August 5, 2016

PERSOALAN ADAB DAN HUKUM


BBB, 01 Zulkaedah 1437 = 04 Ogos 2016 (Khamis):
Membaca selanjutnya dari juz` pertama dari Kitab al-Wara`, antaranya bersifat soalan dan jawapan sebagai fatwa dari al-Imam Ahmad bin Hanbal. Misalnya beliau disoal tentang membina masjid di atas jalan lalu lalang, solat di atas jambatan yang menjadi lalu lalang. Beliau tidak menyetujuinya. Begitu juga membuang hadath di jalan yang dilalui (bab 12-13). Demikian  juga beliau ditanya mengenai penggalian perigi pada jalan yang dilalui, perlu dielak, walaupun tujuan baik, kerana ia menghalang jalan (14-1`7). Begitu juga perlu menjaga adab-adab di masjid. Soalan kadang-kadang agak anih. Misalnya mengambil wudhu` dari air lebihan memandi mayat. Menurut beliau adalah sebagai makruh (juz` 18). Misalnya beliau ditanya, mana lebih baik bersoalat di luar masjid yang menarik dari dalam masjid . Tentulah lebih baik di dalkam masjid lantaran dapat berjamaah langsung dengan imam.
Beliau juga disoal berkenaan memasang bau-bauan dalam masjid:
Aku berkata kepada Abi `Abdillah (bertanya), ``Aku berada di masjid pada bulan Ramadhan, maka dibawa datang kayu gaharu ditempatkan di tempat yang tidak menyenangkan. Imam Ahmad bin Hanbal bertany7a maksud gaharu atau baunya !  Jika tidak menyenangkan hendaklah engkau keluar.  Ini dikuatkan dengan pendapat daripada `Abdullah bin Rashid penjual bauan berkata,
``Aku  datang kepada Khalifah `Umar bin ~abdul `Aziz dengan membawa bauan yang dibuat khas untuk khalifah dari peruntukan harta baitul mal, dia enggan menerima dan menekup hidungnya, lantaran tidak mau mengambil manfaat daripada baunya, lantaran ianya dari harta baitul mal. Maka kataku kepada Abi `Abdillah, ``Bolehkah aku meriwayatkannya daripada engkau. Maka dia mengijazahkannya kepadaku.
Ternyata  apa yang ditampil dari persoalan-persoalan di atas agak kecil yang diriwayatkan oleh perawi-perawinya, walaupun ada wawasan dari segi ke warakan. Walau bagaimana daripadanya terdapat persoalan-persoalan yang besar. Contoh (bab 27)
Apa yang halal dan apa yang diharamkan ke atasnya, bagaimana mempastikan yang halal:
Aku mendengar Aba `Abdullah berkata: ``Aku mendengar Aba Tha`labah al-Khashani berkata, kataku, ``Wahai Rasulullah, khabarkan kepadaku apa yang halal bagiku dan apa yang haram ke atasku, maka Nabi memandang ke atas ku dan membetulkan, maka bersabda Nabi s.a.w. (bermaksud), ``Kebaikan itu ialah apa yang menenangkan diri dan mententeramkan hati, manakala yang dosa sesuatu yang tidak menenangkan diri dan tidak mententeramkan hari, demikian sebagai fatwa yang memfatwa.``.
Daripada Maimun bin Mahran berkata, ``Tidak selamat seorang lelaki tentang halal hingga dia menjadikan antaranya dengan haram dinding daripada halal.
Turut dibicarakan tentang riba (bab 28) yang hukumnya tetap haram
Perlu meninggalkan perkara shubhah untuk mengelak dari terjatuh kepada yang haram, sebagai Hadith riwayat al-Nu`man bin Bashir berkata, ``Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda (bermaksud);
``Sesungguhnya yang halal itui nyata dan yang haram itu nyata, dan antara keduanya perkara-perkara shubhah yang tidak diketahui tentangnya oleh kebanyakan manusia, siapa yang terjatuh ke dalam shubhah dia mengabaikan agama dan kehormatannya, siapa yang terjatuh padanya jatuh ke dalam haram.``
Ditanya Abu `Abdullah tentang shubhah, maka dia berkata kepadaku, ``Engkau mau tau shubhah ? Kataku, Ya, Ia adalah sesuatu yang tidak dikatakan bahawasanya halal dan tidak dikatakan, bahawasanya haram. Maka berkata Abu `Abdullah, ``Ia adalah sesuatu antara halal dan haram.``
Abu `Abdullah Ahmad bin Muhammad bin Hanbal juga  membicarakan tentang adakah perlu patuh pada ibu bapa yang melakukan shubhah. Beliau mengambil hujah dari Hadith Nabi di atas yang perlu dielak dari perkara shubhah agar tidak terjatuh ke dalam dosa (bab 30). Daripadanya Al-Imam Ahmad bin Hanbal membicarakan tentang wara` iaitu bukan sahaja mengelak dari perkara shubhah, tetapi mempastikan sesuatu itu bersih (bab 31).
Selain dari membicarakan tentang adab dan hukum pada akhir juz` pertama ini al-Imam Ahmad bin Hanbal memberi ruang yang panjang tentang (sabar – Bab 48). 12 halaman. Persoalan sabar dari segi tasawuf adalah penting yang termasuk di bawah sifat-sifat sufi, khususnya bila membicarakan persoalan maqam dan hal kelak.
Antara persoalan sabar yang dibicarakan:
Dan Abu `Abdullah berkata, ``Adalah `Umar berkata secara  ringkas dia berkata kepada mereka yang duduk kelilingnya di dalam majlisnya, ``Ganjaran pahala yang banyak dapat dicapai dengan sabar dalam beberapa hari yang sedikit.`` Dan berkata Wahab, ``Ganjaran yang mulia hilang oleh keduniaan yang meruntuhkannya.``
Daripada Mitraf berkata, ``Ilmu mempunyai kelebihan di atas amalan – tanpa ilmu. Dan sebaik-baik agama kamu ialah wara``.
Pengakhiran bagi juz` pertama  ialah catatan-catatan berhubung dengan pendapat mengenai Al-Qur`an. Sebagaimana dimaklum bahawa pada zaman Al-Imam Ahmad bin Hanbal timbul fitnah berhubung dengan pendapat tentang Al-Qur`an yang mana Mu`tazilah berpendapat `Al-Qur`an makhluk – kena cipta, sedangkan  al-Imam Ahmad berpegang teguh Al-Qur`an Qadim dan bukan makhluk. Pegangannya  yang tidak selari dengan pegangan pihak pemerintah, menyebabkan ia dihukum dipenjara sebagaimana telah dibicarakan. Mengenai pendapat ini, antaranya:
``Berkata Abu Bakar bin `Abd al-Khaliq, Aku mendengar `Abdul Wahhab al-Warraq berkata, berkata Abu Bakar bin `Iyash, ``Siapa yang berkata Al-Qur`an makhluk, maka dia adalah kafir dan siapa syak pada kekufuran, maka dia adalah kafir.``
Dapatlah dikatakan bahawa tidaklah semua persoalan yang dibicarakan di dalam juz` pertama mengenai persoalan wara` Dan konsep wara`nya pula dibicarakan di dalam skop yang luas. Apa yang disusun di dalam Kitab al-Wara`bukan merupakan penyusunan sebuah kitab, tetapi adalah catatan-catatan pendapat antaranya bersifat soalan-soalan dan jawapan-jawapan yang dikumpulkan, sebab itu ianya bukan  sebagai kitab yang disusun secara lengkap.

Sekian.

No comments:

Post a Comment