BBB,
20 Zulkaedah 1437 = 23 Ogos 2016
(Selasa):
Setelah membicarakan Kitab Al-Ri`ayah Li
Huquq Allah oleh Abu `Abdillah al-Harith
bin Asad al-Muhasibi dapatlah dibuat kesimpulan
bahawa selepas Al-Imam Abu `Abdillah Ahmad bin Muhammad bin Hanbal al-Shaybani (164-241H/780-855M.)
meletakkan asas dan mengenalpasti ilmu kerohanian yang kemudian lebih dikenali dengan
ilmu tasawuf, dengan kitabnya berjudul `Al-Zuhd`
dan `Al-Wara`, maka dalam tempoh yang hampir bersamaan, Al-Muhasibi (m. 243H.), membuat pendekatan
ketasawufan secara lebih teratur dengan kelahiran Kitab al-Ri`ayat Li Huquq Allah.
Al-Muhasibi tidak hanya menghadkan
kepada satu dua istilah yang bersifat tasawuf, tetapi membawa pendekatan yang dikenali dengan Al-Ri`yat Li
Huquq Allah. Pendekatan berkenaan ialah dengan mengenali sifat-sifat
`Al-Munjiyat` (Positif) di bawah judul `Al-Ri`ayah` seperti konsep
ma`rifat, konsep takut dan mengharap kepada Allah, perkembalian kepada
Allah dan tawakkal kepadaNya, tizkar, tanbih dan kesedaran, konsep waspada dan mengambil berat, tuntutan
melakukan amalan sunat, kesedaran terhadap sifat-sifat keji dan perlu
meninggalkannya, keperluan menuntut ilmu bagi mengatasi kejahilan. Pembicaraan
aspek ini melibatkan satu pertiga daripada kandungan Kitab al-Ri`ayah.
Manakala dua pertiga lagi Al-Muhasibi
membicarakan tentang aspek-aspek al-Muhlikat (Negatif), iaitu berhubung dengan
al-riya`, al-`ujub,, al-kibr, al-ghurur dan al-hasad. Dalam kata lain
Al-Muhasibi mengenalpasti dan mengemukakan kepada khalayak pembaca dan pelajar
tentang dua kategori sifat-sifat berkenaan untuk diamal dan dijauhi.
Walau bagaimana dilihat pada aspek-aspek yang dikemukakan
oleh Al-Muhasibi, baik dari segi munjiyat dan muhlikat masih terhad dan tidak
lengkap, walau bagaimana permulaan yang didekati oleh Al-Muhasibi membuka jalan
kepada kalangan sufi dan pengarang-pengarang berikutnya memperbaiki dan
melengkapkan pendekatan yang dibuat oleh Al-Muhasibi.
Satu fakta yang jelas dan ketara dengan
pendekatan Al-Muhasibi yang membicarakan aspek-aspek munjiyat dan muhlikat yang
sebahagian besar sebagaimana telah dibicarakan adalah bersifat akhlak dan
dengan tambahan persoalan adab pada bahagian akhir bagi kitab Al-Ri`ayat Li
Huquq Allah menjelaskan bahawa Al-Muhasibi mengambil pendekatan tasawuf atau
bidang kerohaniannya adalah merupakan Pendekatan Akhlak. Pendekatan ini adalah
merupakan pendekatan Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah. Pendekatan ini diperkukuhkan
yang pada puncaknya diolah oleh Al-Ghazali kelak, terutama di dalam kitabnya yang
berjudul Ihya` `Ulum al-Din dan beberapa kitabnya yang lain.
Dari segi kepengarangan Al-Muhasibi menulis
dengan cara karangan prosa biasa, bermaksud bahawa Al-Muhasibi tidak lagi
menulis dengan gaya Hadith sebagaimana dilakukan oleh `Abdullah bin al-Mubarak di dalam kitabnya
yang berjudul Al-Zuhd wa al-Raqa`iq dan juga Al-Imam Ahmad bin Hanbal dengan kitabnya yang berjudul Al-Zuhd dan
Al-Wara`, tetapi ini tidak bererti beliau membelakangkan sumber-sumber utama, iaitu
Al-Qur`an dan Al-Hadith, sebaliknya bagi setiap kitab dan bab yang dibicarakan
ialah dengan mengambil hujah-hujah dari ayat Al-Qur`an dan Al-Hadth – dengan
rawi, sanad dan matan hadith-hadith yang
disertakan. Juga dirujuk kepada pendapat-pendapat sahabat dan tabi`in bahkan
mereka juga menjadi contoh teladan kesufian. Konsep menulis sebagaimana prosa biasa dari
pendekatan penulisan gaya Hadith, bukan berlaku kepada Al-Muhasibi sahaja,
tetapi berlaku bagi bidang-bidang yang lain. Contoh kitab Sirah Ibn Ishak (85-151H.)
