan
pendidikan yang betul sejak dari kecil. Mendidik diri supaya tidak bersifat
riya`, `ujub, ghurur dan takabbur perlu dilakukan dari peringkat awal
pendidikan – sejak keci, khususnya didikan agama.
Al-Muhasibi di dalam kitabnya Al-Ri`ayah Li
Huquq Allah, dengan penuh sedar dan melihat bahawa aspek-aspek negatif
sedemikian adalah merupakan faktor-faktor yang menghalang diri dari dapat
menjaga hak-hak Allah. Bagaimana hak-hak Allah dapat dijaga, kalau diri tidsak
jujur dengan diri dan masyarakat. Fakta-fakta di atas dengan jelas pendekatan
tasawuf berasaskan akhlak telah dibina pendekatannya sejak Al-Muhasibi yang kelak diperkemaskan , terutama oleh Al-Imam
Al-Ghazali. Pendekatan ini adalah selari dengan misi Rasulullah s.a.w. yang diutuskan
bagi menyempurkan akhlak dan diri Baginda sebaik-baik contoh teladan dari segi keakhlakan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment