B BB,
23 Zulkaedah 1437 = 26 Ogos 2016
(Jumaat):
Ada beberapa perkara (pecahan) di bawah `Masalah Tentang Zuhud`. Persoalan
pertama ialah tentang `Diam Dan
Berfikir`
Pertama yang meniumbulkan persoalan, apakah
hubungannya soal diam dan berfikir dengan zuhud ?
Diam ertinya tidak bercakap, maka terhenti
dan tersekat maklumat dari orang yang diam berkenaan. Sebaliknya jika bercakap,
terkeluarlah apa yang dicakapkan. Bercakap (statement) ada beberapa kategori.
Mungkin bercakap tentang perkara biasa di dalam kehidupan biasa. Misalnya
menyuruh anak membaca pelajaran, makan dan sebagainya atau mungkin bersifat
larangan. Misalnya jangan keluar rumah pada waktu malam dan sebagainya.
Bercakap mungkin bersifat menyampaikan maklumat. Contoh, ada kawan akan datang
yang melibatkan benar (jika datang) atau tidak benar (jika tidak datang). Ada
bercakap seperti mengajar yang biasanya baik, kerana menyampaikan pengajaran –
seperti oleh guru. Di dalam konteks penyampaian yang bersifat benar atau tidak,
apa lagi jika berdusta, maka ia
melibatkan dosa, jika berdusta. Sebaliknya jika bercakap perkara yang baik
seperti mengajar, maka ia mempunyai
pahala. Di dalam konteks ini dapat dilihat ianya ada hubungan dengan zuhud.
Seorang misalnya wajar bersifat zuhud di dalam menggunakan percakapan, iaitu
kepada perkara yang benar dan perlu berfikir dahulu sebelum mengeluarkan
percakapan supaya tidak terjatuh kepada perkara yang salah dan berdosa. Adapun
di dalam perkara yang baik dan berfaedah seperti bercakap kerana menyampaikan
pengajaran, maka ianya tentulah perbuatan yang baik dan digalakkan.
Soal bercakap mempunyai hubungan yang rapat
dengan berfikir, bahkan apa yang dicakap adalah melalui fikiran, tapisan dan
bercakap.
Berfikir juga mempunyai kategori
Fikiran di dalam minda tanpa dikeluarkan ada yang baik seperti memikirkan tentang
ciptaan Allah yang mengukuhkan akidah dan buruknya seperti memikirkan untuk melakukan penipuan, berbohong dan
sebagainya
Fikiran spontan bagi tujuan. Misalnya
dikeluarkan bagi melarang anak bermain
pokemen, kerana merugikan masa.
Fikiran bertaraf tinggi, misalnya
memikirkan tentang kandungan pengajaran yang hendak disampaikan. Pendek kata
berfikir ada yang baik dan ada yang buruk, sebab itu konsep zuhud berperanan di
dalam berfikir. Ianya perlu kepada pengawalan (zuhud), supaya lebih kepada yang
baik dari yang buruk. Ini sesuai dengan ungkapan
``Berfikir dahulu sebelum bercakap, kerana
tersilap cakap besar padahnya.``
Juga kata-kata `Diam itu Emas`.
Di dalam membicarakan tentang `Senyap dan
Berfikir` ini al-Muhasibi memulakan dengan soalan.
Bila kita sayugia senyap dan bila wajar
bercakap ?
Walaupun judul menyebut `Senyap` dahulu, kemudian diikuti dengan
berfikir, beliau membicarakan tentang berfikir terlebih dahulu. Ini ada
kewajarannya, sebagaimana diperkatakan di atas behawa untuk bercakap – kalau
tidak diambil sikap senyap, adalah melalui berfikir dahulu. Percakapan orang
normal adalah selepas rasional berfikir terlebih dahulu.
Menurut al-Muhasibi berfikir ada
berbagai-bagai jenis.
Berfikir perkara-perkara baik menurut
Al-Muhasibi:
·
Berfikir
tentang ciptaan Allah yang memberi kita kefahaman tentang keagungan Allah
Seperti ayat Al-Qur`an
bermaksud:
``Sesungguhnya pada ciptaan langit dan bumi dan bertukar
siang dan malam menjadi tanda-tanda bagi
mereka yang mempunyai fikiran (Ali `Imran: 190).
·
Fikir
tentang kekurangan amalan tidak sepadan dengan tuntutan Allah yang membawa
kepada keinsafan dan menambahkan lagi amalan
·
Berfikir
tentang kefanaan kewujudan dan membawa kepada ingatan terhadap mati hingga
meningkatkan keinsafan.
Sesungguhnya fikiran positif memberi
natijah yang poaitif, sebagaimana dimaksudkan bahawa
``Berfikir sesaat lebih baik dari ibadat
setahun.` !
Namun di sebalik itu ada fikiran yang positif ada fikiran yang
negatif yang tentulah dilarang seperti memikirkan perkara nafsu, berfikir untuk
membuat kebinasaan dan lain-lain.
Manakala dari segi diam, kata Al-Muhasibi,
Diam dapat menghendar dari kesalahan, sebaliknya bercakap memperlihatkan
kelemahan. Diam berpatutan memberi kehebatan kepada yang diam dan menghilangkan kesilapan
kata dan kekasaran bahasa. Diam melindung keaiban.
Namun tidak wajar semua masa dalam diam,
sebaliknya bercakaplah tentang keperluan, tetapi berfikir sebelum mengeluarkan
pendapat. Sesungguhnya fikiran yang baik adalah bagai luahan intan dan permata,
bahkan lebih mahal daripada itu.
Bukankah keilmuan-keilmuan yang kita pelajari adalah
kita warisi dari tokoh-tokoh ilmuan berjasa yang dengan
kajian dan pemikiran mereka kita pelajari keilmuan mereka.
Dalam kata lain sememangnya diam lebih baik
dari bercakap, jika percakapan tidak
membawa faedah, apa lagi jika ianya mendedahkan kelemahan. Tetapi bercakapkah
dengan disertai fikiran agar memberi faedah bagi pendengaran. Lebih digalakkan
pemikiran yang bersifat keilmuan yang dapat
dimanfaatkan orang ramai, khususnya yang bersifat keilmuan.
Dari perbincangan memperlihatkan bahawa istilah `Zuhud`
dimaksudkan mempunyai erti yang luas. Bukan bererti lari dari dunia dan tidak
bekerja.
Zuhud lebih bererti berwaspada, prihatin, keinginan hidup secara
bersih dan mengelak daripada perkara-perkara negatif.
Dengan pembicaraan tentang zuhud
memperlihatkan Al-Muhasibi mengaitkan zuhud juga kepada persoalan akhlak dan
adab yang seharusnya menjadi tonggak dan peribadi masyarakat umat.
Sekian.
No comments:
Post a Comment