ditulis di dalam gaya Hadith, tetapi kemudian dari sumber Ibn Ishak ini diolah
oleh Ibn Hisham dengan karangan prosa biasa yang kemudian dikenali dengan Sirah Ibn Hisham. Keadaan yang sama berlaku
kepada bidang fiqh kepada Imam Malik
dengan Al-Muwatta` yang ditulis dengan
gaya Hadith dan juga karangan-karangan Muhammad bin Hanbal yang kemudian
kitab-kitab fiqh juga ditulis dengan bahasa prosa biasa.
Di dalam Al-Ri`ayah, Asl-Muhasibi tidak
menggunakan konsep `Kitab` bagi sebuah buku,
Al-Ri`ayah, sebaliknya istilah kitab ini digunakan sebagai pecahan-pecahan
besar di dalam sebuah kitab, dan di bawah kitab ini terdapat pecahan
bab-bab sebagaimana telah dibicarakan.
Penggunaan biasa, sepatut `Al-Ri`yah` adalah sebagai sebuah kitab. Pecahan yang
dikatakan kitab-kitab itu sepatutnya sebagai bab-bab dan pecahan di bawah bab-bab sepatutnya
digunakan fasal-fasal, tetapi ini tidak digunakan oleh Al-Muhasibi. Ini
membayangkan bahawa konsep pembahagian di dalam kitab-kitab belum lagi mantap.
Al-Qur`an mempunyai identitinya yang tersendiri, di mana Al-Qur`an dipecah
kepada juz`-juz` dan di bawah juz`-juz` ini ada surah-surah dan di dalam
surah-surah ada ayat-ayat.
Berhubung dengan penggunaan istilah tasawuf
bagi keilmuan tasawuf, walaupun dikatakan istilah ini telah dikenali sejak
zaman Hasan Basari (m. 110H./728M.), dan dikaitkan dengan Abu Hashim al-Sufi (m.
150H./761M.), tetapi sebagai satu bidang keilmuan masih belum popular
penggunaannya. Di dalam hal ini Al-Muhasibi masih belum menggunakan istilah ini
di dalam Al-Ri`ayah. Dalam kata lain sebagaimana telah disebutkan istilah
zuhud terutamanya, termasuk istilah
wara` adalah istilah popular yang
digunakan hingga kepada zaman Al-Muhasibi. Bagi Al-Muhasibi beliau menggunakan
istilah yang lebih luas `Al-Ri`yah` bagi maksud keilmuan yang berkait dengan
kerohanian dan keakhlakan ini.
Pendek kata konsep Al-Ri`ayah Li Huquq Allah – Menjaga Hak-Hak
Allah, ianya dapat memahami dan mematuhi perintah Allah dan menjauhi
laranganNya adalah menjadi pendekatan bagi Al-Muhasibi. Keprihatinan
Al-Muhasibi di dalam menjaga hak-hak Allah ini yang dikaitkan dengan istilah
Muhasabah –Prihatin terhadap hak-hak
Allah menyebabkan Al-Muhasibi lebih dikenali dan dipanggil sebagai
`Al-Muhasibi` - Yang Bermuhasabah` atau Yang Prihatin.
Sebagai kesimpulan bahawa Al-Muhasibi,
terutamanya dengan kitabnya yang berjudul `Al-Ri`yat Li Huquq Allah` termasuk
beberapa karangannya yang lain, seperti Al-Masa`il Fi A`amal al-Qulub wa Al-Jawarih
yang bakal dibicarakan, membuktikan bahawa Al-Muhasibi adalah secara jelas
mengambil pendekatan bagi karangan-karangannya berasaskan akhlak, bahkan
shari`at, lantaran menjaga hak-hak Allah tidak hanya dengan akhlak, bahkan
hendaklah mematuhi shariat Allah, melakukan apa yang diperintah dan menjauhkan
apa yang dilarang. Akhlak keislaman lahir dari
ri`ayah terhadap perintah Allah dan menjauhi laranganNya. Dan induk bagi
semuanya adalah berpegang dengan akidah tauhid Islam.
Dengan pendekatan Al-Muhasibi yang
tasawufnya berasaskan akhlak, mematuhi suruhan shariat dan menjauhi larangan
yang semuanya berdasarkan kepada akidah tauhid Islam, maka Al-Muhasibi adalah
penegak pendekatan Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah.
Sekian.
No comments:
Post a Comment